Isnin, Mei 14, 2012

Ingin Hati Melukis Kata | Bab 4

15 Disember 2007
Kereta diparkir di kawasan khas memarkir di Wisma EANI. Kawasan parkir yang boleh memuatkan beratus buah kenderaan itu dibina khas di sebelah kanan Wisma EANI, bangunan setinggi empat tingkat yang mungkin sahaja punya keluasan seperti bangunan Maju Junction di pusat bandar ini.
Tingkat bawah atau lebih dikenali sebagai First Ball kerana terdapat ballroom khas untuk sebarang majlis rasmi EANI Holdings atau cawangannya. Tingkat dua dan tiga pula dikhaskan dengan bilik-bilik penginapan perseorangan buat staf-staf EANI Holdings dari negeri luar Kuala Lumpur. Dan tingkat empat, ruang pejabat untuk EANI Akomodasi, salah satu cawangan EANI Holdings yang menguruskan bahagian akomodasi untuk pekerja-pekerjanya dari dalam dan luar negeri, malah dari luar negara juga. Asal sahaja ada pas EANI.
Dia ada pas itu, malangnya terlewat menggunakannya. Bilik akomodasi banyak sudah penuh. Dia yakin. Kalaupun ada kosong, mungkin rezekinya. Namun dia tidak pula ringankan kaki atau mulut mencuba nasib petang kelmarin. Sebaliknya dia terus daftar masuk ke sebuah hotel tidak jauh dari Wisma EANI, demi kemudahannya sendiri.
Sengaja menolak kemudahan yang disediakan oleh syarikatnya kerana dia ada maksud lain yang lebih diperlukan untuk mencari tenang diri.
Sebaik memastikan kedudukan kereta MyVi putihnya dalam petak parkir, Ainsya keluar dari perut kereta. Mata terus terperosok ke ruang First Ball yang kelihatan bernyawa berbanding sebelum-sebelumnya. Sesudah satu tahun, dia kembali ke sini lagi. Dulu pun kerana Annual Dinner EANI. Kali ini pun sama.
Bezanya, tahun lepas dia datang sebagai Ainsya Najma biasa. Yang sentiasa ringkas, bergaya secukup rasa, selesa lebih penting. Dan, tahun lepas hatinya tidak kacau-balau seperti tahun ini. Dan tahun lepas juga, dia tidak membelanjakan lebih RM700 dalam satu hari hanya untuk majlis satu malam.
Namun tahun ini, semua yang ada dia lakukan tahun lepas tidak lagi dilakukan. Sebaliknya yang tidak dilakukan, dijadikan satu tapak mula.
Hari ini, malam ini, dia yang tidak pernah ada rasa mahu bergaya datang dengan melaram sakan. Malam ini dia menolak tradisi kod pemakaiannya sendiri. Kalau dulu dia mengelak berkebaya pendek kerana dirasakan pakaian sebegitu terlalu menonjolkan bentuk bandannya yang padat dan agak berisi serta kerendahan tingginya, namun kali ini dia buang segala rasa itu.
Pada tubuhnya tersarung kebaya pendek Baba Nyonya hitam kosong dengan padanan batik lepas berwarna merah hitam. Walaupun tema majlis malam ini kontemporari, dia sengaja memilih fesyen lewat 60-an itu. Kontemporari pada pemikirannya sendiri, yang tidak pernah berkebaya.
Sesuatu yang baru untuknya, jadi ia adalah kontemporari!
Rambut panjang melepasi bahu yang berombak hitam dan lebat pula, yang selalunya disanggul ringkas setiap kali keluar dari rumah, diubah dandanannya. Sanggup dia berhabis duit di salun, membuat sanggul kecil di sebelah kiri dan selebihnya dibiar lepas, terletak elok melepasi bahu kirinya.
Dan dia, Ainsya Najma yang tidak pernah gemar bermekap, kali ini benar-benar menghulurkan duit hanya untuk membenarkan seseorang yang tidak dikenali melakukan rawatan muka serta mengizinkan kulit wajahnya disolek. Siap rawatan kuku lagi. Pedicure, manicure! Tinggal tak mandi bunga saja!
Malahan di sepasang kakinya pula bukan kasut sarung tanpa tumit yang selalu jadi pilihan ke mana sahaja, sebaliknya sandal bertumit. Membuatkan ketinggiannya menginjak ke 155 sentimeter daripada 153 sentimeter. Nampaklah tinggi sikit kut…
Menarik nafas panjang, dihela berat, mengemaskan genggaman pada beg tangan kecil lagi comel di tangan kiri, Ainsya mengatur kaki sudahnya. Bergerak mendapatkan First Ball sebagai Ainsya Najma baru, hanya untuk malam ini. Kerana malam ini, dia tidak mahu jadi dia yang lama; ketua kepada lima staf lelaki dan dua orang perempuan untuk EANI Travels Perak, seorang superior yang hanya tahu bertegas dan serius dengan sub-ordinatnya atau seorang anak dara tua yang selalu dipuji kerana bakal menikahi lelaki lebih muda daripadanya.
Malam ini dia mahu jadi Ainsya Najma yang dia mahu; bukan yang diadun umi, didesak tanggungjawab atau dijatuhkan martabatnya.
* * *
Mata Raimi sudah diulang-ulang arahnya, kembali juga ke sudut yang sama. Walaupun dia cuba memaksa untuk tidak kisah atau tidak peduli, hatinya tetap memberat dengan dua rasa itu.
Ada sesuatu pada raut yang bermekap tebal itu, yang menarik minat matanya. Sedang dia tidak pernah ada selera melihat mana-mana muka berinci tempekan sebegitu. Dua kali pandang saja dia sudah boleh rasa mual. Tapi entah kenapa, bukan dengan wajah ini. Hanya sarat dengan rasa ambil berat. Satu rasa yang dia tidak pernah rasa kepada perempuan yang bukan daripada keluarganya.
Sejak gadis itu sendirian mendekati meja yang memuatkan enam batang tubuh lain (termasuk dia) itu, matanya tidak sudah singgah pada si genit yang anggun berkebaya itu. Itulah yang pertama-tama menarik pandangannya, lalu mengikat ia. Kerana hanya gadis itu seorang sahaja memilih pakaian tradisi Baba Nyonya sedang staf-staf perempuan EANI yang lain memilih pakaian-pakaian serba moden, mengikut tema yang ditentukan untuk Annual Dinner EANI tahun ini, sesudah tema kostum tahun lepas.
Pemilihan pakaian oleh si genit itu memang menggam matanya, tapi bukan solekan tebal pada wajah itu, walaupun sebetulnya setiap gadis yang hadir malam itu sama menyolek wajah sedemikian. Entah mengapa di mata Raimi, solekan sebegitu dirasakan tidak sesuai dengan penampilan si anggun itu. Janggal, canggung.
Dan mata itu, sejak gadis tersebut duduk selang dua buah kerusi daripadanya, yang diisi pasangan bernama Ruzaiman dan Jazshira, ada sesuatu di dasarnya yang buatkan dia rasa bukan itu diri sebenar si anggun itu. Seolah si dia meminjam identiti seorang yang lain.
Walau hakikat yang satu, dia tidak pernah kenal gadis itu, mahupun identiti sebenarnya. Luar biasa betul intuisinya malam ini. Kalah detektif gamaknya!
Bersandar pada kerusi sambil tangan dipanjangkan, mencapai gelas air kosong di atas meja bulat yang dipenuhi tujuh orang itu, walau kini hanya tinggal empat orang, Raimi terus-terusan melihat si anggun yang masih cuba menolak minuman yang dihulur seorang jejaka. Minuman sama yang diberi oleh dua rakan baik lelaki itu sebentar tadi.
Dan, sejak meneguk minuman itulah dia perasan akan perubahan pada si anggun itu.
Suara yang susah hendak keluar lebih satu jam tadi mula menghias meja mereka. Ada waktu nyaring. Gelak yang sukar didengar lebih satu jam sebelum ini pula tidak sudah menyapa. Ada masa lantang.
Perubahan yang terlalu mendadak sejak geng tiga budak botak yang terdiri daripada Zahir, Deva dan Rizal menghulur gelas minuman yang mereka sendiri bawakan untuk bos mereka itu, selepas seorang demi seorang, atas alasan mahu mesrakan hubungan tegang selama mereka di pejabat sebelum ini.
Dan ketika itulah otak Raimi mengimbas semula dari mana dia pernah dengar permasalahan yang hampir serupa itu. Tiga orang staf lelaki yang selalu membuat masalah dan tidak berdisiplin hanya kerana mereka rasakan mereka tidak sepatutnya berada di bawah pimpinan seorang perempuan yang lebih muda daripada mereka dan masih setahun jagung berbanding mereka bertiga yang sudah senior.
Kes EANI Travels cawangan Perak!
Dan waktu itu jugalah Raimi jadi sedar. Dia salah mendengar nama si anggun berkebaya tadi, yang memperkenalkan dirinya kepada Ruzaiman apabila pemuda itu menyoal. Bukan Aisya, sebagaimana ditangkapnya lewat satu jam tadi, sebaliknya Ainsya.
Ainsya Najma. Itulah nama peneraju EANI Travels Perak.
Tumpuan Raimi dikembalikan kepada ballroom EANI, lebih tepat ke arah Ainsya, yang akhirnya mencapai minuman yang sejak tadi dihulur Zahir sedang Ainsya sudah penat menolak. Kerana tidak mahu Zahir sangka maafnya ditolak jika dia tidak menerima gelas itu, sudahnya Ainsya terima dan terus meneguk isi di dalamnya. Tanda tiada lagi balah antara mereka.
Suara Ainsya mula langsing. Ketawa Ainsya jadi nyaring. Dan, apabila Ainsya bangun mendadak, menumpahkan minuman yang berbaki di dalam gelas di tangan ke arah Ruzaiman di sebelah, yang mula memerah muka dek rasa marah dan malu kerana gadis itu hanya melihat dengan mata membulat lalu menjauh tanpa sebarang kata maaf, Raimi tahu itulah masanya untuk dia campur tangan.
Raimi bangun lalu menghampiri Ruzaiman, berdiri dekat dengan lelaki pertengahan 30-an yang sibuk mengesat pakaiannya yang basah dengan mulut kumat-kamit, tidak puas hati.
“Saya minta maaf bagi pihak dia, Encik Ruzaiman,” ujar Raimi sambil mata masih melingas pada batang tubuh Ainsya yang terhuyung-hayang melangkah. Belum boleh dia kesan mana destinasi gadis itu.
Ruzaiman angkat muka seketika. Mendengus seraya kembali tumpukan perhatian kepada bajunya. “Huh, mabuk apa entah dia tiba-tiba!”
Mabuk? Dahi Raimi berkerut, mula boleh menangkap. Bibirnya diketap, menahan perasaan. Gelas yang dipegang Ainsya tadi diraih, sebelum Zahir sempat mencapainya semula, sebagaimana dua orang rakannya tadi. Mereka bawanya untuk Ainsya dan mereka mengusungnya semula sesudah Ainsya selesai menghirup sampai ke sisa akhir.
“Mmm, saya boleh ambil… nak tambahkan air.” Zahir tersenyum manis ke arah Raimi. Cuba mengambil semula gelas yang sudah lama dalam raihan lelaki itu.
Raimi menolak tangan Zahir tanpa melepaskan pegangan pada gelas yang dimahukan lelaki yang diyakininya sudah lewat 30-an. Memang sangatlah Zahir lebih senior daripada Ainsya dari segi usia, namun bukan dari segi kecerdikan. Zahir gunakan cara kotor dan singkat, yang boleh menjatuhkan maruah seorang gadis. Hanya kerana dendam, Zahir tidak kisah walaupun seorang gadis tidak berdosa bakal dimalukan.
Dia harus pastikan Ainsya tidak jauh daripadanya. Kalau tadi Raimi rasa Ainsya bukan dirinya, kini dia yakin Ainsya memang bukan dirinya.
Mata Raimi bergerak lagi. Mencari tubuh genit Ainsya. Matanya menangkap Ainsya duduk sendirian di sebuah meja. Keliru dan tidak kena. Aisnya berada dalam keadaan sedar dengan tidak. Masih cuba mencari diri, yang Raimi yakini kali ini sudah hilang. Sebelum Ainsya hilang maruah atau malu diri, dia perlu menjaga Ainsya. Ainsya tanggungjawabnya.
Untuk apa dia rasa begitu, dia tidak mahu kisah.
Raimi merejam pandangan ke arah Zahir. “Tak apa, bos you pun dah angkat kaki, tak nak tambah air. Agaknya air yang you dan dua orang kawan you bagi tu ada kesan sampingan ke atas dia.”
Senyum Raimi yang sinis dan penuh dengan makna buat Zahir jadi tidak selesa. Bimbang juga kalau-kalau rahsia yang dianyam bersama dua sahabat baiknya bakal dihidu pemuda yang kacak dengan sut hitam berbutang dua dengan sentuhan fabrik kilat pada lapel. Kemeja putih jadi padanan, dengan dua butang atas terbuka. Sofiskated dan ranggi dalam masa yang sama!
Walaupun tampak lebih muda daripadanya, ada keterampilan dan aura somebody pada jejaka ini, membuatkan Zahir mula berjaga-jaga tanpa disuruh. Buruk perbuatannya dan kawan-kawan tidak boleh dihidu siapa pun.
Namun Raimi benar-benar menghidunya. Gelas di tangan dibawa ke bawah hidung. Senyum sinisnya mengembang. “Apa yang you buat ni tak betul, Encik Zahir.”
Zahir jadi gamam apabila pemuda itu tanpa syak mengucap namanya.
“Sebelum you dan dua orang kawan baik tu balik Perak, pastikan singgah dulu ke pejabat I. Soal masa depan karier you dan kawan-kawan you.” Meletak gelas di atas meja, tangan kanan dipanjangkan ke poket kemeja balik sut hitam. Kad perniagaan dikeluarkan.
Teragak, Zahir mencapai juga. Matanya membuntang melihat patah ayat di dada kad itu.
RAIMI QAHIR ABDILLAH
HR DIRECTOR OF EANI HOLDINGS
Tersenyum, masih dengan pandangan merejam, akhirnya Raimi mengalih batang tubuh. Tumpuan kali ini adalah kepada tanggungjawabnya—Ainsya. Namun, apabila tubuh genit Ainsya tiada lagi di kerusi tadi, Raimi hilang senyum mahupun aura angkuh yang cuba ditonjolkan di hadapan Zahir tadi.
Raimi kalut.                    

4 ulasan:

eLL berkata...

kak bikash, ingat tak cerpen yang keluar dalam BLUES UNTUK AKU yang nama heroinnya Ardini tu tajuk apa? Mana nak cari kompilasinya? Ada jilid ke?

Bikash Nur Idris berkata...

Ell. Tak dijilidkan :(

eLL berkata...

Jadi macamana nak dapatkan "Cerita Asamara" semula? Uwaaa.... kalau Kak Bikash jual, saya nak beli.

Bikash Nur Idris berkata...

Ell :(