Selasa, Mei 01, 2012

Cinta Datang Lagi | Bab 1

Mac 2006
Serba putih—itulah tema perkahwinan itu. Keluarga pihak lelaki, sanak saudara sebelah perempuan. Juga pasangan yang diraikan sendiri—Jaspal dan Shereen. Malahan, ruang dewan yang ditempah khas untuk majlis resepsi perkahwinan itu juga galak tampilkan warna penuh kesucian itu.
Mempelai lelaki kelihatan tampan dengan kot berwarna putih manakala pengantin perempuan tampak menawan dengan gaun ringkas yang juga berwarna putih. Tema moden dan santai menjadi pilihan majlis resepsi malam itu. Sayang sekali, suci sepasang pakaian pada tubuh tidak menunjuk pada suci dua keping hati itu menerima perkahwinan ini.
            Mata itu meneliti raut Jaspal dan Shereen. Ada senyum, ada ceria. Namun cuma plastik sahaja. Dia tidak tertipu sebagaimana pihak keluarga lelaki atau sanak saudara sebelah perempuan. Senyum kaku yang sudah dilatih sejak awal, yakinnya. Kerana kalau senyum itu ada kebenaran, takkan mungkin mata menangkap kepalsuan. Mata tidak pernah bijak membohongi. Itulah pengajaran yang dipegangnya hingga kini.
            Dia tidak ke mari untuk lihat wajah mendung pasangan itu, yang sama-sama menerima pilihan keluarga kerana itulah mahu yang lebih tua. Orang tua mereka mahu menukar hubungan rakan kepada keluarga, sekali gus memastikan anak-anak tidak hilang diri dalam cinta yang dipisahkan agama.
            Dia juga bukan ke sini demi lihat raut duka pasangan itu, yang sama-sama menerima diri sendiri di luar rela kerana hati masing-masing sudah dihuni cinta lain. Cinta kepada insan berlainan agama dan bangsa. Bukankah di hati itu semua tidak terlihat?
            Tapi, hati yang tidak pernah terlihat percaya atau setia, mudah sahaja cinta terundur. Sebaik pasungan jual beli langsai, ia menjauh pergi.
            Cinta Shereen Nair, seorang gadis Singh dan sayang Jaspal, seorang pemuda Singh, tewas juga di pertengahan. Cinta hanya boleh menang kalau hati dan perasaan benar-benar menginginkannya. Sekalipun mata masih menyatakan keninginan itu, tiada guna apabila percaya dan setia hilang bersama palsu senyum pada wajah.
            Keluhan terlepas.
            Tanpa tahu ada diri terdengar, ada mata yang tertampan. Lelaki itu mula menilik setiap aksi si genit itu. Terdorong tanpa mahu, terikut di luar sedar. Si genit bangun dan sang jejaka mengekor.
            Raisya terus membawa langkah ke luar dewan yang indah dihias itu. Sudah tidak mampu duduk di mejanya sambil menghantar mata pada dua batang tubuh di hadapan dewan. Juga tidak mampu tabahkan diri melihat senyuman tidak lekang pada bibir kedua mempelai yang telah selamat mendirikan rumah tangga demi satu sebab yang sama; kehendak dan keinginan orang tua.
Dan, yang paling tidak mampu dilakukan adalah menerima kerlingan demi kerlingan daripada sepasang mata pengantin lelaki itu, yang telah menghampar janji tanpa memenuhi.
Ah, alangkah bagusnya jika dia boleh benci lelaki itu—yang menganyam cinta di hatinya perlahan-lahan namun menghadiahkan derita sekelip mata. Tapi dia tidak boleh benci apa pun yang ada pada lelaki itu. Kerana jauh di sudut hati yang masih punya sisa keluhuran, dia tahu lelaki itu sama menderita. Sepertinya.
Kerlingan demi kerlingan itulah yang membicarakannya.
Keluhan terluah. Berpeluk tubuh, Raisya terus menghantar kaki ke satu sudut yang paling sunyi. Kerana sunyi itu menyampaikan maksud hatinya kala ini. Dan, dia mahu dihuni sunyi ini!
Dia tidak boleh terus duduk di dalam dewan itu, yang diisi batang-batang tubuh, sama ada daripada keluarga pihak lelaki atau saudara pihak perempuan. Tidak juga boleh berdiri di kalangan teman-teman pihak lelaki atau rakan-rakan pihak perempuan.
Dia sesak. Dia sebak. Maka sunyi jadi pilihan.
Raisya akhirnya mematikan langkah, berdiri merenung ke hadapan, tanpa tahu apa yang sedang direnung. Fokusnya tiada dan lama-kelamaan hanya kekaburan. Kolam matanya kian memberat, lalu dia menyerah diri. Akur pada rontaan hati, rintihan jiwa.
Perlahan-lahan mata dipejam, membiarkan sahaja air hangat itu jatuh menitik ke pipi. Mengalir deras semahunya. Memang dia cuba mengawal diri sejak di dalam dewan lagi, namun jika air jernih ini punya pandangannya sendiri… siapa dia untuk menghalang! Lalu dia akur bila ia terus menitis.
Titik, titik dan titik!
“You tak apa-apa?”
Soalan daripada suara garau itu merampas sunyi!
Raisya tersentak. Mahu menjerit dek sapaan mendadak itu, dia hilang suara. Ditelan sebak yang menjalar. Seketika tadi dia sangka itu suara kekasih hatinya—bekas kekasih hatinya! Tapi dia tahu dia silap.
Suara pemuda kesayangannya itu bukan begitu. Suara ini mungkin garau dan kelakian, namun ada serak. Beza sekali!
Raisya mengesat air mata lalu membuka mulut, bersuara. “I okey. Okey!”
“But, you’re crying!”
Suara itu seolah-olah menyalahkan dia kerana menangis. Serentak itu hatinya jadi berang.
Suka hati akulah nak nangis ke, nak meraung ke! Mata aku, air mata aku! Kalau air mata aku kering sekalipun, tak adanya aku nak minta kau sedekahkan air mata kau tu! Malahan kalau aku nangis air mata darah sampai tak cukup darah untuk tubuh aku pun, aku tetap tak akan minta kau dermakan darah kau untuk aku!
Ada faham?!
“Dan, itu adalah satu kesalahan? Tak ada pun tanda Dilarang Menangis kat sini! Atau ada, tapi I yang tak nampak?” tanya Raisya geram, tanpa memaling muka ke arah pemilik tubuh yang diyakininya hanya beberapa langkah di belakangnya.
“Now, you’re angry!”
Suara yang masih mendesah pendengaran Raisya itu tidak berubah. Tetap tenang. Sedang dia sudah berubah intonasi. Daripada cemas menjadi berang dan kini… geram.
“Oh! Bukan sahaja Dilarang Menangis tapi Dilarang Marah pun ada!”
Dengan bibir terketap, Raisya akhirnya menoleh muka dan batang tubuh sekali gus. Mahu menyambung sindirannya tapi dia terbungkam. Terkedu dengan mata tidak berkerdip.
Pemuda itu bermuka tenang, tanpa riak. Menentang kemas raut Raisya. Menjadikan Raisya mula tidak menentu. Serba tidak betul.
“I know you!”
Bingkisan kata pemuda itu membuatkan Raisya mengerutkan dahi. Dia memberanikan diri, mahu bertentang mata dengan pemuda itu namun dia tidak berdaya. Sapaan mata itu buat dia tidak turah dengan debar tidak putus dalam dada.
Kenapa ni? Aku kena heart attack ke? Tapi, macam ni ke rasanya kena heart attack?
“Ya, I memang kenal you! You sepejabat dengan Jaspal, kan?”
Senyuman pemuda itu cukup manis menggoda namun ianya tidak mampu halangi sebak yang tiba-tiba menghimpit dada, menghalau debar tadi lalu ianya meresap ke seluruh ruang jiwa. Tangisan Raisya pecah mendadak, hanya kerana nama pemuda pujaannya disebut.
Jaspal, kekasih yang kini telah pun menjadi seorang suami—suami perempuan lain!
Lelaki itu jadi kaget. Tidak sama sekali menyangka begitu sekali penangan nama Jaspal. Dia tidak faham mengapa gadis itu, yang diyakininya muda beberapa tahun daripadanya—mungkin dua tahun, mungkin tiga tahun, mungkin… argh, tak penting pun semua tu!—tiba-tiba sahaja meraung begini.
Dia juga cukup takjub dengan kebolehan luar biasa gadis ini; sekejap menangis, kemudian melenting, tiba-tiba tayang muka geram semacam dan kini menangis semula! Pencapaian Guiness Book of Records betul!
Dia terus memandang gadis yang masih teresak itu. Dia memang pernah melihat gadis ini bersama Jaspal. Dia amat yakin. Jadi, mengapa pula gadis ini mendadak meraung begini? Malahan dia cukup pasti, adiknya, Neesa, pun akan kalah dengan raungan si manis ini.
“You’re staring at me!” ujar Raisya kembali tidak selesa. Kalau ikut hati, dia masih mahu hamburkan air mata yang diperam selama ini. Belum puas rasanya.
Namun sepasang mata sepet itu menghalangnya daripada memakbulkan keinginan hati. Pautan renungan itu seolah sedang cuba menyelami dirinya malahan di luar sedar cuba memujuknya. Walau dia amat yakin bukan itu tujuan kedua-dua anak mata hitam itu meratahi rautnya.
Mungkin pemuda ini sedang cuba selesaikan satu teka-teki hebat dalam menjawab satu soalan mudah: Minah ni baru keluar dari Tampoi atau Tanjung Rambutan? Tentu mamat ini hidup-hidup sangka dia sudah hilang akal. Dan, renungan tanpa jemu itu masih ke segenap inci wajahnya.
“You’re still staring at me!” tekan Raisya lebih tegas, antara esak. Mahu si tampan yang berdiri beberapa kaki di hadapannya tahu dia amat tidak selesa dengan kelakuannya itu.
Namun si tampan terus merenung.
“Macam mana you boleh buat macam tu?”
“Apa?” Raisya jadi pelik. Pemikirannya pun sama beralih. Rasanya dia yang perlu menyoal; Mamat ni keluar dari Tampoi atau Tanjung Rambutan?
“Bercakap dalam nada tegas sambil teresak? Satu pencapaian yang mengagumkan. Adik I sendiri tak mampu buat macam tu!” Pemuda itu jadi teruja.
Sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh adik kesayangannya, tentulah akan timbulkan perasaan sebegitu.
Raisya terkebil sekejap. Sudahnya tawa halus terletus. Jika tadi tangan kanannya ke mulut, menutupnya demi menahan agar tiada esakan yang pecah didengar kuat, kini ianya kembali ke situ demi menahan tawanya daripada menerpa gegendang telinga pemuda ini.
“You memang hebat!” kata pemuda itu sambil mengangkat kedua-dua belah tangan sedikit tinggi. Seolah menyerah kalah dalam cuba menyelesaikan satu misteri X-Files.
“Kita baru jumpa, belum cukup lima minit, tapi you dah nangis, marah, geram, nangis dan ketawa. I rasa you kena jumpa adik I untuk tunjuk kehebatan you ni. Biar dia tahu ada yang lebih hebat. Dia juga tentu kagum, sebagaimana I.” Pemuda tersebut terus gelengkan kepala tanda tidak percaya.
Sementara Raisya, beberapa kali cuba mengawal tawa di balik esakannya. Namun dia gagal dengan cubaan sendiri. Gelaknya lepas. Lantang dan kuat. Malahan mata yang tadinya mengalirkan air hangat kerana sedih mendengar sebaris nama yang masih lekat dalam hatinya, kini sedang mengalirkan air mata lagi—kerana terlalu galak tertawa.
Ironis sungguh!
Tawa yang lahir dari sudut hati gadis itu, sebagaimana tangisan tadi, membuatkan bunga bibir sang jejaka perlahan-lahan terangkat. Muka kagumnya hilang. Diganti paras senang, seceria tawa gadis di hadapannya ini—yang sedang menutup mulut dengan tangan kanan dan memegang perut dengan tangan kiri dan badan sedikit menunduk.
Sudah lama rasanya dia tidak punya kemampuan untuk pamerkan rasa hati sebegini. Namun malam ini, daripada segala malam yang dilalui, boleh pula dia lakukannya.
“I dah...” Raisya menarik nafas dalam seraya cuba mengawal tawa.
Namun tidak berhasil. Hanya kerana jongketan kening serta segarit senyum daripada pemuda di hadapannya yang masih tenang dengan wajah senang. Gelaknya kedengaran seketika sebelum dia kembali mengawal diri.
“I dah apa?” soal pemuda itu mahu tahu.
“I dah lama tak gelak macam ni. Seems like ages! But… it’s good. Very good. Thanks to you.”
Pemuda itu melebarkan senyuman. Dia mengeluarkan sapu tangan dari poket seluar lalu diunjuk kepada gadis yang beria berterima kasih kepadanya, sedang di sudut hatinya sendiri dirasakan satu keperluan untuk dia nyatakan rasa terima kasih buat gadis ini.
“Nah, lap air mata you tu.”
Raisya menggoncang kepala. Menolak.
“Air mata gembira tak perlu dikesat. Hanya air mata sedih. Kalau you berikannya sebelum you buat I marah atau ketawa tadi, mungkin I dah terima. Tapi bukan untuk air mata ni.”
Pemuda itu mengangkat kedua-dua bahu. Sapu tangan kembali ke poket seluar.
“You selalu bawa sapu tangan ke mana pun?” tanya Raisya sekadar mengisi ruang hening yang mahu mengambil ruang.
Sekilas, dipandang lelaki tampan yang kelihatan lebih kacak dengan pakaian ala Bollywood seperti dalam filem Hindi. Kurta biru gelap itu kena dengan kulitnya yang putih bersih. Bukan selalu dapat tengok anak teruna berketurunan Cina pakai pakaian sebegini!
“Dah jadi habit sejak beberapa minggu. Mungkin dah susah nak buang!”
“Habit?”
“Hmm. Adik perempuan I selalu perlukannya. Jadi I ada sehelai dalam poket selalu. Sebenarnya untuk setiap poket seluar dah tersedia satu. Precaution!”
“You mesti terlalu sayangkan adik you untuk lakukan semua tu. Tapi... kenapa perlukan precaution sampai begitu sekali? Apa yang tak kena dengan adik you?”
Pemuda itu menyeringai. “She’s pregnant! Dia memang dah jenis emosional dan sejak pregnant ni dia selalu terlebih emo. Ada sesuatu dengan hormone, mungkin. Entahlah…”
Ketawa kecil Raisya meledak. “Adik you cukup bertuah sebab ada abang macam you.”
“I selalu cakap macam tu pada dia, tapi dia tak pernah percaya. Apa kata kalau you jumpa dia dan sampaikan pada dia? Those exact words!”
Raisya senyum tipis seraya mengangguk.
Pemuda itu membalas senyuman gadis itu sambil mata menyoroti raut hitam manis itu. Gadis ini benar-benar punya wajah gadis India. Lebih kepada heroin filem Tamil berbanding filem Hindi. Kalau tidak kerana selendang yang kemas melitupi setiap inci kulit kepalanya, dia tak mungkin jangka gadis ini seorang Muslimah.
Malahan gadis ini turut nampak lebih manis memadankan baju Punjabi satu sut berwarna hitam dengan pelbagai hiasan menarik dan unik pada bajunya. Kedua-dua belah tangannya dihiasi dengan gelang yang berpadanan. Selendang yang digunakan sebagai tudung kepala pula jelas sut yang sama dengan bajunya.
Wajah si manis ini nyata indah berselendang sedemikian. Kerana dia tahu tidak semua gadis pandai memperagakan selendang sebagai tudung. Sesetengahnya lebih sesuai bertudung litup sahaja. Neesa contohnya!
Namun selendang dengan gadis ini, cukup sesuai. Menaikkan seri wajahnya dan sesuai dengan bentuk mukanya. Selendangnya pun sempurna menutup bahagian dada. Bukan sekadar satu fesyen, seperti yang selalu dilihat kini. Menutup rambut, menutup dada—cukup syarat.
“You masih lakukannya. Masih renung I. Apa yang tak kena dengan I? I tak nangis atau marah atau geram dan nangis kemudian lagi! Jadi, kenapa you masih tengok I?”
Pemuda itu angkat bahu. “I tak boleh nak tahan diri!”
“Okey! Soalan yang selalu orang Tanya I bila tengok I, I ni campur ke. Tak, I memang pure Indian. Famili I peluk Islam.” Raisya tayang muka blur tiba-tiba. “Err, kenapa I bagi tahu you semua ni?”
“Entah. Mungkin you bosan sebab I asyik tengok you. Sebenarnya itu memang salah satu sebab I tak boleh kalih mata daripada you. You mengingatkan I pada dua orang yang berbeza!”
“I harap bukan seseorang yang you benci.”
“Kenapa cakap begitu?”
“Muka you sedikit berubah...” terang Raisya berhati-hati.
“Tak. Bukan orang yang I benci...”
Suasana sepi seketika.
Pemuda itu masih terus melihat Raisya dan Raisya sendiri masih terus menentang lelaki itu. Seolah menanti salah seorang daripada mereka menyahkan kebisuan yang cuba menghuni.
Tugas itu jatuh di bahu si pemuda sudahnya.
“Tak nak masuk?”
Raisya lekas menggeleng. “I rasa panas kat dalam tu.”
Pemuda itu melihat ke arah dewan. Walaupun mereka terlalu jauh dari pintu hadapan namun mereka berdua masih belum tersembunyi daripada batang tubuh lain yang turut keluar mengambil angin malam yang lembut menyapa wajah.
Malahan ada juga antara tetamu yang hadir sudah mulai beransur daripada majlis yang sudah berjalan selama dua jam lamanya.
Pemuda itu pandang Raisya semula. Boleh ditangkap resah gadis itu apabila mendengar perkataan masuk dalam soalannya tadi. Dia tidak tahu mengapa dia tahu, tapi dia tahu… sebagaimana dia tahu gadis ini juga tidak betah menjadi patung hidup di dalam dewan tersebut.
“I pun tak rasa nak masuk. Apa kata kalau kita duduk di mana-mana? Kita boleh berbual. Kalau you mahulah...”
Raisya tak fikir lama. Terus mengangguk, mahu!
Untuk berada di dalam dewan dia tidak sanggup. Untuk mengajak sunyi meladeni hatinya dia tidak boleh lagi. Pemuda ini tiba-tiba menjadi benteng tempat dia menyandar tubuh. Melepas lelah dan lemas.
Apa salahnya berbual dengan jejaka ini dan berkongsi rasa hati? Selepas ini dia tak akan mungkin menemuinya semula. Ini yang pertama, ini yang terakhir. Ya, apa salahnya?!
Dia hanya menuruti langkah pemuda itu—yang disedarinya masih boleh digelar Jejaka Tanpa Nama. Pemuda itu mengayun kaki ke sudut yang masih agak tersorok daripada kehangatan di dalam dewan, namun ruang tersebut tidak segelap pilihannya tadi. Diwarnai oleh neon lampu yang berwarna lembut, tidak terlalu terang. Ala-ala romantik gitu!
Hisy, aku ni! Ada ke sempat fikir mende gitu?!
Raisya hanya melihat tingkah jejaka tinggi lampai itu berhenti mendadak di sudut pilihannya sambil membawa batang leher ke sekitar.
“Tempat ni, okey?”
Raisya bingkas mengangguk. Matanya turut melengas di kaki lima dewan tersebut. Duduk atas lantailah jawabnya! Tiada kerusi yang boleh dilihat. Tapi dia tidak kisah sebenarnya. Lebih baik duduk di sini berbanding di dalam dewan kala ini! Seribu kali lebih baik dan afdal!
“Tunggu sini. I ambilkan kerusi. I tak nak you duduk atas lantai. Baju you terlalu cantik untuk dikotori begitu.” Pemuda itu mengerdip mata seraya berlalu, namun panjang langkah kedua-dua kakinya terhenti dek kata lanjut daripada Raisya.
“I tak kisah!”
“I kisah,” jawab pemuda tersebut selamba. “I juga tak nak rosakkan baju ni. I paid a fortune for it!” sambungnya berwajah nakal, terus berlalu.
A fortune? Raisya masih bersama garit senyum apabila jejaka itu kembali dengan dua buah kerusi dari dalam dewan. Entah kerusi siapa yang diculik mamat ni! Nasiblah...
Pemuda itu meletak kerusi, bersandar ke dinding. Sebelah-menyebelah. Hmm, macam nak bersanding pulak. Hatinya tercuit sendiri. Dia hanya sembunyikan senyum.
Sesudah puas hati dengan kedudukan kerusi barulah dia persilakan si manis itu duduk. Sempat saling berbalas senyum sebelum mereka berdua sama melabuh duduk.
“Jadi, kenapa you nangis tadi? Apa yang buat you sedih?” Pemuda itu memulakan topik, terus kepada pokok utama persoalan yang mengganggunya sejak awal pertemuan mereka lagi.
“Siapa kata I nangis sebab sedih? Mungkin itu air mata gembira,” tangkis Raisya menjongket kening. Mencari peluang berdebat hanya kerana mahu nafikan kebenaran.
“I know the difference. You dah tunjuk bezanya pada I. Tapi kalau you nak tolak juga kenyataan yang tersua, tentulah I terima aje. I terlalu asing untuk you ceritakan masalah you tu. I tahu. Tapi, you juga perlu tahu, I’m a good listener. Thanks to my dearest sister.”
“You buat I mahu sangat-sangat jumpa dengan adik you tu. Dia tak ada kat sini?”
“Tentulah dia tak ada. Kalau dia dengan I, tak adanya I boleh duduk berbual dengan you di sini. Kalau you betul nak jumpa dia, by the way, her name’s Neesa, I boleh aturkan. Jika ada pertemuan kedua antara kita.”
“I harap tak ada!” Cepat sahaja Raisya menjawab, diiringi gelengan. “Sebab fikirkan tak akan adalah I sanggup duduk di sini dengan you walau you dah tengok I menangis.”
“Kenapa pulak? You taklah buruk mana pun bila you menangis...” usik pemuda itu nakal.
Raisya menjegil mata. Berpura marah. Nada menggiat jelas pada bait akhir itu. Mana mungkin dia marah atau berkecil hati…
“Sebenarnya I tak pernah menangis depan orang yang I tak kenal. The truth, I tak pernah menangis depan orang lain kecuali keluarga I.”
“You could have fooled me!” Pemuda itu meletak tangan pada dada, membulatkan mata. Berpura-pura terperanjat.
Raisya tertawa perlahan. Aksi jejaka di samping yang selamba mencuitnya.
“Betul. Tapi I boleh rasa kenapa you tak percaya. Kalau I tengok you nangis gitu pun I tak akan percaya itu bukan habit you.”
Jejaka di sebelah cuma mengangguk setuju.
“I baru putus kasih. Dia baru kahwin,” terang Raisya tidak semena-mena.
Malahan dia sendiri jadi tercengang dengan pengakuan tulus ikhlasnya itu. Pantas dia menggigit lidah dek keterlanjuran sendiri. Namun apabila si jejaka mengiring tubuh ke kiri sedikit, lebih hampir dengannya, dia jadi kaku.
Pemuda itu merenung kemas raut gadis di sampingnya. Sempat menangkap paras terperanjat dan adegan gigit lidah seketika daripada gadis itu sebelum dia duduk mematung hanya kerana dia mengalih tubuh lebih dekat. Bila dia gerakkan kaki kirinya sedikit, lututnya mengenai lutut gadis itu.
Seperti terkena renjatan elektrik, gadis itu mengalih kedudukan kaki malahan cuba berlagak selamba dengan senyuman tipis.
“I telah lakukan dua perkara yang sama sekali I tak pernah lakukan sebelum ini. Sebelum bertemu you!” Raisya masih menghantar senyum bila matanya menentang sepasang anak mata hitam itu. Sedang menerobos tajam ke matanya.
“Satu, menangis di hadapan I, orang yang you tak kenal. Dua, luahkan perasaan hati sebenar, walau you amat tak sangka ianya akan terkeluar dari mulut you. Kan?”
Raisya mengangguk.
“Jika antara kita ada pertemuan kedua, I bukan lagi orang asing tau. Masa tu I akan perkenalkan you pada Neesa,” ucap lelaki itu, masih menajamkan renungan ke sepasang mata coklat kejernihan itu.
Ianya bukan sekadar ucapan. Dia benar-benar maksudkannya.
Raisya tidak lagi sanggup menerima pandangan itu. Dia tahu tiada apa di situ. Mungkin hanya simpati atau kasihan. Dia tidak mahukannya!
“I harap antara kita tak akan ada pertemuan lagi selepas ini. I hanya mahu kenal you sebagai orang asing, yang kasihan dengan I. Cukuplah rasa itu untuk malam ini sahaja. Mungkin I perlukannya untuk bangkit tabah di masa depan. I hanya akan kenang malam ini sebelum I tidur, mungkin. Kenang kerana I telah lakukan dua perkara yang terlalu asing bagi I, pada seorang yang asing untuk I. Lagipun, nama you pun I tak tahu!”
“Tapi, jika ada pertemuan kedua antara kita, you kena jumpa adik I! Paling tidak untuk katakan pada dia, dia sangat bertuah dapat I sebagai abang.” Lelaki itu merenung, menagih jawapan.
Raisya mengangguk. “Okey!”
Dia tidak takut untuk berjanji hanya kerana dia yakin takkan mungkin ada pertemuan kedua antara mereka. Jika ada pun dia akan elakkan diri seolah Jejaka Tanpa Nama ini adalah satu virus yang harus dijauhi.
Kuarantinkan diri! Kena, wajib, perlu!
“Is that you, honey?”
Derap kaki yang kedengaran membuatkan jejaka itu dan Raisya sama-sama mengalih batang leher ke kiri.
Susuk tubuh yang sedang melangkah itu kian lama kian jelas di mata. Tubuh lampai dengan potongan langsing bergaun putih moden kian terlihat.
Shereen kini sedang berdiri tidak jauh, melihat pemuda itu dan Raisya, silih berganti.
Raisya bangun dari kerusi. Terperanjat. Matanya tambah bulat melihat Shereen, yang sama berwajah terkejut dan hairan.
“Fariz, what are you doing here?” tanya Shereen tegas. Masih melihat Fariz dan Raisya berganti-ganti. Tidak puas hati.
“You tak sepatutnya di sini, Shereen. Jaspal akan cari you nanti. Masuk ke dalam semula. I hanya ambil angin di sini,” kata Fariz tenang sambil bangun dan berdiri di sebelah Raisya.
Shereen mahu buka mulut, membalas. Namun dia matikan niatnya apabila sekali lagi ada bunyi tapak kaki sedang bergerak laju kedengaran.
Ke arah mereka.
Dia menggelisah sendiri. Bimbang jika salah seorang daripada sanak saudaranya sedang ke mari. Tangannya saling bersulaman, tak kena. Sekejap dia tengok belakang, sekejap dia lihat hadapan. Antara Fariz dan Raisya. Ada rasa tidak enak menyelinap masuk ke hati apabila lihat mereka berdiri bergandingan ketika ini.
Derap langkah tadi mati. Di sebelah Shereen, yang sedang bernafas lega. Batang tubuh yang sasa dan lebih lampai daripada orang di sebelahnya itu melengaskan mata sekali gus. Dalam masa yang sama memerhati Fariz, Raisya dan Shereen.
Matanya kembali pada paras Raisya, yang masih dengan mata yang membulat.
“What are you doing here with him?!” soal Jaspal pula melampiaskan perasaan sebenar Shereen—tidak puas hati.
“Yes, Fariz? What are you doing here with her?” tekan Shereen pula seolah disuntik semangat juang tiba-tiba.
Fariz melihat antara Jaspal dan Shereen, kemudian matanya kemas pada Raisya.
“Ya Allah...” Fariz menggeleng sendiri. Boleh tangkap siapa yang telah patahkan hati gadis manis ini dan dari mana dia pernah lihat gadis ini.
“You’re a Muslim!” Raisya terlongo menentang Fariz.
Dia mati-mati sangka pemuda ini berketurunan Cina dan beragama... Argh, yang dia ingat bukan Islam! Tapi... tak sangka cempedak jadi nangka. Dan, dia sudah tahu nama pemuda ini.
Fariz!

Tiada ulasan: