Isnin, Mac 26, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 3

Perlahan-lahan, Sanaa menjenguk kepala ke dalam Dewan C. Dewan di mana kelas Produksi Bangsawan mereka diadakan sejak dua minggu yang lalu. Sebagaimana minggu lalu, sesudah memastikan orang yang mahu dielaknya tiada, barulah Sanaa mahu melangkah masuk.
Asnidar yang faham hanya memberi ruang kepada Sanaa untuk menjalankan ‘siasatan’. Tenang saja dia berdiri di sebelah. Menengok aksi Nora Zain tak jadi Sanaa.
“Okey, tak ada!” Sanaa mengangkat kedua-dua ibu jari sambil tayang sengih luas.
“Sampai bila kau nak macam ni, hah? Takkan sampai akhir sem? Empat bulan nak mengelak?” Asnidar menyoal sambil mengaut lengan Sanaa yang mahu cepat-cepat masuk ke dalam Dewan C. Membuatkan kedudukan mereka beralih apabila dia berdiri di hadapan pintu yang ternganga itu. Manakala Sanaa berdepan dengannya, bersemuka.
“Huh, huh… Empat bulan!” Sanaa beria-ia mengangguk kepala.
Asnidar menganga seketika dengan kenyataan absurd itu. Menutup mulut, kemudian nganga semula. “Takkanlah empat bulan!”
Sekali lagi, bersemangat Sanaa mengangguk.
“Kau gila ke?! Macam mana kalau masa show nanti kau kena jaga dia?” Menjegil mata Asnidar di balik kaca mata, menyua kenyataan ke muka teman baiknya. Bijak dalam pelajaran, tapi bendul dalam pengajaran.
“Jaga dia?” Bukan main berkelip mata bulat Sanaa.
“Hmm, kita ni jaga kostum. Macam mana kalau Abang Ijad assign kau, jaga kostum orang muda aka Mike He kau tu?”
“Takkanlah… Kan perempuan kena jaga kostum perempuan. Takkanlah nak jaga kostum lelaki pulak!” Kalau tadi beria menggangguk, kali ini ligat kepala digeleng.
“Eh, kau ni, dah setahun lebih kat sini pun tak tahu ke! Budak kostum tak jaga kostum pelakon ikut jantinalah. Lagipun, budak kita majoriti perempuan kan. Bawah kostum, berapa kerat aje laki, tu pun handle mekap. Kita ni… watak mana diberi, tulah yang kena jaga. Kalau orang muda untuk kau, orang mudalah!” Asnidar bertegas.
Sanaa menutup wajah dengan kedua-dua telapak tangan, mengeluh. “Tak nak…”
“Bersyukur ajelah tak jaga Cik Primadona!” tekan Asnidar meliukkan tubuh. Meniru aksi Cik Primadona mereka.
Masih dengan kedua-dua tangan pada pipi kanan dan kiri, Sanaa angkat muka merenung Asnidar yang nampak ngeri dengan bicaranya sendiri. “A’ah kan…”
“Hei, kau orang cakap apa ni?! Mengata aku eh!”
Jeritan maha dahsyat dekat dengan telinga itu buat Asnidar menjerit kecil.
Sanaa bukan setakat menjerit, siap jatuhkan beg tote dari bahu tepat ke hujung kaki sendiri. Sekali lagi Sanaa menjerit kesakitan, menjengket-jengket mendadak ke belakang tanpa sedar akan hadapan pintu dewan yang bertingkat. Dia sandung ke belakang. Terus ke dalam pautan seseorang. Tubuhnya yang separuh tegak itu akhirnya menegak sempurna, dengan bantuan sepasang tangan itu.
“Sudahlah tu… Lepaslah dia. Dah boleh berdiri pun dia!” Suara Emie sedikit mendesak. Geram dan cemburu beradun.
Mana taknya, Emie sendiri tidak pernah mendapat sentuhan sebegitu daripada Falah. Lama pula tu! Malah, hampir melekat belakang tubuh budak perempuan ini dengan dada lelaki pujaannya itu. Hatinya jadi lebih marak. Sudahlah hari itu minta dicempung, hari ini mahu dikendong pula!
Tanpa pedulikan Emie atau perasaan terbakar itu, Falah terus memaut kemas kedua-dua bahu bulat itu. Menunduk muka, berbisik kepada gadis yang genit dari segi ketinggian itu. “Awak tak akan pengsan lagi, kan?”
Soalan yang dirasakan terlalu dekat di telinga itu buat Sanaa berlari deras ke arah Asnidar, memeluk tubuh yang lebih lampai daripadanya itu. Wajahnya yang sudah memerah menahan malu disembunyikan di balik lengan teman baiknya itu.
Asnidar menepuk-nepuk jemari tangan Sanaa yang erat pada lengannya.
Sanaa tahu tujuan Asnidar. Menenangkannya.
Falah capai beg tote Sanaa yang masih berada di atas lantai lalu diserahkan kepada Asnidar. Kemudian terus membuka pintu sebelah kanan—kerana pintu sebelah kiri yang terbuka luas dihadang laluannya dek tubuh Asnidar yang masih cuba tenangkan Sanaa—lalu melangkah masuk ke dalam Dewan C.
Empat batang tubuh lagi antap mengekor.
Emie sempat menjeling tajam kepada Sanaa yang langsung tidak kisahkannya—kerana Sanaa masih menyorok di balik lengan Asnidar. Apabila sudah berada di dalam Dewan C, Emie meraih tangan Rohati yang laju sahaja menurut langkah Arham, teman lelakinya semenjak minggu orientasi. Enam hari awal minggu orientasi bergaduh bukan main, hari ketujuh jadi pasangan pula.
“Apanya?” tanya Rohati membetulkan beg silangnya yang hanya berisi beg duit serta telefon bimbit. Wajahnya sedikit terangkat sama. Tanda mahu tahu. Dia pandang Emie yang lebih kurang tingginya juga.
“Budak tu siapa?” Emie menjuih bibir ke arah pintu yang terbuka, masih diisi dua batang tubuh tadi. Bezanya, kini gadis yang buat api cemburunya marak itu sudah pun mengangkat muka memandang temannya. Mengoceh apa entah!
Rohati hanya mengerling. Cukup syarat. Kerana tanpa lakukannya pun dia tahu siapa yang Emie maksudkan.
“Sanaa…” jawab Rohati terus.
“Yalah, yang sana tulah… Yang duk depan pintu tu!” Emie jadi separuh geram. Entahkan Rohati faham tapi buat tak faham atau betul benar benaknya lembap hendak faham.
Rohati senyum kecil. “Ya, Sanaa. Nama dia Sanaa Abdul Rahim.”
“Sanaa? Apa ke peliknya nama! Huh, macam orang dia jugak. Tak sudah-sudah nak tarik perhatian Falah.” Mencebik bukan main Emie. “Hei, Sanaa, sini Falah punya. Sibuk-sibuk aje nak rampas!”
Rohati tahan sengih dengan gelagat Emie. Siap dengan lenggok tubuh dan adegan gawang tangan lagi. Malah, berdirinya pun lain macam. Bengkok semacam dengan sebelah kaki ke dalam. Perkataan ‘sibuk-sibuk’ daripadanya tadi pula meleret, dengan bahu terenjut kiri dan kanan. Siap ikut giliran. Betul kata Rose, bakat lakonan memang Emie sedia ada. Cuma terlalu over!
“Aku peliklah dengan budak-budak AKAK ni. Tak sudah-sudah nak dekati Falah. Tak habis-habis nak dapatkan Falah. Cuba bagi ruang Falah bernafas sikit. Dengan kereta-kereta Falah sekali jadi mangsa. Penuh surat cinta kat windscreen dia tau. Dah tu, ke kiri, perempuan, ke kanan, perempuan.”
Rohati sengaja alihkan kepala daripada melihat Emie. Lucu dengan lenggok badan Emie yang terhentak ke kiri dan kanan kala menyebut perkataan kiri dan kanan. Begitulah Emie, bercakap tak pernah guna mulut saja. Segala bahagian tubuh akan bercakap sama. Mungkin sebab itulah Emie rasakan dirinya layak bergelar pelakon. Selain alasan namanya sudah cukup komersial selaku pelakon terkenal Malaysia yang layak bergelar diva. Emie Marlina, diva Malaysia.
Itu panggilan Emie untuk dirinya sendiri sedang pelajar-pelajar AKAK menggelarnya Emie Marlina, Diva P. P untuk perasan. Emie tidak pula berang atau marah. Sebab Emie sangka P untuk popular. Girang sahaja hati menerima dengan mata terkelip-kelip. Kerana Diva P menunjukkan dia tidak jauh dari tangga diva Malaysia yang diidami!
Ah, Emie! Memang perasan!
Dan Rohati sampai sekarang tidak faham bagaimana dia boleh jadi kawan kepada Emie Marlina si Diva P AKAK. Mungkin, kerana Emielah orang pertama yang menyapanya ketika mereka sama-sama mendaftar masuk satu setengah tahun yang lalu. Kemudiannya pula, mereka satu bilik sepanjang minggu orientasi, sehinggalah hari terakhir. Tambahan pula mereka daripada kos yang sama. Mungkin…
Keluhan penuh tragis lagi sadis daripada Emie membuatkan Rohati mengalih kepala semula. Kembali merenung Emie. Bayangkan, sepanjang dia berangan kemudian kalih kepala, keluhan Emie belum pun putus. Memanglah Emie Diva P AKAK!
“Kesian Falah aku…” Akhirnya terluah ungkapan Emie.
“Falah tu dah memang terkenal dalam kalangan budak-budak perempuan sini. Nak buat macam mana… Macam mana kau minat, macam tulah dia orang…” Rohati cuba menyedarkan dengan ayat itu.
Bahawasanya Falah itu bukan Falah Emie. Falah adalah Falah, pemuda dingin yang bercakap apabila perlu. Kalau tidak, seharian di AKAK pun suaranya boleh tidak dengar. Kalau ada pun, bisik-bisik sama Munir, yang memang rapat dengan pemuda itu semenjak semester pertama di AKAK. Selepas sepuluh hari semester pertama barulah pelajar kos mereka tahu bahawa Falah dan Munir adalah sepupu.
Seorang dark prince. Seorang pula Prince Charming.
Selain Munir, kawan Falah nak buat cakap adalah Arham. Dan selepas itu, pada semester dua mereka bertiga jadi rakan kongsi. Cumanya, yang Rohati perasan, sejak naik semester ini, sejak mulanya kelas Pro-Ba, sejak dua minggu lalu, suara lelaki itu ada kedengaran. Lebih daripada untuk orang yang Falah biasa-biasa.
Setiap hari Isnin, antara jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang. Apabila Sanaa dekat.
Dia perasan dan Munir juga sedar. Kalau sudah sampai Munir pun sama sedar pada perubahan itu, tentulah ada sesuatu pada gadis bernama Sanaa itu yang menarik perhatian Falah—sesuatu yang terlalu tidak mungkin berlaku. Namun kenyataannya ia sudah berlaku dan matanya sudah lihat, benaknya telah sedar. Memang sungguh!
Buat pertama kalinya Falah mempunyai minat untuk bercakap dengan perempuan. Kalau tidak, kecenderungan itu sifar. Bercakap hanya apabila perlu dengan pelajar perempuan kelas mereka, demi hal-hal berkaitan dengan pelajaran atau sebarang kerja kursus. Malahan dengan dia sendiri, teman wanita kawannya sendiri, Arham, susah betul Falah hendak buka mulut.
Selama satu tahun setengah mengenali lelaki itu, sebagai kawan rapat Munir serta Arham dan teman satu kosnya, inilah kali pertama Falah ada usaha memesrai kaum berlawanan dengannya. Falah sudah boleh ‘melihat’ seorang perempuan. Sedang sebelum ini, ia takkan mungkin terjadi!
“Eh, baik sikit mulut kau tu, Roha. Aku ni ada makna tau dalam hidup Falah!”
Bentakan Emie mengalih minda Rohati daripada memikirkan ketidakmungkinan yang telah menjadi mungkin apabila berkisah mengenai Falah. Perhatian diberikan kepada Emie semula. Menyenget bukan main bibir itu tunjuk perasaan. Geram kerana diri disamakan dengan gadis-gadis lain yang turut meminati Muhammad Falah Abdillah.
Maklumlah, Emie kan anggap diri presiden Kelab Peminat Falah. Yang lain tu hanya ahli-ahli biasa. Sebab Kelab Peminat Falah bermula kerananya, dia yang pertama laksanakannya. Dia, Emie Marlina, yang memulakan. Jadi, dialah yang paling tinggi darjatnya dalam kelab peminat tak diiktiraf itu. Bermakna, dia jugalah paling layak dengan Falah.
“Ada makna macam mana?” tanya Rohati sudahnya. Tahu, selagi dia tak soal begitu, Emie akan sengaja main tarik tali dengannya. Tidak buka mulut menjelaskan kenyataannya tadi. Dari sudut mana Emie bermakna untuk Falah, dia pun nak tahu juga. Jadi dia ringankan mulut. Soal sajalah.
“Aku perempuan paling dekat dengan Falah berbanding perempuan-perempuan lain yang minat dia tu. Dia orang berjarak tau dengan Falah. Tapi aku boleh jalan beriring. Kan itu maknanya aku ada makna?”
Lagak penemuan paling besar ditemui, begitulah penuh perasaan Emie jelaskan betapa bermaknanya dia di samping Falah.
Rohati rasa mahu ketawa. Lucu dengan cara Emie merasionalkan sesuatu. Macam budak tadika saja pemikirannya. Tak matang sungguh. Yalah, kalau dah berkata dengan gunakan akal perasaan, bukan akal minda, begitulah!
“Kau pernah ke ada peluang jalan beriring dengan Falah?” Sengaja Rohati menyakat Emie. Tahu sangat ia tidak pernah berlaku. Jangan haraplah Falah nak berikan peluang. Dengan kedua-dua kaki yang panjang itu, lebar saja langkah Falah kalau tahu Emie berjalan di sebelahnya. Macamnya tak sudi.
Emie menghentak kaki kuat. Geram dengan usikan Rohati yang hanya menyakitkan hati. “Kau tengoklah nanti!”
Menonong saja Emie berlalu dengan mulut herot ke kiri kanan. Tunjuk perasaan kerana timpaan perasaannya diperolok Rohati.
Rohati ketawa kecil dengan gelagat teman itu. Dia tahu Emie over, dia sedar Emie suka perasan dan dia perasan Emie kuat perasan. Tapi hendak buat macam mana…Emie kawan baiknya. Di balik setiap penampilan jelik Emie itu, Emie ada hati yang bersih selaku teman. Kebajikannya terpelihara dan tanggungjawab rakan tidak enteng di mata gadis itu. Kerana itulah dia kalis dengan setiap sikap jelik yang selalu diuar-uar setiap pelajar AKAK ini. Sebab dia lebih daripada tahu dan nampak bahagian itu.
Suara saling berbisik itu mengalihkan Rohati daripada terus melihat langkah Emie yang melaju mendapatkan Falah dan Munir di satu sudut dewan. Munir sudah berbaring manakala Falah seperti selalu selesa berdiri sambil bersandar pada dinding, sebelah kaki melekap pada dinding. Arham pula duduk bersandar pada dinding. Apabila mata mereka berpadu, pemuda itu nakal mengerdip mata. Senyum Rohati jadi terbit. Seterusnya dia mengalih leher, menangkap tubuh dua sahabat yang sejak tadi jadi sentri pintu masuk dewan tersebut.
Asnidar, teman baik Sanaa. Gadis itu lebih kurang sama tinggi dengannya. Dalam 165 sentimeter juga. Orangnya kurus, membuatkan Asnidar nampak lebih lampai. Gemarnya berskirt paras betis dengan blaus kosong lengan 3/4 yang muat-muat tubuhnya. Kakinya selalu berkasut kayu ala terompah. Rambutnya lurus tak sampai bahu, potongan bob-cut, dengan anting-anting pada telinga. Dua anting-anting yang bukan padanan. Mesti tak pernah sama. Kaca mata empat segi berbingkai hitam tersangkut sentiasa. Dan wajah itu selalu ditampal solekan tipis. Simple. Penampilannya cukup comel, sesuai dengan wajah babyface itu.
Jelas, Asnidar seorang yang suka bergaya!
Dan temannya, adalah berlawanan!
Sanaa, selain nama pelik, tiada apa pada gadis itu yang boleh buat seseorang akan ingatinya dengan sekali pandang. Sanaa bukan dalam kategori sekali tengok terus lekat dalam kepala. Malah, ada waktu kewujudan Sanaa tak pernah disedari. Berdiri Sanaa di satu ruang, takkan pernah ada mata mahu melihat terus kepadanya. Kalau melingaskan mata sekalipun, mungkin pada lingasan ketujuh baru kewujudan Sanaa disedari.
Kerana Sanaa adalah gadis yang mudah dilupakan dan jelas gadis itu sendiri menginginkannya!
Sanaa tak pernah memakai pakaian yang boleh menarik mata kepadanya—selalu warna kelabu dan kusam. Selalu, jean lusuh membalut seluruh kaki. Sering, baju yang sentiasa besar untuk tubuhnya. Membuatkan Sanaa nampak lebih rendah berbanding rendah asalnya yang memang tak mungkin lepas 160 sentimeter pun. Badan Sanaa dalam kategori berisi. Nampak begitu mungkin sebab pemakaian Sanaa jelas menutup setiap inci bentuk tubuh yang sebenar. Kasut pula tak putus dengan kasut sukan. Rambut Sanaa hitam, panjang, lurus dan hitam berkilat. Namun mahkota paling mahal itu selalu ditocang satu, tinggi, dengan rambut hadapan jatuh menutup dahi. Wajah pula tidak pernah bersolek. Paling-paling pun tempek bedak dan pelembap bibir. Cukup syarat.
Begitulah Sanaa Abdul Rahim, kontra sekali dengan Asnidar Asman!
Itu yang buat Rohati sangat pelik apabila yang berjaya ‘mengikat’ perhatian Falah dalam kelas Pro-Ba adalah Sanaa dan bukan Asnidar.
Rohati memaling paras, ke arah Falah yang masih bersandar pada dinding dengan sebelah kaki melekat pada dinding manakala kedua-dua tangan di dalam poket khakis. Sebagaimana mata Rohati lurus kepada Falah, mata lelaki itu juga tegak ke arah…
Rohati ikut arah itu. Hmm, sekali lagi Sanaa! Ada sesuatu pada Sanaa yang tidak terlihat mata kasar, namun mungkin dilihat mata hati Falah!
Tapi… Falah yang dingin dan kayu itu, punyakah hati atau perasaan?! Rohati kemam bibir. 

[ POM versi cetak ]
Untuk pesan: bikashnuridris@hotmail.com

7 ulasan:

naqiahsukaprimadonaorangmuda berkata...

huhuu...sanaa ..sanaa
i loike..

naqiahsukaprimadonaorangmuda berkata...

to sanaa :truskan kelibut anda
to mike he :biarkn dirimu diselubungi misteri(hehehe)

to BNI :x terkata,just cayuk cayuk.....
cpt2 smbung erk..heheheeh

chenta berkata...

huhuhu...wah...sanaa sat ag mst kna kjr ngn falah neh...w/pn falah sorg yg mstri n sanaa sorg yg klam kbut..tp mst da klbhan msg2 yg da lm diri sanaa...ermm t'lpas la emie ye..hehe..mmg prsan tol la bdk 2...

to BNI: bez cte neh akk xsbr nk bc nxt n3..hehe

Bikash Nur Idris berkata...

Naqiah. Terima kasih yek suka POM :D
Terima kasih jugak sudi baca & PM Sanaa & Falah. Nanti saya pas kat dia orang. Boleh gitu? Thanks sangat!

Bikash Nur Idris berkata...

Chenta. Terima kasih sangat sudi baca. Harapnya enjoy yek.
Yup, kelebihan dan kekurangan Falah & Sanaa akan compliment memasing kan... ;)

Aryana Qaseh berkata...

wah!!!bestnye.. xsbr utk next episod..

Bikash Nur Idris berkata...

Aryana Qaseh. Terima kasih. Dah masuk dah bab baru. Enjoy hendaknya :D