Ahad, November 30, 2014

Princess Reborn | empat

Nazira menarik sebuah kerusi lalu duduk. Begitu juga abangnya. Duduk saling menghadap. Puan Mawarni di kepala meja manakala Nazira dan Naziman di kiri dan kanannya. Tak tunggu lama, Nazira pantas capai karipap lalu dikunyah rakus. Tunjuk perasaan sebab tadi kena halau.

Puan Mawarni senyum, sekadar menggeleng. “Ayang, cuba duduk elok-elok sikit. Tak baik duduk terkangkang macam tu masa makan. Dah berapa kali ibu larang?”
“Yes, madam.” Nazira silang kaki sopan. Seluar pendek bawah lututnya jadi tersingkap sedikit.
“Kenapa dengan lutut ayang tu?” soal Puan Mawarni baru menyedari lutut anaknya tertampal plaster. Disentuh lutut anak gadisnya, dibelek terus.
Naziman bangun dari kerusi, berdiri di tempatnya, ikut menjenguk.
Nazira menyelak sedikit seluar yang dipakai. Dia sengih. Ibu dengan abang memang cukup risau kalau lihat ada satu luka pun pada tubuhnya. Risau tak bertempat sebab semenjak dia kecil memang dia selalu tak sedar dengan persekitarannya. Berjalan, kalau tak langgar sesuatu, itu bukan dialah. Berlari, kalau tak bertemu sesuatu, bukanlah dia juga.
Kata ibu, Nazira semenjak kecil tak pernah faham makna bahaya. Dia akan buat saja apa dia mahu, seolah-olahnya dia takkan dapat lakukan hal tersebut esok hari atau nanti-nanti. Full of energies and mischieves. Itulah moto hidup dia waktu kecil dulu, kata ibu. Juga sampai kini. Itu pun ibu yang kata.
“Sikit aje, ibu. Ayang dah bubuh ubat kat hospital tadi,” terang Nazira mencapai jemari tangan ibu pada lututnya, digenggam seketika. Kemudian dilepas. Lalu seluar yang tersingkap itu dibetulkan supaya menutup lutut serta luka di situ.
“Macam mana boleh luka?” soal Naziman mula duduk, menghirup teh O yang disediakan ibunya.
“Dah nak luka,” jawab Nazira selamba.
Naziman merenung Nazira, tajam. Dalam erti kata lain, sila beri penjelasan yang lanjut kalau tak nak abang lanjutkan ketajaman pandangan abang.
Nazira sengih kepada Naziman, kemudian mengerdip mata. “Terkena benda tajam tadi. Tengah sibuk-sibuk, tak sedar pulak terkena. Ayang perasan pun bila member ayang tegur lutut ayang berdarah.”
“Lain kali hati-hati sikit,” nasihat Puan Mawarni agak risau dengan anak gadisnya yang sedikit lalai itu.
“Baiklah, ibuku sayang. Mulai hari ini, saya, Intan Nazira Ikmal, berjanji akan lebih berhati-hati lagi ketika menjalankan tugas-tugas saya.” Nazira angkat tangan seolah-olah bersumpah. Dengan jari telunjuk dan jari hantu kepit kuih karipap.
Naziman dan Puan Mawarni ketawa kecil dengan sumpah kepit karipap Nazira. Orang hendak serius pun tak jadi dengan aksi angkat sumpah yang begitu.
“Ibu, jadi ke ibu pergi rumah Aunty Zaharah?” soal Nazira setelah agak lama mereka dibungkam kebisuan. Sebab dia terus sibuk dengan karipap.
Puan Mawarni angguk beri jawapan.
“Abang dah tahu ke, ibu?” Nazira separuh berbisik. Tangan kanan tinggi saja mengepung mulut supaya bisiknya tak sampai ke telinga si abang. Tapi, karipap tak lepas juga dari tangan.
Naziman merenung gadis itu penuh tanda tanya. Aksi bisik-bisik depan mata begitu, mana tak buat timbul rasa hendak tahu di hati. Nampak sangat ada rahsia.
“Belum. Ibu belum bagi tau,” kata Puan Mawarni membalas bisik Nazira, kemudian dilihat anak bujangnya. Tanpa suara bisik-bisik dia kata, “Ha, abang. Ibu nak abang ambil cuti lusa. Ibu nak ajak ke rumah Aunty Zaharah.”
“Untuk apa, ibu?” soal Naziman biarpun dia tahu maksud sebenar ibunya.
Ini tak lain tak bukan hendak kenalkan aku dengan anak perempuan Aunty Zaharahlah. Ibu ni, ada ajelah rancangan dia nak kenalkan aku dengan anak dara orang. Sekejap Aunty Faridah, lepas tu Aunty Karimah, hah, sekarang, alih-alih Aunty Zaharah.
“Yalah. Anak perempuan Aunty Faridah abang tolak dengan alasan badan dia berisi sangat. Takut beras cepat habis. Anak Aunty Karimah pulak mesra sangat. Takut pulak kalau dia lebih mesra dengan orang lain sama. Sekarang ibu nak dengar pulaklah alasan abang pasal anak Aunty Zaharah. Apa kurang lagi abang nak jumpa...”
“Ibu, kenapa dengan ibu ni? Kan abang dah kata yang abang tak nak kahwin lagi. Abang nak mantapkan kerjaya abang dulu.” Naziman ea ra alasan.
“Tulah yang ibu dengar dari dulu. Ibu teringin timang cucu, merasa ada menantu perempuan. Ibu tak paksa abang kahwin dengan budak ni, anak Aunty Zaharah ni. Tengok dulu, kenal dulu. Kalau abang berkenan, tak jumpa alasan, ikat tali pertunangan. Bila abang dah bersedia, barulah langsung.” Puan Mawarni jelas mengharap.
Naziman mengeluh. Dia sebenarnya malas hendak fikirkan hal bertunang atau berkahwin buat masa ini. Tapi, ibu terlalu memikir, begitu mengharap.
Nazira renung wajah abangnya yang dilanda kebuntuan. Dia faham keliru hati itu. Tak faham mananya kalau sudah selalu dengar kuit-kuit mulut abang berbunyi perihal yang itu.
“Tengok aje, abang. Takkanlah ibu yang penyayang ni nak paksa abang terima secara paksa. Ya, abang?” pujuk Nazira main peranan.
Naziman tengok muka Nazira. Berharap juga. Kemudian dia toleh tengok ibu apabila ibu sentuh bahunya.
“Ya, abang. Budak tu baik budaknya. Baru habis pengajian kat ITM dalam bidang perbankan. Dia kerja kat bank. Orangnya cantik, manis, lemah lembut pulak tu. Taat perintah agama, bertudung litup dan pemalu orangnya. Abang tengok ya?” Puan Mawarni terus memujuk sambil tersenyum melirik.
Naziman tenung ibunya dan beralih pula kepada Nazira. Tengok jenis ibu ni boleh percaya ke? Karang ke lain pulak.
Nazira bangun dari kerusi, mendekati Naziman lalu memaut manja bahu abangnya. “Ayang tau abang akan pilih kakak ipar terbaik untuk ayang. Ikut ajelah. Siapa tau jodoh abang kat sana. Siapa tau anak Aunty Zaharah nilah orang paling sesuai untuk abang. Kalau tak, bila lagi nak jumpa cik adik idaman. Abang takkan cari, jadi biarlah si dia tu yang datang cari. Mungkin ni caranya...”
Naziman senyum sambil dongak sikit kepala tengok Nazira. “Bercakap macamlah dia dah jumpa cik abang dia...”
Naziman picit hidung comel Nazira dan tergelak kecil apabila Nazira tolak tangannya dan muncung mulut dengan penyataannya.
“Yalah, yalah. Abang ikut aje kehendak ibu tu. Lusa abang mintak cuti.” Suara Naziman, bersetuju akhir sekali. Malas hendak tarik tali terus apabila lawannya lebih kali ganda ramai banding dia yang seorang. Dan, lebih-lebih lagi bila dia sayang kedua-dua lawannya ini.
Dari ruang makan itu, tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta dimatikan di garaj. Sememangnya dari ruang makan atau ruang dapur, garaj tidak jauh. Permintaan Puan Mawarni sendiri supaya mudah untuk mengangkut masuk barangan dapur yang selalunya dibeli dalam kuantiti yang banyak. Mudah diangkat masuk dari pintu dapur terus.
Nazira yang masih berdiri di samping Naziman memanjangkan leher, menjenguk ke luar. Abah sudah balik.
“Ah. Mmm, ayang ada kerja. Ayang naik dulu ya, ibu, abang.” Tak tunggu lama, Nazira terus hendak berlalu. Namun, langkahnya terhenti apabila Naziman cekap meraih pergelangan tangannya, tidak membenarkan dia berbuat begitu.
“Duduk, ayang,” arah Naziman. Ada tegas.
“Tapi...” Nazira serba tidak kena. Sekejap lihat Naziman, sekejap pintu belakang yang boleh dilihat dari situ. Kalau-kalau abah melangkah masuk.
“Duduk!” Suara Naziman sedikit keras, sehinggakan Nazira terpaksa akur.
Nazira duduk di samping Naziman. Keras menegak. Nampak tidak berkutik bak patung cendana.
Encik Ikmal yang baru pulang terus saja masuk dari pintu dapur, mendapatkan meja makan. Menonong saja tanpa peduli kepada Nazira mahupun Naziman. Dia nampak mereka, tapi sengaja buat tak nampak. Jelas sekali sengaja.
Puan Mawarni yang sudah bangun mengambil beg kerja dari tangan suaminya. Lalu, disediakan minuman buat Encik Ikmal.
“Awak tak minum sama?”
“Saya dah minum dengan abang dan ayang. Awak minumlah dulu. Saya ada buat kuih karipap tu. Makanlah...” Mesra seperti biasa layanan Puan Mawarni. Sesekali dia menjeling ea rah Nazira yang tunduk membisu. Keluhan dilepaskan bersama angin lalu.
“Tak apalah. Nanti saya makan. Saya naik ke atas dulu. Kat sini saya rasa panas.” Encik Ikmal terus berlalu sambil tangan mengibas tubuh. Sempat juga dia jeling Nazira yang duduk di sebelah anak terunanya nan seorang.
Nazira angkat kepala, menampakkan matanya yang sudah bertakung. Air mata itu sedari tadi menanti masa untuk menyentuh pipi. Dingin si ayah mengundang ia.
Naziman genggam jemari adiknya, kemudian kucup kasih dahi gadis itu lalu ditarik ke dalam pelukannya. Air mata yang sudahnya jatuh menjengah pipi si manis itu diseka. Biar kering pipi itu daripada kesan air hangat itu. Namun, tidak pula dia mampu halang apabila kelopak mata itu jadi banjir semula.
“Sabar, ayang...” ujar Naziman menggosok belakang tubuh adiknya.
Nazira menutup mata lalu terus menyeka air mata yang jengah pipi lagi. Tiada gunanya air mata ini jika tidak pernah difahami. Tiada faedah tumpahnya ia kalau hatinya tak pernah cuba diselami. Dingin itu selalu menyakitkan. Namun, dingin yang sengaja ditunjuk dan diunjuk apabila dia ada bersama terasa lebih menggores rasa.
“Ayang naik dulu...” Nazira meminta diri dan terus melangkah longlai, tanpa menunggu kata abang mahupun ibu. Menghilang dari situ.
“Abang hairan dengan sikap abah tu. Tak pernah ke dia rasa kesian dengan ayang? Tak pernah ke dia rasa apa-apa perasaan dekat ayang? Kesian ayang tau. Sangat-sangat harapkan abah dalam hidup dia,” luah Naziman mengasihani nasib yang menimpa adik kesayangannya.
Bukan baru, sudah terlalu lama. Sudah terlalu panjang masa berlalu dan panjang juga sakit hati yang Nazira terima. Daripada tidak faham, sampai adiknya itu jadi faham dan terlebih faham. Sampaikan Naziman sendiri dijangkit sakit hati atas sikap bapanya itu.
“Ibu tak tau apa lagi yang perlu ibu buat untuk ubah perangai abah abang tu. Ibu kesiankan ayang. Sejak kecik dia damba sangat sayang dan perhatian daripada abah abang, tapi asyik hampa aje. Walaupun dah 22 tahun...” Puan Mawarni melepaskan keluhan dengan sikap suaminya. Keluhan yang tak pernah putus selama tahun-tahun berlalu.
Namun suaminya, sama saja sejak dulu sampai kini. Lelaki itu masih ada dendam dan benci buat anak sendiri dalam hati, dalam jiwa. Buat ia mengepung seluruh diri itu. Lupa diri bahawa dialah ayah kandung kepada gadis bernama Intan Nazira. Intan Nazira yang berbintikan Ikmal.

Tiada ulasan: