Isnin, Julai 09, 2012

Ingin Hati Melukis Kata | Bab 6

16 Disember 2007
Raut wanita itu tegang. Lelaki di sampingnya pula masih ada tenang, di balik gelisah. Manakala sofa tiga rangkai itu pula diisi tiga tubuh lain, yang sama datang dengan pasangan suami isteri itu. Lelaki yang mungkin sebaya Raimi dan ibu bapanya, orang tua tunang kepada Ainsya.
Barulah Sujiah tahu, Ainsya sebenarnya tunangan orang dan perkahwinan gadis itu bakal dilangsungkan dalam tidak kurang dua minggu sahaja lagi. Ah, Raimi… tak cukup dengan simpulan pertama, satu lagi ditambah untuk ibu, detik hati Sujiah. Namun buat masa ini dia tidak akan membuat sebarang keputusan.
Kerana keputusan belum jadi haknya. Kalau sudah beralih ke tangannya, barulah bicara akan diungkap.
“Babah…”
Suara lembut, penuh hati-hati dan teragak-agak itu buat Sujiah memaling wajah, merenung Ainsya. Baru ini kali pertama dia benar-benar melihat rupa Ainsya. Orangnya genit, mungkin dalam lima kaki sahaja ketinggiannya. Tubuhnya montok, sedap. Di matanya tidak layak dikata gemuk, tapi mungkin bukan pandangan orang lain. Kulitnya kuning langsat, bersih.
Tubuh Ainsya berbalut seluar panjang kotak-kotak, diyakini milik anak bujangnya. Baju-T merah darah yang menghampiri lutut labuhnya itu juga diyakini pakaian Raimi. Rambut berombak itu dilepas begitu sahaja, sedikit serabai.
Mata Sujiah menyapa pula raut yang agak bulat dengan dagu meruncing dan berlekuk itu. Sempurna indah pada mata ibu sepertinya, cukup berkenan di hati. Mungkin bukan dalam kategori cantik atau jelita, namun ada keanggunan tersendiri kalau ditilik dan dibelek lama. Ada unsur eksotik di situ.
“Babah…” Ainsya bersuara lagi, memberanikan diri menghampiri babah yang merenungnya dalam, seolah mahu menyelami, bagaimana dia sanggup lakukan perbuatan terkutuk yang boleh jatuhkan seluruh maruah keluarga mereka.
Mata Ainsya bergenang. Dosa kepada Tuhan sudah lama menghurung hati dan kini dosa ke atas percaya babah yang dirobek pula menghuni. Malu kepada Tuhan akan dia tunduk sujud, memohon ampun. Tahu Allah tak akan jauhkan dia kalau dia meminta dengan hati yang ikhlas, hati yang sedar. Allah Maha Pengampun, Dia Maha Pemaaf.
Sedang babah dan umi… bagaimana pula? Hati yang ikhlas dan sama sedar, akan diterimakah manusia biasa?
Mereka adalah manusia berdarah, berdaging dan ada rasa. Juga tahu bagaimana sakitnya perasaan apabila maruah dan kehormatan diinjak-injak tanpa harga oleh anak kandung sendiri. Jadi, mungkinkah maaf yang dipinta, dengan hati paling dalam dan ikhlas bakal dipenuhi? Apakah babah dan umi akan maafkannya?
Berdiri dengan penuh rasa yang bertelagah, di hadapan babah dan umi, Ainsya menundukkan tubuh sudahnya, berlutut di hadapan kedua insan yang paling penting dalam hidupnya. “Babah… umi… maafkan Ainsya. Maafkan Ainsya…”
Tangis Ainsya pecah, mendesah setiap ruang luhur dalam diri. Dia benar-benar berdosa kepada kedua insan ini. Mereka percaya kepadanya, mereka yakin dengannya dan dia… sekelip waktu menarik percaya dan yakin itu daripada mereka.
“Babah, umi… ampunkan Ainsya. Maaf…” Titik air hangat pada pipi jadi bah. Kedua-dua bahu sama terenjut.
Dia hanya boleh berlutut di hadapan babah dan umi, tapi tidak punya daya menyentuh keduanya. Selagi ampun maaf keduanya tiada, selagi itulah ada jijik dalam diri, ada keji dalam hati. Seolah kelayakan sudah ditarik daripadanya. Dia hanya layak menyentuh babah dan umi kalau mereka mula menyentuhnya, sebagai tanda maafnya ada makna, ampunnya ada maksud.
Umi yang mula-mula menyentuhnya. Dengan tamparan kuat tepat ke pipi kanan Ainsya. Terjelepok dia di atas lantai rumah papan itu.
Raimi mahu mendekat, mahu campur mulut. Tidak sanggup lihat Ainsya diperlakukan sebegitu. Hatinya tidak gemar. Dia hilang tenteram. Namun pandangan tajam ibu menghalang. Amaran ada di situ. Jangan ikut campur. Ini urusan Ainsya dan keluarganya. Bukan mereka.
Raimi mengetap bibir. Namun tetap mengangguk kecil tanda menurut. Tetapi dia palingkan wajah daripada melihat Ainsya apabila ibu gadis itu terus menampar dan memukul setiap inci tubuh itu. Melepas marah, menghambur baran atas perbuatan anak gadis sendiri.
“Anak tak sedar diri, tak tahu malu! Kau ni nak jadi apa, hah? Malukan mak ayah sendiri!” marah Nuhaa lantang.
Tubuh Nuhaa sudah lama terangkat dari sofa. Tangan kanan dan kiri tak tentu arah mencari batang tubuh Ainsya yang sudah terbaring ke atas lantai. Bukan sahaja terbaring, malah sudah terlekat kemas.
“Kalau kau dah gatal sangat, kalau kau dah tak sabar sangat, kau bagi tau aku! Aku cepatkan perkahwinan kau. Aku kahwinkan kau cepat-cepat untuk hilangkan renyam kau tu. Tapi kau… kau malukan aku, malukan babah kau, seluruh keluarga kita!” bentak Nuhaa menampar kepala Ainsya sesuka hati.
Tiada perasaan mendengar tangis merintih Ainsya. Tiada juga rasa pada setiap sedu-sedan Ainsya, yang menerima sahaja setiap bentakannya, sama ada tangan atau mulut. Tidak menghalang, tega merelakan.
Awwal akhirnya bangun, menghalang. Malah Solehandin juga sama. Tidak boleh melihat Ainsya dibambu ibu sendiri.
“Sudah, Nuhaa, sudah!” Awwal memeluk kuat tubuh isterinya.
Apabila Nuhaa meronta, masih mahu panjangkan tangan, menghentam tubuh Ainsya yang sudah lembik menempek lantai, Awwal mencapai kedua-dua tangan itu. Diketatkan dalam pelukannya. Mengunci gerak tangan Nuhaa. Sudahnya Nuhaa bersandar sahaja ke dada suaminya. Tangisnya menghuni apabila marak perasaan itu terluah dengan perbuatan.
Hampanya sudah puas dihambur melalui hangat amarahnya, lebur dengan setiap pukulan. Tapi kesalnya, malunya dan kecewanya… takkan mungkin lebur selama hidupnya. Perbuatan memalukan oleh anak kandungnya sendiri akan mengejarnya, seluruh hayatnya.
Bagaimana harus dia depani sanak saudaranya nanti? Bagaimana pula dapat dia bersemuka dengan jiran tetanggannya? Apa kata mereka? Apa umpat keji mereka kepada dia dan keluarganya?
Ainsya meluru ke kaki Awwal dan Nuhaa, memeluk keempat-empat kaki itu sekali gus. “Ampunkan Ainsya, babah… maafkan Ainsya, umi…”
“Maaf?” bentak Nuhaa. Marak yang malap seketika tadi seolah dinyalakan semula apabila mendengar perkataan itu.
“Boleh maaf kau tu kembalikan maruah keluarga aku? Boleh ayat kau tu balikkan semua ke keadaan asal? Hilangkan arang yang kau conteng ke muka aku, muka babah kau!” Mencerlang mata Nuhaa. Maaf bukan harga yang dapat membetulkan semula semua salah silap yang sudah berlaku.
“Aku tak tahu pun kau ni gatal sangat nak disentuh jantan. Kalau aku tahu, dah lama aku kahwinkan kau dengan Solehan ni!” Nuhaa mengerling Solehandin yang berdiri di sampingnya. “Tak payah aku malu terima berita macam ni. Ditangkap khalwat! Bersekedudukan!”
Ainsya ligat menggeleng, masih memeluk kaki kedua orang tuanya. “Tak, umi, tak! Ainsya tak buat tu semua, umi. Ainsya tak buat, umi. Sumpah, umi!”
Sujiah melihat sekilas kepada Raimi. Anak muda itu seolah mahu menyokong. Namun dia lekas-lekas memaut jemari tangan Raimi, menghalang lagi.
“Betul, umi, Ainsya tak buat…” ucap Solehandin sudahnya. Sudah tidak lagi boleh diam melihat sandiwara yang berlangsung. Suaranya diperlukan.
Kesemua mata tunak pada tubuh sasa Solehandin. Paras tampan yang sering mencari tumpuan itu kali ini jadi perhatian mereka. Bukan kerana kacak wajah itu, sebaliknya kerana patah bicara anak muda itu sendiri.
“Han yakin dengan Ainsya, umi. Dia tak mungkin buat semua tu. Ainsya yang Han kenal bukan macam tu…” ujar Solehandin sambil perlahan-lahan mendapatkan Ainsya lalu meletak sebelah lutut ke atas lantai dan sebelah kaki menongkat duduknya. Selama itu matanya langsung tidak lari daripada menjamah paras Ainsya yang sudah sememeh dengan air mata.
Solehandin senyum manis. Sarat makna. Kalau sejak dua hari yang sudah dia bergelisahan mencari titik hubungannya dengan Ainsya, yang gadis itu sendiri mahukan kalau tidak mahu rahsianya dibongkar, hari ini dia sudah boleh ketawa sendiri. Mampu bergelak puas. Rahsianya akan tersimpan kemas sebagaimana rancangan awal. Perkahwinannya dengan Ainsya pula akan lebih mengatup kemas ia, khazanah yang hanya akan diketahui Ainsya, dia dan kekasihnya itu.
Ainsya sudah tidak punya sebab untuk menolak perkahwinan mereka. Malah, pengorbanannya tentu akan disanjung umi Ainsya, yang memang sudah tidak sabar mahu bermenantukannya. Mahu lihat dia kahwini anak gadis yang sudah terlajak bujang itu. Gembira wanita itu telah dicanang ke telinga seluruh tetangga dan sanak saudaranya, jadi tentu sahaja umi Ainsya akan dihurung lega mendengar beritanya.
Solehandin angkat tangan, mahu menyentuh helaian rambut Ainsya yang menggerbang tidak terurus. Namun gadis itu menjauh, bersama renungan tajam. Benci kepada sikap hipokritnya tersua dalam sepasang mata itu. Dia telan rasa marah yang menerjah kerana Ainsya gadis sombong yang tidak tahu bersyukur dengan pengorbanan yang bakal dilakukannya. Walaupun berwajah ketat, dia terus mengukir senyum.
“Kerana percaya dan yakin dengan Ainsya, Han masih terima Ainsya, umi. Han nak kahwini Ainsya sebagaimana kita rancang…”
Tutur Solehandin buat Nuhaa terlalu lega. Sangkanya perkahwinan itu tak akan berlaku. Anggapnya perhubungan itu akan terputus. Tapi tidak… Solehandin masih mahu menerima anak gadisnya walaupun tunangnya itu ditangkap khalwat dengan lelaki lain. Betapa baiknya peribadi Solehandin. Betapa luhurnya hati Solehandin.
Nyata dia tidak silap menerima Solehandin sebagai menantu, selaku bakal suami Ainsya. Bicara Solehandin seolah mengesat hilang arang pada mukanya. Sekali gus menjadikannya kemilau bercahaya. Membolehkan dia berhadapan dengan sanak saudara dan jiran tetangga dengan kepala terangkat tinggi, bukan menunduk malu.
Awwal sendiri kelegaan mendengar bicara Solehandin. Namun entah mengapa ada perasaan hairan terdetik. Solehandin terlalu tenang menerima perkhabaran ini. Dan, kesudian Solehandin menerima Ainsya, sekali gus meneruskan perkahwinan bagai direncana mengasak curiga berdiam.
Mahmudin dan Johanis, ibu bapa kepada Solehandin, jelas mempamerkan raut tidak puas hati. Mereka tidak mahu anak bujang mereka jadi bodoh dengan mengambil sisa orang. Kalau sudah sampai ditangkap pihak berkuasa kerana bersekedudukan sebegitu, tidak mungkinlah tiada apa-apa berlaku. Mereka tidak mahu Solehandin menerima buah yang lebih dulu ditebuk tupai lain.
Buah sudah jelas rosak, tupai sudah nampak di mata, mana mungkin tiada apa-apa berlaku!
Johanis mahu buka mulut, menentang keputusan anak lelaki bongsunya itu. Janganlah kerana sayangkan Ainsya, Solehandin menjadi dungu dalam memberi keputusan. Namun, pandangannya tidak diperlukan. Suara Ainsya lebih dulu kedengaran.
“Ainsya tak nak kahwin dengan Solehan!” Gema suara Ainsya mengisi. Semangat yang menghilang tiba-tiba mendatangi. Matanya menjegil Solehandin pula.
“Aku tak nak kahwin dengan kau, Solehandin!” Tubuh Ainsya menggigil. Terlalu diamuk rasa.
Menggenggam tangan Sujiah yang masih menyulami jemarinya, Raimi senyum.

2 ulasan:

::Nora Maney:: berkata...

kak BNI..saya ade msg dkt fb nak novel nih..macam mane nak order dgn BNI eh?

thanks

Bikash Nur Idris berkata...

Nora Maney,
E-mel hmi262@facebook.com atau mesej aje kat FB tu. Boleh.