23 April, 2018

Secukup Rasa | Bab 1



“Zunah Alisia! Come over here, young girl!”
Pekikan lantang yang kedengaran itu langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada anak kecil itu. Terus saja Zunah berlari dengan pantas, meluru ke pintu rumah. Mahu keluar bermain dengan teman-teman katanya. Sekalipun sudah berulang kali dihalang, Zunah terus berdegil. Mahu kehendaknya dituruti jua.
Keras kepala betul! gumam hati Amar sakit. Geram dengan sikap sepupunya sendiri.
Belum sempat Zunah boloskan tubuh melalui daun pintu yang terkuak luas, Amar lebih dulu sambar tubuh kecil itu. Zunah, orangnya cukup kecil. Tapi, kecil-kecil cili padi. Tak sudah-sudah menyusahkan Amar. Kedegilan Zunah selalu mendera sabar hatinya.
Dia, Syed Amar, yang terkenal dengan sikap penyabar dalam kalangan teman-teman, boleh baran dengan degil Zunah. Anak kecil yang hanya berusia lapan tahun!
Percaya tak? Ya Rabbi, tolonglah percaya!
Zunah yang sudah diraih ke dalam pelukan terus meronta. Semahunya! Hendak tubuhnya dilepaskan, tidak berada di awangan lagi. Yalah, Amar tinggi melangit untuknya.
Namun, Amar tak punya niat sebegitu langsung. Harap maaf. Dia mengeratkan tangannya, yang utuh paut pinggang kecil Zunah. Mujur saja Zunah tak seberat mana, mudah diangkat dengan sebelah tangan cuma.
Manakala tangan yang satu lagi menutup daun pintu hadapan rumah flat itu, lalu Amar bergerak ke arah bertentangan. Dalam hati, Amar buat tebakan sendiri. Kecil tubuh Zunahlah yang membuatkan degil Zunah meninggi semacam. Agaknya.
Agak yang boleh diguna pakai!
“Put me down!” Zunah tukar taktik.
Loghat Britishnya pekat menampar telinga Amar. Mula terjerit-jerit. Nyaring. Lantang. Di puncak suara.
“Shut up! Zunah, stop it! Jangan menjerit lagi. Nanti apa pulak kata orang yang dengar? Apa dia orang akan fikir?” Amar sengaja besarkan mata.
Mata kecilnya yang besar sedikit daripada buah badam, boleh besar manalah sangat kan.
Dan nyata, ia cara yang salah untuk memujuk si degil Zunah Alisia. Makin galak Amar hendak tenteramkan, semakin gamat pekik Zunah. Bertempik bak mahu terkeluar anak tekak. Tak cukup dengan itu, ada aksi tambahan pula. Rontaan Zunah pun sama dahsyat.
Kedua-dua belah tangan diayun ke sana sini. Ada kalanya menampar muka Amar. Ada ketikanya mendebik dada Amar. Kedua-dua kaki Zunah pun jenis tak reti duduk diam. Berkali-kali paha Amar jadi asakan. Menyeringai Amar tahan sakit.
Beginilah nasib tubuh badannya semenjak kebelakangan ini tiap kali dia datang melawat mak su. Atau kala dia terpaksa babysit Zunah tiap kali mak su ada hal kerja, membuatkan mak su terpaksa pulang lebih lewat daripada biasa. Contohnya hari ini.
Zunah Alisia, satu-satunya permata hati mak su yang sudah pun kematian suami ketika Zunah—yang sedang menjerit nyaring kala ini, langsung tak sesuai dianggap permata hati siapa pun—masih terlalu kecil untuk faham. Dan, tentu sahaja Zunah amat dimanja, malah amat disayangi oleh mak su. Kerana hanya Zunah harta peninggalan suaminya.
“Young lady, stop your shouting or I’ll gag you!” Amar mengugut.
Memujuk tak jalan, ini sajalah jalan yang tinggal.
Walau ikut hati, Amar mahu saja katup mulut sepupunya yang tiba-tiba berubah jadi anak singa, dengan tangan. Agar jeritan Zunah terkambus di balik tangannya yang cukup besar untuk buat Zunah hilang wajah buat seketika. Tak gaduh nak capai kain ke apa.
Namun, pengajaran yang diterima beberapa minggu lalu, daripada Zunah sendiri, buat Amar serik mahu ulangi kesilapan yang sama. Mana taknya, Zunah gigit kuat tangannya sehingga ia tinggalkan bekas.
Dua hari bekas gigitan Zunah melekap kemas di tangan kanan Amar. Siap ada tanda biru kelebaman lagi. Dia pula terpaksa tayang muka tunggul bernafas tiap kali gengnya mengusik. Sampai hari ini topik itu masih hangat diperbincang. Pelbagai andaian dan spekulasi dibentangkan oleh kawan-kawannya itu.
Konon Amar cuba ganggu anak gadis orang dan kerana terlalu nakal, maka dia terima cop mohor itu sebagai hadiah. Ada pula yang anggap dia sendiri gigit tangannya hingga berbekas begitu sebab terlalu tension dengan kelas Profesor Jamal yang sering mencari salah Amar, hanya kerana Amar tak pernah tak berjaya jawab sebarang soalan kelas lelaki itu.
Dan, spekulasi yang paling-paling Amar tak boleh terima adalah tangannya digigit kucing. Kan ke jauh berbeza gigi manusia dengan gigi kucing! Entah kucing planet manalah tu! Apa-apa punya spekulasilah!
Namun, Amar tak langsung buka mulut jelaskan duduk perkara sebenar. Isy, takkan nak malukan diri sendiri kut. Takkan nak buat pengakuan bahawasanya bekas itu wujud atas ihsan daripada sepupunya sendiri, yang hanya berusia lapan tahun!
Dia sendiri akan gelak mendengar, inikan pula kawan-kawan sekuliahnya yang memang kaki ketawakan orang!
Sebab mereka akan gelak, pertama, kerana Amar tidak mampu hendak kawal budak sekecil itu. Padahal tak seorang pun antara teman-temannya tahu betapa ganasnya budak kecil itu.
Sebab kedua pula, kerana Amar tak pernah beritahu kawan-kawan sekuliahnya yang dia pulang ke rumah mak su kerana tugasnya sebagai pengasuh. Babysitter. Kalau ada antara mereka tahu, pasti kecoh satu fakulti. Heh, tak kuasa dia nak dapatkan glamor murah begitu.
Selain itu, Amar tak mahu orang lain tahu akan pertemuannya dengan mak su, terutama sekali ahli keluarganya yang berada di Kuala Lumpur. Setakat ini, yang tahu akan kewujudan mak su dan Zunah hanyalah Widelia, kawan baiknya.
Amar terus duduk di atas sofa di ruang tamu sambil terus paut tubuh Zunah. Si kecil itu dipangku di atas pahanya. Mujur saja Zunah reti hendak berhenti buat perangai waktu ini. Kalau tak, sah salah seorang daripada mereka cium lantai.
Amar pandang saja Zunah yang masih tunjuk perasaan dengannya. Bahasa tubuh Zunah memberitahu. Dengan muka tak puas hati, si kecil itu duduk tegak sambil berpeluk tubuh.
Bukan Amar sengaja tak benarkan Zunah keluar bermain di taman permainan di bawah flat itu. Namun, hari sudah senja. Azan maghrib pun sudah berkumandang.
“Zunah, kan dah maghrib ni. Janganlah nak buat perangai lagi. Zunah tak solat lagi, kan? Jom solat dengan abang.” Amar cuba-cuba pakai teknik membujuk. Mana tahu kali ini menjadi.
Zunah memang degil. Amar tahu sudah lama. Tapi, dia jadi pelik kerana degil melampau tahap tak nak dengar apa sahaja cakap Amar bermula semenjak kebelakangan ini. Semenjak dia mula membawa Widelia bersama apabila melawat mak su pada hujung minggu lalu.
“Tak nak!” jawab Zunah sengetkan mulut.
“Tak nak? Kenapa?” Amar sedikit pelik dan hendak tahu.
Mana tidaknya. Zunah kalau diajak solat, tak pernah cakap tak nak. Selalu laju setuju. Tambah kalau ajak berjemaah. Katanya tak nak lepas pahala lebih.
“Zunah cuti!” Lancar saja Zunah menjawab.
Cuti? Mata Amar membulat. Tak percaya dengan apa yang menampar kuping. Langsung tak percaya! Takkanlah budak umur lapan tahun dah... Tambahan pula Zunah masih terlalu kecil untuk...
“Cuti?”
Zunah angguk kepala. Beria-ia, penuh semangat.
“Zunah tau tak apa makna cuti?”
“Mama ada cuti kadang-kadang. Jadi Zunah pun nak cuti hari ni. Zunah cuti!” Zunah bertegas.
“Lepaslah, Zunah nak main!” Zunah kembali ke perangai tadi.
Menjerit selantang mungkin. Masih berpeluk tubuh.
Walaupun Amar rasa nak katup kedua-dua belah telinganya, agar gegendang telinganya tak rosak, namun perasaan lega mengatasi semua. Lega, kerana Zunah tak tahu makna cuti dan memang Zunah belum cuti.
Mujur juga si kecil itu tidak bertanya apa makna cuti kepadanya. Kalau ia, sah Amar yang akan menjerit sakan sekarang, bak Zunah.
“Zunah!” Amar bersuara tegas.
“Jangan jerit lagilah! Cair tau taik telinga abang dengar Zunah menjerit macam ni. Dah maghrib pun duk terpekik terlolong macam puntianak. Hei!” marahnya terus, geram.
Zunah langsung tak mahu diam. Masih galak memekik walaupun suara dah mula serak. Jadi parau kerana asyik test power volume suaranya sejak tadi.
Padan muka! marah hati Amar yang kian berapi-api.
Amar baru nak dudukkan Zunah ke atas sofa—bukannya campak Zunah sebagaimana hatinya nak—apabila bunyi ketukan pada pintu kedengaran. Bertalu-talu singgah cuping telinganya.
Harapan hati Amar hanya satu. Mak su sudah balik.
“Hah, tu mesti mama Zunah. Nanti abang bagi tau yang Zunah degil, keras kepala dan tak mau dengar cakap langsung.” Amar ugut sambil letak elok tubuh kecil Zunah di atas sofa, lalu bangun.
Memang sengaja mahu takutkan Zunah begitu kerana hanya mamanya yang ditakuti oleh Zunah.
Takut? Bukanlah pilihan yang tepat kerana mak su tak pernah marah Zunah apatah lagi angkat tangan pada tubuh kecil itu. Sebaliknya, mak su selalu menegur secara lembut, menasihati dengan contoh.
Dan, itu amat memberi kesan kepada Zunah, berbanding leteran Amar yang menjela atau marah mengugut Amar yang memarak. Hampeh budak tu tak dengar. Buat pekak adalah!
Jeritan penuh perasaan Zunah mati. Menganga dengan jerit tak sempat keluar, pandang Amar yang sudah berdiri di depannya.
Amar apa lagi, tayang gigi sampai telingalah. Dia pandang saja raut Zunah jadi kelat. Malah, sepasang mata yang amat indah itu begitu berani menikam matanya.
Amar sengaja angkat kening, membuatkan Zunah tutup terus mulutnya, lalu tunjuk muncung sedepa. Amar pula, dengan hati yang penuh lapang, mendapatkan pintu hadapan dengan langkah saya-suka-hati, lalu pulas tombol pintu, kuak daun pintu.
Ceria dan wajah saya-suka-hati Amar hilang.
“Sudah...” Perlahan ayat itu meniti bibir Amar.

No comments:

Post a Comment