Jumaat, April 10, 2015

Princess Reborn | random #1

Berdiri di depan bilik itu, Izam merenung tanda nama yang tertera. DR. MOHD FAHMI HJ. ABBAS. Hmm, jadi inilah bilik Fahmi? Izam ketuk pintu.
“Ya, masuk.” Terdengar suara dari dalam.
Izam pulas tombol lalu segera masuk.

Di balik dinding sana, jauh dua bilik dari bilik Fahmi, terbongkok-bongkok dua orang gadis. Nazira sudah stunt elok di atas lantai manakala Aiza sedap saja melepak di atas belakang badan Nazira. Ops hendap kecil-kecilan.
“Dia dah masuklah, Aiza,” ujar Nazira masih terbongkok separuh badan di balik dinding dengan kedua-dua lutut dan telapak tangan melekap elok ke atas lantai.
“La... Tak dapatlah aku nak tengok dia.” Aiza terkilan. Terus dia tegakkan tubuh dan bersandar pada dinding.
Aiza tak ada semangat. Nak sangat dia usyar doktor baru yang diperkatakan oleh kawan-kawannya sejak tadi. Kalau tak sebab ramai mengacum-acumnya rugi dan Nazira penuh ia kata mamat itu kacak kalahkan Tom Cruise dan Michael J. Fox, kedua-dua pelakon dia sangat suka, tak adanyalah Aiza nak terlibat dengan operasi menghendap ini.
Ajaran Nazira. Ajaran sesat. Dah tahu sesat pun buat juga! Jadi, Aizalah yang sesat!
Nazira dah malas nak bangun sesudah terkelepek sejak tadi. Gara-gara nak tunjuk betapa kacak dan tampannya jejaka yang baru melapor diri ke hospital mereka. Doktor baru yang buat dia bulat mata melihat sewaktu terhendap-hendap di bilik pentadbiran, apabila terdengar ayat, “Saya datang nak lapor diri. Saya Doktor Izam, akan mula bertugas di sini mulai hari ini.”
Bila dah terpagut rasa saya-hendak-tahu-siapa-anda, terus Nazira menempek di balik dinding di bahagian pentadbiran. Separuh badan balik dinding, satu mata balik dinding. Selebihnya luar dindinglah kan. Jadi, dia mulakan adegan sekodeng. Ternganga mulut tengok Doktor Izam sampai separuh mulut yang balik dinding tercium dinding. Tak pasal-pasal ada kesan merah jambu di situ.
Dia sangat kagum melihat doktor baru itu. Sebabnya hanya dua. Cutenya lebih daripada Michael J. Fox (tak termasuk tinggi). Kacaknya lebih daripada Tom Cruise (termasuk tinggi).
Bila Nazira kagum begitu, sebab doktor muda itu melepasi dua manusia yang kawan baiknya bangga dan gila sangat, terus dia ikut langkah lelaki itu (sesudah kalut-kalut lap comot lipstik merah jambu pada dinding dengan tangan). Sebab waktu itu rasa nak tahu Nazira sangat terpancing.
Lagipun, Nazira nak jadi orang pertama yang tahu hal itu dan sebarkan kepada kawan-kawannya yang lain. Nak terus pegang title telinga lintah serta minah busybody kena tempat yang diletak ke atasnya. Maintain busybody, babe!
Sudahnya, Nazira mengekor terus lelaki tinggi lampai itu. Melihat dan menilik terus. Dengan fail pesakit di tangan, dia buat-buat rajin melihat sambil berjalan. Kadang di belakang doktor tampan itu, ada waktu dia potong doktor itu, jalan di depan.
Ada sekali dia brek tanpa bagi signal. Dah ada perlanggaran apabila doktor tersebut tidak perasan. Menjegil mata Kak Hazimah, salah seorang staf pentadbiran yang membawa doktor itu ke bilik pengerusi dengan gelagatnya. Kak Hazimah tahu dia sengaja nak begitu. Dilanggar dan terlanggar. Supaya boleh bersua muka dengan doktor muda itu.
Memang berjaya!
Doktor itu terus pegang bahunya, tolong imbangkan tubuh Nazira yang genit dan kecil, daripada terhumban ke dinding. Mujurlah tak jatuh cinta masa itu. Dan, dua kali mujur tak jual hati kepada doktor itu apabila bertentang mata dan bermain pandang. Gila handsome sangat!
Sudahnya, Nazira hanya terangguk-angguk tanda okey kepada doktor yang sah-sah berdarah kacukan itu. Malah, bila Kak Hazimah berlalu bersama si dia dan Kak Hazimah sengaja menjegil garang kepadanya yang terlekat pada dinding, dia lupa terus nak balas dengan sengih tak ingat. Nazira terpukau sangat.
Tapi, bila sedar daripada pukauan itu, laju Nazira lari di kaki lima itu, ke bilik rehat jururawat. Nak menyampai punya hal. Kata nak maintain busybody!
Dan, sebabkan itulah Nazira terduduk di atas lantai waktu ini lepas penat dengan operasi menghendap yang tak berjaya. Hampa tiada dalam hati Nazira, tapi dia tahu di hati Aiza ada. Tengok muka sebek itu pun dia sudah tahu. Nazira juga tahu Aiza bukan hendak tengok sangat pun doktor baru itu sebab dia tampan atau kacak. Sebaliknya Aiza nak tengok betulkah doktor baru itu lebih tampan dan kacak daripada pelakon-pelakon kesukaannya itu. Nak nilai dengan mata sendiri!
“Alah...” Aiza mengeluh lagi dengan adegan mulut juih-juih ke depan.
Nazira yang melihat dengan leher meninggi ke atas, memandangkan Aiza berdiri dan dia duduk, sembunyi sengih. Kemudian berkata, “Itulah... Lambat lagi! Nasib baik aku sempat tengok dia tadi. Fuh, handsome gila! Kalah Tom Cruise. Muka dia... lagi cute daripada J. Fox tu. Alah, memang lagi hebatlah daripada dia orang!”
Nazira seronok menyakat. Tahu Aiza terkilan sebab tak sempat melihat wajah doktor baru itu. Dan, dia sengaja api-apikan rasa itu. Biar Aiza terbakar sampai sanggup buat apa saja untuk dapat lihat. Sebab dia baru dapat idea baik punya!
“Kau ni, Ira... Aku sedih tau!” Aiza cubit geram bahu temannya yang selamba menyilang kaki, bersila di atas lantai. Menyenget dia cuba dapatkan bahu Nazira sebab gadis itu sengaja larikan bahu.
Hai, Ira, nampak dek Kak Pipah kau tengah buat kenduri duduk macam ni kat sini, mahunya dia denda kau cuci tandas. Kalau tandas staf okey lagi, ini tandas awam yang digunakan oleh pengunjung hospital tersebut. Kak Pipah memanglah sangat suka buat denda kalau mereka pandai-pandai langgar peraturan. Memang wanita yang berusia 41 tahun itu garang. Tapi, bertempat. Sebab, walaupun kuota kena denda Nazira paling tinggi, namun kuota sayang kamu untuk gadis itu juga sama tinggi daripada wanita itu. Marah-marah sayang. Dengan Nazira, belum ada siapa pun boleh marah-marah sungguh.
Nazira tak ambil kisah walaupun dicubit dengan penuh perasaan oleh Aiza. Gosok-gosok macam buang benda atas bahu, dia terus berdiri di samping Aiza. Menyengih-nyengih sambil angkat kening. “Aku tau... Sebab tulah aku nak bagi tau kau satu idea.”
“Apa ideanya?” Beria-ia pula Aiza soal. Siap tolong sapu-sapu bahu Nazira. Bahu yang dia cubit tadinya, walaupun dia tak rasa dia ada sakitkan Nazira yang lebih tulang daripada isi. Kurus keding.
“Kau nak tengok dia, kan?”
“Ya. Tapi, kan dia dah masuk? Nak tengok macam mana? Takkan nak ngendap balik bilik tu kut!”
“Betul. Tepat sekali. Tulah yang akan kita buat sekarang!” Itulah idea yang difikirkan Nazira tadi.
“Bernas tak?” Nazira mengerdip mata suka.
“Gila kau! Tu dah bernas tahap nanas!” Aiza melopong.
“Alah... Kata nak tengok! Kalau nak, jom!” Nazira buat muka tak kisah dan tak peduli. Terus dia tarik lengan temannya. Mahu Aiza mengikut saja tanpa mula fikir segala kemungkinan yang boleh atau mungkin berlaku.
Memanglah apa-apa boleh berlaku. Yang penting, jangan fikir dulu. Gaya pemikiran Nazira yang selalu Aiza tak setuju. Tapi, dah dalam keadaan begini, Aiza turutkan saja bila Nazira tarik pergelangan tangannya, berdua melangkah perlahan-lahan ke bilik Doktor Fahmi. Langkah Nazira penuh yakin. Langkah Aiza sarat agak-agak.
“Boleh percaya ke ni? Aku takutlah, Ira.” Aiza tiba-tiba genggam erat tangan Nazira apabila ia mahu pegang tombol pintu yang tertera nama DR. MOHD FAHMI HJ. ABBAS. Dia telan liur. Gulp!
“Relaks... Jadi punya!” Nazira buat tak kisah dengan gemuruh Aiza. Gila gemuruh sampaikan tangannya yang dipaut oleh tangan Aiza ikut bergoyang. Ketar macam Aiza juga. Menolak tangan Aiza, perlahan-lahan pintu bilik Doktor Fahmi dibuka. Nazira pastikan tiada bunyi terdengar.
“Nah, tengoklah...” bisik Nazira tahap di dalam kelambu malam pengantin.
“Macam mana?” soal Aiza macam orang bodoh. Sama perlahan.
“Menghendaplah!”
“Tapi... nanti Doktor Fahmi...”
“Tak ada hallah. Aku kan ada? Kau tengok, biar aku berjaga-jaga sebagai mak jaga.”
Aiza kemam bibir. Takkan aku nak buat macam tu? Tapi, kalau aku tak buat, macam mana aku nak tengok muka dia, yang dikata lebih cute daripada Michael J. Fox, lebih kacak daripada Tom Cruise tu? Lantaklah! Apa nak jadi pun jadilah! Aiza tunduk membongkok, melihat di balik celahan pintu yang terbuka agak-agak ngam sebelah mata nak sekodeng.
“Nampak tak?” soal Nazira perlahan. Dia berdiri di hadapan pintu, tegak, sedikit depan daripada Aiza. Memeluk tubuh dengan muka saya-tak-buat-salah-pun, melihat sekelilingnya. Kalau-kalau ada yang lalu-lalang.
Aiza tutup pintu kembali. Hati-hati. Kemudian dia tegak badan di sebelah Nazira, yang terus menyerbu pandang kepadanya.
“Nampak tak?” Nazira ulang soalannya.
“Nampak... Tapi belakang aje.”
“La... Buat teruk aku aje tau.” Memuncung mulut Nazira tunjuk perasaan teruknya.
Aiza tayang muka kebajikan. Minta dihulur simpati.
Dan, dalam aksi yang begitulah tiba-tiba pintu bilik itu dibuka.
Nazira dan Aiza kaku di muka pintu. Tak sempat hendak buat apa-apa. Sudahnya, perlahan-lahan kepala dipaling ke muka pintu. Daun pintu luas terkuak, tubuh agak lampai milik Fahmi di situ, berpeluk tubuh, menjongket kening. Tersenyum kepada mereka. Mereka pula hanya boleh membalas senyum itu.
“Ha, Ira, Aiza. Tak ada kerja?” soal Fahmi merenung kedua-dua gadis itu, terus dengan senyum. Lucu tengok senyum kejung macam kena sepit pipi kiri dan kanan dengan sepit baju daripada dua gadis beruniform merah jambu itu. Dah tahu buat salah dan kantoi punya pasallah tu.
“Ada. Mmm... kami tengah buat kerjalah ni,” ujar Nazira tersenyum. Ke atas ke bawah tangannya diayun. Aksi I tak ada buat salahlah...
Aiza terus pandang Nazira. Biar betul minah ni. Takkan dia nak cakap kut? Mampus dia kalau Nazira cakap. Dengan Nazira sekali dua kali mampus sebab Nazira otai ops yang gagal ni!
“Sebenarnya...” Nazira kumam ayat. Sebenarnya apa, hah?
“Hah!” Penuh semangat tangan Nazira yang menggoyang tadinya melekap. Menepuk elok di depan muka Fahmi sampai muka lelaki itu sedikit terkebelakang. Terkejut atau nak jaga muka yang agak kacak, Nazira tak boleh tebak.
“Hah, kami tengah jaga-jaga kat sini. Manalah tau kalau ada pesakit yang pengsan. Ha, nanti glamorlah hospital kita. Dapat masuk paper ke, TV ke. Sebab kita pro dalam bekerja. Tu kan dapat naikkan nama baik hospital kita. Berkhidmat sebelum ada yang parah. AMC jugak yang glamor,” sambung Nazira menyengih tanpa kena sepit.
Fuh, selamat! Aiza lega dalam diam. Pandai jugak si Ira ni kelentong. Tak apalah, tipu sunat. Walaupun alasan tu agak... Mmm, kira bolehlah daripada tak ada.
Fahmi senyum. Kedua-dua gadis itu memang nakal dan banyak akal. Terutama sekali Nazira, gadis yang peramah dan sentiasa riang ke sana ke mari. Payah benar nak lihat wajah ceria itu mencuka, kecuali kalau dia marah atau merajuk. Itu pun sekejap saja. Kata Nazira, merajuk atau marah dengan dia, sangatlah tidak sinonim. Dan, Fahmi mengakuinya.
“Mmm... yang kat dalam tu doc yang baru ditukarkan ke sini ke, Doktor Fahmi?” soal Nazira mencuri pandang ke dalam bilik. Menjengket-jengket hendak lepasi ketinggian Fahmi yang masih berdiri di muka pintu biliknya.
Aiza ikut curi tengok. Manalah tahu kalau-kalau boleh nampak wajah doktor baru itu. Lagipun, dia lebih boleh curi tengok banding Nazira yang ketot. Dah dapat lihat, tidaklah dia dikata ketinggalan lagi. Malangnya, lebih sikit tinggi daripada Nazira pun tak ada gunanya. Dia hanya nampak kelibat lelaki itu sahaja. Tapi, hmm... dari belakang pun nampak maco!
“Eh, mana Ira tau?” soal Fahmi agak hairan. Setahunya berita itu tak disebarkan. Hanya bahagian pentadbiran saja yang tahu.
Namun, seketika saja hairannya itu kerana Fahmi dapat mengagak bagaimana gadis itu tahu. Ini sah kes menghendap si Izam dari tadi. Kalau Nazira dah tahu, teruslah dia akan ambil tahu sampai ke sudah. Busybody hospital ini kan. Tapi busybody spesies baik punya. Hal yang perlu dan Nazira mahu tahu saja. Sah, Izam sejak awal tiba sudah jadi mangsa sekodeng gadis lincah ini. Ira, Ira...
“Biasalah...” Nazira menyeringai. Siap keluarkan bunyi hehehe lagi kemudiannya.
“Pantas sungguhlah Ira ni.” Fahmi ketawa kecil.
“Takkanlah tak nak kenalkan kami dengan dia?” Nazira masih tak mengalah untuk bersemuka dengan doktor baru itu. Yalah, jengket asyik tak lepas. Kut dia rajin nak kerabat Doktor Fahmi, nampaklah. Tapi, kang heboh satu AMC pula. Tak pasallah!
“Yalah, yalah. Saya tau Ira tak akan puas hati selagi tak jumpa dia sendiri.” Fahmi menembus tubuh melalui celahan pintu. Masukkan separuh tubuh lalu Izam digamit. “Mari aku kenalkan kau dengan dua orang cik adik manis ni.”
Temannya itu hampiri Fahmi. Dia tersenyum mesra kepada Nazira. Gadis genit ini. Dia ingat sebab orangnya rendah, hanya paras dadanya. Dan, sebab mereka berlanggar gaya filem Hindustan tadi. Yang seorang lagi pula...
Eh, rasanya macam kenal saja awak tu. Matanya tertumpu terus ke wajah Aiza. Menilik dan mengkaji. Sah, memang dia! Kalau aku taulah dia kerja kat sini, dah lama aku mintak tukar. Kut sekarang dah ada anak dua. Hisy, gatalnya aku. Baru Izam sedar, dia pun ada gen ulat bulu naik daun macam Izat.
Nazira melambai-lambai tangan di hadapan wajah Izam. “Helo... helo... Masih kat sini lagi?”
Kemudian sengaja pula Nazira mengelip-ngelipkan mata betul-betul depan muka Izam. Siap letak kedua-dua tangan yang dikepal di bawah dagu.
“Ah... Ya, ya. Kenapa?” Izam sedikit sentak. Baru sedar diri.
“Ops... Sorry kalau ganggu doktor layan perasaan. Hmm, sebenarnya nak pesan. Jangan pandang lama-lama, nanti saling jatuh cinta.” Nazira selamba nyanyi ikut rentak lagu Sweet Charity. Terkenyit-kenyit mata menyakat.
Aiza cubit halus lengan temannya. Geram. Malu. Kalau bukan doktor pujaan hati, satu hal. Ini doktor ‘pojaan’ hatiku, berhal-hallah. Malu memuncak, geram memarak.
Nazira mengaduh, gosok-gosok lengannya yang terasa sengal. Nak bunuh orang ke minah ni? Tadi cubit, sekarang cubit. Asyik dia saja terbabit!
“Sakitlah!” Mencerun Nazira kepada Aiza. Siap buat bunyi menderam lagi.
“Tahu pun! Yang kau memandai tu pasal apa?” marah Aiza geram.
Nazira cebik bibir.
“Eleh, orang cakap yang betul pun nak cubit. Aku bagi tau rahsia tadi baru tau,” ugut Nazira tersengih.
Sudah... Jangan! Malu aku kang depan dia! Nanti mesti dia bagi tau kat adik dia dengan Aunty Rina. Eii, tak sanggup aku!
“Eh, tak, tak... Aku tak marah...” Luas sengih Aiza sambil gosok-gosok lengan Nazira yang tadi jadi mangsa ketam batunya.
Tersenyum Nazira dengan gelagat Aiza. Nak tutup lubang punya pasal, manja kemain.
“Tau takut.” Nazira berbisik kepada teman itu seraya kenyit mata. Suka nak kenakan Aiza.
“Hei, tak baik berbisik depan kami tau. Apa pun... Hah, Izam, aku kenalkan pada kau gadis paling nakal dan bermulut becok kat hospital ni.”
“Ooo... Aaa... Yang mana satu?” soal Izam pandang Nazira dan Aiza selang-seli. Namun, dia dapat agak. Sekejapan bersama pun dah boleh buat dia meneka.
“Tu... yang dari tadi cakap tak berhenti tulah. Mulut tak pernah ada brek.” Fahmi memuncungkan bibir ke arah Nazira. Selamba.
Nazira jelir lidah. Fahmi sengih, tak ambil hati. Dah memang gaya itu Nazira yang dia kenal.
“Okeylah, aku nak buat rounds. Aku pergi dulu ya, Izam.” Fahmi menutup daun pintu biliknya seraya angkat tangan kepada Izam. Junior satu tempat belajar dengannya. Dan kini, mereka punya pertemuan semula.
Kemudian Fahmi lihat Nazira dan Aiza. Kedua-dua gadis yang elok dengan pakaian seragam hospital mereka. Sut skirt berwarna merah jambu lembut bawah lutut dengan stoking kaki tutup penuh sepasang kaki. Uniform rasmi para jururawat AMC. Pada kepala masing-masing pula nurse cap elok terpin, juga warna merah jambu lembut. Aiza dengan rambut pendek gaya potongan Cleopatra paras telinga, disisir elok. Manakala rambut hitam berkilat Nazira disanggul kemas dengan rambut depan menutup dahi.
“Mmm, kau orang ni pulak, jangan nak curi tulang tau,” ujar Fahmi menunjuk-nunjuk jari telunjuk ke arah kawan baik berdua itu.
Yes, doc!” Nazira angguk dengan dua jari pada kening kanan. Saluting!
Fahmi senyum dengan telatah gadis itu. Nazira jika dilihat mata, taklah secantik Aiza. Antara teman berdua ini, rupa tentulah menang Aiza. Kalau ada lelaki yang lihat mereka jalan bersama, pasti mata akan menyerbu terus kepada Aiza. Namun, wajah biasa-biasa Nazira itu penuh kelembutan. Wajah itu wajah keibuan. Dan, takkan ada siapa sangka di balik wajah itu tersembunyi kenakalan yang begitu menghiburkan. Kelembutan wajah itu dan kenakalan gadis itu boleh tambat hati siapa saja dengan senang. Nazira kalau dikenal, memang ramai lelaki beratur untuk jatuh suka.
Malah, diam-diam Fahmi sendiri selalu jatuh suka kepada Nazira. Tak boleh nak tidakkan rasa itu. Namun, Fahmi tak jatuh cinta, kerana cintanya sudah diraih gadis lain lebih awal. Dan, kekasihnya sendiri tahu dia jatuh suka kepada Nazira berulang-ulang, kerana Anna ikut jatuh suka dengan keletah Nazira di balik pertemuan tak seberapa dalam hubungan jarak jauh mereka.
Perangai Nazira yang keanak-anakan dan happy go lucky menyebabkan Fahmi menyayangi gadis itu seperti adik sendiri. Nazira adalah peran yang menghiburkan isi hospital ini. Terus senyum, Fahmi berlalu.
“Jomlah, Aiza. Nanti merungut pulak member-member lain sebab kita tak ada kat nurse-station.” Nazira tarik lengan Aiza.
“Mmm, cik pergilah dulu. Saya ada sesuatu nak cakapkan dengan kawan cik ni,” ujar Izam seperti menghalang Aiza daripada berlalu.
“Ada apa-apa ke?” usik Nazira melihat antara Aiza dengan Izam. Dia menyiku Aiza yang diam sedari tadi sebab ikut terkejut dengan halangan Izam. Sudahnya Nazira jongket kedua-dua bahu.
Anyway, I’m Intan Nazira. Panggil aje Ira.” Nazira tegakkan kelima-lima jari tangan kanan setinggi bahu, gedik-gedikkan ia serupa lambaian salam kenal.
“Hai, Ira.” Izam senyum mesra, menanti gadis itu pergi. Tapi, si manis itu tak ganjak dari tempatnya. Berdiri saja dengan kedua-dua tangan saling bersilang di belakang badan, merenungnya seolah-olah sedang menanti. Tunggu apa pulak ni?
“Mmm, ya...?” Izam soal terus.
“Takkanlah saya aje nak kenalkan diri. Macam mana dengan doktor?”
Ooo... sorry, sorry. Saya Mohd Izam Effy, tapi panggil saya...”
“Doktor Izam,” potong Nazira mengerdip mata.
“Okeylah. Jangan sampai hilang kata bila berdepan dengan cik adik ni ya.” Nazira selamba menyiku manja Aiza. “Okay, bai-bai.”
Melambai mesra, Nazira meninggalkan Izam dan Aiza berdua di situ. Berlari anak sambil menjingkit-jingkit gaya skipping dan menyanyi kecil suka hati.
Tersenyum Izam dan Aiza memerhati. Kemudian, mata Izam dan Aiza bertembung. Spontan Izam mengeluarkan suara. “Dia memang macam tu?”
Aiza angguk cuma. Terkulat-kulat lihat segala arah, tapi bukan hadapannya. Sebab di depannya sedang berdiri tubuh lampai yang mula buat hatinya tahu main dram semenjak kali pertama melihat paras itu. Terintai-intai dia curi tengok apabila Izam punggah barang dari dalam kereta, ketika hari pertama berpindah kembali ke rumah keluarganya. Lepas itu, sekali lagi sekodeng cik abang ini basuh keretanya.
Bisu. Begitulah suasana antara mereka seketika. Akhirnya Izam mengalah. Tahu tanggungjawab buka mulut dan bersuara jatuh ke bahunya. Lagipun, sampai bila nak berdiam diri begini? Salah seorang perlu mengalah.
“Rasanya saya pernah tengok cik...” Sengaja Izam bungkam di situ.
“Aiza.”
Wajah yang sama, nama yang serupa. Tak mungkin pelanduk dua serupa. Kut ya pun pelanduk dua serupa, takkanlah dengan nama dan rupa sekali gus.
“Cik Aiza tinggal di Taman Cahaya Purnama, kan?” Akhirnya Izam tanya soalan yang nak sangat dia tanya sejak awal tadi.
Aiza angguk kemudian selamba berkata, “Kat sebelah rumah doktorlah.”
Itu pun tak tahu ke? Yang hari-hari kau duk usyar tu akulah! Takkan anak katak kut?!
Bercahaya sakan mata Izam, kalah Taman Cahaya Purnama. Jadi, dialah... Memang dia! Ada peluanglah ni!
Kalau tak nak cakap, jangan bazirkan masa aku! Apa punya lelakilah! Kat rumah pun dia tak berani nak tegur. Asyik buat kepala bangau aje. Hah, dah tumpang ada peluang ni, gunalah! Itu pun tak! Soal entah apa-apa punya soalan. Heh! Aiza masukkan kedua-dua tangan ke dalam poket baju seragam.
“Tak apalah ya. Saya ada kerja. Mintak diri dululah.” Terus Aiza nak berlalu. Namun, terhenti dengan tegahan tegas daripada lelaki di hadapannya.
“Sekejap!”
“Ada apa, doktor?” Aiza kembali berhadapan dengan lelaki itu. Kedua-dua tangan masih di dalam poket kanan dan kiri uniform. Malas-malas mahu.
“Izam. Panggil saya Izam aje. Boleh saya panggil awak Aiza?”
“Ikut suka Izamlah. Ada apa-apa lagi, dok... mmm, Izam?” Aiza cuba untuk tunjuk selamba. Sedang tangan di dalam poket sibuk tergenggam dan terbuka ulang-ulang untuk jauhkan gemuruh. Kasi siuh jauh-jauh!
“Mmm... bila kita boleh jumpa lagi?” Izam melurut-lurut belakang kepala.
Terkebil sekejap, Aiza sudahnya senyum. Rasa comel pula aksi serba tak kena Izam yang melurut-lurut rambut belakang begitu. Rambut yang keperangan sebagaimana adiknya. Cuma adik lelaki itu sudah tukar stail rambut sejak-sejak kebelakangan ini. Membela. Dan, Izam nampak kacukan, sedang adiknya nampak lebih kepada mat salih.
“Kita kan satu hospital. Bila-bila pun boleh. Okeylah, saya mintak diri dulu.” Aiza terus berlalu tanpa menunggu balas kata. Malu...
Izam tutup mulut, tapi bukan mata. Membesar tengok Aiza berlalu begitu saja. Bila-bila pun boleh? Apa maksud dia? Ah, lantaklah! Asal aku dapat tengok muka dia tiap hari sudah. Kat rumah dapat, kat sini pun dapat! Wau, rezeki, rezeki! Izam berlalu pergi dari situ, bersama sengih yang tak boleh nak putus. Joker pun boleh kalah tau!

Tiada ulasan: