Selasa, April 17, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 7

Kamaruzaman melihat-lihat semula skrip bangsawan yang bakal dipentaskan hujung semester itu nanti. Walaupun sudah berkali-kali melihat, malahan sudah dapat menghafal baik beberapa dialog di dalamnya, dia tetap membelek terus. Seketika begitu, akhirnya dia meletak skrip tersebut di atas meja semula, lalu memandang Rose yang duduk di hadapannya, dipisahkan meja kerjanya, di dalam bilik kecil yang disediakan AKAK untuk pensyarah separuh masa sepertinya. Bilik yang hanya digunakan apabila perlu atau mahu. Sebab itulah lebih kosong daripada berisi bilik itu.
Hanya ada bahan bacaan serta susunan skrip di atas mejanya bersama komputer riba. Kabinet buku yang memang disediakan pihak AKAK di sebelah kanan bilik itu pula kosong saja dari dulu sampai kini. Habuk saja sudi menjengah. Mujur saja ada cleaner ditugaskan untuk membersihkan bilik itu dua minggu sekali. Kalau tak, mungkin ada lumut berumah tangga di mana ruang yang sempat.
Rose di hadapan Kamaruzaman, mengisi salah satu daripada dua buah kerusi di hadapan meja, sibuk terus mengipas-ngipas wajahnya. Sambil itu mata memandang-mandang ke penjuru bilik itu. Herot sana sini bibir lelaki yang muda tiga tahun daripadanya. Dia tahu mengapa.
Rose adalah juniornya ketika mereka sama-sama menuntut di AKAK. Sebaik menamatkan pengajian di sini, masing-masing membawa haluan ke universiti berbeza, menyambung ijazah sesudah berjaya mendapat diploma di AKAK. Namun, dalam pada itu, pertemuan tetap ada antara mereka kerana mereka selalu terlibat dengan pementasan dalam atau luar universiti. Lalu perhubungan mereka berterusan, sampailah sama-sama tamat pengajian dan mula mengajar di AKAK.
Rose adalah pensyarah sepenuh masa bagi jabatan Teater. Cuma Kamaruzaman saja tidak menerima jawatan tetap itu kerana di samping mengajar di AKAK, dia terlibat sama dengan sebuah produksi teater, membuatkan dia ada komitmen lain. Tak cukup dengan itu, sejak satu tahun lalu dia menyambung pelajaran dalam ijazah sarjana kedua pula, membuatkan masanya lebih terhad dan banyak terisi. Atas sebab itu jugalah Kamaruzaman menolak sekali lagi tawaran pensyarah tetap yang ditawarkan AKAK.
Bagi Kamaruzaman, menerima jawatan itu bermakna menerima tanggungjawab yang lebih. Dan dia tidak ada masa untuk satu lagi tanggungjawab di atas pundak. Dia tidak mahu tamak. Lalu dia menolak. Namun dia yakin AKAK akan cuba menyuntingnya lagi nanti. Dia hargai perasaan dihargai itu. Dan dia akan terima apabila dia tamat ijazah sarjana yang ini nanti. Itulah janjinya kepada diri.
“Tak habis lagi tak puas hati?” soal Kamaruzaman sudahnya, apabila dilihat Rose masih dengan aksi herot-herot mulut sambil kipas tangan berkibar di depan muka.
Aksi Rose itu mencuit hati Kamaruzaman untuk ketawa. Sebab Rose nampak sangat kelakar dan terlebih comel. Sudahlah badan tembam, muka tembam. Bila duk juih mulut begitu, hah…bibir pun sama tembam.
“Yalah, you. Setiap kali I masuk bilik you ni, sesaklah I. Nafas asyik sentut aje. Bilik you ni…kalaupun mood I paling ceria, boleh jatuh merudum bila masuk sini. Temperature kasik sedut mood happy-happy, suka-suki orang tau!” Terus Rose herot-herotkan mulut dengan kipas berkibar.
Kamaruzaman ketawa saja. Ini bukan kali pertama dia dengar itu. Sudah selalu sangat. Tiap kali Rose menjenguk biliknya ini, itulah komen si teman. Bilik sedut mood ceria bilang Rose. Ada Ijad, lagi sakanlah mereka mengutuk biliknya yang memang dia tahu dan sedar muram lagi suram. Bukan macam bilik Rose yang luas banding bilik ini, ceria dengan wallpaper serta tampalan-tampalan ceria. Siap ada sudut foto khas, malah ada juga bingkai poster teater-teater penglibatannya. Memang berbeza daripada bilik sedut mood ceria ini.
Itu belum berkisah perihal bilik Ijad. Ceria dan penuh warna. Lebih gah dan hebat banding bilik Rose. Mana tidaknya, bilik Ijad di dalam bilik kostum yang memang selalu ceria dengan susunan kostum-kostum untuk sebarang produksi. Siap ada aksesori hiasan pelbagai yang berkilat-kilat silaukan mata kala masuk ke dalamnya. Ada pula patung-patung berhias cantik dan tampan.
Di dalam AKAK, memang takkan adalah siapa pun boleh kalahkan Ijad kalau bercerita pasal bilik tercantik. Kalau tak kerana Ijad dikecualikan daripada terlibat dengan pertandingan bilik tercantik di kalangan pensyarah (selepas menang empat tahun berturut, sejak tahun pertama sampai tahun keempat pertandingan tersebut diperkenal puan rektor mereka), memang sahlah sampai tahun keenam ini kemenangan masih jitu milik Ijad. Jadi, tak payah komen lebihlah kan. Jadi artis sudahlah. No comment.
“Engkau, kalau datang bilik aku semata-mata nak cakap pasal bilik aku… baik tak payah! Dah tau bilik ni spesies sedut ceria, kau masuk jugak buat apa? Aku nak balik, tak kasik. Ajak lepak sini. Lepas tu, banyak cakap pulak!” marah Kamaruzaman geram.
Awal tadi lagi, sebaik sudah kelas Pro-Ba, dia hendak pulang. Dah sampai ke kawasan parkir pun, tapi tiba-tiba Rose main tarik saja tangannya tanpa salam. Ajak ke bilik ini. Sudahnya, hendak membebel-bebel pula. Ingat dia banyak masa nak habiskan begini ke? Baik balik rumah siapkan tugasan yang diperlukan daripada berhabis masa begini.
“Hei, you ingat I ni ada 28 jam satu hari ke?! I pun macam you tau, 24 jam satu hari jugak!” marah Rose manja sayang. Berhenti sekejap kibaran kipas tangannya. Kemudian berkibar terus. “Sekejap lagi you akan taulah kenapa I ajak you datang sini, sanggup duduk kat bilik sedut ceria ni…”
Kamaruzaman merenung. Agak hairan lihat roman senyum kemenangan penuh riak milik Rose. Sudahlah dia tidak faham mengapa dia ‘dijemput’ ke bilik sendiri oleh Rose, sekarang Rose buat muka serba tahu lagi riak pula dengannya. Ada rahsia peribadi serupanya. Kamaruzaman hendak buka mulut, menyoal lanjut. Dan, ketika itulah dia mendengar. Pintu biliknya diketuk orang.
“Sekarang, you boleh tahu…” Rose senyum dengan muka lebih-lebih riak, berkipas gemalai membawa angin ke muka sendiri.
Ketukan kedengaran lagi, diiring suara dari luar sana. “Abang Kama, saya Sanaa. Saya nak jumpa pasal…” Diam.
Dan Kamaruzaman merenung Rose bersama senyuman. Faham mengapa Rose menariknya sakan dari parkir tadi, masuk ke bilik sedut ceria ini!
* * *
Mengetap bibir, Sanaa perlahan-lahan terduduk di atas kerusi di kafe AKAK itu. Dewan yang boleh memuatkan hampir 200 orang itu dijadikan kafe semenjak dua tahun yang lalu sesudah kafe sementara mereka ditutup. Kalau ikut suka pelajar-pelajar AKAK, memang kafe sementara dululah pilihan mereka. Yalah, kafe terbuka. Ada penghawa dingin semula jadi lagi. Kafe sekarang tertutup dan bergantung kepada kipas-kipas yang tergantung saja kerana setiap jendela yang ada memang dibuka pintu kiri kanannya.
Namun, kafe terbuka itu atau kafe tertutup ini, satu yang Sanaa yakin dan pasti, kedua-duanya takkan mungkin selesakan perasaan atau hatinya yang sedang bergelombang ketika ini. Tertekannya rasa ketika ini takkan luput, walau di kafe terbuka atau kafe tertutup!
Seketika tangan memegang kepala, Sanaa melepaskan keluhan akhirnya. Sekali lagi. Entah untuk kali yang ke berapa. Sepanjang perjalanan dari bilik Abang Kama sampailah dia melabuh punggung di sini, entah berapa kali dia mengeluh. Sebetulnya dia hendak marah. Diri sendiri. Sehendaknya dia hendak mencarut. Kepada diri. Geram yang terlalu punya pasal.
Namun, dia tak reti hendak mencarut begitu, walaupun hati nak sangat. Semuanya sebab ajaran ayah. Marah yang macam mana pun ayah suruh bersabar, minta bertenang. Sebab ayah cakap, hati yang marah memang takkan boleh berfungsi dengan sempurna. Tambah pula kalau hati dah rasa nak mencarut yang sangat. Haramlah hendak berfungsi. Dan dia, anak yang selalu hendak mengikut cakap ayah. Jadinya, dia tahan saja rasa nak marah dan carut itu. Sebab itulah dia gantikan dengan mengeluh, mengeluh dan mengeluh. Mengenang itu, dia mengeluh lagi.
“Tak dapat yek?”
Sanaa sedikit kejut, namun cepat saja dia paling muka ke samping. Duduk Asnidar di sebelahnya dengan muka faham apa sudah jadi.
Memang Asnidar sudah mengagak. Siang-siang sudah jadi nujum mak belalang. Menjangka Sanaa tak akan berjaya dalam memujuk Abang Kama atau Rose, mengubah hati mereka. Kerana itulah juga Asnidar tidak meneman Sanaa sekejap tadi. Tak nak tolong teman buat hal sia-sia.
Asnidar ketawa perlahan melihat muka gerun yang cuba ditaja oleh temannya itu. Lucu. Tapi dia tahu Sanaa memang ada rasa macam-macam. Marah, geram. Namun, lebih daripada itu Sanaa rasa tertekan yang terlalu. Tertekan itu akan buat Sanaa bersedih. Lalu Asnidar panjangkan tangan, menyentuh tangan Sanaa yang sudah saling bercantum dan memicit-micit tangan sendiri. Dia mengelus kura tangan teman baiknya itu.
“Hei…” ujar Asnidar menepuk-nepuk pula kura tangan itu. Walaupun dia tak boleh faham penuh perasaan Sanaa, namun dia boleh agak. Sanaa memang tak hendak dan tak suka dengan apa yang sedang berlaku. Sanaa rasa terkurung dengan perasaan sendiri.
“I hate this, Asni…” cakap Sanaa membalas sentuhan Asnidar. Jemari tangan kanannya menyentuh dan menggenggam jemari runcing milik Asnidar. “Macam mana ni, Asni? Aku tak bolehlah…tak boleh.”
Asnidar senyum. Tipis. “Kau boleh, Sanaa…” Lembut suaranya. “Cuma… kau tak nak, kan?”
Sanaa mengetap bibir. Terkemam-kemam bibir atas dan bibir bawah. Akhirnya dia mengangguk-angguk.
“Aku tau kau, Sanaa. Aku kenal Sanaa aku. Sanaa aku tak suka jadi perhatian. Kalau dalam sebuah bilik, dia suka orang tak nampak dia. Being invisible is her favorite. Mata orang jangan singgah dia. Selalu nak macam tu. Sampai bila, Sanaa? Zaman sekolah, dapatlah kut. Masuk kolej ni…cukuplah setahun setengah tu. Dah ada yang perasan kau. Apa yang Abang Kama dengan Rose buat bukan nak susahkan kau. Kau kena bangga. They recognized you. To be exact, your talent. Kau budak Penulisan pertama dapat watak primadona, Sanaa. Be proud of it!” Asnidar menggenggam lagi tangan Sanaa, menggoncang-goncangnya. Hendak Sanaa ikut rasa betapa dia bangga dengan pemilihan Sanaa sebagai primadona baru.
“Aku tak sukalah semua ni. Aku budak Penulisan tau. Aku masuk sini nak belajar penulisan, bukan lain daripada penulisan!” marah Sanaa buat muka. Mengeruh-ngeruh, merengus-rengus tunjuk perasaan.
“Habis, kenapa masuk AKAK? Akademi Kreatif, sayang, bukan Akademi Penulisan. You’re in the wrong side of academy, sayang.” Sinis Asnidar menyindir. Siap buat muka sinikal.
Geram Sanaa memuncak macam ada serangan darah tinggi. Ditolak tangan Asnidar yang dipautnya sekejap tadi. Nak lepas perasaan sebab nada sarkastik gadis itu. Melampau tau Asni ni! Bukan nak pujuk orang, dia simbah asid dalam hati pulak! Terkemam lagi bibir atas dan bawah Sanaa.
Asnidar ketawa lagi. Bukan perlahan seperti awal tadi, sebaliknya bergelak sakan. Gelak yang mengundang beberapa mata ke meja yang didudukinya. Dia sedikit pun tidak kisah. Sebab dia tak pedulikan perhatian yang diterima. Berlainan pula dengan Sanaa. Sakan terus mencapai semula tangan Asnidar yang tadinya ditolak ke tepi. Digenggam kuat isyarat tanda hendak Asnidar matikan tawa sakannya itu.
Sebelah tangan Asnidar menutup mulut sendiri, mematikan ketawanya. Nak jaga hati Sanaa yang tidak suka jadi perhatian mata orang punya pasal. Sambil itu dia mengangguk-angguk tanda mendengar cakap Sanaa. Beberapa kali menarik nafas, dia tenung Sanaa semula.
“Sanaa, kita masuk AKAK. Sejak awal sem lagi kan kita dah tau… kat sini kena amek makyung, bangsawan, randai. Kau tau, kan? Hari pertama masuk masa dapat buku panduan subjek… terang-terang dah tulis kat situ, terang-terang mata tu dah baca, kan?” tembak Asnidar luruskan jari telunjuk dan jari hantu ke mata Sanaa ketika sebut mata tu.
Sanaa mengangguk perlahan-lahan. Sudah boleh faham dan tangkap arah perbualan ini akan berterusan. Kalaupun hendak mengelak, dia tak rasa dia mampu. Sebab ini kenyataan. Kenyataan yang dia tahu sejak awal-awal jejak kaki di AKAK. Malahan, sebelum memasuki AKAK lagi dia sudah tahu akan subjek wajib akademi ini. Subjek yang diwajibkan ke atas apa saja kos yang diambil di AKAK.
Kerana AKAK bukan dikhaskan untuk belajar kos yang berkaitan dengan kreatif sahaja, sebaliknya pelajar-pelajarnya harus mengenali hal-hal kreatif lain yang menjadi pengetahuan perlu. Bidang yang harus diketahui sebagai pelajar dan orang Malaysia kerana sebelum apa yang mereka pelajari, hakikatnya makyung, bangsawan dan randai yang diangkat keluar sampai ke negara lain.
“Dah sudah tu?” tanya Asnidar terus. Sengaja pula mengangkat sebelah kening. “Kenapa kita kena amek subjek tu semua, Sanaa?”
Sekali lagi sengaja Asnidar menyoal begitu. Sebab jawapannya dia dan Sanaa sudah hafal. Mana taknya, satu minggu, sepanjang orientasi telinga diasak dengan ayat yang itu berulang-ulang.
“Sebab kita bakal jadi pelapis yang akan bawa nama Malaysia ke luar, mengangkat tradisi kita. Makyung, bangsawan dan randai yang jadi subjek wajib akademi adalah sebahagian daripadanya…” Menggguman-gumam serupa orang tak ikhlas Sanaa menjawab. Itu pun selepas Asnidar menggoyang-goyang jemari tangannya yang tergenggam, menggesa sakan.
“Jadi?” Asnidar tayang muka bangga. Yalah, sebab dia di lorong yang betul. Sanaa saja yang salah tengok tanda arah. Entah ke mana melalutnya.
“Aku nak buat macam tu dengan penulisan, bukan berlakon!” tegas Sanaa masih tidak suka. Tidak boleh menelan kenyataan yang disua ke depan mukanya. Dah batu yang dibagi, takkanlah dia nak telan. Hilang akal ke apa! Kut ais batu, boleh fikir semula jugak!
Asnidar melepas keluhan. “Kau betul tak nak?”
Sanaa mengangguk.
“Apa kata Abang Kama masa kau pergi bilik dia tadi?”
“Heh! Bukan Abang Kama aje kata, Rose pun siap kata lagi!” Mencebir sakan mulut Sanaa.
Asnidar tahan senyum. Juih bibir Sanaa dah beritahu tak suka Sanaa pada apa dikata Abang Kama dan Rose. “Yalah… Apanya?”
Duduk tubuh Sanaa yang macam orang mati laki sejak tadi berubah. Bersandar pada kerusi, sedikit mendabik dada, membawa tangan ke dada—dah boleh agak siapa—dia berkata dalam lenggok dan gemalai yang sempurna. “Hai… tadi sakan you berlakon macam Rose, takkanlah nak berlakon sebagai primadona pun tak boleh? You kan terror…”
Asnidar kulum gelak yang dah mula goncang perut. Kemudian posisi tubuh Sanaa jadi santai dan relaks—sekali lagi dah boleh agak siapa—lalu berkata dalam nada tegas seorang pensyarah.
“Sama ada awak terima watak ni atau awak ulang sem. Tapi percayalah, kalaupun awak ulang sem, awak akan terima watak ni jugak. Tetap primadona. Sanaa Abdul Rahim, saya ingat nama awak sebab nama ayah saya pun Abdul Rahim.” Senyum. Sinis. Abang Kama versi Sanaa.
Asnidar tak mampu tahan perut yang menggoncang. Maka, sakanlah dia lepas ketawa. Lalu sekali lagi meja yang diduduki mereka berdua itu menjadi sasaran beberapa mata yang masih melepak di ruang kafe yang cantik berhias laksana sebuah restoran itu.
Dan salah satu daripada pasang mata itu adalah Falah, yang duduk di meja tidak jauh. Bukan Asnidar yang sedang ketawa jadi pandangan mata, sebaliknya Sanaa yang sudah sembam muka di atas meja, sembunyi wajah. Seterusnya dia larikan mata. Mengangkat botol minuman Coke ke mulut, dia sembunyikan senyum sinis yang sentuh bibir dengan meneguk air itu.
Entah mengapa, mata Falah terlalu cepat ke sudut yang ada Sanaa. Hal yang baru berlaku, baru bermula. Semenjak Sanaa jadikan tubuhnya tempat parkir tak terhormat, dengan tubuh itu sendiri. Lalu dia mula ingat hal lain. Dia kenal Sanaa sebelum itu lagi!
[ POM versi cetak ]
Pesan untuk: bikashnuridris@hotmail.com

5 ulasan:

naqiah berkata...

huhhuu..suka

Bikash Nur Idris berkata...

Naqiah. Terima kasih :D

nursyafika berkata...

Suka sangat,,,rasa ta Sabar sgt nk bc novel ni~

Bikash Nur Idris berkata...

Nursyafika. Terima kasih suka. Harap akan terus suka ^.^

Tanpa Nama berkata...

best. :)