Selasa, Mac 10, 2015

Princess Reborn | enam

Naziman betulkan duduk di atas kerusi yang diletak dekat dengan katil yang mengisi tubuh emak Hanizatul, Puan Zaharah. Wanita itu nampak sihat, namun wajahnya masih tunjukkan penat. Seterusnya Naziman pandang melepasi katil Puan Zaharah, di depannya. Di atas sofa di sana duduk gadis dia nak jumpa dan tengok sebenar-benarnya.
Semuanya gara-gara penangan cakap Nazira lebih dua jam tadi. Dia yang elok saja buat kerja di ofis mulalah tak senang duduk. Sudahnya Naziman ‘dihalau’ pergi oleh anak-anak buahnya sendiri. Halau bos sendiri dengan cuti setengah hari gara-gara tak dapat beri tumpuan pada kerja masing-masing bila bos asyik ke hulu ke hilir di depan meja enam staf-stafnya, bergilir-gilir.
Sudahnya, sejak 10 minit tadi Naziman berada di wad kelas dua ini. Wad yang berada di AMC, tempat Nazira bertugas. Dalam banyak-banyak hospital di Melaka ni kan, boleh jadi pula di sini.
“Mak cik betul-betul tak sangka mak cik boleh lelah sampai macam ni sekali.”
Ujaran wanita yang nampak lebih kurang baya ibunya alih pandangan Naziman daripada terus curi tenung dan renung anak daranya. Tapi, sebelum itu, sempat jugalah Naziman jeling geram lelaki yang duduk di sebelah Hanizatul di sofa sana. Bukan main rapat. Gaya nak jadi kembar Siam saja mamat itu tempek bahagian kiri badan Hanizatul. Padahal sofa itu boleh muat tiga orang kut.
“Tak ada apalah, mak cik. Benda nak jadi. Cuma...” Naziman termati ayat bila terdengar “Hisy!” agak kuat daripada Hanizatul. Naziman hampir beliak mata tengok hidangan mata yang dia tak lalu nak pandang.
Puan Zaharah pandang sama Hanizatul yang duduk di sebelah kirinya, di atas sofa yang rapat ke dinding. Simpan senyum dia bila lihat tangan Hanizatul disulam rapat oleh kelima-lima jari tangan besar lelaki di samping anak gadisnya itu. Lelaki yang dah macam hendak penyekkan anak perempuan tunggalnya itu. Badan Hanizatul sudah senget ke tangan sofa jadinya.
Puan Zaharah lihat balik Naziman yang masih gamam tak sambung-sambung cakap. Beliak tak beliak mata itu pandang tangan Hanizatul yang disulam, tanpa Hanizatul balas. Mengembang jari-jari Hanizatul tak genggam balas. Muka Hanizatul pun ada gaya tertelan buah rambutan dengan kulit-kulitnya sekali.
Puan Zaharah tutup mulut dengan telapak tangan kiri kemudian berdeham. Dia buat muka selayak orang tengah sakit.
Dan, itu menyedarkan Naziman. Terus Naziman pandang pandang Puan Zaharah yang sedang tengok dia dengan muka kau-di-sana-kumenunggu.
“Ermm...” Naziman kebil-kebil pandang Puan Zaharah, gaya tengah fikir apa dia sedang cakap tadi.
“Cuma...”
Naziman pandang lelaki yang tolong ingatkan dia ayat akhirnya tadi. Lelaki yang duduk terlalu dekat dan rapat dengan bakal isterinya, di depan dia, bakal suami.
I was only helping,” ujar lelaki itu lagi dengan lenggok badan selamba. Kemudian selamba pula curi cium pipi Hanizatul.
Besar mata Hanizatul tengok lelaki di sampingnya. Mentang-mentang emak bagi lampu hijau, bukan main overdose mamat ni. Hanizatul pandang emak, mahu pohon dan pinta dengan sangat melalui pandangan. Hentikanlah semua ini sebab awal tadi memanglah dia rasa nak gelak-gelak lihat roman muka Naziman bila perasan betapa rapatnya lelaki di sebelahnya ini menempel. Tapi sekarang, tak dah. Hanizatul rasa nak lempang-lempang lelaki sebelah dia ini, yang terus tersengih-sengih gaya budak dua tahun suka nak tunjuk giginya yang baru tumbuh.
Namun, emak Hanizatul langsunglah tak tengok arah Hanizatul sebaliknya sedang pandang menantu entahkan jadi entahkan tidak wanita itu. Diam-diam simpan keluhan, Hanizatul tengok depan semula dan badannya jadi keras kejung bila mata bertentang mata dengan suami entahkan jadi entahkan tidak dia. Mak aih, baru hari ini Hanizatul tahu, sepasang mata yang boleh membuai-buai perasaannya dapat juga menghentam-hentam perasaannya.
Hanizatul ia-ia tarik tangan kirinya yang digenggam kuat. Memang lelaki jiran tempat duduk dengannya ini sengaja. Takkan dilepas punyalah tangan Hanizatul. Huh!
“Pa...” Hanizatul tak habiskan cakap apabila tiba-tiba lelaki itu memuncung bibir gaya hendak kucup bibirnya kalau dia cakap juga-juga. Terus Hanizatul kemam bibir dan lihat Naziman yang jelas merah muka sebab sedang tahan marah. Sudah!
“Cuma,” ujar Naziman tiba-tiba dengan suara yang cukup tinggi sampaikan langsir yang menutup katil di belakangnya ikut tergoyang-goyang gaya terkejut.
Luar biasalah sangat kan. Tapi, itulah yang jadi!
Naziman tarik nafas dan lepas dua kali, kemudian cuba sedaya upaya senyum dalam muka yang tegang sambil kata, “Cuma saya tak selesa duduk kat kerusi ni. Jadi...”
Tanpa hiraukan mata Puan Zaharah yang tak alih daripada tengok setiap aksinya, Naziman bangun dari kerusi dia duduk dan terus atur langkah ke sofa tiga orang duduk itu. Dia terus letak punggung secara paksa di antara Hanizatul dan lelaki penempel itu. Dan, lelaki penempel itu, lepas berasak-asak bahu dengan Naziman, sudahnya ganjak buntut ke sudut hujung sofa. Jauh daripada dia dan Hanizatul duduk.
Naziman selesakan letak punggungnya di sebelah Hanizatul, bersandar pada sofa dengan tangan kanan di atas badan sofa. Tubuh Hanizatul ke depan dengan gaya duduk Naziman itu. Malah, seboleh mungkin juga Hanizatul letak badan agar tak tersentuh tubuhnya. Walaupun ada rasa tak puas hati, Naziman diamkan dulu.
Naziman pandang Puan Zaharah dengan senyum tulus ikhlas tanpa muka tegang. “Sekarang saya dah selesa, mak cik.”
Puan Zaharah gelak kecil. Dah tak boleh tahan diri. Dia tengok pula lelaki yang tadinya duk tempel anak daranya gaya lelaki miang. Adiknya, Mohd Fahmi, sedang pandang dia dengan senyuman masih nak buat nakal.
“Tak syoklah macam ni...” ujar Fahmi meleret, bangun, sambil tengok Hanizatul.
Langsung tak peduli pada gelengan sakan Hanizatul, Fahmi dekati juga anak buahnya itu lalu duduk di tangan sofa sekejap tadi Hanizatul tumpang tangan. Fahmi tarik bahu Hanizatul rapat dengannya. Dia cium dahi Hanizatul gaya lelaki paling gatal di dalam dunia kemudian mulut dimuncung-muncung gaya manusia paling miang, konon nak cium tempat lain pula.
Tempat lain yang semua isi wad kelas dua itu tahu mana!
Hanizatul tahu sangat apa pak ciknya nak buat. Bukan sehari dua dia kenal lelaki berusia 30 tahun ini. Kecil dulu, lelaki inilah pembulinya paling tegar. Tapi, lelaki ini jugalah penyelamatnya. Jangan siapa-siapa nak buli dia—melainkan pak sunya ini sendiri. Pak cik sengalnya ini sajalah nak cium dia waktu ini, untuk sakitkan hati dan perasaan Naziman. Gara-gara nak balas dendam. Kan hanya pak sunya ini saja yang boleh buli dia. Bakal suami entahkan jadi entahkan tidak ini diharamkan.
Masa mula-mula rancangan luar alam ini diatur, memanglah Hanizatul rasa sangat mengarut dan takkan jaya. Rancangan dengan motif dua dalam satu bilang pak su. Motif pertama, bangkitkan perasaan cemburu dan bukan berahi Naziman—ayat pak su sebiji-sebiji okey. Motif kedua, biarkan perasaan cemburu bangkitkan perasaan Naziman untuk akui perasaannya kepada Hanizatul dengan penuh berahi—ayat pak sunya yang paling sengal.
Kata emak, sebab pilihan ayat penuh ketidaksesuaian pada tempat dan waktu itulah pak ciknya ini jadi doktor. Jadi doktor kan guna ayat doktor banyaknya. Taklah pak cik selalu mengarut-ngarut sampai tercarut.
Okey, pasal rancangan dengan motif dua dalam satu yang dirancang, sekarang, sumpah Hanizatul tak syak lagi keberkesanannya. Rancangan luar alam pak su berjaya kut!
Hanizatul bukan saja nampak cemburu Naziman terpancar-pancar, malah dia boleh terasa-rasa ia. Sungguhlah membahang-bahang di sebelahnya. Lama sikit lagi dia pun boleh terbahang punya.
Dua-dua telapak tangan Hanizatul tekap kuat dada Fahmi lalu ditolak sekuatnya. Sebagaimana Fahmi yang sudah letak telapak tangan besar lelaki itu di belakang kepalanya tarik-tarik ia ke arah lelaki itu.
“Tak naklah!” Melenting Hanizatul dengan kedegilan pak su yang masih nak berlakon. Perasan pelakon punya pak cik tak sedar diri! Lupa diri dia tu doktor agaknya! gerutu Hanizatul sakit jiwa.
“Apasal pulak tak nak? Sebelum-sebelum ni tak apa aje.” Saja-saja Fahmi cakap gaya dua makna.
Dasar double meaning punya pak cik! dongkol Hanizatul kegeraman. Tapi, dalam geram-geram dia curi kerling juga Naziman yang sudah duduk tegak di sebelahnya. Naziman tengah tengok dia dengan renungan cemburu tahap seratus peratus. Tak boleh naik lagi dah tahap itu. Ada yang bakal kemalangan nanti. Tak pasal-pasal Doktor Fahmi masuk hospital sendiri dan perlu rawat diri sendiri!
Sah, kalau Hanizatul tak hentikan bakat lakonan over melampau pak sunya, sikit masa lagi dia akan hilang bakal suami yang dia nak. Tak boleh, tak boleh.
“Tu 20 tahun dulu kut!” jerit Hanizatul penuh emosi. Tapi...
Alamak! Jawapan yang salah!
Untuk Hanizatul dan Fahmi jawapan itu jawapan naif lagi suci. Tapi, untuk orang luar—dispesifikkan orang itu bernama Imad Naziman bin Ikhmal—jawapan itu tak ada bunyi naif apatah lagi suci. Ada gaya macam... Double meaning!
“20 tahun dulu?” soal Naziman hampir dengan telinga kiri Hanizatul yang sembunyi elok balik tudung bawalnya yang diselempang sempurna tutup dada. Keras nada suaranya.
What kind of...” Naziman diam, terus berdiri.
“Dah! Dah!” ujar Naziman lagi sambil picit kepala kemudian angkat dua-dua belah tangan gaya menyerah kalah.
Dengan semangat geram Hanizatul tolak Fahmi yang macam lupa sekejap pada bakat lakonannya. Tak peduli langsung Hanizatul kepada pak su yang hampir tergolek sampai hentam kepala ke dinding gara-gara tiba-tiba dia. Malas kisah. Berlakon teruslah, pak su, sebagai orang sakit!
Cepat-cepat Hanizatul berdiri dan main kaut saja apa yang sebelah tangannya sempat apabila Naziman sudah alih badan dan hendak berlalu pergi.
“Abang! Abang!” panggil Hanizatul sambil kinja-kinja setempat. Bahagian entah mana yang dia kaut, ditarik-tarik. Matanya tegak pada belakang badan Naziman saja, yang mungkin akan terus atur kaki sambil heret dia dengan gaya itu.
Naziman matikan kaki yang baru nak melangkah. Enjut-enjut tanda ada orang tarik-tarik bajunya di belakang buat Naziman senyum. Mengalih kepala ke belakang, dilihat tangan kanan Hanizatul yang genggam bulat kemeja kerjanya. Tertarik sampai baju bahagian belakang tercabut keluar dari slek hitamnya. Naziman angkat pandangan, renung Hanizatul dengan senyum lain macam.
Hanizatul kelip-kelip mata. Dia tengok muka Naziman kemudian tangannya kemudian muka Naziman kemudian muka Naziman dan sedar diri.
“Ah! Sorry, sorry!” ujar Hanizatul serba tak kena lalu kesat-kesat kemeja Naziman yang jadi renyuk sebab dia genggam penuh semangat. Siap beria-ia hendak masukkan balik kemeja biru lelaki itu ke dalam seluar slek lelaki itu.
Hanizatul sedar diri lagi. “Ah! Sorry, sorry!”
Hanizatul angkat kedua-dua belah tangan gaya pesalah. Matanya terus ke raut lampai Naziman, serba salah sangat-sangat. Tapi, sekejap saja. Kerana muka Hanizatul mula merah bila lihat gaya Naziman sedang senyum nakal sambil tunak tengok dia.
Kedua-dua tangan Hanizatul yang terangkat paras bahu terus tepuk-tepuk kedua-dua pipi sendiri. Nak turunkan paras malu yang naik mendadak dengan gaya pandang Naziman yang macam sedang bercakap dengan pandangan—Awak saja nak goda saya eh? Dan, Hanizatul malu sangat dengan telatah luar sedarnya tadi. Sebab itulah pak cik selalu nasihatkan dia fikir banyak kali sebelum nak tunjuk perangai ‘tak senonohnya’ itu.
Kini, Naziman dah nampak perangai ‘tak senonohnya’. Sah dia akan dibuang daripada senarai bakal isteri lelaki itu dengan alasan, “Anak Aunty Zaharah tu perangai entah apa-apalah, ibu. Tak senonoh, gedik!”
Terus Hanizatul kalih badan dan pandang garang Fahmi yang masih duduk di tangan sofa—sambil Hanizatul terus tepuk-tepuk pipi. Pak ciknya itu sedang suka-suka gelakkan dia yang berperangai ‘tak senonoh.’
“Pak sulah ni!” jerit Hanizatul lepas geram dan malu. Tangan kanan tegak dengan jari telunjuk ke arah Fahmi. Tangan kiri macam lupa, duk tepuk pipi kiri lagi.
Fahmi angkat punggung dari tangan sofa dengan wajah patah hati. Gelak sakan tadi sudah mati. Kedua-dua bahu yang ikut gegar dengan tawanya tadi kini jatuh. Sebab kecewa.
Gaya Fahmi sedarkan Hanizatul. Bersama kerut pada dahi dia lihat emaknya. Tergeleng-geleng kuciwa kalah Neng Yatimah sangat. Tambah berkerut-kerut dahi Hanizatul.
Sampailah bunyi skreet langsir ditarik dari satu lagi katil yang turut ditempatkan di dalam wad kelas dua itu kedengaran.
“Oh, Kak Hani. You ruined it...”
Hanizatul pandang Nazira yang sudah keluar dari tempat persembunyiannya sejak tadi. Bersama Puan Mawarni. Anak dan ibu itu sedang tayang muka sedih. Puan Mawarni siap letak kura tangan pada dahi gaya heroin Bolly zamannya.
“Ah! Sorry, sorry!” ujar Hanizatul gaya baru sedar dosa.
Nazira, Puan Mawarni, Puan Zaharah dan Fahmi ketawa lucu. Kelakar habislah dengan siaran ulangan “Ah! Sorry, sorry!” Hanizatul yang jelas sudah gelabah habis.
Kecuali Naziman. Berdiri dengan peluk badan sendiri, bersuara tegas, soalannya bergema di sekitar bilik wad kelas dua itu. “Apa halnya ni, hah?”
Diam. Sepi.
Kemudian, “Ah! Sorry, sorry!” daripada Hanizatul.
Kali ini, Naziman pun tergelak.

Tiada ulasan: