Rabu, Mac 18, 2015

Princess Reborn | tujuh

Nazira tongkat dagu dengan kedua-dua siku sambil tengok ibu dan kakaknya, Intan Nazila, yang sedang conteng-conteng pada satu kertas yang sama dengan dua warna pen berbeza. Sekejap orang tu tulis-tulis kemudian orang ni potong-potong, tulis lain pula. Lepas itu boleh pula main tarik-tarik kertas, balah sambil geleng-geleng kepala lepas cakap mulut tak dapat kerjasama.
Nazira mengeluh perlahan. Ini pasallah dia angkat bendera putih siap-siap apabila ibu dan kakak ajak dia bertiga-tiga dalam capai kata sepakat dalam jemputan untuk kenduri abangnya. Kenduri yang belum jumpa tarikh lagi pun. Yalah, minggu lepas baru jumpa tarikh untuk ditunangkan. Aduhai, ibu. Alahai, kakak. Over!
Tarikan rambut lurusnya yang ditocang tinggi sampai kepalanya tersentak ke belakang buat Nazira geram menyeru, “Abang!”
Tak payah nak tengok-tengok ushar-ushar, tahu dah pun. Abang dia saja yang suka cari nahas dengannya gaya itu. Dia tampar-tampar kasar dan kuat-kuat tangan Naziman. Bibir terketap penuh semangat, dia cubit pula. Apabila abangnya alih tangan dan gelak-gelak, dia rampas tangan kekar abangnya itu dan gigit penuh geram jari tangan Naziman. Aci sempat, tapi penuh perasaan balas dendam.
Auch!” Naziman mengaduh kuat sambil goncang-goncang jari Nazira tokak gaya Drakula nak darah orang.
Puan Mawarni dan Nazila yang duduk berdua dengan kepala macam nak melekat, terpisah dua kerusi daripada Nazira di meja makan itu sama-sama angkat kepala. Mereka pandang antara Nazira dan Naziman.
“Ayang?” soal Puan Mawarni gaya mahu tahu apa telah jadi.
Nazira sebek muka sambil sentuh kepala dan gosok-gosok. Ini gaya dia kena buli dan mahu dipujuk kecil-kecil dulu.
“Ibu, abang buat...” adu Nazira dengan suara minta kasihan. Juring mata macam dah basah-basah.
Naziman arahkan bola mata ke atas. Mula dah lakonan anak manja dia.
Nazila kepung mulut dengan dua-dua tangan, sembunyi gelak. Sebab tahu sangat apa akan jadi kalau Nazira dah sua muka itu. Dia dan Naziman tahu sangat itu lakonan, namun ibu mereka, kecil sampailah umur Nazira dah 22 tahun kini, masih membeli.
Memanglah terbeli!
Puan Mawarni sudah angkat punggung, campak pen dan kertas dia lawan tarik sama Nazila tadinya. Terus Puan Mawarni dapatkan Nazira yang sedang duduk di kerusi sambil usap-usap kepala dengan mulut sebek, dongak muka tengok Puan Mawarni. Air mata masih acah-acah hujung mata.
“Alah, sayang ibu...” Puan Mawarni paut pipi Nazira kiri kanan lalu tarik wajah Nazira rapat ke dadanya dan ditepuk-tepuk lembut ubun kepala anak daranya itu. Memujuk.
Besar mata Naziman tak dapat terima kenyataan. Tambah tak dapat terima kenyataan bila balik dada ibu, Nazira jelir lidah kepadanya. Geram sebab ibu kena tipu siang-siang, Naziman sua jari hantunya saja ke depan muka Puan Mawarni yang terus pujuk Nazira yang sangatlah overdose dengan adegan mengada gediknya. Naziman pun nak juga mengada gedik.
Lalu, dengan suara mengada gedik copy paste Nazira, tanpa air mata acah-acah dekat mata sebab dia tak tahap terror begitu, Naziman bersuara, “Ibu...”
“Hisy! Apa mencarut depan muka ibu ni!” Naik dua darjah suara Puan Mawarni apabila Naziman sua jari tak patut di depan mukanya. Tak cukup dengan itu, dia gigit geram jari anak terunanya itu.
“Ibu! Ibu, sakitlah. Sakit, ibu!” Menari-nari entah tarian apa Naziman di situ sambil cuba tarik-tarik manja jarinya. Tarik tak berapa nak manja karang dia juga yang sakit.
Nama saja ada adik kerja jururawat, tapi bukan nak dirawat dia pun. Sebaliknya jadi sebab dia perlu terima rawatan—kalau ibu tak lepas-lepas juga jarinya yang ibu gigit gaya sosej masa ini. Tadi anak Drakula, ini emak Drakula. Confirm Nazira bukan anak tiri ibu. Dia kena tipu hidup-hidup selama ini rupanya!
Nazira ketawa girang, duduk bersila, tepuk-tepuk tangan sambil lihat adegan kinja-kinja abangnya yang jarinya masih digigit si ibu. Gaya macam budak kecil dapat tengok Road Runner zaman kecil-kecil dulu. Ibu si Road Runner comel bijak sedang kenakan si anjing hutan tak berapa nak cerdik yang dipanggil Coyote. Ketawa Nazira semakin kuat, tambah seronok. Siap terangkat-angkat kiri kanan pahanya yang bersila. Tepuk tangan pun berkepuk-kepuk gaya sambut pengantin bunyinya.
Puan Mawarni pandang Nazira yang sudah tunjuk muka ceria. Jeling saja sebab dia masih gigit jari hantu Naziman sambil secara tak langsung ikut tarian entah apa-apa Naziman. Terus Puan Mawarni lepas jari hantu Naziman dan seenak muka tak buat dosa, dihampiri balik Nazira. Bahu Nazira dipaut penuh sayang. Anak itu balas pandangannya dengan rasa yang berlipat ganda lagi.
“Sekarang dah happy?” tanya Puan Mawarni kemudian tunduk kucup dahi Nazira.
“Mmm...” Angguk-angguk dengan senyum kembang bak bunga di taman.
“Ibu memang the bestlah!” sambung Nazira seraya peluk pinggang Puan Mawarni ketat-ketat, letak pipi ke perut itu. Perut yang tidak melahirkannya, namun beri dia kasih sayang yang mungkin ibu kandungnya sendiri tak daya beri.
“Bukan macam abang! Wek!” Nazira lepas pinggang Puan Mawarni lalu jelir lidah kepada Naziman yang sedang hembus-hembus jari hantunya gaya cedera parahlah sangat. Gedik! gerutunya dalam hati.
Puan Mawarni senyum lihat gelagat Nazira dan Naziman yang sedang bertelagah pandang masa ini. Lawan mata siapa boleh keluar soket mata gayanya. Kemudian dikerling Nazila yang masih gelak-gelak lucu dengan gelagat abang dan adiknya. Sungguh senang hati dapat hiburkan diri.
Intan Nazila, walaupun anak keduanya, sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya sendiri. Sudah pun beranak satu dan dengar-dengar pula sedang berusaha keras untuk dapatkan anak kedua. Dengan gembiranya, tambah Nazila masa cerita kepadanya, di sebelah suaminya yang tersipu-sipu malu.
Imad Naziman, anak bujangnya yang sulung, sesudah beria-ia tolak anak gadis itu, anak perempuan ini, sudahnya diikat hati oleh anak dara kawannya sendiri. Memanglah Hanizatul itu cantik dan lemah lembut orangnya, namun gadis-gadis sebelum ini pun tak kurang lawannya. Takkanlah dia nak kenalkan anak bujangnya dengan budak tak cukup sifat kut. Dia pilih yang terbaik—Muslimah, rupa, peribadi.
Tapi, entah bagaimana Hanizatul binti Hamdan itu pula yang dekat di hati Imad Naziman.
Mata dah kenan, hati dah gemar, jadi dia sebagai ibu nak apakan lagi. Tambah bila anak teruna yang ia-ia tak nak berkahwin selagi kerjayanya tak kukuh itu kini mula fikir pasal nak beristeri sambil kukuhkan kerjaya. Terima sajalah dengan hati dan dada terbuka. Sudah tu, Hanizatul bukan gadis biasa-biasa atau luar biasa dia tak kenan. Dua kali terima dengan hati dan dada terbukalah dia. Syoknya nak dapat menantu perempuan. Yippi!
Puan Mawarni pandang Nazira lama. Giliran ayang dah tiba dan ibu akan carikan menantu akhir paling yummy untuk ayang. Sebab ayang kan anak ibu yang yummy! Hehehe.
“Okeylah. Ayang dah happy-happy, ibu pun nak happy-happykan dirilah,” ujar Puan Mawarni melenggang ke arah singki.
“Eh, ibu nak pergi mana? Tak siap lagi ni.” Nazila angkat kertas berconteng warna-warni gaya cakar ayam anaknya yang dua tahun lebih suka buat. Dikibar-kibar.
“Kejaplah. Nak samak mulut ni.” Selamba Puan Mawarni tunduk dan kumur-kumur mulut di singki itu.
Nazira dan Nazila saling berpandangan kemudian lihat Naziman yang sudah pegang dada kiri dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi pegang kerusi. Paut gaya akan terlurut jatuh kalau tak buat begitu. Punya terkesanlah dengan ibu sendiri.
Nazira dan Nazira galak gelak.
“Ibu, sampainya hati ibu. Oh, ibu...” Naziman pegang dada dengan gaya hatiku dihancurkan ibu, tunduk muka.
Puan Mawarni yang sudah habis berkumur alih batang leher, pandang Naziman.
“Abang kenapa? Nak masuk Exists?” Selamba dia tanya dan selamba pula dia kesat bibir. Belum sudah samak rupanya.
“Ibu ni, tak patut tau. Dahlah jari abang cedera parah. Ni ibu cederakan hati abang pulak. How could you...” Naziman cebik-cebik mulut gaya saya-sedang-sungguh-kecil-hati-oh-ibu.
“Eii, gedik sangatlah abang. Dah pandai mengada eh sekarang dia, ibu,” komen Nazila bangun daripada duduk lalu hampiri kerusi Nazira duduk. Dia berdiri di tempat ibunya berdiri tadi. Elok saja dia berdiri di situ, Nazira terus peluk pinggangnya dengan sebelah tangan. Nazila usup ubun kepala Nazira kemudian lihat Naziman.
“Huh!” Naziman merengus, berdiri tegak. Tak tunjuk muka Devdas dah. Baju-T kasual pada tubuhnya dibetul-betulkan. Dia mencerun kepada Nazira dan Nazila, bergilir-gilir.
Dua adiknya itu kongsi gelak rahsia kemudian buat gaya berbisik-bisik. Nazila bisik ke telinga Nazira, Nazira angguk-angguk. Lepas itu Nazira pula bisik-bisik lalu Nazila pula angguk-angguk. Sepanjang itu mata kedua-dua adiknya itu asyik curi-curi tengok dia. Ingat Naziman pendek akal akal ke nak termakan? Saja-saja aje adik-adiknya itu. Macamlah dia tak tahu. Taktik dari zaman Nazila tadika dan Nazira kecil tak faham benda. Dua orang itu berbisik kosong saja. Lepas angin! Konon-konon mereka ada rahsia dan Naziman tak akan tahu rahsia itu. Heh, ada dia kisah!
“Abang tak gedik dan mengada sebelum ni sebab tau tak ada orang nak pujuk,” ujar Naziman sengit kemudian jeling Puan Mawarni yang sudah melenggang balik dekati mereka.
Puan Mawarni buat muka naif saja, dapatkan kelompok anak dara dan tak. Dia pun ikut permainan soksek, soksek Nazira dan Nazila. Bisik-bisik kemudian jeling Naziman. Bisik lagi, jeling lagi.
Naziman merengus kuat. “Hisy, malaslah nak layan orang suka anyam ketupat sebelum raya ni. Dahlah. Abang nak pergi kepada yang sudi... pujuk abang. Goodbye, my family!”
Gaya Mr. Romeo nak jumpa Juliet, Naziman tundukkan sedikit badan lalu terus dapatkan pintu dapur untuk keluar.
“Hei, hei, budak merajuk nak dipujuk. Jangan selalu sangat nak jumpa anak dara orang,” tegur Puan Mawarni membuntuti langkah Naziman.
“Anak dara tu yang sanggup bayar denda kenakan abang kat hospital hari tu, ibu. Anak teruna ni terima ajelah.” Naziman kenyit mata nakal.
“Dah seminggu kut abang suruh dia. Ibu dengan ayang pun komplot jugak. Lagipun, ibu yang jadi perancang utama. Apasal tak denda ibu dengan ayang jugak?”
“Buat apa. Mana best.” Naziman ketawa-ketawa nakal pula.
Puan Mawarni piat manja cuping telinga Naziman yang gelak-gelak saja. Puan Mawarni lepas lalu senyum. Lapang sangat hatinya melihat bahagian ini pada Naziman. “Sampai bilanya dia nak kena bayar tu?”
“Ibu, ni hal rumah tanggalah. Mana boleh bilang.” Naziman berdiri di luar muka pintu sebaik sarungkan kasut lalu cium pipi ibunya geram. Hormon gedik dia masih overdose rupanya!
Memang pun dia jadi lain macam sejak mula jumpa muka dengan Hanizatul. Dia sendiri perasan. Kata ibu, sebab dia dah jumpa sebahagian daripada dirinya. Bahagian yang lebih melengkapkan dia. Kata dia pula, alhamdulillah dan insya-Allah.
Naziman lambai mesra Puan Mawarni yang masih setia berdiri di muka pintu dapur, lihat kereta yang dipandunya berundur keluar dari garaj dan menghilang pergi.

Tiada ulasan: