Khamis, April 12, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 6

“Tak nak makan ke?” soal Jaynet, satu-satunya pelajar Penulisan berbangsa Cina, yang juga berada di bawah kostum untuk Pro-Ba semester ini. Matanya ligat ke arah teman-teman satu kumpulan.
“Aku kenyang lagi. Lagipun Rose suruh kita rehat, bukan melantak,” ucap Asnidar menjelir lidah kepada Jaynet. Sengaja menyakat teman yang memang sentiasa mahu makan kalau ada kelas-kelas mereka dibenarkan berehat.
“Tak nak sudah!” balas Jaynet sekali gus menjelir lidah.
Teman-teman yang ada ketawa kecil dengan gelagat gadis yang memang dikenali kuat makan, sesuai dengan saiz badannya. Mujur juga Jaynet, gadis yang fasih berbahasa Melayu itu bukan jenis mudah ambil hati dengan sakatan Asnidar. Jaynet sudah terlalu biasa dengan lenggok bicara Asnidar kerana Jaynet juga selalu melontar cakap sebegitu kepada Asnidar, yang juga kuat makan. Cumanya, tak ada siapa dapat mengagak apabila tengok saiz badan gadis itu yang macam ratu berdiet.
“Aku ikut, Jay!” Syikin bangkit, mengekor Jaynet yang sengaja jalan hentak-hentak kaki. Protes.
Asnidar ketawa terus. Lucu dengan mulut muncung yang sengaja Jaynet tayangkan kepadanya. Itu cara Jaynet tunjuk kasih sayang kepadanya. Satu kelas mereka, yang seramai 18 orang kerana had pelajar setiap jabatan untuk kemasukan tidak lebih daripada 20 orang, sudah tahu. Jaynet mana tahu merajuk dengan Asnidar. Tahu berlakon merajuk saja. Pujuk dengan coklat M&M yang selalu di dalam beg Asnidar, hilanglah bakat lakonan tak pernah jadi itu.
Sanaa hanya tersenyum. Sempat mengerling Asnidar yang masih dengan tawanya.
“Aaa…! Kenapa aku dapat primadona?”
Jerit halus bersama soalan tanda tidak puas hati daripada Zaliha mengalih tumpuan Sanaa. Malah gelak Asnidar sama hilang. Tumpuan Sanaa kini kepada Zaliha yang sedang memegang helaian kertas di tangan. Wajah Zaliha jelas tidak puas hati. Baru Sanaa perasan, teman-teman sekumpulannya, budak-budak kostum yang sama-sama duduk di satu penjuru dewan itu turut memegang helaian kertas di tangan.
“Nah, Sanaa…”
Unjukan helaian kertas itu buat Sanaa panggung kepala ke arah gadis di hadapannya. Seperti selalu gadis itu berbaju kurung kain cotton. Rambutnya lurus melepasi bahu, manakala rambut hadapan pula dibelah dua, bahagian kiri lebih menutup dahi. Membuatkan telinganya sering tersembunyi daripada pandangan orang. Malah ramai tidak menyangka telinga itu mempunyai tindik yang bukan satu. Telinga kanan ada tiga tindik. Dua pada bawah dan satu pada tengahnya. Telinga kiri bertindik satu pada cuping manakala satu lagi betul-betul di atas telinga. Semua yang melihat dan perasan takkan pernah menyangka ia. Wajahnya pula putih kemerahan, membuatkan kedua-dua pipinya nampak seperti disapu pemerah pipi.
Sukma, pelajar tahun dua seperti Sanaa. Bezanya, Sukma pelajar jabatan Teater.
“Hei, berangan!” Asnidar tampar bahu Sanaa lalu mencapai huluran Sukma untuk Sanaa dan dirinya. Tersengih luas dia merenung Sukma. “Thanks. Bila dapat pembahagian tugas ni?”
Sukma duduk di samping Asnidar, membetulkan kain baju kurungnya lalu menjawab, “Baru aje. Abang Ijad SMS suruh ambik.”
Berwajah sebek, Zaliha mendapatkan Sukma, ketua kumpulan kostum Pro-Ba. Malas angkat punggung, dijejaknya Sukma dengan kedua-dua lutut sambil tangan masih memegang kertas putih. “Sukma, kenapa Zal kena jaga primadona? Zal tak naklah…”
Rengekan Zaliha buat enam geng kostum yang lain ketawa. Faham untuk apa adanya wajah sebek dengan rengekan itu. Sejak dapat tahu Emie dipilih sebagai primadona Pro-Ba, kesemua geng kostum berada dalam dilema—mahu memilih siapa sebagai kambing korban untuk singa bergelar primadona itu.
“Masa Abang Ijad bagi tadi, Sukma dah bagi tahu dia. Sukma akan handle Emie…”
Belum habis atur kata Sukma, tiba-tiba Zaliha meluru ke arah gadis lampai itu. Memeluk Sukma dengan ucapan terima kasih tidak putus dari belahan bibir.
“Jangan dulu…” kata Sukma terus menolak kedua-dua bahu Zaliha. Menjarakkan Zaliha daripadanya.
“Kenapa? Abang Ijad tak bagi ke?” tanya Asnidar laju. Sempat mengerling Zaliha yang sudah sebek semula.
Sukma tayang muka pelik. Jelas mindanya sedang bekerja, cuba mencerna sesuatu.
“Bukan tak bagi…” Akhirnya suara Sukma keluar. “Tapi dia kata Zal ditugaskan untuk handle primadona. Dia kata primadona. Bukan Emie…”
“Bukan Emie? Maksudnya…apa?” Zaliha daripada sebek jadi sebal. Frust sebab tak dapat fahamkan makna Abang Ijad yang terlalu bersimpul. Bukan apa, kalau Abang Ijad tetap hendak dia uruskan primadona atau Emie si Diva P ketika produksi berlangsung nanti, dia perlu buat persediaan awal—dari segi mental dan emosi.
“Entah. Tapi, daripada kata-kata dia, ada penekanan pada primadona. Jadi, ada kemungkinan…kemungkinan ajelah…” Sukma diam, merenung Asnidar.
Asnidar mengangguk-angguk. Boleh menangkap. “Kemungkinan primadona kita berubah!”
“Maksudnya ada orang lain akan gantikan Emie?” celah Nora dengan soalan. Mahu tahu sangat-sangat.
Sanaa yang sejak tadi mendengar mula perasan pada bulatan kumpulan mereka. Asnidar, Sukma dan Zaliha. Geng-geng kostum yang lain, Azrinah dan Malia, seperti Nora, turut sibuk hendak tahu.
“Kemungkinan…” Asnidar dan Sukma sama-sama bersuara.
“Ya Allah, kalau betullah…syukur sangat-sangat!” Zaliha siap angkat kedua-dua tangan, meraup muka. Memanjat syukur lebih awal walaupun kemungkinan yang dijangka belum lagi jadi absah.
“Betul. Aku sangat-sangat suka kalau primadona kita berubah. Lagipun, Emie tu bukan bagus sangat pun berlakon. Asyik lebih-lebih aje, terutama part dengan orang muda kita. Very the drama queen! Yang suka meraba!” sampuk Azrinah. Jelas nada tidak gemar terhadap primadona mereka.
“Emie tu boleh berlakon sebenarnya, cuma…” Sukma diam sendiri.
“Cuma dia selalu over, berlakon terlampau-lampau sebab rasa diri diva!” Selamba Asnidar menyudahkan sangkut Sukma yang memang bukan kaki anyam ketupat. Tak pula bermakna dia ya. Dia hanya luahkan hal yang betul.
Semua orang akuinya. Malahan, Abang Kama dan Rose pun selalu menegur lakonan berlebih-lebihan Emie si Diva P!
Sanaa senggol lengan Asnidar tanda tidak senang. Bicara Asnidar bukan bohong. Memang Asnidar spesies mulut tak diam kalau bersuara. Rasa nak cakap, maka cakaplah dia. Kalau ada yang tak faham, memang mudah ambil hati dengan bicara luar telus Asnidar.
Asnidar menjelir lidah ke arah Sanaa sebelum kembali membawa mata ke muka Sukma. “Sukma, kenapa kau ambik kostum eh? Lagi bagus kalau kau aje yang jadi primadona. Kau bukannya tak boleh berlakon. Lagi baik daripada dia, sebab kau tak pernah over-do your act. Show mini bangsawan kita tahun lepas buktinya!”
Sukma senyum apabila kepala-kepala lain yang berada dalam bulatan ikut terangguk-angguk. Elok saja atas bawahnya. Same timing. Gelaknya disimpan.
“Itu sem lepas, Asni. Mini bangsawan tu pulak produksi awal budak-budak tahun satu Teater, bukan akademi. Kalau tak sebab budak-budak Teater kena tunjuk bakat lakonan masing-masing masa tu, untuk penilaian pensyarah kami, memang tak adalah Sukma berlakon. Sukma amek Teater bukan sebab nak tumpu kat lakonan, tapi Sukma lebih suka sino. Sukma masuk sini sebab nak major sino. Dan mungkin minor kostum kalau dapat.” Sukma tayang gigi.
“Lakonan tu hanya pakej yang Sukma ada sebagai budak Teater, walaupun orang luar ramai ingat Sukma amek Teater sebab nak berlakon. Lagipun, budak Teater setiap sem boleh berlakon, sebab kami ada macam-macam produksi. Jadi, kenalah bagi peluang kat budak-budak lain pulak. Budak-budak AKAK ni, walaupun bukan kos Teater, ramai yang ada bakat lakonan. Asni sendiri perasan kan…antara cungkilan Abang Kama dengan Rose. Maru, budak Tari tu. Selamat yang nampak kayu tu pun dia orang dapat cungkil, walaupun watak kecil. Hah, Falah tu sendiri, semua tau dia boleh berlakon. Tapi, siapa sangka sebaik tu. He’s the epitome of orang muda doing bangsawan. Lepas ni, tambah tinggilah saham dia.” Beria-ia Sukma memberi penjelasan dan penekanan. Sentuhan nama Falah pada bibirnya membawa sentuhan mata Sukma ke wajah Sanaa. Lucu dia lihat kerut pada dahi itu. Juga faham.
“Dan…” sambung Sukma kembali, menyentuh topik asal mereka yang sudah menyimpang. “Pasal primadona tu, kita tunggu dan lihat ajelah…”
Sebek Zaliha kembali. “Tapi… kalau tetap Emie…”
“Sukma tolong, Sukma janji. Walaupun kita dah dipecahkan watak-watak, kita kena tetap saling menolong, sebab Abang Ijad nilai kita sebagai pasukan, bukan saja individu. Remember, ten percents for teamwork!” ujar Sukma memberi semangat kepada Zaliha.
Rengekan Zaliha diiring hentakan pada kedua-dua paha sendiri. “Ni semua salah Sanaa!”
Kesemua mata ke wajah Sanaa yang terkeli-kelip tidak faham makna kata Zaliha. Hanya Asnidar mengukir senyum. Boleh tangkap rasa tidak puas hati Zaliha.
“Apa pulak salah aku?” Sanaa yang sedia blur bertambah-tambah blur.
“Sebab kau sebenarnya boleh berlakon lebih baik daripada Emie!” Asnidar tolong jawabkan. Apabila bibir Sanaa dilihat terbentuk, seolah-olah mahu membalas sekali gus membantah, lekas dia memanjangkan kata. “For you it’s imitation, for us it’s inspiration! If only Abang Kama and Rose look beyond those baggy clothes. Mesti bakat kau tu boleh dia orang nampak. Tapi, itulah…”
“Sanaa boleh berlakon?” Sukma sendiri nampak terkejut.
“Mana ada!” Beria-ia Sanaa menggeleng. Dia hanya pandai mengajuk telatah orang. Itu pun kerana kecil-kecil dulu dia suka lakukannya dan ayah sangat suka tengok dia buat begitu. Ayah akan ketawa kuat apabila dia mengajuk sesiapa. Dan ketawa itu jadi lebih kuat apabila dia mengajuk mama.
Kerana perasankan marah mamalah tabiat suka mengajuk untuk hiburkan ayah itu dikikis—walaupun tanpa pengetahuan mama, aktiviti itu sangat aktif berlaku di rumah mereka, dengan sokongan adik-adiknya, Syahir dan Syawal, yang sama naik minyak. Dan semenjak berada di AKAK, gemar yang ada itu datang semula. Tambah pula apabila dia ada teman-teman sekelas yang sanggup bayar untuk jadi penonton. Hanya pelajar perempuan kelasnya tahu bakat terpendamnya ini.
Dan Sanaa mahu bakat mengajuknya itu terus terpendam, tidak tercungkil!
“Ada!” Suara Asnidar mengiakan buat kepala Sanaa mati gerakan. Tak lagi ke kiri kanan, menolak cakap tadi.
“Aku pandai berlakon semula aje, bukan berlakon betul-betul! Tak payah mengarut!” Sanaa menjegil mata. Asnidar jadi mangsa solo. Tapi, ada minah tu peduli!
“Jadi… Sanaa pandailah berlakon semula? Dalam erti kata lain, mengajuk orang?” Sukma seolah-olah tidak boleh percaya. Bukan apa, dia sebetulnya tak boleh bayangkannya. Berlakon satu hal, tapi mengajuk… peh!
“She’s very good at it! Kalau lecturer tak masuk kelas, dialah yang entertain kami dengan imitation dia,” tekan Malia.
“Betul?” Sukma terkebil. Melihat antara Malia dengan Sanaa.
Wajah Sanaa sudah berubah. Ada rona merah di situ. Tangan Sanaa juga Sukma perasan tak sudah-sudah mencubit lengan Asnidar, seolah-olah berharap Asnidar mencari jalan agar topik itu tidak terus dipanjangkan.
“Sangat betul!” Tangan Sanaa pada lengannya ditampar-tampar lembut setiap kali Sanaa mencubit. Kemudian Asnidar suka-suka jelir lidah.
“Sukma nak tengok! Please, Sanaa… Buat satu…” pinta Sukma dengan muka kebajikan, mata terkelip-kelip.
Dan suara-suara geng kostum lain sama kedengaran. Menghuni ruang kosong berdekatan. Beberapa pelajar lain berkerumun di hadapan pintu dewan yang dibuka luas kiri kanannya. Hanya geng kostum rajin nak melepak tanpa keluar dari situ. Mereka memang tersembunyi dari mata atau pandangan pelajar-pelajar itu. Nampak pun tak, dengar pun tak mungkin.
Sanaa menolak, Sanaa mengelak, namun semuanya tak menjadi. Enam lawan satu, agak-agaklah! Mengeluh, akhirnya Sanaa bangkit mendadak. Senyap suara-suara teman satu kumpulan itu.
Tangan kiri Sanaa terus ke dada, seolah-olah memegang kipas. Dikibar di hadapan muka, siap dengan lenggok serupa.
Tangan kanan Sukma ke mulut, tak terkata. Yang terlihat adalah gegar tubuhnya, gelak tak ingat. Di sekelilingnya, suara-suara ketawa kedengaran.
Mendadak, lenggok tubuh Sanaa berubah. Jalannya gemalai, setiap atur tubuhnya jelas terkawal. Sesekali menggulung rambut.
“Oh, my God!” Gelak Sukma tersembur. Isyarat muka Asnidar kepadanya, percaya ataupun tidak, buat dia terangguk dalam ketawa.
Sanaa tegak, kemudian kaki mendekat ke penjuru dinding. Sebelah kaki melekat pada dinding, kepala sedikit ke kiri dan wajah kosong sambil kedua-dua tangan di dalam saku depan seluar.
“Ya Tuhan… Sanaa!” Sukma menjerit kecil.
Sanaa letak kaki ke lantai, tersenyum tipis. Malu dapat tunjuk bakat. Namun senyum itu berubah. Hilang, mati!
Di hadapan bulatan geng kostum yang sepatutnya tersorok, berdiri sudah Kamaruzaman, Rose, Falah dan Munir.
Munir nampak terkejut sangat. Falah seperti biasa, kaku tanpa rasa. Hanya jongketan bibir dan dalamnya tenungan terlihat—memberitahu lakonan semula Sanaa jadi bahan matanya. Kamaruzaman dan Rose berdiri bersebelahan. Kamaruzaman dengan senyuman, Rose dengan kipas tangan yang laju daripada biasa.
“Kan I dah cakap, you…” Kipas di tangan melaju lagi-lagi.
“Yeah, you’re right.” Kamaruzaman senyum kepada Rose. Kemudian mata dibawa kepada Sanaa. “Kalau awak pandai sangat ajuk orang, apa kata… awak jadi primadona?” Sengaja kening dijongket, sinis.
“Hah?” Sanaa lekat terus pada dinding. Mata jadi belalak.
“Primadona. Itulah watak awak mulai sekarang, Sanaa Abdul Rahim.” Kamaruzaman menekankan suara, berwajah pensyarah. Sesuatu yang jarang dilakukan, melainkan kalau perlu. Nak tunjuk darjat pensyarah punya pasal.
Jeritan kuat mengisi. Geng kostum sangkakan Sanaa. Malah Kamaruzaman dan Rose sama menjangkanya. Namun mereka semua salah!
Jeritan itu daripada Zaliha yang terkinja-kinja melompat gembira, meluru ke arah Kamaruzaman dan Rose. Terpeluk bagai sebab terlalu seronok. Ucapan terima kasih tak putus dari mulut Zaliha. Kemudian, mendadak Zaliha meluru ke arah Sanaa yang terkejut sampai terlekat elok pada dinding. Dipeluk erat dan kuat tubuh padat yang rendah itu.
“Sanaa, aku jaga kau! Jaga kau! Primadona baru!” Menjerit girang kalah kanak-kanak Ribena terus Zaliha.
Asnidar dan Sukma juga terkejut awalnya. Berita mendadak dan tak terjangka. Tapi sudahnya mereka saling mengukir senyum.
Falah terus melihat Sanaa. Gadis itu masih terlalu terkejut untuk memberi reaksi. Rela dan sanggup saja dipenyekkan oleh tubuh Zaliha yang terus memeluk dengan jeritan. Jongket bibir Falah singgah kembali.
[ POM versi cetak ]
Untuk pesan: bikashnuridris@hotmail.com

8 ulasan:

::misz maney:: berkata...

tak sabar nak tunggu cerita ni keluar :)

naqiah berkata...

aduyai...bila nk bersalin POM ni...

aisyah berkata...

aksi kedua tu, sy dapat tangkap Sanaa ajuk Falah...tp aksi yg first tu sy confuse antara Emie atau Rose...tp rasenyer Emie kot...

Balqis Kush berkata...

Rasanya dia ngajuk si Rose..

thE^DuCheSs berkata...

akak, kata la novel ni da kuar.. kata la.. kata la.. ahahhahhahhaah.. #modeGile...

Bikash Nur Idris berkata...

Misz Maney. Terima kasih. Tak lama lagi aje ni...

Naqiah. Dah nak kuar dah POM ni...

Asiyah & Balqis. Rasanya Rose... Hahaha. Boleh gitu?

Duchess. Yup, akan ada tak lama lagi...

jun~nie berkata...

bru beli novel ni hari tu...best gile..
baca sambil berangan kot.. ;)
nice work bikash.. nanti buat lagi yang best2 camni eh.. tq :D

Bikash Nur Idris berkata...

Jun,
Terima kasih sudi dapatkan & baca. Enjoy hendaknya yek. Insya-Allah, akan cuba yang terbaik untuk akan datang. Tq :)