Ahad, Mac 29, 2015

Princess Reborn | lapan

“Ira, temankan aku pergi fon kejap.” Fauziah tarik lengan teman Nazira dengan lagak manja.
“Kau nak call siapa, Gee?” soal Aiza jeling Fauziah sambil betulkan tulang-temulang. Siap silang dua tangan diangkat tinggi sambil goyang badan kiri kanan. Lepas lenguh.

Hari ini dia ganti syif Chawi yang ada hal kecemasan. Kecemasan bagaimana dia akan soal siasat nanti. Tapi, bila Chawi dah tahap menangis, meminta sangat kefahaman dia, Aiza ikutkan saja. Itu pasal penat sangat.
“Buah hatilah tu, siapa lagi,” cebik Nazira. Faham sangat dengan teman-teman yang sedang lemas di medan percintaan. Sehari tak dengar suara, tak jumpa, boleh mati. Gayanyalah.
“Jomlah...” Fauziah terus menarik lengan teman Nazira sambil lompat setempat.
“Hisy! Yalah, yalah. Karang nangis kang, teruk pulak aku nak memujuk. Aku pergi ya, Aiza,” ujar Nazira sambil bagi ciuman terbang ke arah Aiza kemudian paut lengan Fauziah dan melangkah berdua. Fauziah melangkah, dia skipping.
Aiza senyum tengok gaya jalan Nazira. Ira, Ira...

“Eh! Tu pakwe hari tu, kan? Yang kau kata tiga suku tu?” Fauziah menuding ke arah seorang pemuda di hadapan.
Nazira tengok pemuda itu. Oh, kau rupa-rupanya. Well, well, well... Hehehe. Nilah peluang aku. Jagalah kau, mamat tiga suku. Aku akan kenakan kau balik. Dia sengih nakal.
“Kenapa tiba-tiba aje kau sengih, Ira?” Fauziah hairan.
“Hari tu kan dia kenakan aku. Hari ni aku akan kenakan dia balik.”
“Jangan cari pasal, Ira.” Fauziah serba tak senang.
Izat yang sedang berjalan lurus, kian hampir dengan Nazira. Gadis itu ditenung dari atas ke bawah. La... terlepas lagi ke orang gila ni?
“Mmm, saudara, zip awak terbuka tu. Jaga-jaga, nanti barang awak jatuh pulak,” ujar Nazira selamba bila berselisih dengan pemuda tersebut. Pemuda yang hari ini berpakaian serba kasual banding hari dia jumpa sebelum ini.
Wajah Izat bertukar merah. Spontan matikan kaki, tak fikir banyak, zip seluar jeannya diraba. Takkan aku terlupa tutup kut? Beberapa orang jururawat yang berselisih tersenyum melihat gelagatnya itu. Aiseh, malunya! Tapi zip seluar aku tertutup rapat kut. Sikit pun tak ada ruang angin masuk. Ni mesti saja nak kenakan aku! Tak guna!
“Bukan zip tu, saudara. Zip porch kat pinggang tu.” Nazira ketawa geli hati. Seronok dapat kenakan orang tiga suku itu. Puas hati aku.
Nazira dan Fauziah akhirnya beriringan. Nazira dengan muka riak, Fauziah muka tahan gelak.
Tak guna punya budak gila. Dia kenakan aku rupanya. Menyimpan sumpah seranah yang hampir nak keluar dari mulut, Izat terus melangkah ke bilik Izam laju-laju. Tak tertahan rasanya malu yang ditanggung. Tambah bila ada mata-mata yang jeling-jeling. Dia pegang bahagian tak patut tengah-tengah laman kut.
“Jahatlah kau ni, Ira. Kesian dia tau. Merah muka dia tahan malu,” ujar Fauziah antara tawa yang sudah tersembur sejak tadi.
“Padan muka dia. Nak cari gaduh dengan aku konon. Baru puas hati aku. Hehehe.” Nazira senyum kemenangan.
“Dah-dahlah gelak. Pergi telefon cepat. Nanti ramai pulak yang beratur nak call. Aku tunggu kau kat situ ya.” Nazira menuding ke arah kerusi berhampiran taman buatan dekat dengan lobi.
Fauziah angguk seraya berlalu.
Nazira labuh punggung di atas kerusi. Dia renung keliling. Cantik pemandangan di sini. Agaknya, orang sakit yang lihat pemandangan ciptaan Ilahi begini pasti akan baik. Ciptaan-Nya sungguh agung dan mengagumkan. Indah, tak pernah jemu mata memandang.
“Hei, mengelamun jauh nampak?”
Seorang pemuda duduk bersebelahan Nazira. Terus pancung mood Nazira menikmati pemandangan. Nazira alih kepala ke sebelah cepat-cepat.
“Pak su ni... Terkejut Ira.” Nazira tunjuk muka cari pasal.
Fahmi gelak. “Taulah marah. Tapi janganlah panggil pak su. Rasa macam tua pulak.”
Fahmi buat muka kebajikan. Minta simpati. Sejak-sejak Nazira tahu pasal dia pak su Hanizatul, suka sangat gadis manis itu panggil begitu kalau geramkan sikapnya yang suka mengejutkan Nazira gaya ini.
“Baiklah. Bakal anak buahmu yang baik hati ini ampunkan. Ya, Doktor Fahmi? Nak apa kasi orang terkejut?” Selamba Nazira hentam, sambil sengih.
Fahmi ketawa. “Yalah, yalah. Sorry terkejutkan cik adik manis. Mmm, Ira buat apa kat sini? Nak telefon ke?”
“Ira temankan Gee. Dia nak call. Ha, Doktor Fahmi pulak buat apa kat sini? Curi tulang?” Nazira jongket sebelah kening.
“Saya nak call jugak. Tapi ramai sangat orang.” Fahmi muncung mulut ke depan. Kalau panggilan peribadi, dia memang tak suka guna pakai telefon biliknya. Rasa tak patut.
Nazira alih pandangan ke dua telefon awam yang terletak di ruang hospital. Mak oi, berderet-deret. Tadi macam kosong. Siapa yang tengah guna tu? Dia menjenguk. La, lambat lagi ke si Gee ni?
“Mmm, Doktor Fahmi nak call Kak Anna ya?” usik Nazira.
Fahmi senyum. Sekadar angguk.
“Belilah handphone. Zaman dah berubah. Bercinta pun kenalah berubah gaya. Baru senang sikit. Terubat habislah rasa rindu di hati tu.”
“Nantilah. Saya kumpul duit banyak-banyak. Bolehlah saya beli. Jangankan satu, dua, tiga, semua jenis handphone dan pondok telefon di Malaysia ni saya akan beli.” Fahmi ketawa perlahan.
Nazira turut ketawa senang. Dia senang dengan sikap Fahmi yang tak sombong dan mesra dengan semua orang. Lelaki ini tak pilih kawan. Itu yang membuatkan Nazira tak luak melayan Fahmi. Tambah-tambah bila tahu mereka bakal jadi saudara melalui perkahwinan nanti.
“Tunggu doktor pakai tongkatlah tu...”
Mereka ketawa lagi.
“Hei, happy nampak?” Seorang pemuda dekati mereka.
Nazira dan Fahmi memandang pemuda itu. La, orang tiga suku ni rupanya, bisik hati Nazira.
“Ini makwe doktor ke?” soal pemuda itu.
“Sebenarnya, ni...” Fahmi tak sempat sudahkan kata. Tak menyempat kut dicantas.
“Sayang, sayang... Doktor ni kacak orangnya, tapi dapat makwe yang gila,” potong Izat. Siap buat gaya skrew longgar guna telunjuk di hujung kepala Nazira yang masih duduk.
Nazira geram, tampar tangan Izat yang hampir dengan kepalanya lalu terus berdiri. Garang cerun mata kepada Izat.
“Hei, mulut awak tu baik-baik sikit. Kerana mulut badan binasa, tau tak!” tengking Nazira marah. Mukanya tambah mencuka apabila Izat senyum gaya ada aku kisah.
“Awak tu yang tiga suku, nak kata saya pulak. Hei, saya tahulah muka awak tebal 36 inci tadi. Awak sedar tak yang awak dah glamor sekarang ni. Cuba tengok cik adik-cik adik sekeliling awak sekarang ni, semua tengah tengok awak, perhati awak. Dan, ketawakan awak.” Nazira balas senyum gaya mamat depannya ini. Sebiji-sebiji.
Izat perhati sekitarnya. Dapat dilihat jelas beberapa gadis berpakaian serba merah jambu sedang berbisik dan tertawa sambil lihatnya. Cis! Aku tak akan lepas kau! Izat mencerun pandang Nazira yang dah sedia kecil dan nampak makin kecil di depannya.
Fahmi mula tak senang. Dia tengok Nazira dan mamat salih kacak gila itu. Saling lawan pandang. Ah, sudah. Macam ada percikan api nak mula saja.
“Jadi, pengalaman yang menyeronok, kan? Enjoy it.” Nazira senyum menyindir. Dia pandang tajam sepasang mata yang layu itu. Mata yang menggoda habis. Tapi, bukan untuk masa ini. Sepasang anak mata nak ke coklat itu sedang marak dengan marah.
“Lain kali, fikir dulu sebelum nak kenakan saya ya, encik tiga suka,” sindir Nazira tajam. Puas hati dapat kenakan balik. Ada hati konon nak kenakan aku. Heh!
“Ira, dah, dah...” pujuk Fahmi sambil paut lengan Nazira yang berlapik uniform. Dia tarik agar ikutnya.
“Jom kita pergi. Banyak kerja lagi yang kita nak buat kan...” pujuk Fahmi terus dan terus juga tarik lengan Nazira agar perbalahan mulut itu tak berterusan. Kang naik tangan ke kaki, sudah! Jadi lain cerita pula.
Nazira turut. Dibiar saja Fahmi tariknya, namun mood balas dendam belum tamat. Dan lagi dia jelir lidah kepada Izat dan hadiahkan jelingan tanda kemenangan. Nazira ketawa dalam hati.

Tiada ulasan: