Ahad, Mei 06, 2012

Cinta Datang Lagi | Bab 2

Mei 2006
Pintu terus ditutup. Raisya mengatur kaki ke ruang tamu rumah sewanya itu apabila terlihat Dona sedang berbaring di sofa sambil menonton televisyen.
Gadis itu membawa batang leher ke arahnya apabila mendengar bunyi pintu dibuka. Lantas kembali halakan mata ke peti televisyen semula. Menonton drama Cina yang diikutinya. Tak pernah ketinggalan pun.
Raisya campak beg tangan ke atas sofa. Semenjak zaman universiti lagi dia lebih senang dengan beg tangan yang besar ala-ala beg tote. Tak reti nak bawa yang kecil-kecil atau comel-comel, melainkan jika terpaksa bila menghadiri sebarang majlis formal.
Punggungnya mencecah sofa. Santai menyandar kepala ke sofa sambil mengatup mata.
Dona mengerling Raisya. Tersenyum kecil dengan gelagat teman serumahnya itu. Mungkin sedang cuba tenteramkan diri dengan cara sebegitu. Atau sedang cuba membuang letih yang mengulit. Dia hanya memberikan masa yang diperlukan Raisya, barulah membuka bicara.
Agak-agak ngam dan cukup waktu, dia mengajukan pertanyaan. “Banyak sangat ke kerja?”
“Hmm...” jawab Raisya, masih dengan mata terpejam.
“Jadi tak nak tengok Fanaa malam ni? Kau janji malam ni, kan?” tuntut Dona tanpa bengkang-bengkok. Menumpukan perhatian kepada Raisya.
Raisya mendadak buka mata. Melihat Dona yang masih kuak lentang di atas sofa dengan kepala terteleng ke arahnya. Kedua-dua tangannya memeluk kemas anak patung katak sederhana besar yang dihadiahkan oleh tunangnya.
Sebagaimana Dona tidak boleh berenggang dengan apa sahaja barangan berbentuk katak, begitu juga Dona dengan anak patung Froggie Jr itu—alasannya my would be husband yang bagi! Memang tak boleh berjauhan langsung! Ke mana pun ruang dalam rumah ini, diusungnya.
Ermm, kecuali waktu masuk tandaslah kan...
“Nak kena pergi malam ni jugak ke?” Raisya memulakan kata. Berhati-hati.
Seboleh-bolehnya dia mahu mengelakkan diri. Mencari alasan sebagaimana yang berjaya dilakukannya sebelum ini apabila Dona mengungkit janji untuk sama-sama menonton Fanaa.
Bukan dia tak nak pergi. Dia memang suka tengok movie. Malahan dia selalu ke panggung GSC di Mid Valley setiap minggu, menghabiskan masa di situ bersama Dona. Dah boleh kata tabiat semula jadi dia orang! Tapi sekarang...
Mata Raisya tunak pada Dona, yang bangkit daripada adegan kuak lentang aka lembik tulang. Duduk tegak melihatnya, berpeluk tubuh—sekali dengan Froggie Jr tau. Raut wajah sawo matang itu serius dan penuh curiga.
“Kenapa dengan kau ni? Banyak cipta alasan sekarang...?”
Raisya membeku. Tidak tahu bagaimana harus beri jawapan. Kerana dia tahu dia tak akan boleh menipu Ainul Dona Biyajid. Dia kenal Dona hampir lima tahun lamanya. Walau rakan penyewa rumah ini sudah bertukar ganti, namun mereka tetap bersama. Mereka tidak pernah pindah keluar dari situ. Mereka selesa di situ, senang bersama.
Kerana keselesaan dan kesenangan inilah mereka jadi akrab. Terlalu akrab sehinggakan Dona bijak mengesan kocakan hatinya hanya melalui riak parasnya. Pendek kata, segala tingkah dan kelakuannya dapat dibaca Dona.
Bak kata gadis itu, “Tak payah temberang. Semua dah ada dalam poket aku!”
“Kau sendiri tahu macam mana aku tak sabar nak tengok Fanaa. Esok, esok… nanti, nanti… sampai sekarang! Sampai bila esok dan nanti kau ni sebenarnya, huh?” Dona separuh kecewa. Wajah tercebek.
Raisya diam. Dia belum sedia untuk nyatakan resah dalam hati yang sudah bergulung macam roti jala. Belum sedia untuk ‘gulung’ perasaan Dona pula. Tapi, kalau dia tak ‘gulung’ perasaan Dona, akan makin tergulunglah perasaannya. Kalah roti jala!
Diam-diam Raisya melepas keluhan. Susahnya mengunci mulut. Lebih sukar pula membuka bicara. Heh!
“Kau tak nak pergi malam ni bukan kerana penat atau letih! Kan?”
Gelengan Raisya memanjangkan soalan Dona.
“Siapa lelaki tu?” Mata Dona mengecil, kemas ke sepasang mata Raisya.
Raisya tersentak. Matanya tidak turah dengan renungan ‘aku-tau-dah-rahsia-kau-tu!’ daripada Dona. Melengas tak menentu jadinya. Dia terus diam.
“Aku tahu sebab aku perasan! Selama ni kita selalu tengok wayang on Tuesday. Our own ladies’ night! Tapi tiba-tiba kau tak selesa dengan hari Selasa. So, we changed our schedule! Rasanya Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat… semua kita dah cuba. Kau selalu serba tak kena. Kind of edgy! Mata pun tak pernah duduk setempat, meliar aje sana sini—macam sekarang!”
Kata itu buatkan Raisya menghentikan kelakuannya. Direnung wajah Dona tanpa perasaan. Kosong!
Dona cuba sembunyikan senyum. Gelagat Raisya mencuit hatinya. Tapi sebab topik mereka kini amat serius—untuknya—dia sedaya upaya sekolahkan muka. Kasik muka garang ala cikgu sekolah kepada Raisya.
“Kau tak senang duduk, sampailah panggung gelap dan filem dimulakan. Waktu keluar panggung pun sama. I caught you twice, staring at the same guy. Pada hari yang berbeza! Jadi, siapa dia?” sambung Dona melebarkan kata. Tapi di hujung bicara dia tetap kembali pada pokok pangkalnya.
Dia tetap mahu tahu siapa pemuda yang dilihatnya sedang mencuri pandang ke arah Raisya ketika mereka berbaris untuk mendapatkan tiket wayang atau ketika mereka berada di dalam panggung, menanti waktu tayangan bermula. Itulah dua kali yang dia maksudkan.
Sejak ‘suis’ kesedaran itu dipetiklah dia sendiri terjangkit penyakit Raisya. Asal beratur nak beli tiket saja, matanya meliar ke setiap ruang. Bila masuk panggung pun kepalanya tertoleh tak tentu arah. Malahan tiba sahaja ke kawasan memarkir di Mid Valley lagi dia dah kena penyakit itu!
Demi mencari wajah yang dilihatnya asyik mencari peluang memandang Raisya. Paras yang turut buat Raisya serba tidak kena dan gelabah macam gorila.
“Who’s that Chinese guy?” Dona belum sedia angkat bendera putih.
Raisya masih dengan muka kayu. Tangannya mencapai tali beg tangan gabaknya, dipintal sesuka hati tanpa arah dan tujuan. Saja nak isi masa lapang. Kerana dia tidak betah bila terus-menerus menjadi mangsa renungan ‘I-know-what-you-did-last-summer’ Dona yang masih menanti jawapan pecah keluar dari mulutnya.
Dona masih berpeluk tubuh dengan postur duduk tegak. Lima tahun tinggal serumah, mengajarnya untuk faham bahasa tubuh Dona.
Sudahnya keluhan terhambur dari kerongkong Dona. Dia pun sudah dekat lima tahun duduk sebumbung dengan Raisya, jadi dia harus bijak membaca bahasa tubuh gadis itu, yang kala ini sedang memberitahunya; “Aku belum bersedia untuk beri jawapan, Don!”
Ikut suka hati kaulah, Raisya! Tiba masa, kau akan cerita jugak.
Lantas dia berbaring semula—kembali dengan aksi lembik tulangnya dan Froggie Jr kemas di dada. Tumpuan diarahkan sepenuhnya kepada drama Cina di hadapan yang kembali bersambung sesudah iklan.
Diam-diam, Raisya menghela nafas lega. Syukur sangat! Terasa lapang bila tidak terus ‘disergah’ dek soalan Dona. Juga senang hati kerana Dona tidak memaksanya menjelaskan segala perkara yang belum sedia diperkatakannya.
Hmm, Dona paksa aku?
Ah, hal itu takkan mungkin berlaku kerana Dona tidak pernah mendesak dia melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Bagi Dona, kalau benda nak jadi, akan jadi juga! Kerana itu Dona tidak pernah suka memaksa sebaliknya masa sepenuhnya diberi sehingga dia sendiri terasa mahu berkongsi cerita.
Dan selalunya, dengan Dona, masa itu tetap tiba. Boleh jadi itu salah satu faktor Dona sabar menunggu.
Kerana sikap Dona yang pemaham itu, sendirian Raisya membuat keputusan untuk mengabulkan permintaan Dona. Mereka akan menonton filem Fanaa malam ini, sebagaimana yang Dona mahu dan sebagaimana yang dia janjikan.
Jika Dona boleh bertolak ansur demi menjaga hatinya, kenapa tidak dia?
Dengan niat itu, Raisya bangkit bersama beg kemas tergenggam.
“Aku mandi dulu, ya? Lepas tu kita pergi tengok Fanaa. Okey?” Suaranya dikendurkan, memujuk.
“Yup!”
Walau jawapan Dona amat ringkas, hati Raisya tetap berbunga ceria. Dona tidak kecil hati atau marah dengannya. Mujur.
Tunggulah, Don, dah sampai masanya—saat kritikal bila ICU pun dah tak dapat selamatkan—aku akan terangkan kepada kau.
Raisya bingkas berlalu ke bilik tidur.

2 ulasan:

::Nora Maney:: berkata...

saya da pernah bace novel nih..best..
dan saya da dapatkan novel primadona orang muda..seronok sangat bace..best sangat-sangat..

bila akak nak terbitkan novel secukup rasa eh?

Bikash Nur Idris berkata...

Nora Maney.
Terima kasih sebab sudi baca CDL & dapatkan POM. Kembang hati. Harapnya enjoy le ngan dua2 novel tu yek. Amin.
Secukup Rasa dalam usaha sambung & siapkan. Tak pastilah bila akan terbit. Insya-Allah akan terbit... Harap sudi menunggu.