Khamis, April 05, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 5

Melepaskan keluhan, suara dilontarkan. “Falah, teruskan. Dan tolong guide apa yang perlu sekejap. Saya ada hal nak bincang dengan Rose.”
Arahan Kamaruzaman itu hanya dijawab dengan anggukan tanda faham. Kamaruzaman tidak simpan dalam hati atau rasa tercabar dengan sikap Falah. Dingin Falah satu AKAK tahu. Berat mulut Falah semua pensyarah sedar. Namun sebagai pelajar, Falah tak pernah berat atau dingin dalam apa bahagian pun. Setiap tanggungjawab dilunaskan dengan baik dan kadang menjangkau ekspektasi yang diletak ke atasnya./div>
Dari segi akademik, Falah adalah yang terbaik. Ukur pergaulan, jangan harapkan apa-apa kalau untuk bual kosong. Suaranya tak akan kedengaran. Itulah Falah yang Kamaruzaman mula kenal selaku guru jemputan untuk kelas Teori & Praktikal Bangsawan semester lepas dan Produksi Bangsawan sejak minggu keempat ini. Juga berkat maklumat daripada Rose, pembantunya.
Kamaruzaman mendapatkan Rose yang selamba duduk bersandar pada dinding dengan kedua-dua kaki melunjur, saling bertindan gemalai. Kipas kecil di tangan tidak pernah berjauhan daripada Rose. Selalu setia di tangan kirinya. Panas ataupun tidak, kipas kecil daripada kayu itu sentiasa dibuka dan dikibar ke wajah. Kalau tertutup, bermakna adalah yang nak kena hentak dengan kipas tersebut. Dalam erti kata lain, kipas yang terbuka menunjukkan bahagian kelembutan, manakala tertutupnya ia membawa erti adanya bahagian jantan. Buka kipas, Rose. Tutup kipas, Rosmad. When Rose is mad.
“You, sampai bila you nak biar? She’s not capable of doing it right!” ucap Rose sebaik Kamaruzaman melabuh punggung di sampingnya. Bersila elok sambil ikut bersandar sepertinya.
Sekali lagi Kamaruzaman melepas keluhan. Topik ini bukanlah yang pertama jadi perbincangan mereka, sebaliknya sejak minggu lalu saja sudah beberapa kali jadi bangkitan. Banyaknya tentulah daripada Rose malahan turut dapat sokongan Ijad, pensyarah AKAK yang bertugas di bahagian kostum untuk sebarang produksi AKAK. Walaupun Ijad boleh dikata selalu terperuk di bilik kostum, namun pengalaman lelaki itu dalam bidang pementasan adalah lebih berbanding dia dan Rose. Jadi, kalau mata Ijad sendiri sudah tidak senang dengan pilihan primadona mereka, memanglah pertukaran harus dilakukan. Dengan kadar segera.
“Tapi, kau yakin ke dia boleh? Kalau tengok dia, aku rasa budak-budak kita akan tentang. Takkan setujulah. Terutama Emie sendiri. Walaupun budak-budak kita tak tahan dengan gedik santai Emie, tapi ramai nampak bakat dia. Dia boleh berlakon, budak-budak kita setuju.”
“I tak kata dia tak boleh berlakon, you. She’s good, but over-doing it too much is not good. Setiap benda ada had dan dia selalu melebihinya. Dialog pun tak ikut skrip, sendiri cipta spontan. Hilang indahnya dialog bangsawan. Estetika nil. Sebelum kita kena tegur, baik kita betulkan yang salah. Lagipun, you, bukan ke produksi kita ni bertujuan untuk tonjol bakat terpendam, cungkil bakat-bakat yang belum dilihat orang lain? Kita dah target kan…tak nak guna budak Teater aje untuk produksi ni.”
“Emie bukan budak Teater. Dia kos Filem.”
“Ya, tapi dia dah selalu berlakon untuk produksi-produksi AKAK yang pernah dipentaskan, untuk filem pendek budak Filem. People acknowledged her already. We are searching for new-bies. Muka baru yang ada bakat, yang belum orang tengok kemampuannya. Emie tu salah masuk kos sebenarnya. Dia patut ambik Teater, you, bukan Filem. Tapi, dia ambik Filem jugak sebab dia sendiri nak berlakon filem yang dia arah. Mungkin!” Rose juih bibir. Kipas di tangan semakin laju.
Kamaruzaman ketawa perlahan dengan aksi Rose. Dia faham apa yang Rose maksudkan. Dan dia juga mahukan apa yang Rose mahukan. Sebagaimana hendaknya Ijad.
“Tapi… kau yakin ke, Rose? Macam mana kalau dia tak boleh atau dia tolak? She’s too timid.”
“Bab yakin, I tak tau. Yang I tau, masa final Teo-Ba dulu, lakonan dia memang mantap. You jadi pemarkah lagi masa tu. Pak Rahman pun puji dia. Sepuluh minit punya skrip, tapi bakat dia boleh nampak. Dari situ I nampak kesungguhan dia. Boleh diasah dan dibentuk. Dia boleh buat kalau nak, bersungguh. Selain tu, you nampak tak macam mana dia tengok orang muda kita setiap kali kita buat script-reading?” Rose senyum. Sarat nakal dan misteri.
Kamaruzaman mengerutkan dahi. Cuba menangkap, namun gagal mendapat.
“Anyway,” sambung Rose tidak panjangkan penjelasan perihal topik sampingan yang dibangkitkan secara tidak langsung tadi. “Kita ni pensyarah dia, you. Kalau dia tolak, kita pun boleh tolak dia daripada bahagian dia pilih tu. Nak tak nak, dia kena jugak terima arahan kita sebagai pensyarah yang akan bagi markah kat dia nanti. Dia mesti nak jaga CG dia, jadi dia akan ikut punya!”
“Black-mailing?” Kamaruzaman terkebil.
“Kalau dah tu saja jalannya, you…” Rose mengerdip mata. Kipas pula menutup separuh wajah.
Kamaruzaman ketawa kecil. Rose memang cukup suka bab guna kuasa veto. Meloncat-loncat hati Rose walaupun Rose tak ikut meloncat-loncat. Namun untuk kali ini, Kamaruzaman setuju dengan cara terakhir yang dicadangkan Rose itu. Dia boleh lihat potensi, jadi adalah suatu pembaziran jika ia dibiar lapuk. Bakat harus diasah kerana dari situ keyakinan akan timbul. Dia dan Rose yakin dengan kemampuan gadis pilihan mereka itu, cumanya gadis itu yang nampak kurang yakin dengan kebolehan sendiri.
Getah rambut hitam yang mengikat rambut panjang melepasi bahunya ditanggalkan apabila rambut hadapannya sudah terurai daripada ikatan. Rambut yang berombak dan melepasi bahu itu memang susah diuruskan, namun untuk mengguntingnya, Kamaruzaman rasa terlalu sayang. Awal dulu selalu jugalah ibu berleter kerana rambutnya lebih panjang daripada rambut ibu sendiri, yang sama berombak. Namun kini, seluruh keluarganya sudah boleh menerimanya malahan dicemburui oleh adik bongsunya, gadis yang hanya berusia 13 tahun.
“You ni tak sepatutnya jadi pensyarah tau. Budak perempuan semua jatuh cinta dengan you, sampaikan peluang I pun hilang.”
Bingkisan kata Rose mengalih lamunan Kamaruzaman. Hilang daripada adik bongsunya. Dia hanya jongket kening. Dan apabila Rose menjuih bibir yang sarat pelembap ke satu arah di dalam dewan, dia mengikut. Muka terpaling ke situ. Senyumnya terbuah.
Beberapa anak murid perempuan mereka yang duduk sekelompok sedang melihat ke arah Kamaruzaman. Pandangan yang selalu diterima daripada gadis-gadis yang punya hati kepadanya. Dia faham perasaan mereka kerana dia sendiri pernah sama usia dengan mereka dahulu. Cumanya dia tak pernah minat guru sendiri, hanya pelajar-pelajar seusia, lebih muda atau lebih tua. Sejak bergelar pelajar lagi dia punya ramai peminat. Malah, selepas bergelar pensyarah pun dia masih laku. Cumanya mungkin dah tak macam pisang goreng panas lagi. Pasaran dah agak merudum. Dan dia tak ada hal dengan itu. Langsung.
Meluaskan senyuman, Kamaruzaman melambai kepada kelompok-kelompok pelajarnya yang terdiri daripada inang-inang untuk produksi mereka. Kebanyakannya pelajar-pelajar Tari. Dia bukan melayan minat mereka, hanya menerimanya dengan hati terbuka. Orang memberi, berbahasalah dia. Tapi tidak merasa. Bahaya!
“You faham pandangan dia orang pada you?”
Soalan Rose dijawab dengan anggukan. “Pandangan macam tu tak ada kat Emie untuk orang muda kita, walhal satu AKAK tau dia peminat nombor satu Falah. Yang dia iktiraf sendiri.”
“Mungkin sebab tu tak ada. She’s full of herself. Tak nampak lebih daripada minat yang selalu diucap mulut. Tapi yang ni… I nampak,” kata Rose.
Kamaruzaman mengalih mata daripada kelompok inang-inang, merenung Rose yang sedang memandang tegak ke hadapan.
“Tengok sendiri macam mana bakal primadona kita tengok orang muda.” Rose tersenyum suka, melembutkan alunan kipas di tangan.
Kamaruzaman melihat arah mata Rose. Matanya menangkap apa yang dimaksudkan oleh Rose. Dengan jelas setiap gambaran Rose terlekap pada renungan itu. Renungan bakal primadona buat orang muda. Renungan Sanaa untuk Falah, sarat rasa.
“You’re right! She’s the one!” Kamaruzaman sudah sama mengongsi senyum misteri Rose. “Jadi, kita mulakan sekarang?”
“Biar dia orang rehat dulu. Kita pergi kafe sekejap. Aku tak breakfast tadi. Lagipun, kena isi tenaga dulu, untuk bersedia terima tentangan yang ada nanti. Terutama daripada Diva P kita tu!” Rose bangun, kipas tak lepas dari tangan.
 Bersama ketawa perlahan, Kamaruzaman capai tangan kanan Rose, yang dipanjangkan buatnya. Rose menarik tubuhnya. Lalu dia berdiri di samping lelaki berpewatakan lembut itu, yang masih punya minat dan selera kepada perempuan!
[ POM versi cetak ]
Untuk pesan: bikashnuridris@hotmail.com

10 ulasan:

aisyah berkata...

abis laa Sanaa ;)
n abis la jugak Falah....
ade yg lakon teater terlebih jiwa karang, muehehehehe.....

thE^DuCheSs berkata...

akak, compom kan si sanaa ni kuar bulan 4 ni kan? ahhahahhahha.. tak sabar da ni org...LoL...

naqiah berkata...

aduyai....sesak dada tgu n3 BNI,
cm kekurangan oksigen ni....hahahah

Aryana Qaseh berkata...

wah!! bergetar jantung si sanaa la lg dgn renungan falah dalam teater nnt..
yeahuu.. tak sabar next episod..

Bikash Nur Idris berkata...

Aisyah. Hahaha. Terlebih jiwa sambil bawak raga. Ahaks. Terlebih ke terkurang... nanti akan tau ;)

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Ya, adikku sayang. Bulan ni. Sebaik ada stok, saya akan up-date di sini. Boleh dapatkan terus.

Bikash Nur Idris berkata...

Naqiah. Eh, janganlah gitu. Kalau kurang nanti, siapa nak baca POM lagi? Hehehe... TQ yek

Bikash Nur Idris berkata...

Aryana. Maka gegaran pun akan bermula. Ia ataupun tak... memanglah kena tunggu... ;)

thE^DuCheSs berkata...

yeay!! sayang akak.. *tetibe tadek kaitan* ahahhahhaha

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Bila lagi kan nak buat pengakuan tulus ikhlas...