Sabtu, Februari 16, 2013

Primadona Orang Muda | Bab 8

Berdiri di hadapan tubuh-tubuh yang menghampiri 100 orang di dalam Dewan C dengan cakap-cakap ini, “Mulai hari ni primadona untuk kelas kita adalah Sanaa. Jadi, mulai hari ni… semua kena bagi bantuan dan sokongan kat Sanaa, primadona baru Pro-Ba kita.”
Kemudian ditepuk-tepuk belakang bahu Sanaa yang terkaku dengan muka ikut beku, dengan lima jari tangan kanan Abang Kama, beberapa kali. Memperkenalkan dia hari itu. Begitulah bermulanya kehidupan dan jadual baru Sanaa. Kalau dulu hidupnya sudah ada aturan, sudah boleh dijangka apa akan berlaku dan sudah dapat diagak apa bakal terjadi, sekarang tak lagi. Jadual Sanaa kini ubahnya ikut suka.
Ada waktu dia perlu ikuti latihan yang sudah ditetapkan sewaktu kelas Pro-Ba, jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang. Ada rehat antaranya, ada cakap-cakap antaranya. Rehat yang bukan hilangkan penat. Cakap-cakap yang bukan omongnya kosong. Tak cukup dengan itu, ada pula latihan lebih masa. Masanya pula selalu lewat waktu. Waktu dia sudah di rumah biasanya. Waktu dia sedang mengulit buku untuk siapkan kerja kursus atau ulang kaji selalunya.
Lalu dia, Sanaa Abdul Rahim, jadi hilang kaki dan tangan. Serba tak betul dalam mengatur kehidupan baru. Tambah pula apabila hidup itu sudah tunjuk ada kesan sampingan. Kesan sampingan yang bakal buat hati berulat teruk kalau tidak dijaga dari awal. Malangnya, Sanaa tidak pasti sama ada akan bertemu antidote pada hal yang ini. Tapi dia sengaja tidak runsingkan hal ini kerana kepalanya rasa cukup berat dan terbeban dalam menambah satu hal lagi untuk dihenyakkan ke situ. Bimbang henyakan yang satu itu adalah yang terakhir untuk akal warasnya.
Kesimpulan. Dia, Sanaa sebagai pelajar Penulisan adalah lebih buat dia nampak orang daripada dia Sanaa sebagai primadona kelas Pro-Ba. Sekarang, dia sungguh-sungguh rasa macam makhluk asing bertauliah. Makhluk asing yang sangat menyesal menerima paksa rela Abang Kama dan Rose.
Baru tiga minggu. Ya, baru tiga minggu menjadi primadona Pro-Ba, dia sudah rasa tertekan begini. Kalau sampai hujung semester, agaknya mahu dia jumpa pakar psikologi. Malahan, sah boleh tempah satu bilik khas untuknya. Agak-agaknya waktu itu ada tak Abang Kama dan Rose jadi penjamin khas untuk tempahan biliknya itu? Makhluk yang bertanggungjawab ke atas semua masalah yang menekan pundak dan perasaannya kini!
Tak cukup dengan itu, ada pula beban lebihan yang dia mula rasa sejak tiga minggu ini.
Beban yang dulunya sedap dia tanggung, kini menghenyak tubuh dan perasaan. Sakit sangat rasanya. Sebab beban ini ada nama. Nama yang dia suka dan gilakan dulunya. Sekarang juga sama, sebenarnya. Tapi… suka hati itu sudah ada bahagian sakit hati sama. Yang dia tak boleh hendak tahan terus semenjak dia nampak bahagian hitam Falah. Masa itu, memang dia nampak bahagian devil Mike Henya sebagaimana dalam Devil Beside You. Kan masa devil muncul, tertekan sama perasaan heroinnya.
Tapinya, dia heroinkah? Ceh, agak-agaklah punya perasan!
Dan selain itu, dia sudah tidak boleh fikir Falah sebagai Mike He lagi, walaupun Falah selalu juga tayang senyum sinis ala Mike He dalam Devil Beside You. Sebabnya mudah. Dulu dia tak kenal sangat Falah. Sekarang dia dah kenal sangat. Semuanya sebab Pro-Ba. Semuanya sebab hubungan orang muda-primadona mereka. Sampaikan kalau tak kata Falah itu Falah, sebaliknya Mike He, dia rasa pelik yang sangat. Macam dah tak boleh dah fikir yang begitu lagi.
Minggu pertama dia sebagai primadona (masa dia jadi heroin kepada orang muda), walaupun ada perasaan takut dan gerun dengan penerimaan ramai, ada juga bahagian senang hati kerana kawan-kawannya di bawah kostum dan mekap memang seratus peratus memberi sokongan. Kata semangat serta cakap sokongan mereka membuatkan Sanaa perlahan-lahan cuba untuk buang bahagian tak yakin dan kurang pasti yang mengikut dia sepanjang permulaan awal kelas mereka. Tapi sekejap saja.
Setengah jam kemudian, dia rasa nak berdiri di depan Abang Kama dan Rose, meluahkan perasaan sebenar. Bahawasanya dia tak layak untuk jadi primadona dan dia nak tarik diri sangat. Tapi dia tak lakukannya. Dia masih ada sedikit harga diri yang perlu dia jaga walaupun setengah jam awal itu dia dimalukan.
Oleh Emie. Oleh budak-budak extra-turn (tak semualah). Oleh Abang Kama. Oleh Rose. Dan oleh Falah.
Oleh yang lain itu Sanaa boleh terima lagi. Pekakkan yang tak perlu dan terima baik nasihat yang elok dalam membaiki diri. Tapi, apabila oleh itu adalah daripada Falah, Sanaa memang rasa hendak menangis sakan di situ juga. Nak hamburkan air mata biar berambu-rambu. Kerana Falah terlalu tinggi di matanya, di hatinya. Dan apabila Falah marah dia hanya selepas lima minit script-reading dengannya, manalah dia rasa tak kucar-kacir dua macam.
Orang lain pun kata dia keras dalam lakonan. Contohnya Emie dan Abang Kama. Orang lain pun cakap suaranya tak cukup bulat dilantun. Contohnya budak extra-turn dan Rose. Tapi, apabila orang lain bernama Falah yang cakap… hati Sanaa macam kena tikam dengan pisau Rambo, bertubi-tubi oleh tangan Falah sendiri.
Kata Asnidar, dia emo sangat sebab dia kan minat Falah. Sebab dia minati Falah yang sangat, dia hendak Falah nampak dia bagus dan baik saja. Hendak Falah puji-puji selalu, bukan mengutuk secara langsung dan rasmi begitu. Dengan suara radang meninggi di hadapan hampir 50 pelajar yang masih menghuni Dewan C.
Bila fikir semula, Sanaa memang setuju. Sebab itulah dia terus dan terus cuba baiki diri. Kerana itulah untuk satu minggu itu dia ikut saja semua latihan lebih masa yang dicadangkan pelakon-pelakon produksi. Kerana dia tahu dia perlukan ia. Malang sekali dia saja yang menyambut baik peluang itu sedang teman-teman pelakon lain tidak sambut elok dia menjadi sebahagian daripada latihan tersebut. Dia dipulaukan. Tak ada yang hendak berlatih bersamanya.
Hanya dua kali Falah memberikan kerjasama, namun ia hilang terus sesudah itu. Falah menjauhi dia macamlah bakat lakonan tak menjadinya boleh menjangkiti lakonan Falah nanti.
Dan dua kali Falah menghampiri dia, dua kali yang sama juga kepalanya pening kerana terhentak dinding. Bukan terhentak sebenarnya, sebaliknya dihentak orang yang menolak bahu kanan dan kirinya supaya terlekap ke dinding. Dan seorang lagi menolak kuat kepalanya dengan tunjalan pada dahi. Gedegush, gedegush, kena dinding. Kedua-duanya sewaktu mereka tamat latihan lebih masa yang disetujui bersama.
Selepas minggu pertama sebagai primadona, untuk minggu kedua dan ketiga, dia bukan sahaja terima layanan dingin dan beku daripada Falah, malahan dia sudah mula terima marah dan radang Falah kepadanya. Di dalam kelas, tak usah cerita. Pantang dia silap sikit, sakan Falah memarahinya. Waktu latihan malam pula, Falah siap menyindir supaya dia berhenti saja jadi primadona kalau tidak mahu berusaha sungguh-sungguh dan hanya hendak menyusahkan orang lain.
Masuk minggu ketiga, Falah punya hangat hati kepadanya macam kena simbah petrol apabila Abang Kama dan Rose mencadangkan Falah berikan latihan khas untuk Sanaa di dalam kelas. Berdua saja. Belum Emie atau ahli Kelab Peminat Falah melenting, Falah dah bingitkan Dewan C dengan kata tak setuju. Sampailah Abang Kama dan Rose mengugut dalam dapatkan kerjasama Falah. Siap tekankan kuas veto pensyarah lagi. Kesannya, Falah marah lagi. Tapi dalam marah begitu, tiba-tiba Falah beri setuju. Namun buat Sanaa, baiklah tak setuju terus. Sebab nampak sangat tak ikhlas. Semua boleh nampak ketidakikhlasan Falah dalam cakap setuju.
“Okey!” Falah sebenarnya bermaksud “Tak okey!” Berlawanan!
Sejak itu banyak kali Sanaa rasa nak unlike Falah, namun setiap kali itu jugalah dia tidak pasti dan terus tidak melakukannya. Tak sanggup kerana dia terasa akan hilang sesuatu kalau dia buat begitu. Tambah pula buat begitu ketika hati sedang marah, perasaan asyik marak. Kan ayah dah bilang, kalau tengah marah sangat, jangan bertindak dalam membuat keputusan. Buruk padahnya nanti.
Lalu, dia tahan saja hati dengan setiap cakap-cakap dan kata-kata Falah yang selalu meninggi kepadanya dan sering saja dalam nada tak suka. Dia cuba untuk tidak peduli dengan apa pun cakap Falah atau kata-kata orang lain. Dia berlatih sendiri bersama Asnidar dengan bantuan Sukma. Kadang pula Abang Ijad turun padang. Dia perbaiki diri dan bakat yang dilihat dan diyakini Abang Kama, Rose dan Abang Ijad.
Kalaupun hatinya hampa dengan sikap Falah yang dia tidak sangka atau jangka boleh berubah sampai begitu, seolah-olah membencinya, tapi dia cuba untuk tak hampakan geng kostum dan mekap, teman-teman yang percaya dia boleh. Juga tidak hendak hampakan pensyarah-pensyarahnya, yang memilih dia, Sanaa Abdul Rahim, dengan menolak Emie Marlina yang diyakini semua mampu dan boleh berlakon. Dia tetap mencuba walaupun onak dan duri menikam dan menekan rasa. Paling-paling sekali demi Asnidar yang sangat percaya dan memberi sokongan kepadanya, lebih daripada seratus peratus.
Ah, persetanlah semua yang tidak menyokong atau tidak meyakini dia! Persetan sama dingin dan marah Falah kepadanya hanya kerana dia budak baru belajar!
Mengeluh dalam keruhan, kepala yang sejak sepuluh minit tadi, sejak masuk ke perpustakaan, dengan dagu menongkat meja dan sebuah buku di hadapan muka, akhirnya menghentak meja. Bukanlah pakai dagu. Agak-agaklah. Dia kan nak lepas perasaan yang terkurung dengan menghentak sakan. Tapi, takkanlah guna dagu sendiri.
Ketawa kecil yang kedengaran buat Sanaa sentak terlalu. Sampaikan buku yang diletak di depan muka, mengaburi pandangan orang ke mukanya terjatuh apabila kedua-dua tangan melepas ia. Terkejut sakan punya pasal. Sebab itu gelak seorang lelaki. Lelaki yang dia hendak elak sampai ke hujung semester sebelumnya sebab tak nak kewujudan dia jadi perasan. Tapi selepas kena herdik dan tengking lebih satu minggu ini, sahlah Falah lebih perasan akannya.
Buku yang tadi menutup wajah jatuh elok di atas meja. Sebagaimana mulut Sanaa ternganga, jatuh ke atas meja apabila dagu terus menongkat atas meja. Wajah itu sudah hilang ketawa. Hanya ada senyum sinis menyentuh sepasang bibir merah dengan kumis halus dan bulu halus pada dagu—mula dibela atas permintaan Abang Kama dan Rose untuk memantapkan lagi watak orang muda untuk produksi mereka.
Mulut melongo, mata membulat, Sanaa terus kaku melihat tubuh yang duduk di meja yang sama dengannya. Bertentangan dengannya. Muhammad Falah!
Apabila sedar diri, perkara pertama yang Sanaa buat adalah lihat sekeliling ruang perpustakaan tingkat paling atas itu. Tingkat tiga perpustakaan AKAK yang dikhaskan sebagai ruang studi untuk kumpulan atau perseorangan. Malahan ada pula bilik khas yang disediakan kalau diperlukan pelajar untuk sebarang perbincangan. Cuma pelajar perlu menempah lima daripada bilik khas di situ lebih awal jika hendak menggunakannya. Malahan ada sama bilik audio/video yang dikhaskan untuk tontonan. Selalunya digunakan oleh pensyarah kelas yang hendak mengadakan tayangan video atau pelajar-pelajar sendiri. Bilik ini pula perlu ditempah dua minggu lebih awal kerana hanya ada dua bilik sahaja.
Bahagian studi perseorangan pula adalah di sudut kiri kanan bangunan yang disusun oleh meja-meja yang hanya boleh memuatkan satu orang, terlindung daripada pandangan orang atau isi perpustakaan. Untuk tujuan privasi tentunya. Di tengah-tengah, di bahagian kiri ada sebuah ruang legar yang menempatkan sofa untuk tiga orang duduk, saling berhadapan, serta akhbar-akhbar harian. Di sudut kanan ruang tengah, ruangnya lebih luas banding sudut kiri, tersusun meja yang boleh memuatkan enam orang, sebanyak yang boleh. Tak laratlah nak kira untuk makluman. Hehehe…
Sesudah kepala terarah 180 darjah ke kiri, kemudian ke 180 darjah ke kanan, Sanaa sudah ada soalan. Mengapa pula Falah duduk di meja yang sama dengannya, berhadapan dengannya sekarang? Bukankah ada banyak lagi meja kosong yang boleh diisi lelaki itu? Jadi, mengapa di sini? Falah ni hendak bagi dia masalah lagi ke? Nak panaskan bara yang nak tak nak menyala sejak beberapa hari ini setiap kali Falah dekat dengannya? Bukan bara hati Sanaa, tapi hati Falah ya!
Apabila Falah mula mengamuk, pasti akan ada amukan seterusnya. Daripada Emie Marlina, peminat nombor satu Muhammad Falah dan pengerusi tak diangkat Kelab Peminat Falah. Amukan lembut penuh sinis.
Tak cukup dengan cakap-cakap orang perihal Diva P vs Ugly Duckling, Falah hendak tambah bilangan pengundi lagi? Pengundi yang terang-terang pangkah Diva P sebagai calon yang layak selaku primadona Pro-Ba!
Geram memikirkan tindakan membuta tuli Falah yang suka-suka marahkan dia selama ini, melepas lenting dan tengking tanpa fikir perasaannya selama ini, akhirnya Sanaa lepas pandangan geram sekejap, tegak ke depan. Tunjuk protes tanpa rusuhan nyata. Tapi, dia tahu Falah boleh faham sebab Mike He dia ini kan bijak walaupun suka garang macam singa terhadapnya.
Seterusnya, Sanaa angkat buku berkulit tebal mengenai bangsawan yang terjatuh gedebuk tadinya. Tegak dia letak di depan muka lalu kembali sembunyi muka. Tak nak kawan!
Sekali lagi, ada gelak perlahan kedengaran.
Sanaa kemam bibir balik buku kulit tebal depan muka. Geram sebab Falah ketawa. Yalah, sebab dia rasa diketawakan. Sudahlah Falah ini lelaki yang dia minati. Boleh pula Falah hendak gelakkan dia serupa dia tak ada perasaan. Hancur luluh perasaan romantis serta berbunga tanpa pohon yang dia khaskan untuk Falah. Huhuhu… Kuncup setaman.
“Kalau awak tertanya-tanya kenapa saya duduk sini, walaupun ada banyak lagi meja dan kerusi kosong, jawapannya mudah. Saya nak awak…”
Ayat henti seolah-olah mati itu buat Sanaa jadi kejun. Jemari tangan yang merapat pada kulit buku, kiri dan kanan, melonggar sendiri. Lalu buku kulit tebal itu hilang imbangan dan menggelongsor jatuh. Bum! Buku jatuh ke atas meja. Bum! Sanaa jatuh ditimpa perasan. Semuanya sebab ayat sentut mati Falah. Dia rasa hendak ke awan tanpa turun ke tanah.
Tapi rasa itu tidak lama. Gedebuk! Falah terus hantar dia ke tanah dengan ayat seterusnya. Ayat sambungan tanda ayat tadi hanya henti, bukan mati.
“Punya buku.” Lalu disambung lagi, “Saya nak pinjam buku tu, tapi tak jumpa di rak. Saya ternampak kat tangan awak. Sebab tu saya duduk sini. Saya nak awak… punya buku…” Falah senyum sinis lalu menunjuk jari telunjuk ke arah buku yang sembam ke meja.
Sanaa rasa nak ramas geram muka sendiri apabila dengar ulangan “Saya nak awak…” yang sengaja Falah panjangkan dan ada bunyi nakal dua macam, seolah-olahnya ada dua makna (tersirat dan tersurat), sebelum Falah tambah dua ayat belakang. Sekali gus menghancurlumatkan pemahaman tersiratnya.
Salah faham yang tak sengaja atau salah faham yang memang Falah sengajakan?
Terketap sekejap mulut Sanaa sebelum dia katup buku kulit tebal yang Falah nak sangat. Ditolak terus kepada lelaki bertentangan dengannya itu.
Buku itu terletak kemas di hadapan Falah. Namun, tidak pula Falah sambut. Kalau tadi Falah duduk tegak pada kerusi memandang dengan senyum sinis, kali ini Falah bersandar santai pada kerusi sambil memeluk tubuh, merenung dengan senyum manis. Relaks saja lagak Falah sambil menyisir rambut berombaknya yang sedikit panjang.
Mujur Sanaa sempat imbang tubuh kemudiannya kerusi. Kalau tidak, sah Sanaa terjun terus ke belakang. Bukan jatuh ke atas lantai. Mahunya kepala hantuk kerusi di belakang atau terus junam sampai ke meja belakang. Dah sudah. Kang cedera parah, mana nak cekau primadona baru. Kalaupun dia tak jadi primadona, naklah dengan cara bermaruah sikit. Bukan tercedera sebab dikejutkan dek senyum manis Falah ini. Satu AKAK tahu perasaan dia nanti! Sudah!
Tergagau sekejap, terkebil sekejap, Sanaa pastikan sebelah tangan memegang kejap hujung meja didudukinya. Tak nak sekali lagi jadi mangsa betapa manisnya senyumanmu daripada Falah. Sebab dia yakin yang kali ini, dia memang akan sembam ikut sudut, terus ke lantai. Terus mata Sanaa tunak ke mata Falah yang terbelalak dengan aksi selamatkan diri daripadanya. Kemudian, Falah senyum segarit.
“You’re a danger to yourself. Macam mana awak boleh membesar sampai macam ni…” Menggeleng-geleng, Falah tarik buku kulit tebal dia atas meja agar lebih dekat dengannya. Diselak-selak sambil membawa tubuhnya ke depan lagi, merapatkan kerusi dekat dengan meja, kedua-dua tangan di atas meja, menyelak-nyelak buku di hadapan. Tapi matanya tidak pula pada buku yang dia hendak sangat sejak tadi itu, sebaliknya ke paras gadis di hadapannya.
Wajah itu menghangat. Entahkan malu, entahkan marah.
Marah. Itulah perasaan Sanaa. Mana tak marah kalau pandai bijak Falah saja hendak memberi komen. Dia bahaya untuk dirinya sendiri? Membesar sampai macam ni…? Ayat apa tu? Ayat mengata depan-depan? Tahulah dia kurang tinggi tapi lebih isi. Agak-agaklah nak menegur pun. Besar? Dia lagi rela terima ayat gemuk daripada besar tau!
Mengecilkan mata tunjuk muka samseng, Sanaa hala jari telunjuk ke meja, mengetuk-ngetuk. “Meja saya!” Keras Sanaa berkata.
Entah dari mana ada kuasa, dapat mampu. Mungkin sebab geram yang terlalu makanya pada yang susah hendak buka mulut, jadi mudah. Mungkin lima minit lagi dia akan menggeletar tak percaya dan mula menyesal tak sudah. Mana janji dia hendak pastikan dia selalu low-profile di mata Falah? Kalaupun dia depan mata, Falah tak nampak atau perasan dia? Tapi… tak ke macam sia-sia sedang dia primadona dan lelaki ini orang muda. Dan mereka sudah tiga minggu boleh pandang-pandang, paksa pegang-pegang dek Abang Kama dan Rose!
Aksi menjenguk ke segala bahagian meja, sampaikan menunduk sedikit kepala pandang bawah meja daripada Falah membuatkan Sanaa berkerut dahi. Geram tadi terus tata bye-bye macam itu saja. Dia hendak tahu sangat apa dicari Falah dengan muka serius. Seolah-olahnya kalau tak jumpa apa dicari bakal tidak kenalah nantinya.
“Cari apa?” Laju sahaja soalan itu meniti bibir Sanaa.
“Nama awak. Tak ada pun Sanaa atau Sanaa punya.” Duduk tegak, Falah jongket sebelah kening. Kemudiannya menyambung, “Perkataan yang ada cuma Akademi Kreatif. Awak punya nama ke tu? Dah tukar?”
Falah senyum, sebelah bibir saja menjongket.
Menggeleng kepala tak percaya dengan sikap Falah yang lebih-lebih menyakitkan jiwa dan raga, terus Sanaa susun bekas pensel di atas meja serta nota-nota bersama skrip bangsawannya. Lalu dia bangkit sebab tak sanggup hati geram terus dengan soalan Falah. Makin dia dekat dengan Falah, dia mula nampak bahagian lain yang dia tak nampak. Dan bahagian itu selalu buat dia rasa macam-macam. Falah macamnya sengaja nak cari pasal dengan dia pun ada. Mungkin tak puas hati sebab dia yang diangkat selaku primadona dan bukan Emie. Yalah, dengan dia kan susah Falah nak bekerjasama, sebagaimana yang berlaku.
Kata Falah, dia keras. Kata Falah, dia kaku. Kata Falah terus, dia tak layak jadi primadona! Patahnya hati Sanaa masa itu, serupa cintanya ditolak tanpa timbang-tara! Ada besar punya huruf N dan O serentak hentak kepala dan penyekkan dia terus ke lantai macam dalam kartun. Walaupun dia bukannya cinta Falah.
Sebaik bangun dan peluk barang-barang di atas meja tadinya, terus Sanaa laju-laju hendak melangkah ke kiri sebab tak sabar nak jauh dan terus tinggalkan Falah. Tapi dia lupa satu hal. Dia duduk di kerusi kanan. Di kirinya ada sebuah kerusi yang tak diduduk orang. Jadi, kalut punya pasal, dia lupa hal penting itu. Sampailah bucu penyandar kerusi menghentak perutnya. Buat dia jadi senak. Adoilah!
Terus Sanaa terduduk semula di atas kerusi yang tadinya tak sabar dia nak tinggal. Tertunduk tubuhnya, sembunyi dari mata Falah, dengan sebelah tangan memeluk nota dan skrip bangsawan berserta kotak pensel ke dada manakala sebelah lagi memegang bahagian perut yang senak kena hentak. Bibirnya terketap. Teran suara daripada keluar.
Sampailah tiba-tiba terjengul muka Falah di depan mukanya!
Bukan suara teran sakit saja yang kedengaran, sebaliknya suara terperanjat gaban pun ikut keluar sama. Bergema sekejaplah ruang perpustakaan itu sampaikan beberapa kerat tubuh yang ada memerhati mereka dengan dua pandangan; hendak tahu serta tolong diam, ini perpustakaan!
“Well, if you could shout that loud… then you’re definitely okay.”
Falah bangun dan Sanaa mengangkat kepala mengikut tegaknya tubuh itu. Tubuh Sanaa ikut menegak di atas kerusi, tangan masih menggosok bahagian perut.
“Saya rasa awak patut cek mata. Something is wrong with it, I think…” Kali ini Falah senyum betul. Ikhlas. Memukau jiwa.
Menggosok lembut ubun kepala Sanaa dengan tangan kiri, memegang erat buku dengan tangan kanan, Falah berlalu.
Dan Sanaa hanya boleh tengok sambil nganga. Tak ada kemampuan nak buat lebih daripada itu apabila gosokan lembut seperti hendak pujuk pada kepalanya sampai terus ke bahagian sakit pada perut. Macamnya Falah menggosok perutnya. Hilangkan sakit kena bucu penyandar kerusi sekejap tadi. Sanaa terbuai.
Punya terbuai sampai lupa tiga minggu ini dia merana kerana Falah, Abang Kama, Rose dan Pro-Ba. Lebih merana sebab adanya parti Diva P yang berleluasa di AKAK. Sanaa dikurung bahagia yang amat sampai lupa pada nota, skrip bangsawan dan kotak pensel yang sudah sembah lantai perpustakaan. Tayang muka I terbuai you, Sanaa terus lihat arah Falah menghilang dengan mulut menganga.
Sampailah mejanya dihentak kuat!
Di depannya berdiri orang kuat parti Diva P yang nama mereka bermula dengan D dan I—Diana, Dinah dan Dimni!
[ POM versi cetak ]
Untuk pesan: bikashnuridris@hotmail.com

1 ulasan:

Joy wanabe berkata...

blogwalking http://joywanabe.blogspot.com/

new entry:perut mengancam