Khamis, Mac 29, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 4

“Tidur sini ajelah, Sanaa. Dah pukul 9.00 lebih ni. Tak payah baliklah…” ucap Hamimah memujuk, sekali gus menggeleng ligat. Tidak membenarkan Sanaa pulang. Tambahan pula dia sentiasa selesa dengan kehadiran gadis satu akademi dengan anak tunggalnya itu.
Sanaa tidak banyak bercakap, namun tahu membawa diri dan menghormati. Baginya, Sanaa agak pemalu. Namun kalau kena cara, yang pemalu ini reti bercakap bak bertih jagung. Begitulah Sanaa dengan anak gadisnya, Asnidar. Malahan, sebagaimana yang selalu Asnidar nyatakan, Sanaa bak saudara kandungnya yang tidak pernah lahir, begitulah tanggapan Hamimah ke atas Sanaa. Bak anak gadis yang satu lagi, yang tidak lahir daripada rahimnya.
Sejak awal dulu lagi dia mengajak Sanaa tinggal dengan mereka, memandangkan hanya dia dan Asnidar di dalam rumah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri itu. Namun Sanaa sering menolak. Dengan alasan tidak mahu mengganggu masa kualiti mereka. Namun, kalau dia perlu bekerja waktu malam, memanglah gadis itu tidak lokek menemankan Asnidar yang bakal sendirian.
Lagipun, bukan jauh sangat pun bilik yang Sanaa sewa. Masih di blok yang sama dengan rumahnya, cuma di tingkat yang lebih tinggi. Hamimah dan Asnidar di tingkat tiga, manakala Sanaa di tingkat 12.
Sanaa terkelip-kelip lihat Asnidar yang selamba menyuap aiskrim vanila ke dalam mulut. Masih di meja makan, dengan kedua-dua kaki di atas kerusi, mangkuk kecil di tangan. Asnidar berwajah selamba. Tidak membalas pandangan Sanaa atau membuka mulut memberi komen. Sibuk melantak aiskrim kesukaannya walaupun perut sudah sedia penuh dengan hidangan makan malam.
Entah ruang mana lagilah yang kosong. Badan keding macam tu juga! Iri hati jadinya Sanaa lihat selera makan Asnidar yang tidak pernah memberi kesan pada berat badannya. Bukan macam dia! Lebih sikit, mulalah naik. Kurang sikit, tak adanya turun. Heh! Sebab itu dua adik lelakinya selalu ejek dia gemuk kuasa dua—sudah berisi badan, rendah pula.
“Alah… duk ajelah. Tak payah balik. Baju semua kan ada. Kalau tak, hah…Asni punya ada.” Hamimah bertenaga memberi cadangan sambil mengelap meja makan yang sudah pun diangkat pinggan mangkuknya ke singki oleh Sanaa.
Kalau Sanaa ada di rumah, memanglah Asnidar tak cuit apa. Semuanya diserahkan kepada Sanaa yang lebih daripada sedia membantu—tolak memasak kerana itu bukan bidang kelayakan Sanaa.
“Ibu ni… mana dia nak pakai baju Asni. Sendatlah, keciklah… Bukan suruh pakai buat tayangan sampai ke luar. Dalam bilik aje pun. Tapi bisingnya… heh!” Asnidar menjuih mulut yang sememeh dengan palitan aiskrim.
“Keciklah… Aku bukan saiz kau. Aku dua kali ganda daripada kau tau!” Sanaa menjeling geram sebelum membawa muka ke arah Hamimah, memaniskannya.
Hamimah tertawa kecil. Sanaa memang begitu. Selalu pastikan berwajah ceria dengannya. Kalaupun marah atau geram dengan Asnidar, tak pernah disua raut sebegitu kepadanya. Kata Sanaa, marah atau geram itu untuk Asni, bukan ibu Asni.
“Sanaa bukan gemuk pun. Cuma berisi sikit. Cantiklah ni… Jangan kurus sangat macam Asni. Badan sedap macam nilah lelaki suka…” Hamimah nakal mengenyit mata kepada pemilik badan sedap itu. Kemudian berlalu ke singki bersama senyum kecil serta nyanyian halus.
Asnidar letak mangkuk ke atas meja makan lalu paut pergelangan tangan Sanaa. Mahu gadis itu duduk di sampingnya, di atas kerusi meja makan yang boleh memuatkan empat orang itu.
“Percaya cakap ibu. Dia bercakap melalui pengalaman tu. Tak dengar dia mula humming Dari Kerana Mata, lagu tema dia dengan arwah abah? Itu… kisah badan sedap lelaki sukalah tu. Kisah dia dengan arwah abahlah.” Asnidar mula gelak kecil. Sesekali kepala menjenguk-jenguk mencari wajah si ibu yang masih berkelana bibirnya dengan lagu Dari Kerana Mata. Sambil tonyoh pinggan tu!
“Ibu kau betul-betul sayang arwah abah kau kan…” Sanaa sama merenung gelagat Hamimah. Masih tersenyum-senyum, masih terlamun-lamun. Pipi itu pula ada masa memerah satu macam.
Ibu Asnidar atau mesra dipanggil ibu deknya masih anggun untuk matanya. Dalam usia pertengahan 40-an, wanita itu masih menjaga penampilan dan bentuk badannya walaupun arwah suaminya sudah lebih empat tahun meninggal dunia. Malahan gayanya juga boleh tahan. Padanlah Asnidar pun kenan sakit yang sama. Gemar bergaya dan suka nampak cantik. Keturunan rupanya! Cuma bab saiz badan, Asnidar tak ikut badan sedap si ibu, sebaliknya arwah abahnya.
Asnidar sama merenung. “Hmm, sangat sayang. Dan arwah abah pun sama. Aku betul-betul harap satu hari nanti aku akan jumpa lelaki yang boleh sayang aku macam tu. Buruk, baik… semua disayang. Kerana isteri untuk disayang dan dimanja.”
“Macam ayah sayangkan mama aku. Buruk, baik, lebih, kurang…pakej sempurna kata ayah, yang sempurnakan mama aku sebagai kekasih dan isteri, juga mama kepada kami bertiga.” Sanaa senyum luas mengenangkan keluarganya.
“Hmm, Mike He kau gitu ke…?” giat Asnidar menolak bahu Sanaa menggunakan bahunya. Mengekek halus dia apabila raut putih bersih temannya mula dihias tompok merah.
“Gatal tau!” Sanaa mencubit geram lengan Asnidar, satu-satunya tempat ada isi untuk dikutil. Lain daripada itu, tulang berbalut kulit saja!
Asnidar mengaduh kuat, membuatkan Hamimah yang leka dengan perasaan sendiri terperanjat.
“Kenapa ni?” Berlari anak Hamimah mendapatkan Asnidar dan Sanaa. Kalut.
“Tak… tak ada apa, ibu. Mmm, Sanaa cuma bagi tahu Asni Sanaa tidur sini. Asni jerit sebab… sebab seronok. Kan, Asni?” Tergagap-gagap Sanaa cuba cover line. Tidak mahu nama Falah jadi bangkitan. Sebab kalau dah berbangkit, takkan boleh dikambus. Hamimah sangat gemar dengar nama Falah dikaitkan dengan Sanaa!
Asnidar ketawa rancak. Terus mengangguk sambil mula makan aiskrim yang sudah mencair di dalam mangkuk.
Hamimah terjerit suka.
Sanaa dan Asnidar saling berpandangan seketika. Lucu dengan gelagat Hamimah yang terlebih suka. Menjerit girang dengan apron masih pada tubuh dan kedua-dua tangan basah dengan sabun basuh pinggan mangkuk. Sudahnya, mereka sama menjerit dan melompat-lompat dengan Hamimah. Joint venture!
* * *
“Hah, kan elok tu…” Asnidar mengerling ke arah Sanaa yang memakai baju tidur tanpa lengan miliknya. Labuh ke paras betis.
Untuk tubuhnya, baju itu sangat longgar dan lebih pendek. Namun buat tubuh Sanaa yang setinggi 156 sentimeter, yang lebih padat, montok sedap, baju itu melekat kemas pada setiap lekuk tubuh. Membuatkan Sanaa nampak seksi menggoda. Mujur saja dia perempuan dan seleranya bukan kepada perempuan!
Sanaa sebetulnya punya bentuk tubuh yang seksi. Seksi bukan kerana Sanaa berkaki panjang dan lampai, sebaliknya seksi kerana lekuk tubuh temannya itu seperti hour-glass. Full figure. Plump at the right places. Kena dan elok letaknya. Mana perlu lebih, lebih. Mana harus kurang, kurang. Namun untuk Sanaa, tubuhnya gemuk. Kerana itulah selalu disembunyikan di balik baju-T besar dan jean lusuh.
“Macam nangka berbalut tau!” Sengit Sanaa membalas sambil membetul-betulkan kedudukan baju yang terlalu elok lekatnya pada tubuh.
“Hmm, kalau nangka… nangka paling seksilah yang pernah aku tengok!” Asnidar ketawa gatal. Namun mati apabila bantal kecil yang selalu jadi bahan peluknya melayang tepat ke mulut yang menganga kerana galak gelak.
“Kurenglah kau ni!”
“Padan muka! Buat gelak seram lagi!” Sanaa menjelir bibir seraya memanjat naik ke atas katil queen itu.
Bilik tidur itu mahupun setiap ruang di dalamnya bukan asing lagi untuk Sanaa. Setiap letak duduk barangan di dalamnya pun sudah dihafal. Jalan tutup mata pun dah boleh. Sebetulnya, dia memang banyak menghabiskan masa di rumah itu, di dalam bilik ini. Namun entah mengapa, apabila ibu dan Asnidar mengajaknya tinggal bersama, dia menolak. Dia mahu beri ruang kepada dua beranak itu dan dalam masa yang sama untuk diri sendiri. Dia bimbang kalau dia terlalu diberi muka dek anak dan ibu itu, dia akan lupa diri, mula naik lemak. Jadi, biarlah dia duduk berasingan dan menjenguk bila perlu. Walaupun bila perlu itu adalah selalu.
“Eh…” Asnidar menyiku Sanaa yang sudah pun berbaring di sebelahnya. “Sampai bila kau nak main hide and seek dengan Falah? Empat bulan tu lama tau tak!”
“Mmm. Tapi kan kita dah nak masuk kelas Abang Ijad. Dah sibuk kat bilik kostum nanti, tak terasalah. Kan kata Abang Kama tadi, minggu depan kita-kita ni akan mula dijaga Abang Ijad…” Sanaa mengiring tubuh sambil memeluk anak patung katak berwarna hijau. Main capai saja. Katil Asnidar memang penuh dengan anak-anak patung. Koleksi pemberian arwah abahnya sejak dulu.
“Yalah, tapi tak bermakna setiap jam tu kita kena duduk bilik kostum. Tak juga bermakna tiga jam setiap kelas tu Abang Ijad kena duduk berdepan dengan kita. Selalunya Abang Ijad akan assign tugasan, kita kena siapkan dan dalam masa yang sama studi skrip kita. Daripada skrip tu kita akan tahu pecahan babak yang ada, waktu bila pertukaran kostum berlaku. Jadi, kita kena jugaklah masuk kelas lakonan dan tari dia orang tu. Baju penari dengan extra-turn pun kita kena ambik tau. Ada faham?”
“Macam tu ke…?” Sanaa menjuih mulut sambil mengerutkan wajah.
“Macam mana ni, Asni? Malulah nak tengok dia lagi. Panas dari hujung kepala ke hujung kaki tau. Malu sangat!” Kedua-dua tangan terus pekup muka. Tergeleng-geleng kepala ke kiri dan kanan.
Asnidar gelak suka.
“Aku peliklah… Selama satu tahun setengah kat AKAK, aku selalu tengok gabra dengan kalut kau tu. Tak jatuhkan barang, jatuhkan diri sendiri. Selamat cuba-cuba nak jadi hero, terpenyek kena hempap.” Dia ketawa ringkas mengingat. Kemudian terus sambung, “Tapi, kau tak pernah diselamatkan dengan cara yang aku tengok sejak kita masuk sem ni. Kau dah ada hero sekarang tau. Dan orangnya, tak lain tak bukan hero idaman kau jugak. Your Mike He, Muhammad Falah Abdillah. How sweet. Macam dalam novel pulak!”
“Banyaklah kau punya novel! Ni macam dalam disaster movie tau. Malapetaka! Kalau tak fikir Pro-Ba tu subjek wajib akademi, wajib diambil sem ni supaya aku tak ulang sem, tak jadi super senior, dah lama aku drop tau!”
“Sampai macam tu sekali tak nak jumpa Falah? Masa tak jumpa, beria ajak aku ngendap dia. Dapat tengok pintu kelas dia pun cukuplah. Sekarang ni… dah sampai tahap bersambut, berdukung, peluang dah luas depan mata… nak mengelak. Dia dah perasan kau. Tapi kau… nak mengelak? Kerja bodohlah!”
“Aku tak nak pun dia perasan aku. My existence is not important, only his… for me. Aku tak perlukan perasan dia!” tegas Sanaa cuba fahamkan teman baiknya.
“Habis, nak perasaan dia?” usik Asnidar meletak kedua-dua tangan yang tergenggam ke bawah dagu, dengan kepala senget ke kiri, mata terkelip-kelip. Galak lagi gatal!
Anak patung katak di tangan tertempek ke muka Asnidar. Hilang muka gatal itu seketika. Tapi iringan ketawa senang daripada Asnidar pula menghuni. Asnidar tak simpan dalam hati pun gelagat Sanaa itu. Dia tahu itu cara Sanaa menutup malu. Pelik dia, bagaimana Sanaa boleh minat Falah separuh mati, namun dalam masa yang sama malu meminati Falah yang mula perasan akan kewujudannya. Kalau dialah yang minat seorang lelaki dan lelaki itu mula perasan akannya, sah-sah dia akan pastikan lelaki itu terus perasan sampailah ditimpa perasaan kepadanya. Hehehe!
“Aku tak nak dia perasan aku, Asni. Aku nak minat dia dari jauh, tanpa dia perasan aku, sedar kewujudan aku. Sebab, kalau dia dah perasan aku wujud dalam kolej tu, dah tak thrill tau…”
“Thrill? You’re talking about thrill? Lebih thrill kalau kau dekat dengan dia, rapat dengan dia… dari segi jarak fizikal dan rohani. Tau…” Asnidar mengenyit mata.
Sanaa menggeleng. “Aku tak rasa macam tu. Kalau dia perasan, maknanya dia akan perasan semua yang aku rasa kat dia. Then I won’t be his secret admirer anymore. Just another admirer. Kalau dia tak sedar, lebih seronok. Macam masa aku curi-curi jalan ke setiap kelas dia, walaupun kelas kita bertentangan arah. Dia tak perasan, sebab dia tak pernah sedar aku ada. Masa tu aku rasa selesa.
“Masa aku curi-curi tengok dia waktu dia belajar di library, duduk berselang meja dan hanya nampak belakang dia. Dia tak perasan, sebab dia tak tahu aku ke situ untuk tengok dia. Masa tu aku rasa relaks. Atau macam masa aku tengok dia dari jauh masa kelas-kelas praktikal budak filem. Dia sibuk dengan tumpuan dia pada ajaran pensyarah, aku sibuk tumpukan perhatian kat dia. Masa tu aku rasa tak ada sekatan. Sebab dia tak pernah kenal muka aku. Jadi, kalau dia perasan kewujudan aku…aku dah tak boleh…”
“Buat semua tu?” pancung Asnidar. Menghentikan bicara Sanaa. “Atau curi masuk ke dewan masa dia buat presentation kelas dia. Atau jadi penonton paling di belakang masa latihan teater dia. Atau tengok hasil kerja video klip kelas dia. Atau sibuk-sibuk tengok dia masa dia asyik tengok filem pendek kelas dia. Macam tu?”
Sanaa mengangguk. Tersenyum malu, namun luasnya bukan main.
“Kau memang manusia luar biasa. Puas hati dengan minat dari jauh, tapi risau hati bila orang kau minat tu perasan kau wujud. Kenapa eh?”
“Sebab…” Sanaa telan liur. “Bila aku minat dia, tunjuk perasaan sebenar aku… tu beban aku. Aku minat, aku tanggung. Tapi kalau perasaan aku, dia nampak, dia sedar… akan jadi beban pada dia. Perasaan tak boleh jadi beban dan perasaan aku tak boleh jadi beban dia. It’s just… an unwanted feeling from me, towards him. Biar aku saja rasa… simpan…
“Satu tahun lagi, bila dia ikut hala tuju dia, jadi seorang pengarah atau apa saja dia nak buat…dan aku ikut jalan aku pilih, sekurang-kurangnya beban yang aku tanggung tu akan hilang dengan sendirinya. Aku tak susahkan dia, jadi aku akan senang hati. Kalau dia perasan, maknanya aku dah susahkan dia… dan aku mungkin takkan ikut jalan aku dengan aman lagi.”
“You’re such a silly girl…” Asnidar cuit hujung hidung Sanaa.
Sanaa senyum. “Jadi, kau kena tolong aku… supaya dia tak perasan kewujudan aku. Boleh ek?” Dipaut mesra lengan Asnidar.
Asnidar angguk setuju. “Cumanya… dia memang dah perasan kau, Sanaa. Sebab dah tiga kali kau dalam dukungan dia!”
“Taklah…” Sanaa menidakkan.
“Ya…” Asnidar mengangguk-angguk, senyum suka.
“Tak!” jerit Sanaa geram.
Namun jerit itu kemudiannya jadi tawa Asnidar dan Sanaa. Penuh girang dua anak dara berkongsi rahsia. Begitulah bunyinya untuk Hamimah yang tiba-tiba mengetuk pintu bilik tidur itu lalu menjenguk kepala. Sanaa dan Asnidar sudah sama-sama berselubung di balik gebar, menggegarkan katil dengan ketawa ceria mereka.
Hamimah senyum luas sambil menolak pintu bilik rapat ke tempatnya semula. Jauh di sudut hati, dia syukur sangat dengan kehadiran Sanaa. Sanaa mengembalikan Asnidar kepadanya semula. Sesudah pemergian suaminya, Asnidar seolah-olah hilang arah. Asnidar jadi hilang semangat. Malahan Asnidar mula lupa pada pelajaran sampaikan perlu mengulang semula SPM. Alhamdulillah, akhirnya Asnidar lulus baik. Namun bukan sebagaimana Asnidar awal dulu yang menjadi harapan sekolah dalam SPM.
Tapi Hamimah tak banyak kompelin. Asal Asnidar mula ada keinginan untuk teruskan pelajaran dan kehidupan sebagaimana Asnidar hendak, itu sudah cukup elok untuknya. Dan, apabila masuk ke AKAK, Asnidar berubah terus. Asnidar mula melihat semuanya dari sudut positif. Sanaa menunjuk arah itu untuk Asnidar semula di luar sedar. Diam Asnidar, bisu Asnidar… semuanya hilang. Asnidar kembali kepada Asnidar sebelum arwah suaminya pergi.
Dan dia, hanya kuat sesudah melihat Asnidar kembali kuat. Secara tak langsung, Sanaa turut jadi sumber kekuatannya.

6 ulasan:

Aryana Qaseh berkata...

best best best!!!
saya baca sambil dgn lagu korea.. hehehe..

Bikash Nur Idris berkata...

Aryana Qaseh. Thanks. Enjoy hendaknya... ;)

Aryana Qaseh berkata...

memang enjoy karya BNI.. takpernah mhampakan hati, jiwa dan raga saya.. ecewah..

thE^DuCheSs berkata...

kak, da bulan 4 ni.. da kuar eyh? tang zunah pun da kuar ke?

Bikash Nur Idris berkata...

Aryana Qaseh. Terima kasih. Sangat suka baca komen awak & sangat berterima kasih. Moga terus begitu. Amin.

Bikash Nur Idris berkata...

Duuchess. Belum lagi :(
Tapi insya-Allah tak lama lagi kut. Nanti saya dah masukkan cover tu, lebih tak lagi kut le... ;)