Isnin, April 13, 2015

Princess Reborn | random #2

“Makan apa, encik?” soal seorang gadis tersenyum manis.
Gerai berdekatan hospital tempat mereka bekhidmat itu kelihatan penuh dengan pengunjung-pengunjung yang mahu menghilangkan dahaga dan lapar.

“Ha, Aiza, Ira, nak makan apa?” Izam tengok Aiza kemudian beralih kepada Nazira. Aiza duduk di sebelah Izam manakala Nazira di sebelah Aiza.
“Bagi saya nasi goreng dan Milo ais,” ujar Aiza.
“Saya pulak mi goreng dan teh ais.” Nazira tersenyum ramah.
“Nasi goreng dan Nescafe ais.” Izam angguk kepada gadis itu lalu si gadis pelayan itu berlalu.
Suasana dibungkam kebisuan. Izam tengok Aiza, Aiza pandang depan.
Nazira angkat kening pandang Aiza dan Izam yang macam laki bini lepas gaduh. Hai, apa hallah yang dua-dua senyap? Dah bisu ke hapeh! Yang si Izam pun, peluang dah ada depan mata masih nak biar. Leh, yang aku pula buat apa kat sini? Kacau daun aje. Dahlah dua-dua pemalu pahit.
“Aiza, aku nak pergi kedai buah kejap ya.” Nazira bangkit seraya berlalu.
Aiza sekadar angguk. Mulanya, dia saja nak buat beku. Saja nak diam saja dengan terus lihat Nazira yang sudah pun bergerak ke kedai buah yang hanya di sebelah gerai makan itu. Malahan, apabila Nazira sudah tiba ke gerai itu pun, sengaja Aiza nak pandang terus. Namun, hangat yang dia rasa, perasan sangat ada mata yang masih pandang dan sudah mula renung, buat Aiza tarik nafas lalu alih muka. Terus tenung wajah pemuda di sebelahnya. Ya, pemuda itu memang sedang merenungnya.
Izam senyum. Akhirnya. Mata bertaut, pandangan bertemu. Perlahan-lahan bibir Aiza sendiri mula senyum.
Hanya itu. Hanya senyum dan mereka terus diam seribu bahasa.
Apa hal kau tak nak cakap? Bukan kau ke yang ajak aku lunch? Alih-alih, bila Ira dah bagi can sikit punya baik, tak nak jugak bukak mulut. Kalau betullah kau rasa apa yang aku rasa, berterus terang ajelah. Aku tak tahanlah dengan kemaruk perasaan ni. Rindu makin buak-buak. Gaya tunggu masa nak meletup. Takkanlah aku nak mulakan dengan letupan mendadak kut. Malulah!
Isy, apasal lidah aku jadi kelu ni? Bukan ke aku ajak dia keluar sebab dah tekad nak luahkan isi hati aku kat dia? Habis tu, apa pulak yang perlu aku takutkan? Ira pun dah blah. Saja nak bagi peluang. Takkanlah nak sia-siakan peluang yang dia bagi? Tak ada alasan budak mulut kecoh mengganggu, jadi... Apakah!
“Hmm, cuaca hari ni baik, kan?” soal Izam memecah kebisuan. Eh, kenapa soalan lain pulak yang keluar? Bukan aku nak tanya soalan lain ke? Bengong!
“Ya.” Ni apa punya soalan ni? Nak jadi pengkaji cuaca ke mamat ni?
“Mmm, Aiza tinggal kat mana?” Aiseh, tak keluar jugak!
“Kat...” Kebil-kebil sekejap mata Aiza.
“Sebelah rumah Izam kan...” Aiza jawab juga. Hairan dan terfikir-fikir. Takkanlah mamat ni takut sampai lalut?
“Aaa... Ya kan...” Izam garu telinga. Double bengong!
Suasana dicengkam kebisuan sekali lagi. Pelayan tadi datang kembali, letak pesanan mereka. Sempat senyum manis ke arah Izam sebelum berlalu. Pakwe handsome oi, siapa tak tergoda!
Aiza sekadar jeling. Tercalit jugalah sedikit cemburu di hati. Tapi, cemburu yang dia boleh pendam sajalah. Sebab tak ada lampu hijau daripada lelaki yang buat dia rasa cemburu itu.
“Aiza suka jadi nurse ke?” Warming-up punya soalan dululah.
Aiza angguk. “Itu memang cita-cita Aiza dari dulu.”
“Ooo...” Kuatkan semangat kau, Izam. Takkan kau nak digelakkan oleh Izat kut? Kata nak usahakan sendiri kan. Kalau kau nak dia jadi milik kau, kau kena berani. Jangan jadi penakut!
“Sebenarnya... Izam ada benda nak tanya Aiza.” Dia renung wajah gadis itu tanpa takut. Tajam.
Aiza tertunduk seketika. Kalah pula bila diberi tumpuan penuh yang sebegini.
“Apa dia?” Nak tanya apa nama aku pulak? Atau... apa nama kucing peliharaan aku?
“Aiza, mmm... Aiza dah ada boyfriend ke belum? Maksud Izam, yang spesial.” Mak oi, terkeluar juga akhirnya soalan wajib. Nasib tak lalut dah.
Aiza sekali lagi tertunduk. Kalah dengan penangan mata Izam yang meliar, menjamah wajahnya. Aiseh. Aku pulak yang tak berani. Tadi bukan main mengata. Sekarang, dah tak terkata.
“Dah ada yang punya ya? Diam aje. Mungkin Aiza dah ada yang punya. Melepaslah Izam kan...” Izam menduga. Kemudian tubuh yang ke hadapan tadinya disandarkan pada kerusi.
“Tak... tak ada. Tak melepas! Maksud Aiza...” Hah! Lagi tak terkata! “Aiza ni tak cantik, tak ada yang nak...
“Bukan tu yang jadi ukuran dalam hubungan. Untuk Izam, Aiza cukup cantik. Kalau cantik lagi, mahunya Izam kena serangan jantung. Bahaya tau...” Izam menyakat Aiza yang sipu senyum.
“Mmm... tak berminat dengan siapa-siapa?” Izam menyoal. Berani mati punya.
Aiza sekadar diam. Takkanlah aku nak mengaku yang aku minat dia? Tak dapat faham kea pa aku rasa, huh?
Tiba-tiba Nazira labuh punggung di sisi Aiza. Gedebuk letak punggung. Kemudian dia ketuk dahi sendiri.
“Punya lama aku tinggal, baru setakat ni. Masya-Allah. Izam, bukan payah sangat nak cakap. Izam suka Aiza!” Melayang-layang tangan Nazira tunjuk geram. Penuh perasaan. Dia dah tak ada buah nak dibeli lagi di gerai buah itu. Nak beralasan macam mana lagi?
“Hah, kau pulak, Aiza. Kalau mamat doktor ni malu-malu, kau kan jururawat yang patutnya pandai merawat, tolong doktor. Tolonglah cakap I love you too, Izam.” Penuh perasaan Nazira berlagak Aiza, meluahkan perasaan kepada Izam. Kalah Juliet di pentas lakonan.
“Ira!” Aiza cubit paha temannya. Geram dengan kelantangan Nazira berbicara. Nazira tak malu, dia yang malu.
“Adui! Sakitlah!” Nazira mengaduh lantang. Siap terlompat dari kerusi sebab terkejut kena cubit.
Kesemua mata di gerai tertumpu ke wajah Nazira. Tertanya-tanya kenapa gadis itu tiba-tiba menjerit. Nazira sengih, buat lambaian tangan Miss Universe untuk tutup malu sambil duduk semula. Tapi dalam hati, dia dan Tuhan saja yang tahu. Nazira buat selamba lalu kunyah mi goreng di hadapan dengan lahap.
Izam dan Aiza ketawa geli hati melihat telatah gadis itu. Kemudian, pandangan mereka saling bertaut. Mata boleh membicarakan segalanya. Memang tepat. Itu pun selepas Nazira berjaya menjadi ‘Izam’ dan ‘Aiza’. Akhirnya, mereka menguntum senyuman paling manis. Masing-masing sudah faham isi hati masing-masing. Hanya kerana kenakalan Intan Nazira, semua terbongkar.

Memuncung-muncung mulut Nazira sambil berjalan sendirian dan kunyah buah yang dibelinya tadi. Mengunyah dalam muncung tak sudah. Protes. Tunjuk perasaan. Mulut muncung itulah sepanduk tayang tak puas hatinya.
Malangnya, pihak yang buat Nazira rasa begitu tak dapat tengok aksi mulut muncungnya. Mana nak boleh tengoknya kalau dua makhluk itu sudah pandai nak rasa mi Cintan di gerai sana. Siapa? Siapa lagi kalau bukan dua makhluk paling pemalu sebelumnya. Shy-shy cat. Sudahnya... apabila isi hati dia dah cungkil, apabila dia dengan lagak ngerinya berani jadi ‘Izam’ dan ‘Aiza’, dia disisihkan begitu sahaja. Shy-shy cat jadi mau-mau kat... Izam mau kat Aiza, Aiza pun mau kat Izam.
Hisy, gatalnya dua orang tu!
Mengunyah dalam muncung, terus Nazira hentak-hentak kaki melalui lot parkir pelawat di situ, nak mulakan tugasan yang akan bermula 20 minit lagi. Namun, langkah kakinya terhenti sebaik saja perasankan tubuh seseorang. Seseorang yang dia baru kenal dan agak-agak tak cam mukanya.
Berdiri sambil kunyah buah ciku dengan mulut juih-juih, Nazira tilik si gadis berseluar jean dan memakai blaus lengan panjang labuh ke lutut, terbelah kiri dan kanan. Sebaik gadis itu tutup pintu kereta Kancil itu lalu alih tubuh, melihat kepada Nazira, barulah Nazira bersuara.
“Kak Hani?”
Hanizatul yang tunduk saja pegang kuat beg tote pada bahu, kemaskan dan ketatkan pegangannya, sentak sekejap. Henti terus langkah kaki cepat-cepat yang dia nak atur. Tergam pada satu tempat sambil angkat muka lihat empunya suara yang berdiri tak jauh di belakang Kancil putihnya.
“Ira?” Terkelip-kelip mata Hanizatul. “Eh, Ira buat apa kat...”
Terdiam Hanizatul sebaik saja perasankan muka kelat-kelat muncung sambil kunyah buah oleh Nazira. Terus dia tergelak dengan gadis yang tiga tahun muda daripadanya itu. Berkat informasi emaknya, yang sejak awal dulu asyik sua hal salasilah keluarga Puan Mawarni ke telinganya. Semangat nak berbesan dengan kawannya itu dan berkenankan sangat anak lelaki kawannya itu. Untuk dia.
Cuma sekarang...
Spontan gelak-gelak Hanizatul menyepi. Memikir itu, hati yang jadi uja berubah jadi masam kelat. Sejak semalam, begitulah dia. Dan, disebabkan dia begitu, emak pula jadi begini. Begini yang berjangkit sama dengan begitu.
Emak sangat terkesan dengan apa menimpa sampaikan emak yang dijangka keluar semalam, masih ditahan di wad di sini sesudah berpindah ke hospital ini atas keprihatinan pak ciknya. Kalau tak sebab adik bongsu emaknya memaksa, mungkin saja wanita itu mahu pulang dan berkeluh-kesah di rumah, sampai jatuh sakit semula.
“Apa yang Kak Hani buat kat sini?” tanya Nazira kerut dahi sambil muncung mulut selepas kunyah buah.
Hanizatul mula sedar. Dia sudah terlalu jauh melayang kenang hal semalam. Yang mungkin saja sudah jadi silam mula hari ini. Paling tak buat Naziman. Hanizatul pasti. Lalu, Hanizatul tumpu sepenuh perhatian kepada adik Naziman. Nazira yang belum jadi hal silam kerana Nazira masih menegurnya. Kalau Naziman, mahunya menonong saja blah serupa tak nampak dia. Walaupun nampak, buat-buat buta dengan mata yang celik.
Aduhai, Hani, siuh jauh-jauhlah Naziman tu. Tumpukan kepada Nazira!
“Mmm, mak Kak Hani pindah masuk sini semalam. Dia patutnya keluar semalam, tapi...” Hanizatul buat rupa tak ada hal sambil jongket dua-dua bahu.
“Pak su Kak Hani kerja sini. Dia yang uruskan mak Kak Hani masuk sini semalam. Kak Hani balik sekejap tadi, ambik barang,” sambung Hanizatul, senyum sikit.
Nazira angguk-angguk. Perasan sangat pada perubahan wajah Hanizatul sekejap tadi. Namun, gadis yang matang sikit daripadanya itu jelas cuba buat biasa, serupa tak ada apa. Disebabkan Hanizatul nak tunjuk tahan diri sebegitu, Nazira ikut saja rentaknya. Ikut buat tak ada hallah. Tangan sua buah ciku terakhir dalam paket ke mulut, mengunyah sambil muncung-muncung.
Hanizatul ketawa spontan. Tak boleh tahan dengan muncung itik comel Nazira, sambil mengunyah. “Ira, apa hal yang muncung sangat dari tadi ni?”
“Patah hati. Hatiku kuciwa.”
“La... Siapa pulak dah kecewakan Ira sampai termuncung-muncung gini?” Hanizatul atur kaki hampiri Nazira yang terus berdiri di belakang Kancilnya.
Nazira terus buat muncung-muncung itik.
“La, anak dara ni. Duk merajuk kat tengah panas ni pulak.”
Suara yang kedengaran buat Hanizatul alih sikit muka. Terus nampak empunyanya. Seorang lelaki kacak yang tinggi lampai serupa anak kacukan. Sungguh kacak. Kemudian mata beralih pula ke gadis di samping, yang ketika ini sedang terjenguk-jenguk nak curi tengok Nazira yang masih termuncung-muncung. Dah ada gaya orang merajuk tak sudah dah Nazira tu. Gadis di sisi lelaki itu, untuk mata Hanizatul, orangnya cukup cantik. Sangat padan. Jika mereka ini pasangan, memanglah sungguh bagai cincin dan permata.
“Alah, Ira, janganlah merajuk. Si doktor nilah...” Aiza hampiri Nazira, berdiri di kanan dan terus paut bahu kiri Nazira dengan tangan kirinya. Tangan kanan pula cepat saja cuit mulut muncung sekejap ada sekejap tak ada kawan baiknya itu.
Nazira peluk tubuh, terus dengan semangat merajuk, muka pandang ke kirinya.
Aiza ketawa perlahan dengan gelagat merajuk manja penuh mengada Nazira. Selamba dia tunduk muka sedikit lalu cium pipi Nazira.
Besar mata tak sebesar mana Izam tengok aksi itu.
Hanizatul senyum tipis bila perasankan reaksi Izam yang begitu. Namun, akhirnya senyum berubah jadi ketawa bila lihat aksi Nazira.
Selamba, hilang muncung sekejap ada sekejap tak ada, Nazira langsung lari tinggal Aiza dan berdiri di depan Izam yang masih peranjat. Nazira bawa kedua-dua ibu jari tangan ke pipinya kemudian dikembangkan ke atas ke bawah, siap menjelir lidah. ‘Menghina’ secara langsung. Kemudian selamba berjalan ceria sambil bersiul gembira.
Izam nganga sambil pandang Aiza dan gadis yang tak diketahui namanya itu, yang sudah berkongsi ketawa. “Did she just insult me?”
Aiza dan Hanizatul berkongsi pandang kemudian sama-sama tengok Izam, angguk-angguk.
Muka Izam garang, tak percaya. Akhirnya, perlahan-lahan rautnya menjernih dan melembut. Ada tenang dan senyum mula menitip. Dia tertawa kecil. Lucu. Tambah apabila nampak Nazira yang sudah berjalan ke depan sambil melenggang lenggok dengan lagu Patahlah Hati, penuh klasik.
Nazira jenguk belakang sekejap kemudian sengih suka. Dia masih menjuarai takhta hati Aiza. Cewah!
Elok paling depan, terus Nazira nampak Fahmi, sedang berdiri tanpa kot putihnya, pandang antara dia dengan Izam di belakang Nazira. Dari arah lelaki itu berdiri, Aiza dan Hanizatul tersorok daripada pandangan dek pokok-pokok hiasan sekitar kawasan lot parkir, untuk tujuan mengindahkan dan meredupkan suasana.
Hi, doc.” Nazira menyapa sambil lambai mesra, terus tunjuk senyum cantiknya.
“Hai.” Fahmi hampiri Nazira yang sedang berjalan ke arahnya.
“Awak bergaduh dengan Doktor Izam ke?” soal Fahmi apabila dia dan Nazira bertembung dan berdiri di satu tempat.
“Ada nampak rupa orang marah ke?” Nazira unjuk muka ke arah Izam yang sedang ketawa serupa orang suka kena kutuk.
Fahmi ikut pandang. Terus dia sengih. Sebab Izam nampak macam orang hilang waras. “Habis, yang hangat satu macam tadi tu kenapa? Muka Doktor Izam macam nak cari gaduh dengan Ira. Macamlah Ira rampas Aiza...”
“Lebih kuranglah. Hehehe.”
Fahmi berkerut dahi. “Dah jadi ke dia orang?”
Nazira jongket-jongket kening ikut giliran. “Berkat keberanian life saya.”
Nazira mula bangga-bangga sambil kembangkan hidung mancung muncungnya. Mancung muncung, definisi abangnya. Sebab hujung hidungnya bulat gaya ada butang. Macam hidung Sofea Jane, kata Aiza pula.
Fahmi angguk-angguk dan pandang semula Izam. Sudah habis gelak hilang waras, namun sengih gatal satu macam masih ada. Ke satu arah. Dan, ketika itulah Fahmi sedar ada orang lain di sudut kiri Izam. Fahmi arahkan leher ke situ. Terpandangkan Aiza, dia mula faham. Kawannya itu sudah single but not available. Terperasankan seorang lagi di samping Aiza, terus dia bersuara, “Hani?”
Hanizatul ke hadapan sedikit, bersama Aiza. “Eh, pak su!”
Nazira terkejut sambil pegang dada dengan paket buah, lihat Fahmi dan Hanizatul seketika. “Pak su?”
“A’ah. Tak percaya, kan? Tapi tulah... saya ni pak cik Hani.”
Nazira separuh nganga sambil fikir. Maknanya, kalau jadilah... kalau jadilah... Abang akan ada pak cik yang nak sama umur dengan dia? Nazira fikir, fikir dan sudahnya... Spontan dia mengekek macam orang tengah sakit perut sebab banyak makan ciku.
Izam, Aiza, Hanizatul dan Fahmi hanya boleh lihat. Tak faham.

Tiada ulasan: