Selasa, November 11, 2014

Princess Reborn | tiga

Izam melempar diri ke atas katil. Penatnya. Tapi, yang menariknya, bila tengok wajah Aiza, semuanya jadi hilang.
Aduh, seronoknya sebab dapat tenung wajah itu selalu. Akan terubatlah nanti rasa rindu di hati. Gundah-gulana akan hilang. Hmm... aku akan gunakan peluang ni untuk tawan hati kau. Aku akan pasti miliki hati kau, cik adik sayang. Sebab, nak cepat-cepat bawa balik rumah ni. Nanti bolehlah tengok selalu bila penat. Pengubat segala lara hati, 24/7 di samping, lagilah menarik!
Tuk! Tuk! Tuk! Pintu biliknya dibuka dari luar.
La... orang baru nak mula berangan. Dah ada pulak orang kacau. Potong stim betullah!
“Hah, Izat, apanya? Kacau orang ajelah,” gerutu Izam geram setelah pintu biliknya dibuka. Terus dia bangun lalu duduk di atas katil. Adiknya ikut duduk tidak jauh.
Izat tutup hidung. “Busuknya...”
Izam memegang hujung bajunya yang masih belum bersalin. Dicium. Yaks! Bau hacum. Izam sengih seperti kerang busuk. Cover baik punya.
“Abang tak mandi lagi ke?”
Izam geleng. “Alah, abang ni sentiasa wangi. Tak payah nak mandi-mandi.”
Izat mencebik. “Pirah! Bau wangi macam adik-beradik kambing adalah. Uwek!”
“Yalah, yalah. Kejap lagi abang pergi mandilah. Yang Izat ni nak apa?”
“Mummy panggil turun. Minum petang. Cepatlah. Izat tunggu kat bawah tau. Tapi mandi dulu ya, bagi wangi macam Izat ni.”
“Pigi dah!” Izat bangun dan terus capai tuala lalu ke bilik air.
Izat tersengih. Nasiblah, abang oi. Siapa suruh rajin belajar perubatan. Hari orang cuti pun dia kena kerja. Terus Izat keluar dari bilik Izam, segera mengatur kaki ke ruang makan semula. Perutnya berkeroncong minta diisi. Agaknya kuih apa yang mummy buat ya? Ah, kuih apa pun tak kisah. Kalau mummy yang buat, mesti best!
“Izat, abang kamu mana? Macam putera raja pulak dia, nak dinantikan,” soal Encik Shafei setelah terpandangkan anak bongsunya.
“Atas, baru nak mandi.” Izat tarik kerusi di sebelah Encik Shafei, yang mengepalai meja, lalu duduk.
“Baru mandi? Apa ajelah yang dibuatnya dari tadi?” sampuk Puan Zefrina, menuang air teh O ke dalam cawan lalu diletak di hadapan Izat.
“Entah. Ingatkan buah hati agaknya,” ujar Izat selamba mencapai cookies kegemaran dia dan abangnya yang terhidang.
Encik Shafei dan Puan Zefrina hanya tersenyum. Kalau betul pun tak ada apa hendak dimarahkan. Anak teruna mereka itu bukannya muda lagi. Dah layak berbini pun. Cuma Izam saja tak mahu. Tak ada yang berkenan di hati, konon!
“Hei, apa kutuk-kutuk abang ni, hah?” soal Izam menarik kerusi di sebelah adiknya seraya melabuh punggung.
Encik Shafei hirup air teh yang disediakan lalu diletak kembali ke atas piring cawan. Dia merenung Izam. “Cepat kamu mandi?”
“Mandi koboi, papa, mana tak cepat?” sampuk Izat rakus mengunyah cookies.
“Hei, sorrylah. Abang tak mainlah mandi koboi.”
“La... Siapa pulak main?” Izat cebik.
“Isy, budak ni!” Izam mengetap bibir, geram. Bagi pandangan hendak makan Izat.
“Sudah, sudah. Tak payah nak bertikam lidah lagi. Mummy buatkan cookies kegemaran kamu berdua tu, makanlah. Ambik lagi, Izam, Izat.”
Izat dan Izam pantas mencapai lalu dikunyah rakus. Lawan siapa lebih cepat. Siapa paling hebat. Macamlah budak tak cukup umur lagi.
Puan Zefrina sekadar menggeleng melihat telatah anak-anaknya itu. “Perlahan sikit. Karang tercekik siapa yang susah? Kamu berdua ni, macam tak makan sebulan.”
Dua adik-beradik itu sekadar sengih. Suka buat aksi begitu sebab suka nak dengar mummy tegur begitu.
“Ha, Izam, macam mana dengan kerja kamu?”
“Aaa...” Mulut Izam masih penuh dengan cookies.
“Abang ni pun. Biarlah budak tu habis makan dulu,” ujar Puan Zefrina, menampar lembut bahu suaminya.
Lelaki itu sekadar angguk kepala, tersenyum.
“Okey aje, papa,” jawab Izam setelah mulutnya kosong.
Encik Shafei angguk.
“Mana tak okey, papa. Buah hati sentiasa di sisi,” ujar Izat ketawa.
Izam merenung adiknya. Macam mana budak ni tahu? Isy! Buatnya kalau diheboh, tak ke niaya aku.
“Siapa orangnya, Izam? Boleh mummy tau?” Puan Zefrina ingin tahu. Sangat-sangat. Sebab Izam bukan macam Izat.
Izat kawan perempuannya ramai. Tak ada nak rahsia-rahsia. Tapi, tak pernah seorang pun dibawa pulang ke rumah, diperkenal. Harap terjumpa di tengah jalan ketika mereka berdua atau budak-budak perempuan zaman sekolah dulu yang bertandang mengejut dengan adegan air mata duyung. Tapi, budak-budak perempuan yang pernah dia terserempak, memang waktu itu tanpa kompromi Izat kenalkan kepadanya. Itu tandanya gadis itu mangsa. Lagi!
Tapi Izam, lain orangnya. Perwatakan serta cara Izam bawa diri juga tak sama. Sebagai anak sulung, Izam betul-betul layak dipanggil abang. Perangai semenjak kecil tak pernah memeningkan dia atau suaminya. Dengar kata, ikut cakap. Hendak melawan pun jarang sekali. Cukup mudah menjaga Izam, sampai ke dewasa. Namun, soal hati, cukup susah dijaga. Izam perahsia amat. Kalaupun Izam pernah ada kawan perempuan, dia tahu pun bila Izat buka cerita. Kalau tak, memang tak adalah telinga dengar.
Pasal hati, Izam cukup tertutup dan sangat malu ungkap rahsianya. Mungkin perangai itu diperturun daripada dia. Kerana begitulah dia di zaman muda dulu. Izat sah sangat copycat papanya!
“Mana ada, mummy. Izat ni... memandai aje!” Izam besarkan mata ke arah Izat.
“Eleh, malu pulak! Janganlah malu-malu,” usik Izat, siap siku lengan Izam. Rasa syok pula tengok abangnya tenung dia bagai nak telan. Dia faham maksud renungan berupa amaran itu, tapi saja nak buang masa. Keh! Keh! Keh!
“Mana ada. Memandai aje Izat ni!” Izam mengetap bibir. Budak ni saja buat tak faham pulak! Nanti abang kerjakan kau kat atas!
“Cakaplah, Izam. Siapa gadis bertuah tu?” Puan Zefrina seolah-olah mendesak. Kalau boleh nak desak habis-habisan, bukan seolah-olah lagi. Hendak tahu sangat. Bukan setiap tahun anaknya jatuh kasih.
Pembetulan, bukan setiap tahun Izam jatuh kasih. Kalau Izat, memang ya. Setiap tahun, lebih daripada himpunan sambutan hari raya semua bangsa!
“Mana ada, mummy.” Izam mula melurut belakang kepala.
“Apa salahnya kalau kamu cakap, Izam? Bukannya mummy kamu tu nak pergi pinang dia terus,” ujar Encik Shafei dengan nada bergurau.
Padahal dia memang kenal sangat isterinya. Kalau tahu siapa gadis yang berdiam dan mendapat tempat di hati Izam, memang itulah hal pertama akan dilakukan. Mula kata saja nak kenal. Dua jam kemudian, saya pinang teruslah! Semangat nak dapat menantu punya pasal.
“Okey. Kalau papa dan mummy nak tau, Izat boleh bagi tau.”
Izam cubit paha adiknya dari bawah meja makan. Tak faham isyarat, meh kasi aksi terus. Aksi yang sangat thrill!
“Auch...” Izat tenung abangnya. Mukanya berkerut menahan sakit.
“Kenapa tu, Izat?” soal Puan Zefrina hairan. Lihat antara muka lurus Izam dan wajah kerut Izat.
Izat ligat menggeleng. “Tak... Tak ada apa-apa, mummy. Mmm... Izat gurau aje tadi, mummy, papa. Bukannya betul. Abang tak ada siapa-siapa lagi. Belum ada. Sungguh tak ada.”
Izam pandang Izat gaya muka abang-bangga-dik. Lepas itu baru tangan di paha kekar adiknya alih ke bahu adiknya. Tepuk-tepuk tunjuk bangga.
Fuh, baru nak lepas. Izat gosok pahanya yang terasa sengal akibat cubitan Izam. Nak bunuh orang ke apa?! Doktor apa macam ni! Mencederakan orang!
Puan Zefrina bangkit daripada duduknya. Dihampiri Izat. Bahu pemuda itu disentuh lembut.
“Izat, mummy tau Izat sembunyikan sesuatu daripada mummy. Cakaplah pada mummy, siapa gadis tu, budak perempuan tu. Mummy bukannya apa... nak tau aje. Nak harap abang kamu cakap, baik jangan harap. Izat, cakap pada mummy ya?”
Izat telan liur. Gulp! Fuh, menggodanya mummy aku bila cuba menggoda. Tahap dewa-dewi. Padanlah pun papa tertawan. Dia tenung abangnya yang tergeleng-geleng macam orang tiga suku. Ditenung pula mummy yang tersenyum manis setia menanti.
“Izat tak tau, mummy.” Izat sengaja capai cookies lagi, penuhkan mulut supaya tak jadi mangsa goda dan soal lagi. Dahlah I spesies tak tahan godaan tau!
Puan Zefrina mengeluh. Terus kembali ke kerusinya semula. Terjuih mulut. Tak boleh nak ajak join!
“Siapa budak tu, Izam?” soal Encik Shafei setelah isterinya gagal memujuk Izat.
Dia bukannya apa, memang kepingin sangat pun nak bermenantu. Cuma, anak sulungnya itu saja ada banyak alasan bila dibincangkan pasal kahwin. Dan, dia pula tak hendak terlalu memaksa. Tapi, andai benar Izam ada pilihan, hendak jugalah dia tahu. Turunkan ilmu kalau perlu. Dia kan Kasanova pencen! Dan, sekarang Izat pewaris gen Kasanova itu.
Izam mengeluh dalam diam. La... Tak habis lagi ke? Tak jawab karang dikata kurang ajar pulak. Hmm, baik jangan cakap hal yang sebenar. Lagipun, benda ni tak pasti lagi. Bila dah dapat, aku tak tunggu dah. Rembat terus! Cececeh...
“Tak adalah, papa, mummy. Izat gurau aje tu. Tak gitu, Izat?”
Izat pantas mengangguk. Sokong terus sebab takut kena ketam lagi. Apalah abang ni. Tu pun nak takut!
“Tak apalah kalau Izam tak nak bagi tau. Tapi, kalau dah ada pilihan, bagi tau mummy cepat-cepat. Bolehlah mummy masuk meminang gadis pilihan kamu tu. Lagi cepat kamu kahwin, lagi cepatlah mummy timang cucu.” Puan Zefrina tersenyum, berangan-angan.
Mak eh, cucu? Mula pun belum, perayat pun tak sudah, kahwin pun tidak, ni dah fikir pasal cucu. Susah, susah! Apa mummy aku ingat kahwin ni macam pilih kuih kat Mak Cik Midah tu ke?
“Apalah mummy ni. Abang tu kahwin pun tak lagi. Macam mana nak dapat cucu? Ingat jatuh dari langit ke?” Izat ketawa geli hati. Pandai jugak mummy aku ni buat lawak antarabangsa. Adoi, lawaknya!
“Ha, yang kamu tu bila lagi, Izat? Tak ada lagi ke pujaan hati?” soal Encik Shafei renung anak bongsunya pula.
Izat berhenti mengunyah. Takkan aku pulak mangsa seterusnya?
“Keliling pinggang, bang. Tak ubah macam perangai abang masa muda-muda dulu.” Puan Zefrina menjeling Izat yang tersengih nakal kemudian suaminya yang sama sengih nakal. Kasanova pencen dengan Kasanova kini.
“Eh, mestilah. Bapa borek anak rintik. Ke mana tumpahnya kuah laksa kalau tak ke dalam pinggan laksa, Rina sayang. Nanti bila dia dah jumpa dengan gadis yang benar-benar menawan hati, memikat diri, yang dicintai, ha, mesti setia habislah. Macam kita dulu-dululah, sayang, pengarang jantung abang. Sekali tangkap suka, suka sampai mati. Sekali jatuh cinta, tiap-tiap hari jatuh cinta lagi.” Encik Zhafei mengerdip mata. Selamba capai tangan isterinya lalu dikucup kura tangan wanita itu.
“Abang ni, ke situ pulak dia.” Puan Zefrina menyiku lengan suaminya. Namun, senyum yang menjengah bibir tiada putus. Selesa dengan sikap romantis suami yang serupa dulu.
Izat dan Izam tersenyum lihat gelagat pasangan itu. Walaupun papa dan mummy dah tua... eh, taklah tua sangat. Okey, walaupun papa dan mummy sudah terlebih matangnya, namun mereka masih romantik macam pasangan pengantin baru. Romantik gila. Tak percaya tengoklah...
“Kamu nak tau cerita masa papa muda-muda dulu?” soal Encik Shafei.
Izat dan Izam angguk ghairah. Mestilah nak tahu. Kisah dulu-dulu ni kalau dengar kadang-kadang jadi syok. Kalau selalu jadi kurang siok.
“Dulu papa ni macam Izat jugak. Eh, tak seteruk Izat kut. Kurang sikitlah. Papa ni dulu playboy terkenal. Tapi, lepas jumpa mummy kamu, fuh, cair terus! Tak pandang perempuan lain.”
“Macam mana papa kenal mummy?” soal Izam ingin tahu.
“Sudah, sudah... Tu semua cerita lama, tak payah abang nak ungkitkan lagi.”
“Alah, mummy ni tak sportinglah. Ceritalah, papa. Izat nak tau jugak macam mana papa dengan mummy bertemu kemudian bersatu sehingga lahirnya Mohd Izam Effy, jejaka yang tampan, tapi agak pemalu, eh, tak malu sangat. Dan, adiknya Mohd Izat Effy, jejaka yang kacak lagi tampan dan malu bertempat orangnya.” Kembang kempis hidung Izat memuji diri sendiri.
“Apa ke bendanya jejaka yang pemalu, tapi tak malu sangat tu, Izat?” Izam hairan. Agaknya adik aku ni belajar daripada Pak Cik Din Beramboi.
“Maksudnya...” Izat seolah-olah berfikir. “Pemalu, tapi tak malu sangatlah.”
“Budak ni. Sama jugak jawapan yang dia bagi.” Izam ketap bibir.
“Isy, abaikanlah benda tu. Ha, papa, ceritalah. Silakan.” Izat masih mendesak.
Encik Shafei tenung isterinya. Wanita itu angkat bahu tanda tiada bantahan. Dia menarik nafas panjang. “Yang terperinci ke tak terperinci?”
“Terperinci!” Izat dan Izam bersuara serentak.
“Baiklah. Macam ni. Dulu... lepas papa habis studi, papa tak terus cari kerja. Yalah, dah lama perah otak studi itu ini, papa cadang nak enjoy puas-puas sebelum ambil alih syarikat datuk kamu. Datuk kamu pulak ikut ajelah. Tambah nenek kamu kuat menyokong. Hah, dapat peluang, enjoy mautlah. Masa nilah papa ambil peluang pikat satu, satu gadis. Tak taulah berapa ramai yang jadi mangsa, lupa nak kira. Sambil tu papa cuba-cuba jugak pikat mummy kamu ni. Tapi, susah sikitlah. Orang lawa, jual mahal dulu.
“Tak lama lepas tu datuk kamu dapat tahu sebab gadis-gadis yang papa perangkap tu pakat-pakat jumpa dia. Apa lagi, mengamuklah dia. Dia paksa papa mula kerja kat syarikat, jadi terpaksalah papa ikut. Nah, tup-tup papa jumpa mummy kamu kat sana. Rupanya mummy kamu ni setiausaha datuk kamu kat ofis. Apa lagi, papa mulalah dengan strategi.”
“Mummy mesti cun masa tu, kan?” soal Izat, menyampuk.
“Isy, mestilah. Sekarang pun masih cun apa. Silap hari bulan orang kata kakak kita pulak, Izat.” Izam mengerdip mata lalu ketawa perlahan. Sempat pandang mummy yang memang ramai jangka kakak sulung mereka.
Puan Zefrina sekadar menggeleng. Malas dilayan tiga beranak itu. Kalau sudah bekerjasama, ada saja cakap-cakapnya.
“Lepas tu, papa?” Izat lanjut bertanya.
“Mula-mula tu papa ingat nak jadikan mummy kamu koleksi, macam gadis-gadis lainlah. Mangsa buaya tembaga. Alih-alih papa pulak yang terkena. Kecantikan mummy kamu, kesabaran dan kelembutan dia, kewanitaan dia, benar-benar pukau papa. Walaupun masa tu mummy kamu belum peluk Islam, tapi nasihat dia banyak ke arah keislaman. Mummy kamu banyak sedarkan papa. Papa mula tertarik dengan mummy kamu dan lama-lama perkenalan tu buahkan bibit-bibit percintaan yang alhamdulillah mekar sampai hari ni.”
“Fuh-fuh, romantisnya...” Izam feeling habis. Kalaulah aku dengan Aiza macam tu, mesti syok.
“Feeling ke? Terbayang-bayang, terharap-harap?” usik Izat suka. Faham sangat dengan tangkap layan abangnya waktu itu.
“Tapi...” Encik Shafei pandang Izat dan Izam silih berganti. Sila kembali pada topik asal. “Kamu nak dengar lagi tak?”
“Nak, nak, nak!”
“Hah, diam dan dengar. Dalam masa papa tengah cuba-cuba nak tawan hati mummy kamu, ada sorang lagi laki cuba tawan hati mummy kamu. Yang mummy kamu pulak melayan. Papa apa lagi, tak menyerah kalah. Satu hari tu, papa pergi rumah mummy kamu. Papa ikat surat pada batu dan buang ke tingkap bilik mummy. Hah, esoknya mummy kamu mengamuk dengan papa. Tayang batu depan muka papa. Jadi, papa pun curah isi hati papa. Sungguh-sungguh punya sebab mummy kamu ingat surat papa tu mainan aje. Hah, terdiam mummy kamu. Lepas tu malu nak tegur. Tapi, lama-lama mahu.” Encik Shafei tenung isterinya yang tersenyum malu.
Izat dan Izam tersengih.
“Malangnya percintaan kami dapat tentangan ayah mummy kamu. Yalah, waktu tu mummy kamu belum masuk Islam. Tapi, hati mummy kamu dah terbuka untuk dalami agama yang Esa ni. Menurut ayah mummy kamu, papa sengaja nak pengaruh mummy kamu agar berpaling daripada agamanya. Papa dilarang berjumpa dengan mummy kamu sampaikan mummy kamu tak dibenarkan bekerja lagi. Siap kena paksa tinggalkan Melaka. Mulanya memang papa patah hati sebab papa tak ada sebarang peluang untuk temui mummy kamu. Papa betul-betul sedih.
“Mujur jodoh kami panjang. Mummy kamu jumpa papa, kata pada papa, dia bukan lagi Zefrina Donald, tapi Zefrina Abdullah. Jadi, ayah mummy kamu tak ada alasan untuk halang kami berkahwin. Tambahan pulak perhubungan kami dapat persetujuan nenek kamu, ibu mummy. Jadi, papa hantarlah pinangan dan akhirnya...”
“Akhirnya papa dan mummy pun berkahwin dan hidup aman dan bahagia. Happily ever after. Tak nak cerita ke macam mana abang dan Izat dilahirkan?” soal Izat tenung wajah papanya.
Encik Shafei, Puan Zefrina dan Izam tenung Izat tanpa berkelip.
Izat telan liur. Aku salah cakap ke? Eh, yalah!
“Izat tahu.” Izat ketawa.
“Papa, kisah cinta papa dengan mummy kalau dibuat novel atau drama, mesti menarik,” sampuk Izam.
Encik Shafei dan Puan Zefrina sekadar senyum.
“Agaknya Izat pun akan jumpa dengan seorang gadis yang macam papa cerita. Mula-mula playboy, kemudian jadi Shah Jehan yang terus setia kepada Mumtaznya. Tak gitu, Izat?” Encik Shafei menyoal Izat.
Izat senyum menggeleng. Rasa dia hanya papa dengan mama ada peluang rasa jadi Shah Jehan dan Mumtaz. Habis sampai situ saja. Sebab dia nak perempuan yang benar-benar perempuan. Bukan macam minah-minah yang menyendengnya sekarang ini. Dia orang semua low class. Itulah rasa hati Izat. Sebab mereka mencari hubungan nafsu dan bukan cinta.
Izat geleng terus. Yakin, pasti hatinya bukan mudah terpaut sebegitu saja. Dalam suka melayan perempuan yang mendekat, dia sebetulnya terlalu memilih. Teramat!
“Tak mungkinlah, papa...” ujar Izat perlahan, terus menggeleng-geleng.
Encik Shafei dan Puan Zefrina saling memandang. Walaupun raut anak bongsu mereka itu nampak hampa satu macam, namun boleh pula mereka saling kongsi senyum. Izam saja tak perasan sebab sibuk nak qada’ balik cookies yang Izat makan dulu sebelum dia turun tadi.

Tiada ulasan: