Khamis, Oktober 23, 2014

Princess-reborn | satu

Berdiri di depan bilik itu, Izam merenung tanda nama yang tertera. DR. MOHD FAHMI HJ. ABBAS. Hmm, jadi inilah bilik Fahmi? Izam mengetuk pintu.
“Ya, masuk.” Terdengar suara dari dalam.
Izam pulas tombol lalu segera masuk.
Di balik dinding sana, jauh dua bilik dari bilik Doktor Fahmi, terbongkok-bongkok dua orang gadis. Nazira sudah stunt elok di atas lantai manakala Aiza sedap saja melepak di atas belakang tubuh Nazira. Ops hendap.
“Dia dah masuklah, Aiza,” ujar Nazira masih terbongkok separuh tubuh di balik dinding dengan kedua-dua lutut dan telapak tangan melekap elok ke atas lantai.
“La… Tak dapatlah aku nak tengok dia.” Aiza terkilan. Terus dia menegakkan tubuh dan bersandar pada dinding. Lembik badan.
Hendak sangat Aiza melihat doktor baru yang diperkatakan oleh teman-temannya sejak tadi. Kalau tak sebab ramai mengacum-acumnya rugi dan Nazira penuh ia kata mamat itu kacak kalahkan Tom Cruise dan Michael J. Fox, kedua-dua pelakon dia sangat suka, tak adanyalah dia mahu terlibat dengan operasi menghendap ini.
Ajaran Nazira. Ajaran sesat. Dah tahu sesat pun buat juga! Jadi, Aizalah yang sesat!
Nazira sudah malas hendak bangun sesudah terkelepek sejak tadi. Gara-gara hendak tunjuk betapa kacak dan tampannya jejaka yang baru melapor diri ke hospital mereka. Doktor baru yang buat dia bulat mata melihat sewaktu terhendap-hendap di bilik pentadbiran, apabila terdengar ayat, “Saya datang hendak lapor diri. Saya Doktor Izam, akan mula bertugas di sini mulai hari ini.”
Bila sudah terpagut rasa saya-hendak-tahu-siapa-anda, terus Nazira menempek di balik dinding di bahagian pentadbiran. Separuh tubuh balik dinding, satu mata balik dinding. Selebihnya luar dindinglah kan. Jadi, dia mulakan adegan sekodeng. Ternganga mulut tengok Doktor Izam sampai separuh mulut yang balik dinding tercium dinding. Tak pasal-pasal ada kesan merah jambu di situ.
Dia sangat kagum melihat doktor baru itu. Sebabnya hanya dua. Cutenya lebih daripada Michael J. Fox (tak termasuk tinggi). Kacaknya lebih daripada Tom Cruise (termasuk tinggi).
Bila Nazira kagum begitu, sebab doktor muda itu melepasi dua manusia yang teman baiknya bangga dan gila sangat, terus dia ikut langkah lelaki itu (sesudah kalut-kalut lap comot lipstik merah jambu pada dinding dengan tangan). Sebab waktu itu rasa hendak tahu Nazira sangat terpancing.
Lagipun, Nazira hendak jadi orang pertama yang tahu hal itu dan sebarkan kepada kawan-kawannya yang lain. Nak terus pegang title telinga lintah serta minah busybody kena tempat yang diletak ke atasnya. Maintain busybody, babe!
Nazira mengekor terus lelaki tinggi lampai itu. Melihat dan menilik terus. Dengan fail pesakit di tangan, dia buat-buat rajin melihat sambil berjalan. Kadang di belakang doktor tampan itu, ada waktu dia potong doktor itu, jalan di depan.
Ada sekali dia brek tanpa bagi signal. Dah ada perlanggaran apabila doktor tersebut tidak perasan. Menjegil mata Kak Hamimah, salah seorang staf pentadbiran yang membawa doktor itu ke bilik dean dengan gelagatnya. Kak Hamimah tahu dia sengaja nak begitu. Dilanggar dan terlanggar. Supaya boleh bersua muka dengan doktor muda itu.
Memang berjaya!
Doktor itu terus pegang bahunya, tolong imbangkan tubuh Nazira yang genit dan kecil, daripada terhumban ke dinding. Mujurlah tak jatuh cinta masa itu. Dan, dua kali mujur tak jual hati kepada doktor itu apabila bertentang mata dan bermain pandang. Gila handsome sangat!
Sudahnya, Nazira hanya terangguk-angguk tanda okey kepada doktor yang sah-sah berdarah kacukan itu. Malah, apabila Kak Hamimah berlalu bersama si dia dan Kak Hamimah sengaja menjegil garang kepadanya yang terlekat pada dinding, dia lupa hendak balas dengan sengih tak ingat. Dia terpukau sangat.
Tapi, apabila sedar daripada pukauan itu, laju Nazira lari di kaki lima itu ke bilik rehat jururawat. Nak menyampai punya hal. Kata nak maintain busybody!
Dan, sebabkan itulah Nazira terduduk di atas lantai waktu ini selepas penat dengan operasi menghendap yang tidak berjaya. Hampa tiada dalam hati Nazira, tapi dia tahu di hati Aiza ada. Tengok muka sebek itu pun dia sudah tahu.
Nazira juga tahu Aiza bukan hendak tengok sangat pun doktor baru itu sebab dia tampan atau kacak. Sebaliknya Aiza hendak tengok betulkah doktor baru itu lebih tampan dan kacak daripada pelakon-pelakon kesukaannya itu. Hendak nilai dengan mata sendiri!
“Alah…” Aiza mengeluh lagi dengan adegan mulut juih-juih ke depan.
Nazira yang melihat dengan leher meninggi ke atas, memandangkan Aiza berdiri dan dia duduk, sembunyi sengih. Kemudian berkata, “Itulah… Lambat lagi! Nasib baik aku sempat tengok dia tadi. Fuh, handsome gila! Kalah Tom Cruise. Muka dia… lagi cute daripada J. Fox tu. Alah, memang lebih hebatlah daripada dia orang!”
Nazira makin seronok menyakat. Tahu Aiza terkilan kerana tidak sempat melihat wajah doktor baru itu. Dan, dia sengaja api-apikan rasa itu. Biar Aiza terbakar sampai sanggup buat apa saja untuk dapat lihat. Sebab dia baru dapat idea baru!
“Kau ni, Ira… Aku sedih tau!” Aiza cubit geram bahu temannya yang selamba menyilang kaki, bersila di atas lantai. Menyenget sedikit dia cuba dapatkan bahu Nazira kerana gadis itu sengaja larikan bahu.
Hai, Ira, nampak dek Kak Pipah kau tengah buat kenduri duduk macam ni kat sini, mahunya dia denda kau cuci tandas. Kalau tandas staf okey lagi, ini tandas awam yang digunakan oleh pengunjung hospital tersebut. Kak Pipah memanglah sangat suka buat denda kalau mereka pandai-pandai langgar peraturan. Memang wanita yang berusia 40-an itu garang. Tapi, bertempat. Sebab, walaupun kuota kena denda Nazira paling tinggi, namun kuota sayang kamu untuk gadis itu juga sama tinggi daripada wanita itu. Marah-marah sayang.
Nazira tak ambil kisah walaupun dicubit dengan penuh perasaan dek Aiza. Menggosok-gosok macam buang benda atas bahu, dia terus berdiri di samping Aiza. Menyengih-nyengih sambil angkat kening. “Aku tau… Sebab tulah aku nak bagi tau kau satu idea.”
“Apa ideanya?” Beria-ia pula Aiza menyoal. Siap tolong sapu-sapu bahu Nazira. Bahu yang dicubitnya tadi. Walaupun dia tak rasa dia ada sakitkan Nazira yang lebih tulang daripada isi. Kurus keding orangnya.
“Kau nak tengok dia, kan?”
“Ya. Tapi kan dia dah masuk? Nak tengok macam mana? Takkan nak ngendap balik bilik tu kut!”
“Betul. Tepat sekali. Tulah yang akan kita buat sekarang!” Itulah idea yang difikirkan Nazira tadi.
“Bernas tak?” Nazira mengerdip mata suka.
“Gila kau! Tu dah bernas tahap nanas!” Aiza melopong.
“Alah… Kata nak tengok! Kalau nak, jom!” Nazira buat muka tak kisah dan tak peduli. Terus dia tarik lengan temannya. Mahu Aiza mengikut saja tanpa mula memikir segala kemungkinan yang boleh atau mungkin berlaku.
Memanglah apa-apa boleh berlaku. Yang penting, jangan fikir dulu. Gaya pemikiran Nazira yang selalu Aiza tak setuju. Tapi, dah dalam keadaan begini, Aiza turutkan saja apabila Nazira tarik pergelangan tangannya, berdua melangkah perlahan-lahan ke bilik Doktor Fahmi. Langkah Nazira penuh yakin. Langkah Aiza sarat agak-agak.
“Boleh percaya ke ni? Aku takutlah, Ira.” Aiza tiba-tiba genggam erat tangan Nazira apabila ia mahu pegang tombol pintu yang tertera nama DR. MOHD FAHMI HJ. ABBAS. Dia telan liur. Gulp!
“Relaks… Jadi punya!” Nazira buat tak kisah dengan gemuruh Aiza. Gila gemuruh sampaikan tangannya yang dipaut oleh tangan Aiza ikut bergoyang.
Menolak tangan Aiza, akhirnya, perlahan-lahan pintu bilik Doktor Fahmi dibuka. Nazira pastikan tiada bunyi terdengar.
“Nah, tengoklah…” bisik Nazira tahap di dalam kelambu malam pengantin.
“Macam mana?” soal Aiza seperti orang bodoh. Sama perlahan.
“Menghendaplah!”
“Tapi… nanti Doktor Fahmi…”
“Itu bisa diatur. Aku kan ada? Kau tengok, biar aku berjaga-jaga sebagai mak jaga.”
Aiza kemam bibir. Takkan aku nak buat macam tu? Tapi, kalau aku tak buat, macam mana aku nak tengok muka dia, yang dikata lebih cute daripada Michael J. Fox, lebih kacak daripada Tom Cruise tu? Lantaklah! Apa nak jadi pun jadilah!
Aiza tunduk membongkok, melihat di balik celahan pintu yang terbuka agak-agak ngam mata nak sekodeng.
“Nampak tak?” soal Nazira perlahan. Dia berdiri di hadapan pintu, tegak, sedikit depan daripada Aiza. Memeluk tubuh dengan muka saya-tak-buat-salah-pun, melihat sekelilingnya. Kalau-kalau ada yang lalu-lalang.
Aiza menutup pintu kembali. Hati-hati. Kemudian dia tegak di sebelah Nazira, yang terus menyerbu pandang kepadanya.
“Nampak tak?” Nazira mengulangi soalannya.
“Nampak… Tapi belakang aje.”
“La… Buat teruk aku aje tau.” Memuncung mulut Nazira tunjuk perasaan teruknya. Berdiri tegak dengan muka sedikit ke atas untuk tunjuk perasaan dia kepada Aiza yang lebih tinggi.
Aiza tayang muka kebajikan. Minta dihulur simpati.
Dan, dalam aksi yang begitulah tiba-tiba pintu bilik itu dibuka.
Nazira dan Aiza kaku di muka pintu. Tak sempat hendak buat apa-apa. Sudahnya, perlahan-lahan kepala dipaling ke muka pintu. Daun pintu luas terkuak, tubuh agak lampai milik Doktor Fahmi di situ, berpeluk tubuh, menjongket kening. Tersenyum kepada mereka. Mereka pula hanya boleh membalas senyum itu.
“Ha, Ira, Aiza. Tak ada kerja ke?” soal Fahmi merenung kedua-dua gadis itu, terus dengan senyuman. Lucu tengok senyum kejung macam kena sepit pipi kiri dan kanan dengan sepit baju daripada kedua-duanya. Dah tahu buat salah dan kantoi punya pasal.
“Ada. Mmm… kami tengah buat kerjalah ni,” ujar Nazira tersenyum. Ke atas ke bawah tangannya diayun. Aksi I tak ada buat salahlah…
Aiza tenung temannya. Biar betul minah ni. Takkan dia nak cakap kut? Mampus dia kalau Nazira cakap. Dengan Nazira sekali dua kali mampus sebab Nazira otai ops yang gagal ni!
“Sebenarnya…” Nazira kumam ayat. Sebenarnya apa, hah?
“Hah!” Penuh semangat tangan Nazira yang menggoyang tadinya melekap. Menepuk elok di depan muka Fahmi sampai lelaki itu sedikit terkebelakang mukanya.
Terkejut atau nak jaga muka yang agak kacak, Nazira tak boleh tebak.
“Hah, kami tengah jaga-jaga kat sini. Manalah tau kalau ada pesakit yang pengsan. Ha, nanti glamorlah hospital kita. Dapat masuk paper ke, TV ke. Itu kan dapat menaikkan nama baik hospital kita. Berkhidmat sebelum ada yang parah,” sambung Nazira menyengih tanpa kena sepit.
Fuh, selamat! Aiza lega dalam diam. Pandai jugak si Ira ni kelentong. Tak apalah, tipu sunat. Walaupun alasan tu agak… Mmm, kira bolehlah daripada tak ada.
Fahmi senyum. Kedua-dua gadis itu memang nakal dan banyak akal. Terutama sekali Nazira, gadis yang peramah dan sentiasa riang ke sana ke mari. Payah benar hendak lihat wajah ceria itu mencuka, kecuali kalau dia marah atau merajuk. Itu pun sekejap saja.
Kata Nazira, merajuk atau marah dengan dia, sangatlah tidak sinonim. Dan, Fahmi mengakuinya.
“Mmm… yang kat dalam tu doc yang baru ditukarkan ke sini ke, Doktor Fahmi?” soal Nazira mencuri pandang ke dalam bilik. Menjengket-jengket hendak lepasi ketinggian Doktor Fahmi yang masih berdiri di muka pintu biliknya.
Aiza ikut mencuri pandang. Manalah tahu kalau-kalau dapat lihat wajah doktor baru itu. Lagipun, dia lebih boleh curi tengok banding Nazira yang ketot. Dah dapat lihat, tidaklah dia dikata ketinggalan lagi. Malangnya, lebih sikit tinggi daripada Nazira pun tak ada gunanya. Dia hanya dapat lihat kelibat lelaki itu sahaja. Tapi, hmm… dari belakang pun nampak maco saja!
“Eh, mana Ira tau?” soal Fahmi agak hairan. Setahunya berita itu tidak disebarkan. Hanya bahagian pentadbiran saja yang tahu.
Namun, seketika saja hairannya itu kerana Fahmi dapat mengagak bagaimana gadis itu tahu. Ini sah kes menghendap si Izam dari tadi. Kalau Nazira sudah tahu, teruslah dia akan ambil tahu sampai ke sudah. Busybody hospital ini kan. Tapi busybody spesies baik punya. Hal yang perlu dan dia mahu saja. Sah, Izam sejak awal tiba sudah jadi mangsa sekodeng gadis lincah ini. Ira, Ira…
“Biasalah…” Nazira menyeringai. Siap keluarkan bunyi hehehe lagi kemudiannya.
“Pantas sungguh Ira ni.” Fahmi ketawa kecil.
“Takkanlah tak nak kenalkan kami dengan dia?” Nazira masih tidak mengalah untuk bersemuka dengan doktor baru itu.
Yalah, jengket asyik tak lepas. Kut dia rajin nak kerabat Doktor Fahmi, nampaklah. Tapi, kang heboh satu hospital pula. Tak pasallah!
“Yalah, yalah. Saya tau Ira tak akan puas hati selagi tak jumpa dia sendiri.” Fahmi menembus tubuh melalui celahan pintu. Masukkan separuh tubuh lalu Izam digamit. “Mari aku kenalkan kau dengan dua orang gadis manis ni.”
Temannya itu menghampiri Fahmi. Dia tersenyum mesra kepada Nazira. Gadis genit ini. Dia ingat sebab orangnya rendah, hanya paras dadanya. Dan, sebab mereka berlanggar tadi. Yang seorang lagi pula…
Eh, rasanya macam kenal saja awak tu. Matanya tertumpu terus ke wajah Aiza. Menilik dan mengkaji. Sah, memang dia! Kalau aku taulah dia kerja kat sini, dah lama aku mintak tukar. Kut sekarang dah ada anak dua. Hisy, gatalnya aku. Baru Izam tahu dia pun ada gen ulat bulu naik daun macam Izat.
Nazira melambai-lambai tangan di hadapan wajah Izam. “Helo… helo… Masih kat sini lagi?”
Kemudian sengaja pula Nazira mengelip-ngelipkan mata di depan muka Izam. Siap parkir kedua-dua tangan yang dikepal di bawah dagu.
“Ah… Ya, ya. Kenapa?” Izam sedikit sentak. Baru sedar diri.
“Ops… Sorry kalau ganggu doktor layan perasaan. Hmm, sebenarnya nak pesan. Jangan pandang lama-lama, nanti saling jatuh cinta.” Nazira selamba nyanyi ikut rentak lagu Sweet Charity. Terkenyit-kenyit mata menyakat.
Aiza mencubit halus lengan temannya. Geram. Malu. Kalau bukan doktor pujaan hati, satu hal. Ini doktor ‘pojaan’ hati, berhal-hallah. Malu memuncak, geram memarak.
Nazira mengaduh. Menggosok-gosok lengannya yang terasa sengal. Nak bunuh orang ke minah ni? Tadi cubit, sekarang cubit. Asyik dia saja terbabit!
“Sakitlah!” Mencerun Nazira kepada Aiza. Siap buat bunyi menderam lagi.
“Tahu pun! Yang kau memandai tu pasal apa?” marah Aiza geram.
Nazira cebik bibir.
“Eleh, orang cakap yang betul pun nak cubit. Aku bagi tau rahsia tadi baru tau,” ugut Nazira tersengih.
Sudah… Jangan! Malu aku kang depan dia ni! Nanti mesti dia beritahu kat adik dia dengan Aunty Rina. Eii, tak sanggup aku!
“Eh, tak, tak… Aku tak marah…” Luas sengih Aiza sambil gosok-gosok lengan Nazira yang tadi jadi mangsa ketam batunya.
Tersenyum Nazira dengan gelagat Aiza. Nak tutup lubang punya pasal, manja kemain.
“Tau takut.” Nazira berbisik kepada teman itu seraya mengenyit mata. Suka nak kenakan Aiza.
“Hei, tak baik berbisik depan kami tau. Apa pun… Hah, Izam, aku kenalkan pada kau gadis paling nakal dan bermulut becok kat hospital ni.”
“Ooo… Aaa… Yang mana satu?” soal Izam. Namun, dia dapat mengagak. Sekejapan bersama sudah boleh buat dia meneka.
“Tu… yang dari tadi bercakap tak henti tu.” Fahmi memuncungkan bibir ke arah Nazira. Selamba. Gadis itu jelir lidah kepadanya. Fahmi tak ambil hati. Memang begitulah Nazira yang dia kenal.
“Okeylah, aku nak buat rounds. Aku pergi dulu ya, Izam.” Fahmi menutup daun pintu biliknya seraya angkat tangan kepada Izam. Junior satu U dengannya. Dan kini, mereka punya pertemuan semula.
Kemudian Fahmi melihat Nazira dan Aiza. Kedua-dua gadis yang elok dengan pakaian seragam hospital mereka. Sut skirt berwarna merah jambu lembut bawah lutut. Pada kepala masing-masing pula nurse cap elok terletak, juga warna merah jambu lembut. Aiza dengan rambut pendek gaya potongan Cleopatra paras telinga, disisir elok. Manakala rambut hitam berkilat Nazira disanggul kemas dengan rambut depan menutup dahi.
“Mmm, kamu berdua pulak, jangan nak curi tulang ya,” ujar Fahmi menunjuk-nunjuk jari telunjuk ke arah kawan baik berdua itu.
“Yes, doc!” Nazira angguk dengan dua jari pada kening kanan. Saluting!
Fahmi sekadar senyum dengan telatah gadis itu. Nazira jika dilihat mata, tidaklah secantik Aiza. Antara teman berdua ini, menang rupa tentulah Aiza. Kalau ada lelaki yang melihat mereka jalan bersama, pasti mata akan menyerbu terus kepada Aiza.
Namun, wajah biasa-biasa Nazira itu penuh kelembutan. Wajah itu wajah keibuan. Dan, takkan ada siapa sangka di balik wajah itu tersembunyi kenakalan yang begitu menghiburkan. Kelembutan wajah itu dan kenakalan gadis itu boleh menambat hati siapa saja. Nazira kalau dikenal, memang ramai lelaki beratur untuk jatuh suka.
Malah, diam-diam dia sendiri selalu jatuh suka kepada Nazira. Tidak boleh hendak tidakkan rasa itu. Namun, dia tahu dia tidak jatuh cinta, kerana cintanya sudah diraih gadis lain lebih awal. Dan, kekasihnya sendiri tahu dia jatuh suka kepada Nazira berulang-ulang, kerana Anna ikut jatuh suka dengan keletah Nazira di balik pertemuan tak seberapa dalam hubungan jarak jauh mereka.
Perangai Nazira yang keanak-anakan dan happy go lucky menyebabkan Fahmi menyayangi gadis itu seperti adiknya sendiri. Nazira adalah peran yang menghiburkan isi hospital ini. Tersenyum, Fahmi berlalu.
“Jomlah, Aiza. Nanti merungut pulak member-member lain sebab kita tak ada kat nurse-station.” Nazira menarik lengan Aiza.
“Mmm, cik pergilah dulu. Saya ada sesuatu nak cakapkan dengan kawan cik ni,” ujar Izam seperti menghalang Aiza daripada berlalu.
“Ada apa-apa ke?” usik Nazira melihat antara Aiza dengan Izam. Dia menyiku Aiza yang diam sedari tadi, malah Aiza ikut jadi terkejut dengan halangan Izam. Sudahnya Nazira menjongket kedua-dua bahu.
“Anyway, I’m Intan Nazira. Panggil aje Ira.” Nazira tegakkan kelima-lima jari tangan kanan setinggi bahu, menggedik-gedikkan ia serupa lambaian salam kenal.
“Hai, Ira.” Izam senyum mesra.
Izam menanti gadis itu berlalu, namun si manis itu tidak berganjak dari tempatnya. Berdiri saja dengan kedua-dua tangan saling bersilang di belakang tubuh, merenungnya seolah-olah sedang menanti. Tunggu apa pulak ni?
“Mmm, ya…?” Izam soal terus.
“Takkanlah saya aje nak kenalkan diri. Macam mana dengan doktor?”
“Ooo… minta maaf. Saya Mohd Izam Effy, tapi panggil saya…”
“Doktor Izam,” potong Nazira mengerdip mata.
“Okeylah. Jangan sampai hilang kata bila berdepan dengan cik adik ni ya.” Nazira selamba menyiku manja Aiza. “Susah nanti. Okey, bai-bai.”
Melambai mesra, Nazira meninggalkan Izam dan Aiza berdua di situ. Berlari sambil menjingkit-jingkit gaya skipping dan menyanyi kecil suka hati.
Tersenyum Izam dan Aiza memerhati. Kemudian, mata Izam dan Aiza bertembung.
Spontan Izam mengeluarkan suara. “Dia memang macam tu?”
Aiza angguk cuma. Terkulat-kulat melihat segala arah, tapi bukan hadapannya. Sebab di depannya sedang berdiri tubuh lampai yang mula buat hatinya tahu main dram semenjak kali pertama melihat paras itu. Terintai-intai dia curi tengok apabila Izam memunggah barang dari dalam kereta, ketika hari pertama berpindah kembali ke rumah keluarganya. Lepas itu, sekali lagi sekodeng cik abang ini basuh keretanya.
Bisu. Begitulah suasana antara mereka seketika. Akhirnya Izam mengalah. Tahu tanggungjawab buka mulut dan bersuara jatuh ke bahunya. Lagipun, sampai bila nak berdiam diri begini? Salah seorang perlu mengalah.
“Rasanya saya pernah tengok cik…” Sengaja Izam bungkam di situ.
“Aiza.”
Wajah yang sama, nama yang serupa. Tak mungkin pelanduk dua serupa. Kut ya pun pelanduk dua serupa, takkanlah dengan nama dan rupa sekali gus.
“Cik Aiza tinggal di Taman Cahaya Purnama?” Akhirnya Izam menanya soalan yang hendak sangat dia tanya sejak awal tadi.
Aiza angguk kemudian selamba berkata, “Kat sebelah rumah doktorlah.”
Itu pun tak tahu ke? Yang hari-hari kau duk ushar tu akulah! Takkan anak katak kut?!
Bercahaya sakan mata Izam, kalah Taman Cahaya Purnama. Jadi, dialah… Memang dia! Ada peluanglah ni!
Kalau tak nak cakap, jangan bazirkan masa aku! Apa punya lelakilah! Kat rumah pun dia tak berani nak tegur. Asyik buat kepala bangau aje. Hah, dah tumpang ada peluang ni, gunalah! Itu pun tak! Soal entah apa-apa punya soalan. Heh! Aiza masukkan kedua-dua tangan ke dalam poket baju seragam.
“Tak apalah ya. Saya ada kerja. Saya minta diri dulu.” Terus Aiza hendak berlalu. Namun, terhenti dengan tegahan tegas daripada lelaki di hadapannya.
“Sekejap!”
“Ada apa, doktor?” Aiza kembali berhadapan dengan lelaki itu. Kedua-dua tangan masih di dalam poket kanan dan kiri uniform. Malas-malas mahu.
“Izam. Panggil saya Izam aje. Boleh saya panggil awak Aiza?”
“Ikut suka Izamlah. Ada apa-apa lagi, dok… mmm, Izam?” Aiza cuba untuk tunjuk selamba. Sedang tangan di dalam poket sibuk tergenggam dan terbuka berulang untuk jauhkan gemuruh. Kasi siuh jauh-jauh!
“Mmm… bila kita boleh jumpa lagi?” Izam melurut-lurut belakang kepala.
Terkebil sekejap, Aiza sudahnya senyum. Rasa comel pula aksi serba tak kena Izam yang melurut-lurut rambut belakang begitu. Rambut yang keperangan sebagaimana adiknya. Cuma adik lelaki itu sudah tukar stail rambut sejak-sejak kebelakangan ini. Membela. Dan, Izam nampak kacukan, sedang adiknya nampak lebih kepada mat salih.
“Bila-bila saja. Okeylah, saya mintak diri dulu.” Aiza terus berlalu tanpa menunggu balas kata. Malu…
Izam tutup mulut, tapi bukan mata. Membesar tengok Aiza berlalu begitu saja. Bila-bila saja? Apa maksud dia? Ah, lantaklah! Asal aku dapat tengok muka dia setiap hari sudahlah…
Izam berlalu pergi dari situ, bersama sengih yang tak boleh hendak putus. Joker pun boleh kalah tau!

4 ulasan:

Tuan Zety berkata...

Best 👍👍👍 nak lagi 😃😄

Bikash Nur Idris berkata...

Tuan Zety,
Insya-Allah :D

Quedin Dieen berkata...

Best

Bikash Nur Idris berkata...

Quedin Dieen
Terima kasih :)