Sabtu, Oktober 04, 2014

Ingin Hati Melukis Kata | Spesial

13 Jun 2014, Ahad
Sudah dua minggu umat Islam berada di bulan Ramadan, menikmati keindahan dan kemurniaannya. Raimi senang hati dengan kehadiran Ramadan kali ini. Tahun ini, sudah tujuh tahun dia berpuasa sebagai suami kepada Ainsya Najma. Kekasih hatinya yang jadi racun dan penawar. Masa ini, dia rasakan Ainsya adalah racun dalam jiwanya. Tak, bukan masa ini saja. Sebaliknya, sejak mereka mula berpuasa pada hari pertama lagi dia rasakan Ainsya itu racun dan makin lama racun itu makin menguasai perasaannya. Raimi takut satu saja—mati diri ditelan racun dalam hati!
“Babah...”
Suara yang kedengaran itu mengalih perhatian Raimi dari kuali berisi sayur kangkung sambal belacan yang sedang dimasaknya, selepas dia selesai masak udang masak sambal, telur dadar dan sup sayur. Raimi alih badan dan terus mata nampak tubuh kecil berusia lebih lima tahun yang sedang berjalan masuk ke ruang dapur dengan gaya jalan Awatif-walk iaitu berjalan silang kiri kanan, sambil kesat mata dengan kedua-dua tangan.
Raimi senyum. Dia perlahankan api dapur lalu terus hampiri Awatif dan dukung anak gadisnya itu. Awatif kalau baru bangun tidur memang beginilah gaya jalannya. Ikut mewarisi gaya mamai lalok mamanya. Jalan zig-zag gaya itu, kemudian langgar dinding. Lepas itu, tengok dinding dengan muka tak puas hati gaya dinding itu pula yang langgarnya. Adalah dalam 31 saat mencerun muka tanda marah kepada dinding kemudian, “Oh, dinding. Sorry eh, tak nampak.”
Aduhai, anak. Alahai, isteri. Kalau bab buat dia gelak selalu, bagilah kepada mereka. Memang badut paling manis dan comel di mata dan di hatinya.
“Anak babah dah bangun ya...” Raimi kucup pipi Awatif yang selamba sahaja letak kepala ke dadanya, penuh manja.
“Mmm...” Awatif kelip-kelip mata seketika kemudian angkat muka dari dada babahnya dan pandang sepasang mata babah. “Mama mana, babah?”
Raimi mengeluh kecil. “Tidur.” Tak senang ucapan yang meniti keluar dari bibirnya.
“Mama ni... tidur aje,” komen Awatif dengan mulut memuncung. Tumpang tak senang hati, tiru gaya babahnya.
Raimi tercuit dengan gelagat Awatif. Dalam usia hendak masuk enam tahun Disember nanti, Awatif sudah ada perangai baru. Suka sangat copy paste sikap dia atau Ainsya. Pantang nampak, mulalah nak meniru. Lepas itu, suka menyokong dia sekejap, kemudian alih kepada Ainsya. Jenis lalang sungguhlah anak daranya ini. Tapi, lalang paling comel kut. Keletah Awatif memanglah penenang hatinya. Tambah bila sejak belakangan ini kerenah Ainsya jadi penyakit kepada hatinya. Aduhai, anak. Alahai, isteri.
“Mama tak tau ke bersahur tu sunah? Dapat ber...” Awatif diam, kerut dahi sekejap.
“Berkarat?” Lagi dia kerut dahi sampai ke muka-muka.
Raimi gelak perlahan. Lucu dengan memek muka Awatif serta sebutan berkarat anak sulungnya itu. Awatif memanglah amat celoteh dan banyak mulut, namun ada sebutan yang Awatif tak boleh sebut dengan baik. Sudahnya, wujudlah ayat gaya Awatif sebagaimana jalan gaya Awatif-walk.
“Berkatlah, sayang babah. Berkat...” Raimi memperbetul sebutan Awatif sambil cuit hujung hidung si kecil petah itu. Rambut Awatif yang lebih mewarisi Ainsya, malah nampak lagi kerinting disebak ke balakang apabila Awatif capai hujungnya. Nak kemam punya pasal.
Kalau ditegur, beginilah Awatif tunjuk perasaan. Tak suka kalau salahnya dibetulkan. Agak besar kepala juga Awatif pada bahagian ini. Degil tak bertempat. Entah perangai siapalah yang kenan ke anaknya ini. Adya gamaknya. Sorrylah kalau tersedak ya, Adya. Hehehe.
“Tif taulah, babah. Berkarat tu berkatlah. Tulah, babah. You should join tadika when you were six. Kan dah tak tau.” Awatif juih mulut kemudian tepuk-tepuk dada babahnya dengan kaki tergedik-gedik.
“Pandai sangatlah anak babah ni.” Raimi curi kucup pipi Awatif kemudian turunkan si kecil yang sudah protes dengannya. Nak sangat tak didukung gara-gara tak suka kena tegur. Memang gaya Adya sangat.
Awatif masih cebek mulut dan peluk tubuh. “Memanglah Tif pandai. Tif masuk tadika tau.” Awatif sua muka budak bangga masuk tadika.
Raimi kulum senyum. Kelakar dengan keletah Awatif yang bangga sangat dengan pengajian di tadikanya. Semuanya gara-gara Ainsya kantoikan dia yang tak masuk tadika masa umur enam tahun. Jadi, pada pandangan Awatif, Raimi kurang dan Awatif lebih. Sebab, Awatif masuk belajar lagi awal bandingnya.
“Yalah, budak yang masuk tadika. Go and seat at your place. Babah nak kejutkan mama sekejap,” ujar Raimi sambil dapatkan kuali kembali, kacau sedikit sayur kemudian matikan api dan mencedok kangkung sambal belacan ke dalam piring lalu diletak di atas meja makan bersama hidangan sahur yang lain.
Sempat dia tunduk dan kucup dahi Awatif yang sudah duduk di kerusi kepala meja sambil goyang kaki kiri kanan, letak muka di atas meja makan. “Tunggu ya, sayang...”
“Okey. Kalau mama tak nak bangun, babah gunalah rotan gertak Tif yang babah sorok kat belakang almari tu pukul mama,” cadang Awatif penuh serius.
“Kat mana babah sorok pun, tau aje dia...” Raimi geleng-geleng.
“Babah, Tif kan masuk tadika. Of course I know.” Awatif sua muka budak tadika bangga amat dengan pencapaian sendiri.
“Yalah, yalah, budak tadika bijak pandai. Babah naik panggil mama dulu ya.” Raimi tunduk badan sedikit gaya minta izin kepada Awatif yang sedang menampilkan aura princess. Perasan Disney princesses’ sangatlah. Aduhai, anak...
Awatif angkat sebelah tangan paras bahu dan gedik-gedikkan gaya pergi-pergi. Tergelak Raimi sambil tinggalkan ruang dapur, hendak dapatkan bilik tidur dia dan Ainsya di atas sana. Sedarkan isterinya yang entah mengapa tahun ini lain macam ragamnya bila berpuasa. Alahai, isteri...

“Ayang...” panggil Raimi lembut sambil sentuh lengan Ainsya dan goyang perlahan tubuh itu. Tubuh yang di matanya nampak makin susut belakangan ini. Tapi, isterinya suka amat. Sebab nampak solid-molid gaya muda remaja dulu katanya.
“Mmm...” Ainsya bersuara sambil tolak-tolak tangan Raimi pada lengannya. Apabila tiada tanda genggaman itu akan longgar, dia tampar-tampar pula gaya nak halau langau.
Raimi gelak kecil dengan kerenah isterinya yang comel amatlah di mata. Namun, apabila matanya kerling jam pada dinding yang sudah menghampiri pukul 5.00 pagi, hilang terus rasa lucu nak ketawa itu. Masa sudah makin suntuk untuk mereka bersahur.
“Ayang, bangunlah. Takkan tak nak sahur? Dekat 5.00 dah ni...” Kali ini Raimi tak bagi muka dah. Dia paut kedua-dua lengan Ainsya lalu diangkat tubuh itu. Dia pula duduk di hujung katil bahagian Ainsya tidur, membuatkan tubuh Ainsya terus berdepan dengan badannya yang diiring ke arah isterinya.
Ainsya buka mata, kelipok-kelipok mata pandang Raimi yang sedang paut lengannya kuat, tampung badannya agar dia duduk tegak begitu. Kemudian dia pejam mata dan lembikkan badan ke arah Raimi. Terus kepalanya jatuh ke dada bidang Raimi.
Raimi melepas keluhan. “Ayang, tak naklah macam ni... Abang dah masak dah pun, dah hidang dah pun. Semua abang dah buat, tinggal ayang aje tak bangun lagi. Anak dara kita yang kecik tu pun pandai nak bangun sendiri tau.”
Ainsya angkat badan, duduk sambil mencerun pandang kepada Raimi yang masih pegang kedua-dua lengannya, tampung badannya yang sekejap lembik kiri kanan. Meluruskan badan, dia tolak kedua-dua tangan Raimi dengan kedua-dua siku.
“Nak mengungkitlah ni?” tanya Ainsya sengit sambil tolak lagi tangan Raimi apabila suaminya cuba tolong dia yang hendak bangun dari katil. Sebab dia bangun gaya menyenget satu macam.
“Tak nak sentuhlah. Tak payah tolong!” Suara Ainsya naik satu oktaf sambil pegang dinding, cuba imbang badan.
“Ayang ni kenapa? Apasal yang mood asyik hangin satu badan aje sejak kebelakangan ni? Tak cukup dengan abang, Awatif pun kena sama. Budak tu kejut ayang sahur kan semalam tu. Bukan kacau tidur ayang saja-saja.” Raimi cekak pinggang sambil pandang garang Ainsya.
Dia sungguh tak faham dengan tahap degil lain macam Ainsya semenjak beberapa minggu ini. Orang lain bila bulan puasa makin tenang dia nampak. Namun, isteri kesayangannya ini, lain macam barannya, marahnya. Dia memanglah sudah banyak kali kena sound dengan Ainsya gaya dia budak kecil mana entah dan bukan suaminya. Awatif tak payah cakaplah. Mujur sangatlah Awatif senang makan pujuknya. Nak harap Ainsya, baik jangan harap.
Mood berubah lain macam satu hal. Hendak ajak bermesra bermanja bagai selalu-selalu pun Ainsya tak ingin. Baru dia sentuh, Ainsya dah jauh. Baru dia mula, Ainsya dah tamatkan. Gaya macam dia adalah manusia paling jijik tak layak disentuh saja Ainsya buat. Sebagai suami, manalah dia tak makan hati dan kecil perasaan. Dia pun nak juga dimanja dan memanjakan. Macam sebelum-sebelum ni...
“Abang nak makan sahur pergilah makan. Ayang tak larat. Ayang letihlah...” rengek Ainsya.
Namun, di telinga Raimi ia tak manja langsung bagai sebelum-sebelum ini. Suara Ainsya masih tinggi, makanya rengek Ainsya jadi lain macam. Tak sedap di telinga, di hati lagi-lagilah!
“Ainsya ni kenapa, hah? Orang puasa kan kena sahur. Sahur tak nak, berbuka pun main-main. Sejak mula puasa sampai sekarang, satu pun pasal abang, pasal Awatif, pasal rumah kita, Ainsya tak kisahkan. Yang Ainsya sibukkan, butik tu jugak. Sana ada masa pulak, sini tak ada langsung. Butik tu lagi penting daripada abang, daripada Awatif?” Raimi meluah rasa.
Apa yang dia diamkan dan pendamkan sekian masa, dia lepas semua. Perangai Ainsya sendiri yang buat dia begini dan degil Ainsya sendiri yang buat panggilan manja mereka jadi hilang. Ayang dah tak ada. Mujur juga dia tak layang Ainsya. Dipanggil juga dengan nama isterinya itu.
Ainsya yang bersandar pada dinding perlahan-lahan turunkan badan sambil memeluk bahagian perut dengan kedua-dua tangan. “Ayang tak nak gaduhlah...”
“Kita tak gaduh. Abang cuma nak tahu, apa masalah Ainsya? Apa aje yang abang buat, yang Awatif buat, semua tak kena kat mata ayang. Kenapa? Dah tak sayang abang? Dah tak sayang Awatif?”
Ainsya kemam bibir sambil duduk mencangkung di atas lantai dengan badan sudah mengerekot ke depan. “Abang tak faham...”
Raimi mengeluh, panjang dan perlahan. Melihat keadaan Ainsya masa ini Raimi rasa kasihan. Perlahan-lahan dia hampiri Ainsya dan duduk di hadapan isterinya itu. Apabila Ainsya angkat muka tengoknya, dahinya berkerut. Wajah isterinya itu dibasahi peluh. Merenik tak henti sedang bilik mereke berpenghawa dingin. Dia cuba sentuh jemari tangan Ainsya yang masih peluk badannya sendiri. Namun, Ainsya menolak. Sekali lagi dia terasa hati.
“Abang tak faham... jadi, fahamkanlah abang,” ujar Raimi cuba berlembut.
Ainsya ketap bibir dan sesekali matanya terkatup-katup.
“Ainsya!” Naik sedikit suara Raimi kerana dilihat Ainsya bagai sengaja tak hendak kisah dia.
“Sakit...” Mata Ainsya mula hangat. “Ayang sakit, abang...” ujarnya dengan muka tahan sakit, terus peluk perut.
Raimi pelik. Namun, melihat Ainsya yang makin menangis sampai teresak dan berkerut muka tahan sakit balik wajah yang makin berpeluh, dia mula tidak senang hati. Kerisauannya makin menghenyak jiwa. Cepat-cepat dia engsot badan mendekati Ainsya, cuba angkat badan Ainsya yang sudah tunduk sampai dahi Ainsya hendak sentuh paha Raimi. Namun, belum sempat dia buat begitu, tubuh Ainsya jatuh lembik ke pahanya.
Raimi tergamam.

Raimi elus lembut tangan kanan Ainsya dalam genggamannya. Matanya tunak tengok Ainsya yang berwajah pucat, terbaring di atas katil serba hijau itu dengan IV drip masuk ke tangan kiri. Gebar berwarna hijau lembut pula ditarik sampai ke dada isterinya itu. Raimi bawa tangan kanan Ainsya ke bibirnya, dikucup sayang. Sayang sangat!
Walaupun sudah masuk hari ketiga, hatinya masih dapat rasa takut yang sama, gentar yang serupa. Dia hampir hilang nyawa malam itu apabila Ainsya lembik dalam pelukannya, dengan nafas tak sempurna. Sesudah tiba di hospital pula, sekali lagi dia hampir putus nyawa apabila mendapat tahu bahawa isterinya itu sebenarnya sedang dalam kesakitan amat. Kesakitan yang hanya seorang wanita tahu!
Ainsya mengandung luar rahim. Ectopic pregnancy.
Dan, selama ini, Ainsya menjauhinya kerana Ainsya keliru dengan apa sedang berlaku kepadanya. Ainsya takut dengan apa sedang jadi kepadanya. Dan, menjauhi dia dan Awatif adalah cara Ainsya menjaga dirinya. Defense mechanism gaya Ainsya. Cuma, Raimi yang tak faham dan tak difahamkan.
Raimi kucup lagi tangan kanan Ainsya. “Abang minta maaf, sayang. Minta maaf...” Dia kucup lagi tangan itu.
Sentuhan lembut yang Raimi rasa pada belakang badannya buat dia aloh sedikit kepala. Terus nampak ibunya, Sujiah, sedang mengusap-usap belakang badannya gaya memujuk. Raimi kesat air mata yang jatuh ke pipi sambil senyum tipis.
“Everything will be fine, Imi. Pembedahan laparoskopi tu kan jalan dengan lancar. Ainsya dah boleh keluar dah pun. Imi yang tahan dia, mintak dia bedrest lebih masa.”
“Dia perlukan. Ibu tak tengok macam mana dia menggeletar tahan sakit malam tu, berpeluh-peluh. Tapi, Imi... salah sangka aje, fikir bukan-bukan. Dia tanggung semua sorang-sorang, ibu...” Raimi letak dua-dua tangan ke dahi kemudian raup muka. Rasa bersalahnya masih tak hilang. Dia rasa sangat.
“Tapi, sekarang abang boleh kongsi dengan ayang, kan?”
Pertanyaan itu buat Raimi terus paling muka dan pandang Ainsya yang sudah buka mata pandang dia. Ada senyum nipis mengolahi ulas bibir yang agak kering itu. Raimi terus angkat badan dan meluru ke arah Ainsya dan peluk kuat badan itu. Gaya macamlah sebelum ini Ainsya tak sedar diri. Malah, dicium tak henti-henti bibir Ainsya tanpa kisah kepada Sujiah yang ada sama di situ.
Ainsya tampar-tampar bahu kiri Raimi dengan tangan kanannya. Tangan kiri dia tak boleh nak angkat. Kalau tak, memang kepeluk-kelepuk dia kerjakan Raimi dengan kedua-dua tangan. Sebab geram sangat, sudahnya dia selamba ketuk kepala Raimi yang pagut bibirnya gaya entah apa.
“Auch! Sayang!” Raimi usap kepala. Bibir Ainsya, memanglah terlepas daripada jadi mangsa dia. Boleh sengal otak dia dengan gaya ketuk Ainsya itu. “Bergegar tau otak abang!”
“Padan muka. Nak buat hal pun tengok masa dan orang yang terlibatlah!” Ainsya jegil mata sambil perlahan-lahan angkat badan.
Sujiah yang perasan cepat-cepat bantu Ainsya bangun dan duduk di belakang kepala katil. Dia selesakan bantal pada belakang katil supaya Ainsya boleh bersandar dengan baik. Dia nampak Ainsya berhati-hati engsot dan betulkan kedudukan badannya kerana kesan pembedahan laparoskopi masih menantunya itu rasa. Tiga tebukan pada perut Ainsya adalah bukti.
“Awatif, ibu?” tanya Ainsya balas paut tangan ibu mertuanya yang genggam kuat jemari tangan kanannya.
“Ada dengan atuk-atuk, mak cik, pak cik dia kat rumah Sheeqa. Tak payah dia nak berangan princess dah, kat sana memang dapat layanan princess. Asyik gaya ini aje tangan.” Sujiah angkat sebelah tangan dengan gaya lentik dan buat gaya pergi-pergi macam Awatif suka nak buat.
Ainsya gelak perlahan sekejap sebelum sentuh perut.
Raimi cepat-cepat duduk di atas katil Ainsya dan sentuh wajah manis isterinya itu. Masih manis walaupun pucat. “Abang sayang... sayang sangat...”
Ainsya senyum. Matanya perlahan-lahan mula basah. “Ayang minta maaf. Ayang tak tau ayang mengandung. Walaupun luar rahim, dia tetap...” Dia kemam bibir.
“Anak, kita dah ada. Tambah ataupun tak, abang tak kisah. Asalkan ayang...” Raimi paut kedua-dua pipi Ainsya dan dekatkan wajah ke wajah manis itu, bersentuh dahi. “Asal ayang dengan abang, bersama abang. Just don’t ever frighten me like that. Jangan...”
Masih saling melekap dahi, Ainsya angguk-angguk. Mata terus berat dengan air mata. “Ayang takut sangat masa tu. Ayang tak tau apa tengah jadi. Ayang keliru sangat dan... tak tau nak cakap macam mana kat abang. Sebab tu bila abang...”
Ainsya diam, kerling Sujiah yang sudah duduk di sofa yang terdapat di ruang wad kelas satu itu. Dia nampak Sujiah saja-saja tengok semua arah, namun bukan arah katil. Nak bagi masa kepada dia dan Raimilah tu. Sebab ibu mertuanya itu tahu sangat dengan sikap Raimi yang suka aci sentuh dan pegang dia tanpa hirau masa dan orang. Sebab itu cara Raimi tunjuk sayang dalam hati yang membuak-buak kepadanya, Ainsya Najma.
“Abang nak dekat, ayang jauh, kan?” tanya Raimi selamba. Ainsya dah pemalu sangat, kalau dia pun ikut malu, memang tak ada wujudnyalah si Awatif kesayangan mereka itu.
Ainsya kemam bibir lalu angguk perlahan. “Lepas ni, macam mana kalau ayang tak dapat nak...” Dia kemam bibir lagi dan tarik nafas. “Ayang takut...”
“Abang nak ayang. Ayang sihat, ayang sayang abang, sayang Awatif dan bersama-sama abang besarkan Awatif. Sampai dia besar, kahwin dan tinggal kita berdua untuk kita honeymoon sentiasa.”
Ainsya gelak kecil, dia hentak perlahan dahinya ke dahi Raimi. “Fikir nak honeymoon aje!”
“Bila ayang depan mata, macam-macam abang fikir. Tapi, semua tu sebab abang sayang dan tunjuk sayang. Sayang sangat...” Raimi kucup bibir Ainsya tanpa alih dahi mereka yang masing bersentuh.
“Sayang sangat jugak...” Ainsya senyum kepada Raimi. Bahagia kerana dikurnia lelaki ini dalam hidupnya. Walaupun perjalanan perkahwinan mereka tak selalu putih, ada kelabu dan beberapa hari sudah dalam gelap, namun warna ceria penuh warna-warni selalu saja memadam warna tak ceria itu.
Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang. Dia beri ujian, namun Dia balas dengan keindahan.

1 Oktober 2014
Ainsya ketuk-ketuk bahu Raimi yang sedang tidur. Bukan main nyenyak dan lelap. “Abang!” Ainsya sudah kinja-kinja sambil terus tampar-tampar belakang badan Raimi.
“Bangunlah! Kata nak puasa sunat. Ayang dah siap masak, Awatif dah siap tunggu kat meja. Abang...!” rengek Ainsya terus kinja-kinja setempat.
“Hisy!” Raimi tolak gebar dengan perasaan geram dan suara menaik. Dia alih badan dan duduk sambil jegil mata kepada Ainsya. “Jangan bising boleh tak? Bingitlah!”
“Abang ni dah kenapa? Nak mengamuk aje kenapa? Period?”
“Eii, mulut!!!” Raimi berdiri dengan muka mencengil.
“Kenapa? Nak cium? Nah, nah!” ujar Ainsya muncung-muncung mulut gaya minta cium depan muka Raimi.
“Hisy! Gatallah!” Raimi tolak lembut badan Ainsya lalu hendak berlalu. Namun, langkahnya mati lagi apabila tiba-tiba saja dengan lajunya Ainsya berlari dah sudah berdiri di depannya. Hadang langkahnya.
“Apa gatal-gatal? Sebelum ni, dia yang over gatal, gedik melampau. Sekarang kita pulak?”
“Jangan kacau abang boleh tak? Kata nak sahur, kan? Kata Awatif tunggu, kan? Jomlah.” Raimi cuba jalan melepasi Ainsya sekali lagi. Namun, sekali lagi langkahnya dihadang Ainsya, siap dengan kedua-dua tangan mendepa.
“Ayang tipu. Awatif tengah tidur lagi.” Ainsya Menyeringai nakal.
“What?” Raimi terkejut. Tak sangka kena main dengan isteri sendiri.
“Kalau tak, abang takkan bangun kan. Nak tergolek aje. Tapi, bahagian dah siap masak ayang tak bohong. Memang dah.”
“Abang asyik tergolek sebab abang tidur lambat semalam.” Raimi tekan suaranya. Dia tidur semalam hampir jam 2.00 pagi dan sekarang... Dia kerling jam dinding di dalam bilik itu. 4.11 pagi. Dia hanya dapat tidur dalam dua jam saja.
“Memang abang tidur lambat semalam. Bukan semalam aje. Sejak berminggu-minggu ni abang asyik tidur lambat. Selagi ayang tak tidur, abang tak masuk bilik. Belum ayang bangun tidur, abang dah kalut nak pergi kerja. Berminggu-minggu, okey. Kalau ikut bulan, dah lebih sebulan.” Ainsya bercakap gaya kompelin.
Sebab memang pun dia tengah kompelin waktu ini. Kompelinkan perangai bukan Raimi suaminya. Paling ketara sebab Raimi tak gatal gedik dah macam dulu. Beku kaku aje. Dia nak balik suaminya yang panas hangat tu! Uwaa...
“Abang sibuk. Kerja banyak. Dah cakap, kan? Dab banyak kali tanya, dah banyak kali jawab, kan?” Raimi buat gaya tak ada mende.
“Alasan! Dah dekat empat bulan abang macam ni? Tak sentuh ayang, tak kasi ayang sentuh abang. Doktor kata masa dalam tiga bulan kalau nak cuba mengandung balik. Bukan tak boleh langsung nak...” Ainsya senyum gatal dan kenyit mata.
“Stop that!” Raimi jegil mata lagi.
“Eleh, taulah abang dah tak tergoda dah. Ayang jalan depan abang dalam birthday suit pun abang dah tak lalu dah, kan?” Ainsya menjuih bibir. “Tak nak sudah! Lepas ni jangan menyesal!”
Ainsya alih badan, hendak berlalu. Suaminya ini memang dah tak makan godaan. Makan nasi saja. Semenjak kes dia mengandung luar rahim dulu, hampir empat bulan, Raimi langsung tak sentuh dia. Sentuh dalam erti kata yang semua suami isteri faham. Ringan-ringan saja. Ingat cukup ke setakat ringan-ringan?!
“Menyesal?” Raimi laju-laju kejar Ainsya yang sudah laju-laju jalan tinggal dia balik pintu bilik yang menganga. Dia paut pergelangan tangan Ainsya dan tarik isterinya masuk bilik tidur mereka semula.
“Menyesal apa? Apa maksud ayang?” Raimi pegang bahu kanan dan kiri Ainsya, goncang-goncang.
Ainsya jongket bahu gaya entah dalam goncangan suaminya. Memek selamba, gaya tak ada benda.
“Ayang, cakap kat abang...” ugut Raimi goncang-goncang lagi badan Ainsya.
“Lepas dulu.” Suara Ainsya getar sedikit sebab masih kena goncang.
“Tak nak!” Raimi cuba berdegil. Masih kuat genggam bahu kanan kiri Ainsya, tanpa menyakitkan, dah tak main goncang badan isterinya.
“Kalau tak nak, tak ada jawapanlah.” Ainsya diam dengan mulut muncung. Siap peluk badan walaupun Raimi tak lepas bahunya lagi. Versi degil tak mau cakap.
Raimi tengok isterinya dengan mata mengecil dan memicing. Cuba membaca dan memaham apa ada pada roman muka wanita kesayangannya itu. Muka degil adalah.
“Fine!” Raimi lepas kedua-dua pautannya, angkat tangan paras atas bahu Ainsya.
Ainsya cuit hujung hidung Raimi kemudian kenyit mata. “Good boy.”
Ainsya selamba skipping manja gedik dengan dress putih berlengan pendek, berkolar V sampai ke dada dan hanya paras bawah lutut. Dan, apabila kena cahaya, dress itu memang menampakkan bentuk tubuh badannya yang kini sudah tak solid-molid gaya remaja macam hampir empat bulan lepas. Sudah mantap dan sedap sebagaimana biasa—sebagaimana Raimi suka dan gemar.
Ainsya dengar Raimi meneran gaya tahan hati dengan sikapnya dan pilihan pakaiannya itu. Raimi terdera. Sebab Raimi sendiri yang belikan dress ini untuknya. Salah satu daripada koleksi asmaradana Raimi. Ini antara yang paling sopan untuk dia pakai depan Awatif dan Sujiah yang ada dengan mereka masa ini. Yang lain-lain, sendiri fahamlah.
Ainsya buka laci kabinet yang terisi lampu tidur. Laci paling atas dia buka dan capai lima keping kad bersaiz A5. Skipping gaya perempuan gatal merenyam, Ainsya dapatkan balik Raimi yang sesekali kerling dan banyak kali cuba tak kerling ke dadanya. Kikiki. Ainsya seronok.
Bukan selalu kan dia boleh kenakan suaminya. Biasanya, yang terkena dia. Dia yang jadi bahan sakat dan usik Raimi, sampai dia tertewas dengan setiap sentuhan dan kenakalan Raimi. Kali ini, apa salahnya dia ambil alih. Walaupun dia dah usahakan berminggu-minggu, namun Raimi tak ada tanda tergoda, namun Ainsya tetap teruskan. Sebab, Ainsya nampak tahap degil dan cuba kuat Raimi sudah hampir goyah. Ada dalam 30% saja lagi degilnya, lawannya. Dan, Ainsya akan buat apa saja supaya dapat balik Raiminya yang panas hangat itu! Meow...
“Nah.” Ainsya berdiri sebelah Raimi dan sua lima keping kad bersampul warna-warni itu kepada Raimi.
Raimi pandang kad-kad itu kemudian Ainsya. “Untuk abang?”
“Daripada orang untuk ayang dan kalau abang nak tau maksud jangan menyesal, silalah baca supaya tak menyesal.” Ainsya unjuk-unjuk lagi lima keping kad itu.
Kali ini Raimi capai dan buka sekeping daripadanya. Ainsya pula selamba paut sebelah lengan Raimi dan rapatkan tubuh ke situ. Raimi yang terkejut, pandang Ainsya. Ainsya senyum merenyam. Raimi yang faham sangat dia masih dalam proses cubaan digoda isteri sendiri, berdeham lalu dengan susah payah alih mata dari dada Ainsya, ke kad di tangan. Sungguh susah payah.
Ainsya yang perasan terus, Yes! Yes! Yes! Dalam hati saja, berulang-ulang. Sengaja dia dekatkan lagi tubuhnya dan kali ini Raimi merengus. Sebab bau wangi tubuh badan Ainsya buat dia makin tak menahan.
“Do not distract me, Ainsya Najma.” Raimi jegil mata gertak Ainsya. Isteri itu jelir lidah. Memang cari pasal isterinya ini!
“Okay, okay, Raimi Qahir.” Ainsya lepas lengan Raimi lalu mendapatkan katil dan duduk dengan kaki bersilang. Saja nak kasi dressnya tersebak dan sengaja hendak Raimi curi tengok. Memang Raimi curi tengok, tapi kemudian suaminya tutup mata dengan mulut gumam entah apa dan buka mata. Terus baca kad-kad di tangan.
Ainsya tengok saja. Daripada kad pertama sampai kad kelima, dia nampak jelas betapa makin berubah dan makin berubahnya roman suaminya itu. Masa kad pertama, muka Raimi nampak sangat tengah tahan perasaan dan lawan godaan. Habis saja kad kelima, jelas sangat muka Raimi tengah tahan berang dan lawan amarah. Dengan rahang muka meninggi dan bergerak-gerak, suaminya itu akhirnya tengok dia dengan mata menyala-nyala satu perasaan yang jelas menghurung diri dan menghuni hati Raimi masa ini. Cemburu!
Bagus! Ainsya dengan selamba senyum manis menggula-gula kepada Raimi yang sedang melangkah ke arahnya dengan gaya nak telan orang!
Raimi terus melangkah sampai kakinya betul-betul kena tepi katil, dengan kaki saling bersilang Ainsya ada di celah-celah kakinya yang mengangkang. Badan pula terus menunduk sampai lutut kanan dan kiri atas katil dan makin dia tunduk muka sampaikan Ainsya nak tak nak terpaksa baring tubuh di atas katil. Terkelip-kelip mata isterinya itu tengoknya, ada rupa terkejut. Namun, sekejap saja rupa itu berganti senyum suka yang amat dengan reaksinya yang begini. Ainsya selamba peluk lehernya, membuatkan wajah mereka semakin rapat. Desah nafasnya dan desah nafas Ainsya jadi satu.
“Siapa lelaki dah banyak umur hidup tu?” tanya Raimi dengan suara terketap-ketap tahan perasaan. Tak kisahlah isterinya ini sedang jinak tahap merpati gedik dengannya masa ini. Hatinya masih cemburu, perasaannya masih terbara. Ada mamat dah lama hidup nak kena ganyang dengannya!
“Dia baru 30 tahun, abang. Ayang tak rasa dia banyak umur untuk hidup lagi...” Ainsya biar tangan kiri gantung pada belakang leher suaminya manakala jemari tangan kanan usap-usap pipi Raimi.
“30?” Raimi terkejut. “Apa budak hingusan tu nak dengan ayang? Punya banyak perempuan kat luar sana, apa hal ayang jugak dia pilih untuk jadi bahan lepas miang?”
“Agaknya sebab dia nampak suami ayang ni... tak jadikan ayang bahan lepas miang kut...” Ainsya usap-usap bibir Raimi dengan pandangan yang Raimi faham dan tahu maknanya.
Sebab suaminya ini kan selalu kasi dia pandangan sama serupa begini dan dia, semenjak hampir empat bulan ini asyik praktis pandangan serupa ini depan cermin supaya kesannya ada ke atas Raimi. Mungkin sebelum ini dia agak gagal sebab tak kuasai pandangan ini sepenuhnya, namun bukan sekarang. Dia tahu dia berjaya. Sebab dia mula rasa hangat dan panasnya renungan suaminya, bagai dulu-dulu, seperti biasa-biasa. Dah tak beku, amat tak kaku!
“Kita akan bincang balik pasal pendek atau panjangnya umur lelaki itu nanti!” tegas suara Raimi yang dah bernada lain.
“Mmm...” Ainsya peluk balik leher Raimi dengan kedua-dua tangan. Senyum suka-suki, suki-suka! I like!
Tangan Raimi mula menjalar. Sentuhan Raimi mula meliar. Yeay! Berjaya juga Ainsya menggedik dan menggoda sakan selama berminggu-minggu ini. Akhirnya, takkan ada ringan-ringan saja lagi!
“Mama...”
Pintu bilik tidur yang tidak tertutup tertolak.
Ainsya yang sedar dulu cepat lagi pantas tolak Raimi yang sudah lupa dunia biasa. Tengah dalam dunia luar biasa lagi lakinya itu. Mungkin sebab tak menyangka, Raimi terpelantang ke bawah katil dikerjakannya. Jatuh terduduk suaminya yang sudah tak berbaju itu. Ainsya pula alih badan dan cepat-cepat betulkan dress bahagian atas yang tak duduk di tempat yang perlu tadi. Ainsya cepat-cepat bangun sambil tarik dress biar labuh ke bawah lutut balik dan dapatkan Awatif yang sedang gosok-gosok mata sebab masih mengantuk.
“Mama dengan babah buat apa?” soal Awatif sebaik dalam dukungan Ainsya dan letak kepala ke bahu mamanya.
“Mmm... mama... babah...” Ainsya mula gagap ayat. Serba tak kena dan tak tahu nak cakap macam mana.
Raimi yang masih gosok-gosok punggung sebab masih rasa sakit ketawa. Gelak seronok lihat gelabah Ainsya. Konon nak goda dia dengan gaya tak malu langsung. Sudahnya, sendiri jadi gagap! Sambil angkat badan dari lantai tempat dia jadi bahan baling Ainsya, dia betulkan seluar pendeknya yang sudah melurut dengan aksi tak tahan kena godanya tadi, dicampur aksi kena tolak kaki dan kanan dengan Ainsya. Sah Ainsya tak sedar tadi Ainsya tolak dia guna tangan dan kaki sekali gus. Senak punggung dah ia, sneak perut pun ia. Nasiblah badan...
“Awatif ni, kacaulah. Babah baru nak bagi adik kat awak...” ujar Raimi sambil capai teenya di atas katil. Kemudian dia nampak sesuatu dekat dengan teenya itu. Dia angkat dan tayang kepada Ainsya dengan senyum budak nakal.
Ainsya terus pegang dada sendiri dengan sebelah tangan lalu memerah muka. “Abang ni, janganlah buat tayang macam tu!” marahnya malu sangat.
Raimi ketawa suka. Seronok dapat sakat Ainsya. Lamanya dia tak buat perangai gaya ini. Rindunya dia nak tengok muka Ainsya memerah gaya itu.
Awatif goncang-goncang kaki dalam dukungan Ainsya. Ainsya yang faham turunkan si kecil lima tahun itu. Tiba-tiba badannya ditolak sungguh-sungguh oleh Awatif ke arah babahnya.
“Mama, pergilah cepat. Pergi buat adik dengan babah. Tif tunggu depan pintu, jaga pintu tak kasi nenek masuk.” Awatif goyang-goyang tangan go-go dengan gaya princess kemudian cepat-cepat lari keluar dari bilik tidur itu dan tutup pintu bilik, rapat ke tempatnya.
Ainsya menganga terkejut. Bila dia pandang Raimi, lelaki itu sedang berjalan ke arahnya sambil buka tee yang dipakai balik tadi bersama sengih miang keladi dan dialah mangsa lepas miang keladi itu sekejap ini juga.
“Abang, kita nak sahur...” Ainsya cepat lari ke daun pintu, namun badannya tertarik ke belakang, ke badan kekar suaminya yang sedang naik seh.
“Salah siapa goda abang sampai macam ni...?” Raimi bisik ke telinga Ainsya dan gigit nakal. Kemudian dikucup leher Ainsya penuh menggoda.
Ainsya lembik badan dan tergelongsor jatuh di situ juga.
Raimi ketawa budak nakal, dapatkan tombol pintu. Bajunya diletak di atas bahu gaya model tengah menyeksi. Dia pandang Ainsya yang terduduk di atas lantai sambil nganga pandangnya. “To be continued. Malam nanti jangan salahkan abang kalau esok ada tak boleh jalan.”
Raimi bersiul nakal, pulas tombol kemudian pakai balik tee. Awatif angkat kepala tengok Raimi. “Dah buat adik ke, papa?”
Raimi gelak lepas dengan soalan polos anak daranya. Dia dukung Awatif sambil berlalu dari situ.
Ainsya sudah tunduk dan sembunyi muka atas lantai. Malu amat! Dia nak goda, sudahnya dia yang kena goda sampai lembik lutut tak boleh bangun gaya ini. Suaminya yang hangat dan panas itu sudah kembali! Uwaa... Habislah dia kena usik dan sakat sampai lembik semua lepas ini!

5 Oktober 2014
Raimi juih-juih mulut tunjuk tak puas hati. Dia lihat Ainsya yang sedang ke hulu ke hilir sediakan minuman panas untuk tetamu lelaki mereka yang baru sampai. Lelaki berusia 30 tahun bernama Mohd Fikri. Lelaki yang dah panjang umur sangat berani hantar kad luahan hati dan perasaan kepada isterinya dan kini rasa dah cukup umur sangat sampai berani datang sendiri ke rumah mereka. Sudahlah itu, boleh pula demand Ainsya sediakan minuman panas untuknya sebab dia tak minum minuman sejuk bergas yang dihidang untuk tetamu yang datang beraya di luar sana.
Ainsya yang sedang ke sana ke sini panaskan air dan keluarkan teko, cawan dan piring untuk Nescafe panas Fikri nampak dengan jelas Raimi sedang tunjuk tak puas hati dan rajuk melalui mulut muncungnya. Lepas itu, ada hati kata perangai siapalah Awatif ikut bila merajuk dan mula muncung mulut gaya itu. Alahai, suami... Aduhai, anak...
Melihat cerek air yang belum panas, sebab Ainsya saja-saja letak air yang penuh dan bukan setakat satu teko, Ainsya dapatkan suaminya yang duduk di meja makan kecil untuk empat orang duduk di ruang dapur itu. Dia duduk di kerusi sebelah suaminya lalu paut jemari tangan Raimi.
“Orang datang beraya, takkan ayang nak halau?” tanya Ainsya elus kura tangan suaminya. Matanya tunak merenung muka merajuk si suami. Dia senyum untuk memujuk.
“Dia kacau isteri abang, pandai-pandai nak suka dan cinta isteri abang, berani pulak luah perasaan dalam lima kad dekat isteri abang, berjanji sumpah setia, akan jaga ayang dan anak ayang dan anak-anak akan datang!” Raimi cakap gaya tengah lepas mencarut kepada Fikri.
Ainsya gelak kecil. “Ayang tak cakap pun akan janji sumpah setia dan lain-lain tu semua. Dia yang berangan lebih.”
“Dah tu? Jangan menyesal tu makna apa?” ungkit Raimi.
“Saja nak gertak.” Ainsya senyum nakal dan kerdip mata. Dia bangun dari kerusi didudukinya lalu duduk di atas paha Raimi. Dia senyum makin suka apabila Raimi paut pinggangnya dengan kedua-dua belah tangan dan rapatkan mereka.
Raimi pandang tunak raut manis Ainsya yang lebih manis bertudung sempurna. Berbaju serba ungu sebagaimana dia, Awatif dan Sujiah. Baju yang Ainsya jahitkan sendiri untuk mereka berempat, sebagaimana setiap hari raya yang lalu. “Abang sayang ayang...”
“Tahu... Abang pun tahu ayang sayang abang. Sampai bila-bila, insya-Allah, sayang ayang untuk abang. Untuk suami ayang yang suka menyeksi dan menyakat ni.”
Raimi ketawa perlahan. “Isteri abang pun pandai menyeksi walaupun tak pandai menyakat.” Dia kenyit mata.
Ainsya jelir lidah. “Dia datang sebab ayang kan tak masuk butik dari satu hari bulan tu. Dia ingat ayang tak sihat, jadi dia datanglah nak jenguk-jenguk sambil beraya. Lagipun... salah siapa ayang tak dapat masuk kerja beberapa hari ni?”
“Nasiblah. Siapa suruh goda habis-habisan macam tu? Tanggunglah akibatnya.” Raimi menyeringai.
“Tengah-tengah puasa pun boleh abang ni!” marah Ainsya menggeleng.
“Malam tak ada siapa puasa okey. Terutama sekali malam Jumaat.”
“Eleh, abang tu setiap malam malam Jumaat!” balas Ainsya cebik mulut.
“Tau takpe...” Raimi kucup pipi kanan, pipi kiri dan bibir Ainsya. Ditarik wajah Ainsya ke dadanya lalu dikucup dahi isteri tersayang itu. Satu-satunya perempuan yang buat dia gila bayang sejak pertemuan pertama dan makin gila bayang bila hari makin berganjak. Hanya dengan Ainsya Najma dia rasa begini.
“Abang takut sangat masa tu. Sebab tu abang...” Raimi tarik nafas dan lepas. “Cuba untuk tak sentuh ayang. Abang takut kalau-kalau...” Raimi tarik nafas sekali lagi.
“Abang, Allah jadikan kita cukup kuat untuk harungi dugaan tu. Kita kehilangan, tapi kita tetap depaninya, kan? Kita kuat sebab kita reda dan reda kita akan ada hikmahnya. Ayang tau abang takut kalau-kalau benda dah jadi, jadi lagi. Sebab tu asyik ringan-ringan aje!” Ainsya menjuih mulut.
Raimi gelak. “Tak cukup eh?”
Ainsya pukul dada Raimi. “Gediklah! Sendiri tau, saja nak tanya!”
Raimi pegang tangan Ainsya yang cuba pukul dadanya lagi. Dia paut kepalan tangan Ainsya lalu dibawa ke mulut dan kucup beberapa kali. Tiba-tiba Raimi dongak muka Ainsya dan kucup pipi dan dahi Ainsya berulang-ulang lalu mati pada bibir Ainsya.
Cerek berbunyi.
Ainsya cuba tolak badan Raimi. Tak tertolak. Dia pukul-pukul pula dada Raimi. Tak terkesan. Raimi asyik mengerjakan dia dan akhirnya dia pun jadi menyerah kalah, rela dikerjakan balik bunyi cerek yang makin bingit.
“Ainsya, are you... Gulp!”
Suara tertelan air liur dan pertanyaan sendiri itu menyedarkan Raimi. Dia akhirnya lepas bibir Ainsya. Matanya tentang mata Ainsya yang terkebil-kebil. Alahai, comelnya isterinya ini. Tak boleh hadang diri punya pasal, dia kucup seketika bibir itu lalu alih muka hadap manusia tertelan soalan itu. Dia tahu sangat siapa. Fikri perasan Romeo yang cuba nak ayat bininya!
“Ya, dia okey. Apa hal?” tanya Raimi macam nak ajak gaduh. Apabila Ainsya yang sudah sedar apa sedang berlaku cuba angkat badan dari pangkuannya, dia sengaja ketatkan tangan ke pinggang Ainsya. Tak bagi.
“You ni...” Ada soalan tak habis dalam cakap itu. Fikri keliru sangat.
“Tengok warna bajulah. Padan, kan? Nampak jugak kan apa baru kami tengah buat tadi? Beromantika di dapur. Lagi mau tanya!” Masih suara nak cari gaduh Raimi hantar.
“Abang, stop it!” Ainsya pukul manja geram bahu suaminya yang masih tak nak lepas dia. Malas nak berdegil dengan Raimi, dia duduk saja di pangkuan suaminya itu. Lagipun, boleh juga Fikri nak sedar diri. Dia ini isteri orang dan dia ini sayang sangat suaminya. Bukan macam Fikri sangka!
“You... bukan dalam proses nak pisah...” Fikri nampak keliru pandang antara Raimi dengan Ainsya.
“Ada jugak nak makan kain buruk dan bukan kuih raya hari ni!” gumam Raimi sakit jiwa. Nak terbangun juga dia kerjakan Fikri, namun berat Ainsya yang sengaja Ainsya lebih berat-beratkan ke pangkuannya, menghadang.
Ainsya gelak kecil dengan cakap Raimi. Dia usap-usap dada suaminya minta sabar sambil tengok Fikri yang jelas sangat makin keliru.
“Mulut cabul mana yang bawak cerita kat you tu, I tak tau, Fikri. You customer I. Tu aje untuk I. I dengan suami I bahagia dan insya-Allah jodoh kami sampai hubung nyawa kami. Jangankan nak ada peluang dalam hati I, hidup I pun takkan mungkin untuk you. I masih Puan Ainsya untuk you sampai bila pun. Now, be a good boy and wait for your kain buruk... Ehem, I mean your drink. Syuh, syuh...” Ainsya curi tiru gaya tangan princess Awatif selalu buat bila nak menghalau secara sopan.
Sebaik Fikri yang masih blur berlalu dari dapur, Ainsya dan Raimi saling lekap dahi dan ketawa suka.
“Abang sayang ayang sangat-sangat, sampai bila-bila,” ujar Raimi bahagia.
“Ayang pun. Cuma... ayang tak kompelin, tapi kalau boleh malam ni kasilah ayang rehat. Penatlah dikerjakan...”
Raimi gelak terus dan peluk kuat tubuh sedap Ainsya Najma, hadiah paling indah daripada Dia untuknya.
“Ya Allah, emak dengan bapak orang ni! Bercengkerama dalam ni rupanya. Padanlah cerek tu tak tutup-tutup!” Suara kuat Sujiah bingitkan ruang dapur.
“Nenek, janganlah kacau babah dengan umi. Dia orang tengah buat adik tu!” Awatif balas bingit.
Ainsya dan Raimi ketawa lagi. Kerana setiap ketawa mereka adalah tanda syukur atas bahagia daripada Dia. Terima kasih, Allah...
- Selesai -

1 ulasan:

Subashini VJ berkata...

Oh so nice and romantic ;)