Sabtu, Mei 26, 2012

Ingin Hati Melukis Kata | Bab 5

16 Disember 2007
“Ah…” Ainsya mengaduh panjang sambil tangan melekap di kepala. Terasa sangat menyakitkan malah sesekali diiring dengungan yang merimaskan. Seolah-olah kepalanya baru sahaja dijadikan guni tinju percuma.
Perlahan-lahan kepala yang terletak di atas sesuatu yang keras diangkat. Mulut tidak lepas mengeluh menahan berat yang menekan. Dipaksa benak memikir, kenapa dia berada dalam keadaan sebegini. Mungkinkah bahana terlalu banyak menangis?
Tak mungkin. Kerana semenjak dia selamat tiba ke KL dan mendaftar masuk ke hotel terdekat dengan Wisma EANI, dia tidak menitiskan air mata langsung. Yang ada hanyalah air hangat yang hampir jatuh saat mendengar bicara lembut babah. Jadi, tak mungkinlah kepalanya terasa begini hanya kerana air mata yang tidak sempat menitik itu. Sangat tidak mungkin!
Jadi, kenapa kepalanya rasa sebegini?
Kepala sudah terangkat, mata yang masih layu tidak mahu terbuka luas dipaksa membuntang bulat. Kotak fikiran diarahkan sama, mengingat semula apa yang berlaku di Annual Dinner EANI semalam. Tidak langsung ada dalam simpanan memorinya apa yang berlaku selepas perbualannya dengan Deva dan Rizal. Yang ada hanyalah bayangan Zahir memujuknya minum minuman yang dibawa sebagai tanda maaf, sebagaimana Deva dan Rizal.
Selain daripada itu ada potongan ingatan kepada seorang lelaki, yang duduk di sampingnya bersama seorang gadis yang berulang kali dipanggil Jazshira oleh lelaki itu. Pasangan kekasih, itu dia pasti. Dan yang paling penting, dalam mindanya adalah sepasang mata kuyu, bulu mata hitam lebat. Sepasang mata yang tidak mengejarnya di luar sedar. Sebetulnya ia tergam kemas.
Dan, apabila mata itu sekali lagi tergam kemas di hadapan matanya, dia hampir menjerit kecil. Mendadak tubuh diangkat sepenuhnya. Baru dia sedar semenjak tadi, benda keras yang menampung kepalanya adalah dada lelaki itu, yang bogel tanpa pakaian. Juga sedar, dia sendiri sudah berganti kain pada tubuh.
Bukan lagi kebaya Baba Nyonya dengan batik lepas yang dilaramnya semalam, sebaliknya sehelai baju-T yang besar dan longgar untuknya.
Dia memandang pemuda yang masih berbaring di atas katil, baru dia perasan mereka berada di situ, yang terus melekapkan pandangan kuyu ke arahnya, kemudian kepada dirinya yang dibalut dengan baju-T yang bukan miliknya. Dia masih belum sedar sepenuhnya, tidak tahu keputusan apa harus dibuat. Tapi sudahnya dia tahu apa harus dibuat.
Ainsya buka ngangaan mulut, menjemput jeritan paling dalam untuk keluar dari kotak suaranya.
Jejaka itu menerpa ke hadapan. Tangan kanan mengepung suara Ainsya daripada mengisi. Kali ini Ainsya tidak lagi fikir keputusan apa harus dibuat, sebaliknya dia terus mengalih kedudukan wajah, membuatkan gigi kacip kemas pada isi telapak tangan kanan itu. Digigit kuat!
Tangan kanan itu beralih laju, seolah terkena panas api. Dan kaki Ainsya sama laju, berlari, tanpa peduli di mana kakinya jatuh—dia yakin dia ada terpijak bahagian tubuh pemuda itu kerana suara lelaki itu mengaduh boleh didengar dan dia amat berharap pijakannya boleh melumpuhkan bahagian itu. Kedua-dua kakinya pantas dilarikan, meninggalkan ruang bilik tidur itu.
Baru sahaja kakinya menginjak ke ruang hadapan yang memisahkan bilik tidur dengan ruang tamu, ada ketukan kedengaran. Bertalu, tanpa henti, diiring suara keras.
Ainsya tergam di tempatnya. Di sampingnya berdiri lelaki itu. Sama-sama merenung pintu yang sama.
* * *
Kerlingan sekali lagi dialihkan ke arah gadis genit yang duduk menongkat lutut di atas katil bujang di dalam bilik tidur yang pintunya luas terbuka. Seperti beberapa minit tadi, gadis itu masih dalam posisi yang serupa, tetap juga merenung arah yang sama—dinding bilik tidur itu.
Sudahnya, selepas penat menghantar kerlingan demi kerlingan kerana bimbangkan keadaan gadis bertubuh montok yang sama dijemput dengan anak teruna bongsunya lebih 50 minit tadi, Sujiah menghantar mata ke raut Raimi. Sepertinya, anak bujangnya itu juga nampak gelisah.
Sujiah menghambur keluhan. Sarat dengan pelbagai rasa yang menjalar.
           “Macam mana boleh jadi macam ni, Imi? Apa Imi dah buat pada budak tu?” Akhirnya soalan yang ditelan-telan daripada terburai keluar, meniti belahan bibir Sujiah.
            “Ibu… ibu kenal Imi, kan? Ibu tahu kan Imi tak akan buat buat macam tu?” Raimi meningkah renungan ibu. Bukan dengan kekerasan, sebaliknya penuh kelembutan. Sama mencari pengertian.
            “Sebab itulah ibu cuba nak faham macam mana Imi dan budak tu boleh terlibat dengan hal ni. Macam mana ibu boleh berdepan dengan pegawai-pegawai tu dan macam mana ibu perlu ikat jamin Imi dan dia…” Sujiah seklias memandang gadis di balik pintu bilik tidur yang ternganga itu. Masih dengan lagak tenung dinding.
            Renungan padunya tumpah pula kepada Raimi, yang duduk di atas sofa di hadapannya. “Fahamkan ibu, Imi…”
            Raimi bersandar ke sofa. Kepalanya turut tertampung ke situ. Jadi lelah memikirkan jawapan apa yang harus diberi kepada ibu. Namun dia tidak boleh mula menipu wanita itu. Wanita yang terlalu agung di matanya, di hatinya. Keruh wajah itu selalu buat dia gundah. Hangat air mata itu sering buat dia gulana. Jadi, dia harus berterus terang, cuma bukan sepenuhnya. Belum lagi.
            Menarik nafas dalam, Raimi mula mengatur kata. “Dia staf EANI juga. Nama dia Ainsya, Ainsya Najma. Sebelum Imi panjangkan cerita, Imi dah tetapkan hati, lepas apa yang jadi, dia yang akan jadi isteri Imi, menantu bongsu ibu.”
            Mukadimah Raimi tidak mengejutkan Sujiah. Sungguh, dia terlalu faham dengan dilema moral Raimi. Malah dia lebih kenal anak bujangnya itu berbanding siapa saja dalam dunia ini. Bukan hanya kerana dia ibu Raimi, mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Raimi, tetapi kerana antara mereka berdua ada hubungan lebih daripada itu, yang hanya boleh dimengerti oleh mereka bersama. Bukan orang luar mahupun kakak-kakak Raimi sendiri.
            Selain itu, semenjak kecil sudah diterap erti tanggungjawab dan makna hormat dalam diri Raimi. Atas rasa hormat kepada maruah Ainsya yang telah dicalarinya dan rasa tanggungjawab atas diri Ainsya yang sudah dimainkan di luar mahulah Raimi membuat keputusan sebegitu. Dalam diri Raimi sarat dengan sifat gentleman. Sarat juga dengan makna berbuat baik dibalas baik.
            “Ibu marah ke, sebab Imi akan palingkan harapan pak long?” Kebisuan ibu mencetuskan soalan itu. Hanya sebab itu yang berlegar di minda Raimi. Mungkin janji mereka kepada pak long memasung setuju ibu.
            Sujiah menggeleng perlahan. “Ibu tahu atas dasar apa Imi buat keputusan untuk jadikan Ainsya menantu ibu. Cuma… macam mana dengan impian Imi? Sanggup Imi selusuri sebuah perkahwinan tanpa percintaan?”
Sujiah tidak mahu Raimi korbankan impiannya hanya kerana mahu bertanggungjawab. Dia tahu dia jugalah yang mengajar Raimi agar tahu bertangungjawab ke atas setiap tindak-tanduknya. Salah atau betul, bertanggungjawablah atas pilihan yang dilakukan. Namun, dia tidak mahu ajarannya sendiri menolak impian yang mahu dilihat Raimi semenjak kecil. Mahu berkahwin demi cinta, sebagaimana perkahwinan kedua orang tuanya; dia dan arwah suaminya.
“Perkahwinan dengan Sheeqa juga jalan yang sama, tapi ibu tak pula rasa impian Imi akan hilang?” Raimi senyum tipis. Sengaja mahu menguji apa sebenarnya yang beriak di hati ibu.
Sekilas Raimi menghantar mata ke arah bilik tidur yang pernah dihuni kakak keduanya lewat tiga tahun dahulu, sebelum perkahwinannya. Ainsya masih galak dengan dinding bilik itu.
Dia yakin tiada yang menarik mata pada dinding bilik tidur itu. Dia tahu kerana dia selalu juga menjenguk bilik itu semenjak kecil, walaupun dilarang Kak Mina atau nama sebenarnya Jasmina. Yang ada hanyalah gambar-gambar kakaknya itu dan ia bukanlah pemandangan yang menarik untuk dilihat siapa pun. Bagi dialah!
Dia juga pasti, Ainsya tidak putus merenung dinding sejak tadi bukan kerana gambar-gambar kakaknya ada tarikan, sebaliknya kerana tarikan hati yang terlalu galau memikirkan situasi yang menimpa mereka. Juga kerana memikirkan penerimaan kedua orang tuanya serta tunang yang hanya dua minggu lagi bakal digelar suami. Memikirkan bagaimana penerimaan mereka sesudah mendengar berita yang mengaibkan bukan saja diri gadis itu, sebaliknya seluruh keluarga itu, termasuk pihak lelaki.
Anak kepada Awwal dan Nuhaa, bakal isteri kepada Solehandin, ditangkap kerana dituduh berkhalwat dengan dia, Raimi Qahir Abdillah.
Mereka ditangkap khalwat!
“Sebab ibu kenal Sheeqa…”
Bicara ibu membuatkan Raimi memaksa tumpuan jatuh kepada wanita yang sudah pun berusia 54 tahun itu. Tidak perlu dia pohon daripada ibu untuk menjaga kelantangan suara kerana sebagaimana dia, ibu juga tahu bertutur dalam nada paling perlahan. Hanya buat telinga mereka.
“Sheeqa anak buah ibu, sepupu Imi. Ibu kenal Sheeqa sejak kecil, Imi pun kenal Sheeqa sejak kecil.”
“Sebab itu impian Imi akan hilang?”
Sujiah geleng kepala. “Sebab ibu tahu Sheeqa bakal jatuh cinta dengan Imi lepas kahwin. Imi ada kemampuan tu ke atas Sheeqa, begitu juga Sheeqa.”
“Dan Imi tak ada kemampuan tu ke atas Ainsya atau Ainsya ke atas Imi…?” Akhirnya Raimi jadi faham.
Sujiah mengerut dahi. “Imi yakin ada?”
“Ibu sentiasa yakin dengan setiap keputusan Imi. Jadi, dalam hal ni pun Imi nak ibu ada yakin yang sama, sebagaimana Imi. Impian Imi akan makbul, ibu. Berkat doa ibu, usaha Imi… insya-Allah, hati akan jatuh cinta. Imi yakin, ibu…”
Sujiah senyum lebar. “Begitu juga ibu. Insya-Allah, hati Imi, hati Ainsya… akan sama-sama jatuh cinta. Mmm, sekarang boleh ceritakan pada ibu… apa yang terjadi sebenarnya? Untuk berdepan dengan bakal besan ibu, ibu perlu tahu keseluruhan cerita.”
Raimi menggoncang kepala, setuju. Dia tahu setakat mana ibu perlu tahu. Maka setakat itulah kisah ditutur. Tiada tokok tambah, hanya setakat yang mampu. Selebihnya, biar kocek hatinya menyimpan.

2 ulasan:

Srikandi Utara berkata...

menarik la... semoga terus berjaya dalam dunia penulisan=)

Bikash Nur Idris berkata...

Srikandi Utara. Terima kasih :D