Selasa, Mac 14, 2017

Duda Gila Aku - #HambaliNaimi 1


KAHWIN untuk apa kalau aku tahu aku takkan boleh jadi ibu!
Itulah pegangan Naimi sejak dulu. Tambahan pula bila dah nak masuk three series ni. Bukannya ada mak-mak nak pandang untuk buat menantu pun. Lelaki nak buat bini ada saja. Maklumlah, dunia sekarang three series itu bukan gaya dunia datuk neneknya dulu.
Dunia sekarang three series masih boleh diterima lagi. Ada lelaki nak kejar lagi. Ajak bercinta lagi. Ajak bernikah lagi. Tapinya, jadi pilihan menantu perempuan tu macam susah sangat.
Tu pasal Naimi tak faham mengapa dia pula jadi pilihan menantu Datin Syimah.
“Naimi Nur, dengar tak apa Mama Hajar cakap ni?” Tanya Hajar sambil tepuk perlahan paha anak gadis yang duduk sebelahnya.
Terkebil-kebil gaya tak percaya. Macamlah dia baru beritahu Naimi gadis itu menang loteri berjuta-juta. Walhal perkara yang Hajar bangkitkan dengan menang loteri berjuta-juta langsung tak setanding.
Apa yang dia cakap sekarang lebih mengujakan berbanding menang loteri berjuta-juta, okey!
“Ya, ya. Naimi dengar, Mama Hajar. Tapi, Naimi tengah cuba fahamkan otak Naimi ni, hah.” Selamba Naimi jawab.
Dengan Hajar, Naimi aci selamba saja sebagaimana dia dengan mamanya. Sebab Hajar sudah laksana ibu keduanya semenjak dulu. Kalau tak ada Hajar, pasti saja Naimi dan mama sudah menjadi gelandangan entah di mana.
Syukurlah Hajar dan Salihin, arwah suami wanita itu, terima mereka laksana keluarga kandung pada malam itu. Walhal hubungan mereka sekadar bau bacang saja. Sampai sekarang Naimi tak faham apa sebenarnya hubungan kekeluargaan mereka. Dia tu punya anak si polan punya sedara dan dia ni punya pak cik.
Peninglah kalau dicerita balik. Makanya, Hajar menjadi Mama Hajar dan Salihin menjadi Papa Salihin untuk Naimi. Senang nak simpul, Hajar dan Salihin adalah mama dan papa angkat Naimi Nur.
“Nak fahamkan apa lagi, Naimi? Datin Syimah sendiri datang nak pinangkan Naimi untuk anak dia. Mama dengan Mama Hajar tak cari pun kali ni,” sampuk Nazriah. Paha kiri anak gadisnya itu disentuh dan dielus dengan lembut.
Naimi kerut dahi sekejap. Kemudian kedua-dua tapak tangannya diletak atas tangan Nazriah dan Hajar di pahanya. Seorang elus kanan, seorang elus kiri. Naimi pandang Nazriah dan Hajar silih ganti. Mukanya tunjuk betapa dia curiga.
“Betul ni?” Naimi tanya sambil picing mata.
Komplot mama dan Mama Najahnya, sudah lama dalam poket Naimi. Bukan tahap poket seluar atau baju dah. Tahap poket kecil dalam bra. Begitulah tahunya Naimi pasal kesukaan mereka untuk ganding dia dengan anak lelaki mak cik itu, anak lelaki pak cik ini.
Tapi, dah agak lama juga mereka tak buat komplot begini. Lebih setahun sejak Naimi balik daripada pertemuan terakhir dengan lelaki mereka perkenal, dengan mata merah macam saga.
Naimi tak cerita, tapi Naimi tahu mama dan Mama Hajar tahu apa telah berlaku. Sebab dia yakin mama dan Mama Hajar ada di restoran itu ketika kejadian. Sibuk jadi spy sudahnya mata mereka pun bersepai. Merah macam dia juga sebab nangis.
“Ya Allah, anak bertuah ni!” Hajar tolak tangan Naimi di atas kura tangannya. Lepas itu dicubit geram paha Naimi.
Bila paha dah banyak isi macam paha Naimi, menyeringailah Naimi sambil mendesis. Terus Naimi tolak tangan Nazriah dan Hajar, lalu bangun. Berdiri depan dua mamanya itu dengan kerutan.
“Sakitlah, Mama Hajar. Suka main isi orang tau.” Naimi jegil mata.
“Mama Hajar pun sakit. Sebab Naimi suka main hati Mama Hajar.”
Nazriah tertawa dengan mimik muka yang ditunjuk Hajar, sambil pegang dadanya. Drama sangat. Lepas itu dia pandang Naimi yang sedang berdiri depannya. Mulut Naimi termuncung tengok sikap drama queen Mama Hajarnya. Buat ketawa Nazriah semakin menjadi.
Kalau tak ada Naimi dan Hajar entah apalah akan jadi kepada Nazriah selama ini. Naimi penguatnya. Hajar pengerasnya. Malah, Salihin juga jadi tunjang untuk Nazriah reda dan terima apa yang terjadi dalam kehidupannya selama ini.
Jika tak ada salah seorang daripada mereka mungkin saja Nazriah sudah tiada di dunia ini. Kerana adanya merekalah dia belajar untuk terima qadak dan qadar-Nya. Kalau dia yang dulu, memang sudah lama dia mati bunuh diri.
Nauzubillah!
“Naimi...” panggil Nazriah. Bagi tumpuan kepada Naimi.
Sekarang bukan masanya untuk dia buat imbas balik. Nanti panjangkan cerita saja. Walhah ini cerita pendek di mana Nazriah dan Hajar nak tengok Naimi berkahwin. Menjadi seorang isteri. Ada yang jaga Naimi selepas mereka tak ada. Itu utamanya.
Naimi juihkan mulutnya gaya muncung itik. Lepas itu dengan selamba dia duduk di atas karpet tebal lagi empuk di ruang tamu keluarga itu. Di depan sofa tiga rangkai yang Nazriah dan Hajar duduk.
“Masalahnya Naimi tak faham kenapa Naimi.”
Luahan Naimi yang kedengaran biasa padahal dalam makna itu buat Nazriah dan Hajar saling pandang. Kemudian mereka rapatkan kedudukan mereka. Ruang kosong yang ditinggal Naimi sudah tiada. Sempat Nazriah paut tangan Hajar serupa cari kekuatan.
Hajar pula balas dengan genggam balik. Kuat dan erat. Lepas itu Hajar lepaskan pautan tangan mereka. Hajar tak nak reaksi mereka itu timbulkan sebarang syak daripada Naimi. Hajar tak mahu Naimi terbaca apa pun daripada mereka. Daripadanya.
Komplot kali ini wajib jadi!
“Apa pulak yang Naimi tak faham? Cuba fahamkan Mama Hajar.” Dengan tenang Hajar pandang muka kerut Naimi.
Naimi gelak. Buat-buat. “Mama Hajar, seriously?”
Naimi geleng-gelengkan kepala sambil tengok Hajar kemudian Nazriah.
“Naimi tak boleh mengandung. Untuk apa Datin Syimah nak lamar Naimi untuk anak dia kalau Naimi tak boleh bagi lelaki tu anak, Datin Syimah cucu?” tanya Naimi dengan agak keras sambil jongket sebelah kening.
Datin Syimah adalah kakak Papa Salihin. Daripada apa yang Naimi kenal pasal perempuan itu, dia punya memilih dalam semua hal, tak pernah tak terbaik. Jadi, mana mungkin Datin Syimah yang cerewet itu lamar dia. Dia bukan yang terbaik apatah lagi sempurna. Tapisan pertama Datin Syimah saja dah kena reject sepatutnya!
Something is wrong somewhere sangat!
Muka Nazriah berubah. Terkesan dengan dalam dengar pertanyaan anak gadisnya itu. Ya, Naimi, satu-satunya warisnya tidak boleh menyambung warisan mereka.
Naimi tak boleh mengandung!
“Ke Datin Syimah tak tau pasal condition Naimi?” serbu Naimi sebelum Hajar jawab.
“Betul, kan? Dia tak tau, kan?” Naimi buat muka.
Sahlah tak tahu. Kalau wanita itu tahu takkan punyalah Datin Syimah nak lamar dia jadi menantu. Jadi isteri anak lelakinya, yang setahu Naimi adalah anak lelaki tunggalnya.
“Bukan semua perkahwinan pasal anak, Naimi. Kalau semua perkahwinan pasal anak, takkannya perkahwinan Mama Hajar dengan Papa Salihin bertahan sampai akhir hayat Papa Salihin. Naimi pernah nampak perkahwinan kami serba kekurangan hanya sebab kami tak beranak? Pernah?” tanya Hajar dengan tenang.
Walau dadanya berdebar hebat di masa ini. Dia tak mahu Naimi terbaca debaran itu pada mukanya. Itu pasal Hajar sekolahkan mukanya habis-habisan. Sambil bangkitkan topik dia dan arwah suaminya yang tak punyai tuah untuk merasa jadi ibu dan ayah kandung.
Sekadar ibu dan ayah angkat. Kepada Naimi.
Naimi terdiam dengan topik yang Hajar bangkitkan itu. Ya, pasangan ini adalah pasangan paling istimewa pernah Naimi lihat. Pasangan yang membuktikan bukan semua pernikahan perlukan anak sebagai galang ganti. Bukan semua perkahwinan diikat oleh anak.
Kerana perkahwinan sebenar diikat oleh hati yang Allah pinjamkan. Bila hati itu menyayangi pasangan secukupnya kerana Allah, lain daripada itu bukanlah syarat untuk bahagia.
Itulah kata Papa Salihin kepada Naimi semenjak dulu. Berulang-ulang kali sampaikan sudah terakam elok di mindanya.
Tapi, adakah lelaki sanggup terima kekurangannya? Dia wanita yang tidak boleh mengandung. Dia wanita yang takkan mampu menyambung warisannya, warisan suaminya.
Wanitakah dia jika tidak mampu memberi zuriat kepada suami sendiri?
“Lagipun anak bukan isu besar untuk Hambali.”
Tegak muka Naimi tengok depannya bila Hajar bersuara. Berkerut dahinya dengan pernyataan itu. Dah kenapa pula? Apa pulak yang tak kena dengan Hambali ni? Ke Hambali pun ada masalah kesihatan lain? Atau masalah fizikal lain sampaikan dia perlu cari perempuan tak sempurna macam Naimi?
Sah! Something is wrong somewhere sangat!
“Kenapa?” tanya Naimi nak tahun. Tak dapat diamkan diri lagi.
“Hambali dah ada anak. Dengan arwah isteri pertama dia yang dah tujuh tahun meninggal dunia,” terang Nazriah dengan senyuman.
“Duda?!” Naimi terkejut.
“Duda anak empat.”
“What?!” Menjerit jadinya Naimi dengar angka empat.
Dia bukan setakat dilamar Datin Syimah untuk jadi isteri anaknya, malah untuk jadi ibu segera empat cucunya!
“Jadi, anak bukanlah benda penting untuk perkahwinan Naimi dengan Hambali. Kan?” tanya Hajar dengan sengihan luas.
“Yeay, Naz! Kita nak dapat menantu. Tahniah, tahniah.” Hajar peluk Nazriah di sebelahnya kemudian saling bersalaman sebagai ucapan tahniah.
Biar saja Naimi yang sedang lopong sambil duduk bersila tengok  mereka. Masih dalam proses download fakta bukan auta Nazriah dan Hajar.

Tiada ulasan: