Sabtu, Oktober 18, 2014

Princess Reborn | Prolog

[ nama saya izat effy. ngee. ]
“Izat nak ke mana tu?” soal Puan Zefrina setelah terpandangkan anak terunanya yang baru turun dari anak-anak tangga.
“Keluar. Nak ambil angin,” ujar Izat sepatah lalu segera mencapai kunci kereta Toyota Celicanya.
Izat pantas masuk ke dalam perut kereta. Tidak endah akan si ibu yang terus melihat dari muka pintu apabila dia mengundur kereta, keluar dari pekarangan rumah banglo dua tingkat itu. Apabila daya tiada, apa mampu dia untuk memujuk hati si ibu yang rawan? Sebab Izat juga begitu. Sama rawan.
Puan Zefrina sekadar menggeleng. Begitulah keadaan anak bongsunya itu semenjak kehilangan Nazira, insan yang paling disayanginya. Maafkan mummy, Izat, mummy tak berdaya nak buat apa-apa. Kasih kamu terlalu utuh buat gadis tu hinggakan tak ada siapa dapat menggantinya. Kasihan anak mummy…
Satu keluhan panjang dilepaskan. Puan Zefrina berlalu dari muka pintu. Kerana dia tidak ada kuasa membantah tindakan anak itu. Tindakan yang lahir kerana hati sendiri tidak terurus, sebagaimana diri.
Kereta Toyota Celica merah yang dipandu Izat meluncur laju tanpa tahu destinasi hendak dituju. Dia hanya hendak keluar seketika tadi. Berada di dalam kotak yang dipanggil bilik tidur itu buat dia rasa sesak. Lemas menghimpit, membujuk perasaan untuk jadi hiba apabila mengenang segala yang telah berlalu.
Walaupun ada pepatah menyatakan masa pengubat segalanya, namun yang sakit itu tetap ada rasanya. Kalau dipertonton hati yang satu ini, mungkin luka berdarah sudah tidak nampak dek mata kasar. Tapi, hakikatnya ada parut luka yang boleh ditangkap mata kasar itu. Tambah apabila jahitannya tak sempurna.
Sakitnya perasaan. Peritnya kenyataan.
Hmm, nak ke mana ya? Isy, berkeroncong pulak perut aku ni! Itulah, tadi mummy panggil makan, tak nak! Izat menggerutu dirinya sendiri. Baik aku pergi makan kat KFC dekat selekoh sana tu. Sebab Izat sedar, dia masih perlu makan walaupun ikut hati tak hendak, ikut jiwa tak mahu. Dia perlu makan untuk keluarganya. Terutama mummy. Itu dia perlu buat.
Terus kereta dilajukan ke restoran KFC terdekat dengan jalan dilalui. Dia meletak kereta di tempat parkir lalu keluar dari perut kereta. Hendak tak hendak, dia menolak pintu restoran makanan segera tersebut. Ah! Kenapa ramai sangat? Namun, memikirkan perut yang menagih isi, dia beratur saja, menanti giliran memesan makanan.
“Makan, encik?” Seorang gadis tersenyum manis apabila giliran Izat tiba.
Dia membalas, walaupun senyum itu dipaksa-paksa. “Zinger one, Coke and fries.”
“Makan sini, bawa balik?” soal gadis itu lagi.
“Makan sini.”
Gadis itu segera menyediakan pesanan. Lincah jemarinya melaksanakan tugas. Mungkin sudah biasa.
Izat memerhati sahaja, sampailah dulang berisi pesanan ditolak elok ke depannya sebaik dia membayar harga makanan. Izat ambil dulang yang diserah lalu dibawa ke sebuah meja yang agak tersorok. Dia duduk, bersandar malas pada kerusi, melihat isi dulangnya.
Tanpa endahkan dulang yang masih menampung pesanan, terus seketul kentang goreng dicapai. Mengunyah. Makan. Perlahan. Mata Izat melihat ke arah cermin luar. Melihat, melihat dan melihat. Namun, entah apa yang dia nampak. Kerana melihat tanpa arah, tanpa tahu apa. Kosong.

“Lia, pakwe kat sana tu cunlah. Tapi, nampak lembik aje. Tengoklah cara dia makan… lemah aje. Longlai. Macam tak bermaya nak pegang fries tu. Gaya beratlah sangat.” Atika menuding ke arah pemuda yang dimaksudkan.
Pakwe yang mungkin mengharapkan diri tersorok daripada pandangan orang, tapi bukan dari mata helang Atika. Soroklah kat mana pun. Kalau ada aura kacak lagi tampan, sampai saja kepada Atika. Sama ada deria pandang atau bau!
Razliana sekadar mengerling. Walaupun perlu lawan bangau apabila mengerling kerana dia perlu juga menjenguk-jenguk. Dia tak ada aura pengesan si kacak lagi tampan sebagaimana Atika. Sudahnya, dia angguk. Mengakui kata-kata temannya.
“Ada problemlah tu,” sampuk Erin.
“Pandailah kau,” getus Razliana senyum dengar pandangan teman yang seorang lagi itu. Memang becok. Boleh saja tahu semua benda.
Agaknya kalau mata Atika boleh nampak pakwe kacak lagi tampan berbatu jauhnya, Erin pula mampu mengimbas guna mata untuk tahu makhluk itu ada masalah ataupun tak.
“Biasalah… I kan memang pakar pasal bab-bab macam ni. Macamlah you all tak tau.” Menggedik Erin dengan aksi patah tangan. Kemudian tayang sengih sakan.
Atika mencebik. “Pirah…!”
“Hei, tak mau kutuk na…” Erin membela diri, jari telunjuk tegak di depan Razliana dan Atika, kuit kiri kanan, kiri kanan. Sebelah tangan lagi siap cekak pinggang.
Razliana senyum kemudian terus tampar jari telunjuk Erin yang menggedik macam tuannya. Lucu melihat gelagat teman yang suka berkeletah itu. Tapi, Erin bukan spesies boleh dilayan. Kian menjadi nanti. Kang kerja ke mana, Erin ke mana.
“Ha, sudah, sudah. Pergi ke kaunter tu, ada orang. Karang aku cakap kat Kak Chah, suruh potong gaji baru tau,” arah Razliana menggertak dengan mata sengaja dibesarkan.
“Baik, buyung.” Erin berlalu dengan sengih. Sempat kenyit mata.
Razliana geleng kepala. Nakal. Kemudian, dia sengetkan sedikit kepala dari tempat dia berdiri, untuk lebih mudah merenung pemuda di meja yang disebut Atika tadi. Kasihan. Memang seperti orang putus kasih. Lembik segala tulang dan sendi saja gayanya. Kalau jadi pakwe akulah, aku tak tinggal punya. Bertuah gadis yang bertaktha di hati dia. Yang sampai kini masih ada di ruang yang itu.
Aik, aku ni apasal pulak fikir yang tak perlu? Ah, jiwang karat pulak kang.
Terus Razliana hilang daripada cegatnya. Kembali aktif dengan apa yang perlu. Masa ini masa bekerja buat diri, bukan berfalsafah soal hati!

Baru separuh kentang goreng di dalam mulut, Izat letak kembali ia. Rasa pahit bila dikunyah. Kesat di kerongkong. Tak berdaya rasanya. Hilang segala mampu diri, sudah dibawa bersama. Habis tu, macam mana aku nak hidup tanpa kau?
Ira, kenapa begitu cepat tinggalkan Izat? Kehadiran Ira telah mengubah hidup Izat, mengubah diri Izat. Segala detik suka dan duka masih segar dalam ingatan. Segalanya seperti baru semalam berlalu. Seperti baru sebentar tadi kita bermesra. Izat… Hati merintih lagi. Izat tak dapat lupakan Ira, sayang. You’ll always be the princess of my heart…
Di ruang yang jauh dari mata orang itu, Izat tunduk dengan sebelah tangan menutup muka. Hiba hati terlalu menjunam. Menginjak diri. Menyentuh perasaan. Ya Allah, kenapa hukuman seberat ini yang aku terima? Kenapa, Tuhan-ku?

13 ulasan:

Syania Ann berkata...

Kesiannya izat.... xmo la sedih2 yer..

Bikash Nur Idris berkata...

Syania Ann, cerita ni sad ending. Ai bagi tau siap2 :D
Tapi, nak tau sad ending ke sudah ataupun tak... sila la baca. Kikiki.

Heiress Of Isla berkata...

i cant wait for this book..I've been looking for the Princess Novel.. It's my first novel to read.. So sad i cant find it.. pity Izat :'(

Bikash Nur Idris berkata...

Heiress of Isla, thanks for reading. Harapnya akan sudi jugak baca Princess-reborn :D

Haruno Hana berkata...

siannya kat Izat :( ingat lagi kat novel Princess tu. takleh terima masa Nazira mati.

so far, okey. nak tahu macam mana Izat nak cope up ngan kehilangan Nazira dan move on untuk masa depan dia :)

Bikash Nur Idris berkata...

Haruno Hana, thanks for reading :)
Tak sangka awak sudi baca. Ngee.

Mona Ismail berkata...

Kesiannya Izat...harap cepat cari pengganti nazira

Bikash Nur Idris berkata...

Mona Ismail, terima kasih baca & jangan serik teruskan :)

NurAtiZa berkata...

Best....

Bikash Nur Idris berkata...

Nuratiza,
Terima kasih :)

hasznee hasan berkata...

sis. ni cerita yg sama ke ada perubahan baru? suka novel ni. sedih tp sweet

hasznee hasan berkata...

sis. ni cerita yg sama ke ada perubahan baru? suka novel ni. sedih tp sweet

hasznee hasan berkata...

sis. ni cerita yg sama ke ada perubahan baru? suka novel ni. sedih tp sweet