Ahad, Mac 08, 2015

Princess Reborn | lima

Kereta Charade Aura milik Nazira meluncur laju masuk ke kawasan parkir hospital yang dikhaskan untuk tetamu dan staf. Memandangkan Nazira bukan siapa-siapa yang ada pangkat atau kepentingan besar di hospital ini, hanya jururawat biasa-biasa yang kekal comel (nak masuk juga tu!), makanya tiadalah parkir khas untuk dia. Malah, yang kurang comel lebih cantik macam Aiza, Fauziah, Widuri dan Chawi pun tak ada. Kut Kak Pipah mereka yang comel lagi cantik pada usia 40-an itu, adalah. Hehehe.
Nazira terus pandu perlahan, ke kiri kanan arah batang leher. Misi mencari kotak kosong. Isy! Kenapalah parking lot penuh sangat hari ni? Agaknya hari ni ramai yang sakit tak? Tapi, kalau ramai yang sakit, aku jugak yang susah. Mesti banyak kerja. Dah tu, kena parking jauh-jauh pulak. Isy, leceh betul. Bilalah aku nak ada kotak parking sendiri ni? Hmm, kena mula ushar cucu pengarah hospital ni. Sah bukan satu, tapi 10 pun aku dapat. Cewah, Ira, tak agak-agak tamak haloba!
Kereta terus dipandu perlahan. Manalah tahu kalau ada yang masih kosong. Kiri kanannya dipandang. Tercangak-cangak cari petak yang masih tak berisi. Emak burung kasawari pun kalah. Ha, ada pun! Gear dimasukkan, signal diberi.
Tiba-tiba sebuah Toyota Celica merah berhenti di situ. Masuk elok ke kawasan parkir yang Nazira cop dulu!
Nazira terus brek mengejut, terkebil sendiri telan lega tak berlanggar. Tapi, sekejap saja. Hilang terkejut, memuncak marah Nazira. Cis, tak guna! Bukannya senang nak dapat tempat parking masa ni. Ingat aku bakal cucu menantu pengarah hospital ke. No way! Kali ini aku mesti tuntut hak aku. Aku yang nak masuk dulu tau. Dah siap cop pakai signal pun! Grr!!!
Kelihatan seorang pemuda kacak keluar dari perut kereta merah tersebut. Muka tak ada dosa saja di mata Nazira yang angin satu badan. Nazira terus keluar, hentak pintu kereta sendiri lalu hampiri pemuda tersebut, yang sedang bergerak ke arah dia.
Sorry ya, saudara. Saya baru aje nak letak kereta saya kat situ, tiba-tiba pulak saudara masuk.” Marah-marah pun, Nazira masih ajar diri untuk sabar dan menegur seelok yang mungkin. Dia jururawat kut... Ni hospital kut...
Izat tengok gadis di depan. Balik kaca mata Ray Ban yang dipakai, dia dapat lihat wajah itu dengan jelas. Okeylah. Nampak lembut saja. Kemudian mata merendah, ke bawah perlahan-lahan. Gadis itu sepertinya berseragam merah jambu, ditutup dengan kardigan ringkas berwarna putih. Rambutnya panjang melepasi bahu, tidak diikat atau disepit. Dibiar begitu sahaja, beralun-alun. Dan setiap kali rambut itu beralun sentuh muka sebab angin, setiap kali itulah si manis berwajah mencuka itu tak agak-agak tolak sakan rambut sendiri daripada tutup muka.
Izat angkat pandangan akhirnya. Amboi, princess mana yang sesat kat Melaka ni? Dia akui wajah itu tampak menarik dengan keayuan yang asli, tanpa secalit solekan mencemar. Tapi, sesudah belek dan tiliklah, baru nampak ayu itu. Nampaklah muka ala princess di mata.
“Oi, saudara! Saya cakap dengan saudaralah!” ujar Nazira mula hilang sabar. Sebagaimana garangnya bercakap, segarang itu juga dia menolak rambutnya yang beralun nak tutup wajah. Rambut ni pun, tak tahu ke dia tengah marah. Gigit kang!
Izat senyum. Amboi, garang jugak. Nampak saja lembut, tapi boleh tahan menyinga.
“Eh, senyum pulak dia! Hei, saya cakap dengan awaklah, bukan tiang letrik tau.” Tertuding-tuding dia ke arah tiang elektrik terdekat.
Izat pandang tiang elektrik kemudian Nazira.
“Awak ni bisu ke apa, hah?” marah Nazira terus, geram menjulang-julang. Dah tak boleh nak tunjuk muka jururawat dah. Sakit tahap tak boleh rawat dah ni!
Amboi, minah ni! Kurang diajar pulak dengan aku.
“Maaf, cik, rasanya tak ada tertulis nama awak kat sini.” Izat tertinjau-tinjau ke petak parkir yang dia sudah isi.
“Dan, siapa cepat, dia dapat. Understand?” Izat tarik kaca mata, sengih nakal lalu kerdip mata.
Nazira ketap bibir bawah, geram. Ingat comel sangatlah muka tu! Bertambah-tambah panas hati Nazira di bawah terik matahari. Terus dia bentak apa dia rasa. “Awak tak patut buat macam tu. Saya ada kerja tau tak. Saya yang nak masuk dulu tadi. Tiba-tiba saja awak parking kat situ.”
“Saya malas nak layan awaklah. Ada kerja yang lebih penting nak saya selesaikan.” Izat terus berlalu. Apa punya perempuan daa!
Nazira hentak-hentak kaki geram. Setan, tak guna!
“Woi, harapkan muka aje handsome. Perangai hampeh! Pirah!” Sakan dia angkat-angkat kaki gayang menendang. Tendang angin pun jadilah.
Izat paling. Minah ni gila ke hapeh! Sayang, muka nampak okey, tapi mental rupanya. Dia terus melangkah, kembali pakai kaca mata. Malas nak layan orang gila. Buang masa. Dia terus ke bilik Izam. Tujuan asal.

Pintu dengan nama DR. MOHD IZAM EFFY Izat ketuk.
“Masuk.”
Izat pulas tombol. “Hoi. Buat apa?”
Izam segera panggung kepala pandang adiknya. Pemuda itu sengih seperti kerang busuk. “Cubalah bagi salam dulu, Izam. Ni tak. Hoi-hoi.”
Izat menyeringai. “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”
“Waalaikumussalam,” jawab Izam seraya menutup fail pesakit di atas meja.
Izat terus labuh punggung bertentangan dengan Izam. “Abang, ada tak orang gila terlepas keluar dari sini?”
“Orang gila? Wad untuk orang gila pun tak ada kat sini, Izat, inikan pulak orang gila. Tapi, kenapa pulak Izat tanya macam tu?” Izam sedikit hairan dengan adiknya. Masuk-masuk terus tanya pasal orang gila. Kena sampuk gila ke apa adik aku ni?
“Tadi Izat ada jumpa seorang awek. Orangnya boleh tahan tertarik jugaklah Izat nak tengok. Tapi sayang, otak tak betul. Mental rupanya.” Izat selamba pusing-pusing jari telunjuk di tepi kepala.
Izam ketawa geli hati. Ini sah ada yang tak kena. Jerat tak mengena kut, itu yang geram sangat sampai kata gadis itu gila. “Ada-ada ajelah Izat ni.”
“Banyak kerja ke? Izat ingat nak ajak abang makan.”
Sorrylah, Izat. Abang dah makan pun tadi. Lagipun abang tengah sibuk ni. Banyak kerja pulak hari ni. Abang kena cover member. Bagi tau mummy yek. Mmm, Izat ajelah yang pergi makan. Okey?”
Izat buat muka budak merajuk. “Ingatkan nak makan dengan abang hari ni...”
“Lain kalilah.” Izam senyum. Tahu sangat adiknya itu saja nak umpan dia supaya dipujuk. Kecil sampai besar, asyik dengan taktik itu.
“Ha, kalau Izat lapar sangat, Izat boleh makan kat kantin atau gerai dekat-dekat sini aje. Kantin sini makanan dia sedap-sedap. Orang datang melawat pun tak rasa nak balik. Ha, macam mana?” umpan Izam, juga faham macam mana nak kawal adiknya itu.
“Izat makan kat kantin ajelah kalau gitu. Malas nak keluar pulak. Lagipun, dah abang kata sedap kan. Hurm, kat mana kantinnya?”
“Amek lif, keluar aje, terus sebelah kiri. Kemudian kanan dan kiri. Akhir sekali ke sebelah kanan.”
“Tunggu, tunggu! Keluar lif, kiri, kanan, kiri?” Izat meminta kepastian. Takut-takut tersesat pula dia.
“Ya, cepat tangkap!” Izam angguk.
“Tapi jangan ikut jalan tu. Keluar lif, terus aje. Depan tu adalah.” Izam ketawa-ketawa. Suka dapat kenakan adiknya yang selalu suka kenakan dia. Tukar giliran.
“Hisy, orang tua ni!” Mencerun Izat sambil angkat punggung.
“Dahlah. Izat pergi dululah. Malas nak kacau orang sibuk.” Izat bangkit daripada duduknya, sempat buat muka kepada Izam yang masih gelak-gelak suka.

“Hai, Ira. Apasal lambat?” soal Chawi, gadis keturunan Siam yang fasih berbahasa Melayu. Dia renung Nazira yang hempas punggung di sisi Widuri. Dengan rambut serabai dan kardigan putih masih pada tubuh.
Memang selalunya Chawi tengok Nazira lepas rambut begitu. Masuk bilik rehat jururawat barulah Nazira akan sanggul kemas. Cumanya, tak pernah pula dia tengok Nazira berambut serabai begini. Terkebil sekejap dia pandang muka nak makan orang ditunjuk Nazira kepadanya.
“Aku jumpa orang tiga suku tadi!” Nazira kepal kedua-dua tangan di atas meja. “Eii, menyusahkan hidup akulah!”
Tak guna punya mamat. Sebab dia aku terpaksa parking kereta jauh-jauh. Eii, sakitnya hati aku. Membara ni! Terus Nazira buka kardigan dan capai sekeping kertas dari beg galas belakangnya. Entah kertas apa jadi mangsa. Lantaklah. Dijadikan kipas sementara untuk surutkan panas dalam dan luar. Sesekali rambut dikirai-kirai untuk hilangkan panas dirasa.
“Kenapa? Orang tiga suku tu buat apa kat kau?” Fauziah berminat.
“Argh, malas nak cerita. Menyakitkan hati aku aje! Meluatnya! Perangai macam set... Tak, macam syaiton... Eii!” Nazira menggigit-gigit bibir tahan geram, sebelah tangan kipas diri, sebelah lagi kirai rambut.
“Okeylah, okeylah. Tak paksa dah. Aiza mana? Tak nampak pun.” Fauziah masih ajukan soalan.
“Syif pagi.”
“Ooo... Hei, apa kata kalau kita pergi shopping? Awal lagi ni. Lagipun, sekarang ada sales,” cadang Fauziah.
“Idea yang baik tu. Jom,” ujar Widuri yang senyap sedari tadi mula uja.
“Kita pergi nak?” Chawi tenung wajah Nazira. Bercahaya-cahaya mata dengar perkataan sales.
Nazira pandang wajah temannya satu per satu. Kipas sementara dia letak di atas meja lalu getah rambut hitam pada pergelangan tangan dikeluarkan dan mula ikat longgar rambut panjangnya sambil menysoal, “Kau orang nak pergi ni ada duit ke tak?”
“Alah, kita window shopping aje,” kata Widuri.
“Hah, yalah. Mula-mula window shopping, lepas tu I nak tengok windowlah. Dah tengok-tengok window, sudahnya beli. Lepas tu, bila dah rabak baru nak menyesal. Mula nak buat kira-kira bulanan.” Nazira mendengus lembut, biar sahaja rambut tebalnya diikat satu ke sisi kanan bahu. Dia faham sangat dengan perangai teman-temannya itu. Tiga-tiga kaki shopping. Hantu. Tak boleh percaya punya!
“Yalah, yalah. Kau menang.” Chawi angkat kedua-dua tangan, mengalah akhirnya. Malas nak bertekak dengan gadis yang paling muda antara mereka itu. Lagipun, apa yang dikata Nazira itu ada benarnya.
“Mmm, Ira, malam ni aku tumpang kau ya. Boleh, kan?” ujar Widuri.
“Aku pun,” sampuk Chawi.
“Okey aje. Tapi, hulur-hulurlah,” ujar Nazira dengan nada bergurau sambil gamit-gamit tangan. Minta hulur, mengacah.
Teman-teman Nazira sekadar senyum. Tahu sangat mereka dengan perangai gadis itu. Kononnya hendakkan huluran. Bila disua, Nazira dulu-dulu tarik muka sebab mereka berkira dengannya.
“Ha, Gee, kau tak nak tumpang sekali ke?” Nazira kerling Fauziah. Sengaja soal walaupun sudah ada jawapan.
“Tak payahlah. Azman datang ambik aku malam ni.” Fauziah sedikit malu-malu, tunjuk gigi.
“Ini yang boring bila dah ada boyfriend. Mesti tak ingat kawan punya.” Nazira jebik-jebik mulut, simptom rajuk-rajuk.
“Ira, takkan tu pun kau nak merajuk kut? Kau tak suka ke aku ada boyfriend?” Fauziah mula gusar-gusar.
Nazira gelak-gelak. “Taklah. Hisy, kau ni... Main-main ajelah. Bahagia tengok kawan-kawan ada boyfriend. Dulu aku dengan Aiza aje kosong. Sekarang Aiza dah satu, aku jugak kosong. Tapi, aku gembira untuk kau orang.”
“Habis, kenapa cakap macam tu?” soal Fauziah. Ada nada terasa dalam soalannya itu.
“Dia merajuk dah, merajuk dah...” Nazira sengih. Dia menyelesakan duduk pada kerusi panjang yang boleh isi tiga tubuh. Di bahagiannya duduk Widuri dan di sebelah Widuri kosong. Manakala Fauziah dan Chawi duduk berhadapan dengan mereka.
Widuri dan Chawi senyum. Sudah biasa sangat dengan kenakalan Nazira. Ada saja modal nak mengusik.
“Sekejap ya.” Nazira menegakkan duduk, berdeham.
“Aku mendoakan agar kau bahagia, di samping si dia, insan yang kau suka...” Nazira menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Kumpulan Lestari, penuh perasaan.
“Kau ni jahatlah!” Ke depan tubuh Fauziah cuba memukul lembut lengan gadis itu.
“La... Cuba kau orang tengok. Orang mintak yang elok pun dia nak pukul.” Nazira mengelak daripada dipukul manja Fauziah lalu ketawa-ketawa lagi.
Widuri dan Chawi ketawa perlahan sedangkan Fauziah sudah duduk kembali dan hanya senyum malu.
Wo... merah muka dia...” Nazira masih mengusik, acu-acu jari telunjuk ke arah Fauziah di depannya.
Ketawa mereka terburai. Hingar-bingar suasana kantin itu seketika. Fauziah sendiri ikut tergelak dengan sikap Nazira.
Nazira duduk, senyum lalu kerling tiga teman rapatnya sesudah Aiza.
Fauziah renung wajah manis Nazira. Tenang. Hatinya selalu tenang bila tengok raut itu. Sejak kali pertama jumpa muka lagi. Mereka mula baik semenjak Nazira mula bertugas di hospital ini. Sebelum itu, dia, Aiza, Chawi dan Widuri hanyalah rakan setugas. Kenal biasa, tegur biasa. Tak rapat mana pun. Namun, selepas datangnya Nazira, hubungan yang tiada, jadi wujud. Mereka berlima jadi geng lima belangkas.
Itulah kata Kak Pipah yang sudah pandai main mata dengan Nazira sejak awal kali jumpa. Sebab Nazira ada saja nak buat nakal. Kata Kak Pipah lagi, Nazira ni ada gaya otai buat jahat sangat. Lepas itu mandrem Kak Pipah guna muka naifnya, minta dimaafkan.
“Wau!” Tiba-tiba Widuri jerit kecil, terkeli-kelip mata lihat ke satu arah.
“Hoi. Apa halnya dengan kau ni? Tiba-tiba aje jerit. Kena sawan ke?” Nazira terus sentuh dahi temannya itu. Manalah tahu kena demam panas tiba-tiba. “Tak panas pun. Kau sakit kat dalam ke?”
Widuri angguk-angguk, masih pandang arah yang sama. “Jantung aku nak terjatuhlah!”
“Jatuh? Mana? Mana? Biar aku tolong tahan.” Nazira mula buat aksi hendak tahan benda jatuh.
Widuri tampar-tampar geram tangan Nazira yang mengenai dadanya. Konon nak tahan jantungnyalah tu! Padahal ambil kesempatan!
“Tulah.” Widuri sudahnya menuding ke arah dia tengok sejak tadi. Kepada seorang pemuda kacak yang sudah pun melangkah masuk ke ruang kantin.
Nazira, Chawi dan Fauziah alih pandang serentak ke arah yang ditunjuk Widuri.
“Wau!” Chawi dan Fauziah turut terjerit kecil. Tak boleh kata lebih.
Terus Chawi, Widuri dan Fauziah wau menengok si kacak tampan yang kian ke hadapan langkahnya. Berkemeja kosong warna ungu pastel, dua butang atas terbuka, tali leher yang macam direnyuk masuk ke dalam poket seluar (kerana isinya terjelir sedikit), kaca mata hitam tersangkut pada poket baju dan lengan baju panjang yang disingsing ke siku. Gaya pejabat yang jadi kasual. Mengancam habis!
Ditambah pula lelaki itu ada darah Inggeris yang sangat ketara. Kalau dikata saudara kepada Doktor Izam, hero terbaru hospital yang tampan dan baru berpunya itu pun mereka percaya. Sekali pandang, semacam. Berkali pandang, tambah-tambah mengancam sampaikan hati jadi terancam. Nasib tak jatuh cinta!
Nazira ikut pandang dan tak sempat-sempat, tak tahan-tahan, dia lepas rengus kasar. Budak tiga suku ni rupanya! Heh, buang masa saja kau orang berwau-wau! Main wau lagi bagus!
“Dia ni Melayu ke mat salih?” soal Chawi spontan.
“Entahlah,” jawab Widuri dan Fauziah serentak dengan gaya tengah termimpi-mimpi.
“Yang kau orang semua tengok dia macam tu, kenapa? Macam tak biasa tengok orang,” gerutu Nazira.
Handsome!” ujar mereka bertiga serentak dan serentak kepala terteleng satu macam. Tergoda yang sangat.
Handsome?” Nazira tengok Chawi, Widuri dan Fauziah serupa mereka sudah hilang akal kemudian pandang pula pemuda tersebut, yang semakin mengatur langkah ke hadapan, mendekati meja yang mereka duduki.
Eh, memang pun. Sangat kut. Tak perasan pulak aku lepas sakit hati tadi. Tapi... “Heh! Kalau muka handsome, tapi otaknya tak betul, buat apa?”
“Otak tak betul?” soal Fauziah kebil-kebil peranjat.
Angguk.
“Maksud kau dialah orang tiga suku yang kau...” Widuri tak sempat sudahkan kata bila Nazira pantas angguk-angguk.
“Kesiannya dia. Muka cukup siap, otak pulak tak cukup siap. Aduhai...” Wajah Chawi berubah, jatuh kasihan ke atas nasib yang menimpa pemuda itu.

Izat terus melangkah kemudian arahkan mata ke sekitar kantin itu. Kiri kanan. Mak oi, ramai juga orang kat sini ya. Masih melihat-lihat, mata Izat akhir sekali terarah kepada sekelompok gadis-gadis yang memakai pakaian jururawat, serba merah jambu. Itu pun dia tahu selepas perasan pada jururawat-jururawat yang berpapasan dengannya sepanjang dia hendak ke sini tadi.
Izat perasan sangat, sesekali mata-mata yang mengisi meja itu terarah kepadanya. Izat sekadar senyum. Sudah biasa dengan situasi begini. Dia kan barang panas. Mmm, cun-cun juga dia orang. Kalau dapat tangkap satu, kenyang wa cakap lu!
Izat atur kaki semula. Tanpa ragu, terus tuju ke meja itu. Apabila tambah hampir barulah Izat perasan akan satu daripada emapat tubuh di situ, dia baru saja lihat seketika tadi. Eh, kalau tak salah aku, tu budak perempuan tadi. Eh, yalah! Orang gila tadilah! Apa dia buat kat situ? Ah, lantak! Bukan minah tu pun heroin ini cerita. Aku sebagai hero, tak iktiraf!
Izat kerling tiga gadis cantik manis yang lain sambil teruskan langkah. Mmm... sambil menyelam minum air. Sambil-sambil aku nak jamu selera, baik aku ayat salah seorang daripada yang ada. Cantik-cantik apa. Izat hampiri gadis-gadis tersebut.
“Assalamualaikum. Tak jawab berdosa.” Senyum manis Izat hulur. Senyum manis yang selalu goda gadis-gadis manis.
“Waalaikumussalam. Mengurat lagi berdosa,” ujar Nazira bersahaja, tajam macam tusukan pisau. Mulutnya mengerekot kunyah karipap yang sejak tadi ada di atas meja. Aci balun tanpa oder.
Izat mertenung gadis tersebut. Rasa marah menjalar dalam diri. Rasa dipermain. Dan, rasa diri kalah.
“Cik adik, saya bukannya nak mengurat cik adik. Setakat muka cik adik ni, bila-bila saya nak saya boleh dapat tau. Lainlah kawan-kawan cik adik yang manis-manis dan cantik-cantik ni, yang mana satu peratus pun tak ada kat awak bahagian cantik manisnya,” sindir Izat kembali, senyum lagi.
Namun, Nazira tak bodoh dalam menilai senyum manis menggoda tadi dengan senyum manis memerli yang ini. Dia tahu nak beza. Wajah Nazira merah. Tak guna! Kau ingat kau boleh terlepas daripada aku? Aku akan kenakan kau balik. Tengoklah! Terketap-ketap bibir Nazira sambil makan karipap.
Izat terus berlalu tanpa peduli betapa merahnya raut Nazira. Dia sekadar jeling, lihat wajah gadis itu yang mencuka. Izat senyum. Perasan sangat kan!
“Mmm, Ira, kau kata dia tiga suku. Tapi, aku tengok dia okey aje.” Chawi sedikit hairan. Terus pandang lelaki yang sudah berlalu itu. Jalan macam biasa, cakap pun macam biasa. Gaya muka siap, otak pun siap.
“Dia memang tiga suku. Syaiton... Tak guna!” Nazira ketap bibir, renyuk kertas yang jadi kipas sementara tadinya. Lupa langsung pada budi ia. Hatinya sakit, jiwanya geram. Tambah pula dia dimalukan di hadapan teman-temannya. Dia yang sedia rendah, direndah-rendahkan begitu. Grr!!!
“Mana kau tau?” soal Widuri pula, polos. Tiada niat lain selain hendak tahu.
“Tak percaya sudah!” Sengit Nazira berkata lalu bangkit dan terus berlalu. Meninggalkan teman-temannya yang termangu. Jaga kau, mamat! Aku akan kenakan kau balik!

Tiada ulasan: