“Zunah Alisia! Come over here,
young girl!”
Pekikan lantang yang kedengaran
itu langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada anak kecil itu. Terus saja
Zunah berlari dengan pantas, meluru ke pintu rumah. Mahu keluar bermain dengan
teman-teman katanya. Sekalipun sudah berulang kali dihalang, Zunah terus
berdegil. Mahu kehendaknya dituruti jua.
Keras kepala betul! gumam hati
Amar sakit. Geram dengan sikap sepupunya sendiri.
Belum sempat Zunah boloskan
tubuh melalui daun pintu yang terkuak luas, Amar lebih dulu sambar tubuh kecil
itu. Zunah, orangnya cukup kecil. Tapi, kecil-kecil cili padi. Tak sudah-sudah
menyusahkan Amar. Kedegilan Zunah selalu mendera sabar hatinya.
Dia, Syed Amar, yang terkenal
dengan sikap penyabar dalam kalangan teman-teman, boleh baran dengan degil
Zunah. Anak kecil yang hanya berusia lapan tahun!
Percaya tak? Ya Rabbi, tolonglah
percaya!
Zunah yang sudah diraih ke dalam
pelukan terus meronta. Semahunya! Hendak tubuhnya dilepaskan, tidak berada di
awangan lagi. Yalah, Amar tinggi melangit untuknya.
Namun, Amar tak punya niat sebegitu
langsung. Harap maaf. Dia mengeratkan tangannya, yang utuh paut pinggang kecil
Zunah. Mujur saja Zunah tak seberat mana, mudah diangkat dengan sebelah tangan
cuma.
Manakala tangan yang satu lagi
menutup daun pintu hadapan rumah flat itu, lalu Amar bergerak ke arah
bertentangan. Dalam hati, Amar buat tebakan sendiri. Kecil tubuh Zunahlah yang
membuatkan degil Zunah meninggi semacam. Agaknya.
Agak yang boleh diguna pakai!
“Put me down!” Zunah tukar
taktik.
Loghat Britishnya pekat menampar
telinga Amar. Mula terjerit-jerit. Nyaring. Lantang. Di puncak suara.
“Shut up! Zunah, stop it! Jangan
menjerit lagi. Nanti apa pulak kata orang yang dengar? Apa dia orang akan
fikir?” Amar sengaja besarkan mata.
Mata kecilnya yang besar sedikit
daripada buah badam, boleh besar manalah sangat kan.
Dan nyata, ia cara yang salah
untuk memujuk si degil Zunah Alisia. Makin galak Amar hendak tenteramkan,
semakin gamat pekik Zunah. Bertempik bak mahu terkeluar anak tekak. Tak cukup
dengan itu, ada aksi tambahan pula. Rontaan Zunah pun sama dahsyat.
Kedua-dua belah tangan diayun ke
sana sini. Ada kalanya menampar muka Amar. Ada ketikanya mendebik dada Amar.
Kedua-dua kaki Zunah pun jenis tak reti duduk diam. Berkali-kali paha Amar jadi
asakan. Menyeringai Amar tahan sakit.
Beginilah nasib tubuh badannya
semenjak kebelakangan ini tiap kali dia datang melawat mak su. Atau kala dia
terpaksa babysit Zunah tiap kali mak su ada hal kerja, membuatkan mak su
terpaksa pulang lebih lewat daripada biasa. Contohnya hari ini.
Zunah Alisia, satu-satunya
permata hati mak su yang sudah pun kematian suami ketika Zunah—yang sedang
menjerit nyaring kala ini, langsung tak sesuai dianggap permata hati siapa
pun—masih terlalu kecil untuk faham. Dan, tentu sahaja Zunah amat dimanja,
malah amat disayangi oleh mak su. Kerana hanya Zunah harta peninggalan
suaminya.
“Young lady, stop your shouting
or I’ll gag you!” Amar mengugut.
Memujuk tak jalan, ini sajalah
jalan yang tinggal.
Walau ikut hati, Amar mahu saja
katup mulut sepupunya yang tiba-tiba berubah jadi anak singa, dengan tangan.
Agar jeritan Zunah terkambus di balik tangannya yang cukup besar untuk buat
Zunah hilang wajah buat seketika. Tak gaduh nak capai kain ke apa.
Namun, pengajaran yang diterima
beberapa minggu lalu, daripada Zunah sendiri, buat Amar serik mahu ulangi
kesilapan yang sama. Mana taknya, Zunah gigit kuat tangannya sehingga ia
tinggalkan bekas.
Dua hari bekas gigitan Zunah
melekap kemas di tangan kanan Amar. Siap ada tanda biru kelebaman lagi. Dia
pula terpaksa tayang muka tunggul bernafas tiap kali gengnya mengusik. Sampai
hari ini topik itu masih hangat diperbincang. Pelbagai andaian dan spekulasi
dibentangkan oleh kawan-kawannya itu.
Konon Amar cuba ganggu anak
gadis orang dan kerana terlalu nakal, maka dia terima cop mohor itu sebagai
hadiah. Ada pula yang anggap dia sendiri gigit tangannya hingga berbekas begitu
sebab terlalu tension dengan kelas Profesor Jamal yang sering mencari salah
Amar, hanya kerana Amar tak pernah tak berjaya jawab sebarang soalan kelas
lelaki itu.
Dan, spekulasi yang
paling-paling Amar tak boleh terima adalah tangannya digigit kucing. Kan ke
jauh berbeza gigi manusia dengan gigi kucing! Entah kucing planet manalah tu!
Apa-apa punya spekulasilah!
Namun, Amar tak langsung buka
mulut jelaskan duduk perkara sebenar. Isy, takkan nak malukan diri sendiri kut.
Takkan nak buat pengakuan bahawasanya bekas itu wujud atas ihsan daripada
sepupunya sendiri, yang hanya berusia lapan tahun!
Dia sendiri akan gelak
mendengar, inikan pula kawan-kawan sekuliahnya yang memang kaki ketawakan
orang!
Sebab mereka akan gelak,
pertama, kerana Amar tidak mampu hendak kawal budak sekecil itu. Padahal tak
seorang pun antara teman-temannya tahu betapa ganasnya budak kecil itu.
Sebab kedua pula, kerana Amar
tak pernah beritahu kawan-kawan sekuliahnya yang dia pulang ke rumah mak su
kerana tugasnya sebagai pengasuh. Babysitter. Kalau ada antara mereka tahu,
pasti kecoh satu fakulti. Heh, tak kuasa dia nak dapatkan glamor murah begitu.
Selain itu, Amar tak mahu orang
lain tahu akan pertemuannya dengan mak su, terutama sekali ahli keluarganya
yang berada di Kuala Lumpur. Setakat ini, yang tahu akan kewujudan mak su dan
Zunah hanyalah Widelia, kawan baiknya.
Amar terus duduk di atas sofa di
ruang tamu sambil terus paut tubuh Zunah. Si kecil itu dipangku di atas
pahanya. Mujur saja Zunah reti hendak berhenti buat perangai waktu ini. Kalau
tak, sah salah seorang daripada mereka cium lantai.
Amar pandang saja Zunah yang
masih tunjuk perasaan dengannya. Bahasa tubuh Zunah memberitahu. Dengan muka
tak puas hati, si kecil itu duduk tegak sambil berpeluk tubuh.
Bukan Amar sengaja tak benarkan
Zunah keluar bermain di taman permainan di bawah flat itu. Namun, hari sudah
senja. Azan maghrib pun sudah berkumandang.
“Zunah, kan dah maghrib ni.
Janganlah nak buat perangai lagi. Zunah tak solat lagi, kan? Jom solat dengan
abang.” Amar cuba-cuba pakai teknik membujuk. Mana tahu kali ini menjadi.
Zunah memang degil. Amar tahu
sudah lama. Tapi, dia jadi pelik kerana degil melampau tahap tak nak dengar apa
sahaja cakap Amar bermula semenjak kebelakangan ini. Semenjak dia mula membawa
Widelia bersama apabila melawat mak su pada hujung minggu lalu.
“Tak nak!” jawab Zunah sengetkan
mulut.
“Tak nak? Kenapa?” Amar sedikit
pelik dan hendak tahu.
Mana tidaknya. Zunah kalau
diajak solat, tak pernah cakap tak nak. Selalu laju setuju. Tambah kalau ajak
berjemaah. Katanya tak nak lepas pahala lebih.
“Zunah cuti!” Lancar saja Zunah
menjawab.
Cuti? Mata Amar membulat. Tak
percaya dengan apa yang menampar kuping. Langsung tak percaya! Takkanlah budak
umur lapan tahun dah... Tambahan pula Zunah masih terlalu kecil untuk...
“Cuti?”
Zunah angguk kepala. Beria-ia,
penuh semangat.
“Zunah tau tak apa makna cuti?”
“Mama ada cuti kadang-kadang.
Jadi Zunah pun nak cuti hari ni. Zunah cuti!” Zunah bertegas.
“Lepaslah, Zunah nak main!”
Zunah kembali ke perangai tadi.
Menjerit selantang mungkin. Masih
berpeluk tubuh.
Walaupun Amar rasa nak katup
kedua-dua belah telinganya, agar gegendang telinganya tak rosak, namun perasaan
lega mengatasi semua. Lega, kerana Zunah tak tahu makna cuti dan memang Zunah
belum cuti.
Mujur juga si kecil itu tidak
bertanya apa makna cuti kepadanya. Kalau ia, sah Amar yang akan menjerit sakan
sekarang, bak Zunah.
“Zunah!” Amar bersuara tegas.
“Jangan jerit lagilah! Cair tau
taik telinga abang dengar Zunah menjerit macam ni. Dah maghrib pun duk terpekik
terlolong macam puntianak. Hei!” marahnya terus, geram.
Zunah langsung tak mahu diam.
Masih galak memekik walaupun suara dah mula serak. Jadi parau kerana asyik test
power volume suaranya sejak tadi.
Padan muka! marah hati Amar yang
kian berapi-api.
Amar baru nak dudukkan Zunah ke
atas sofa—bukannya campak Zunah sebagaimana hatinya nak—apabila bunyi ketukan
pada pintu kedengaran. Bertalu-talu singgah cuping telinganya.
Harapan hati Amar hanya satu.
Mak su sudah balik.
“Hah, tu mesti mama Zunah. Nanti
abang bagi tau yang Zunah degil, keras kepala dan tak mau dengar cakap
langsung.” Amar ugut sambil letak elok tubuh kecil Zunah di atas sofa, lalu
bangun.
Memang sengaja mahu takutkan
Zunah begitu kerana hanya mamanya yang ditakuti oleh Zunah.
Takut? Bukanlah pilihan yang
tepat kerana mak su tak pernah marah Zunah apatah lagi angkat tangan pada tubuh
kecil itu. Sebaliknya, mak su selalu menegur secara lembut, menasihati dengan
contoh.
Dan, itu amat memberi kesan
kepada Zunah, berbanding leteran Amar yang menjela atau marah mengugut Amar
yang memarak. Hampeh budak tu tak dengar. Buat pekak adalah!
Jeritan penuh perasaan Zunah
mati. Menganga dengan jerit tak sempat keluar, pandang Amar yang sudah berdiri
di depannya.
Amar apa lagi, tayang gigi
sampai telingalah. Dia pandang saja raut Zunah jadi kelat. Malah, sepasang mata
yang amat indah itu begitu berani menikam matanya.
Amar sengaja angkat kening,
membuatkan Zunah tutup terus mulutnya, lalu tunjuk muncung sedepa. Amar pula,
dengan hati yang penuh lapang, mendapatkan pintu hadapan dengan langkah
saya-suka-hati, lalu pulas tombol pintu, kuak daun pintu.
Ceria dan wajah saya-suka-hati
Amar hilang.
“Sudah...” Perlahan ayat itu
meniti bibir Amar.