Isnin, Mac 07, 2016

Suami Selepas Deadline - #SeriZa'ba Part 1

"Dah tu, terima ajelah. Apa yang opah mintak tu bukan tak boleh pun kau nak buat, kan? Pejam mata aje boleh terima apa." Hafidz kemudian gelak-gelak perlahan dengan kata-katanya. Tambah bila Seri jegilkan mata macam nak terkeluar kepadanya atas pilihan ayatnya tadi.
"Nak kena sekeh jugak kau ni kan. Kahwin tu perkara pejam mata aje boleh terima ke?" Seri bersuara geram. Hafidz ni kalau bercakap, mulut lupa tol! Aci langgar aje tanpa bayar. Nasiblah Genelia tahan.
Hafidz gelak lagi. Puas gelak, dia seriuskan pula muka. "Okeylah, bukan pejam mata aje boleh terima. Tapi, bukak hati aje mesti boleh terima punya. Kau aje yang tak nak bukak. Tutup. Mangga. Gari. Macam mana hati tu nak bukak?"
Seri diamkan diri kali ini. Bila cakap pasal hati yang tak terbuka-buka, macam inilah dia selalunya. Sebab dengan berdiam diri dia lebih selamat.
"Eloklah. Tutup mulut tu macam kau tutup hati kau. Orang nasihat, tak pernah nak dengar. Tu pasal opah merajuk. Dah nak masuk dua minggu ni, alang-alang kau biar ajelah sampai dua bulan. Tak pun dua tahun. Tutup sekali hati kau tu daripada kesiankan orang tua yang entah lama mana aje akan hidup tu," sembur Hafidz, selamba. Gaya manusia taka da perasaan pun ada. Tapi, nak diapakan kan. Dia tengah cakap dengan manusian tak berperasaan juga. Barulah kena.
"Kau ni kan. Mulut tum akin tua makin tak ada brek. Main taram aje. Semua kau hentam." Seri marah. Takkanlah nak suka hati bila Hafidz macam mendoakan ketidaksejahteraan neneknya.
"Aku kerjakan mulut tu baru tau!" ugut Seri sambil acah nak cucuk muka Hafidz yang duduk di depannya dengan pensel yang baru diasah tajam.
"Terima kasih banyak. Tak payah, okey. Bini aku boleh kerjakan mulut aku ni. Macam dia selalu buat."
Gelak ada makna plus pandangan ada maksud yang Hafidz sampaikan bila tutur kata itu buat Seri yang tak berapa nak faham mulanya, menjadi faham. Merenyam betullah Hafidz ni! Tahulah dah kahwin. Asal bercakap saja, mesti nak ada dua makna. 10 tahun jadi suami orang buatkan Hafidz jadi gatal bukan main.
"Kau ni kan! Tak malu ke cakap macam tu dekat aku? Aku tak kahwin lagi, okey. Tak patut sungguh dengar ayat lucah kau tu!" Sengaja Seri hentam Hafidz begitu. Kemudian gertak lagi. "Aku ngadu dengan Lia baru tau!"
Hafidz cebik mulut dan muka. "Sikit pun tak takut. Lia tu..." Hafidz tak habis cakap, tunjuk gigi.
"Sorry. Tak boleh cakap sebab kau tu anak dara lagi, belum kahwin lagi." Hafidz terus sengih. Nampak sangat apa dia nak cakapkan tadi sebenarnya ada sedikit unsur kelamin.
Muka Seri berubah sikit dengar apa Hafidz kata. Namun, dia sekolahkan balik mukanya ke muka biasa. Muka lali dengan kerenah Hafidz yang makin macam-macam sekarang. Tambah pula lepas dah beranak tiga kini. Hafidz masih kawan baik dia sampai kini. Kadang, hal dalam kelambu pun Hafidz terlepas cerita dekat dia.
Yang paling tak boleh Seri lupa hal Hafidz dan Genelia jumpa doktor kesuburan. Sebiji-sebiji apa doktor itu buat ke atas Hafidz dan Genelia dicerita. Sampaikan muka Seri jadi warna-warna dengar cerita itu dan hanya dihentikan selepas Genelia berjaya tutup mulut Hafidz. Kalau tak, entah bilalah Hafidz yang dah tak tahu malu ini akan berhenti.
"Terimalah pinangan tu, Seri." Dah puas menakal, Hafidz balik pada topik asal yang menimbulkan semua rapuannya sejak tadi. Pasal Opah Chik yang merajuk sebab Seri tak nak terima pinangan yang diterima kali ini.
Seri diam, main cucuk-cucuk jari dengan mata pensel yang tajam di tangan. Dia tak tahu nak cakap apa, apatah pula macam mana. Jadi, baik tutup mulut saja.
"It's been nine years, Seri. Stop pining on him. Stop hoping for him." Terus Hafidz sentuh topik yang sekian lama dia dan Opah Chik cuba elak daripada cakapkan. Semuanya demi nak jaga hati Seri.
Tapi, kalau dah selama ini dan sampai macam ini Seri punya degil dan tak nak faham, lagi baik dia sentuh kaw-kaw punya. Lantaklah kalau hati Seri rasa sakit atau luka. Memang patut pun!
Terus Seri tengok Hafidz dengan garang tanda marah.
"I'm not pining on him or hoping for him, Fidz. It's done. It's over. Aku dengan dia dah lama..." Aku geleng kepala tanda dah taka da apa-apa dengan si dia itu.
"Habis tu, kenapa buat opah merajuk? Kenapa tak nak terima pinangan ketujuh ni?" Hafidz sambung sembur. "Tahun ni kita 35 kut. Kau nak kahwin bila dah menopause?"
"Eiii, mulut kau ni kan!" Geram sangat punya pasal, di luar kawalan diri Seri campak pensel tajam ke depannya. Aci campak tanpa sempat fikir.
Tapi, mujur Hafidz sempat fikir kejadian itu mungkin boleh berlaku. Sebab dari tadi Seri duk main-main dengan pensel tajam itu. Jadi, terfikir jugalah kemungkinan Seri akan campak ke arahnya sebab geram amat. Sebab itulah Hafidz yang sengetkan badan dan muka sekali gus sempat elak mukanya daripada kena apabila pensel itu melayang ke situ, melepasi kepala kerusi dia duduki.
Mata Seri yang mulanya terarah ke depan, kepada Hafidz, ikut melepasi kepala kerusi apabila badan Hafidz menyenget ke kanan. Nak elak serangannya. Mujurlah Hafidz cekap. Kalau tak, mahu Hafidz jadi lanun bermata sebelah. Dan dia pun kenalah menjawab dengan Genelia, tiga anak mereka dan Opah Chik. Melepasi kepala kerusi di depannya, mata Seri terus nampak kemeja warna putih dengan padanan blazer royal blue.
Dan pensel bermata tajam itu tercucuk ke bahagian perut yang dari sini pun Seri boleh nampak berpetak-petak. Tercacak elok saja pada abdomen pemilik kemeja putih blazer royal blue itu. Dan, warna merah pun perlahan-lahan mula nampak.
Seri yang tersentak tengok darah mula kelihatan pada abdomen berpetak itu, terhela nafas sendiri tanpa lepas. Apabila dia angkat muka nak tengok siapa yang jadi mangsa pensel tajamnya, dengan sendirinya nafas Seri terlepas diikuti dengan jeritan paling nyaring isi pejabatnya pernah dengar.
Sebab yang sedang berdiri di depannya, berkemeja putih bertompok merah pada perut ketaknya adalah Za'ba!

2 ulasan:

Arkitek MZD berkata...

YA ALLAH..rindunya pada cerita seri & za'ba...ase nak nangis, bila jumpa blog ni..sbb dah lama cari penulis Kau Yang Bernama Seri....sobss..sobss...ada lak sambungan...oh no!!!

Arkitek MZD berkata...

Arrgghhh..tidak!!
I'm in love with this story..
Akak BNI teruskan menulis karya-karya yang hebat..
Saya akan terus menyokong dari jauh..masih dalam proses nak mencari novel2 lama akak..suka..suka..jatuh cinta..tergolek..kihkihkih...