Khamis, Mac 22, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 2

Terkelip-kelip, akhirnya mata Sanaa terbuka. Dan, perkara pertama yang dia lihat adalah sepasang mata berkaca mata. Betul-betul di depan mukanya. Sanaa sentak. Ketika itu jualah dia mula rasa denyut pada dahi.
“Auch…” Panjang saja bunyi mengaduh dari mulut Sanaa.
“Dia dah bangun!” Si mata empat memekik, berdepan dengan muka Sanaa.
Sanaa mengaduh lagi. Satu, sebab jeritan si mata empat membuatkan denyut kepalanya bertambah hebat, seolah-olah mahu terputus dua. Dua, sebab telinganya rasa macam hilang daya dengar, seolah-olah gegendang telinganya hilang fungsi. Berdengung sakan.
“Kau tak apa-apa ke, Sanaa?” Si mata empat menyoal. Penuh prihatin.
Sanaa jelas pada risau gadis yang masih menyua muka di depan mukanya. Malah, dia terlebih jelas pada tahi lalat di bawah mata kanan serta pada pipi kanan itu—tanda wajah mereka terlalu dekat. Dia hulur mulut, si mata empat juih bibir, dah lain jadinya. Dah, dia tak nak dicop lesbian dek adegan ini!
“Aku okey, tapi aku akan lebih okey kalau kau jauh daripada aku supaya aku boleh duduk.”
Gadis itu tersenyum lalu melakukannya. Malah siap tolong Sanaa bangun dari perbaringan, biar dia duduk. Ketika itulah Sanaa perasan pada lebihan tubuh yang duduk tidak jauh daripada mereka, melihat keadaannya. Ada berwajah risau (kebanyakannya budak kelasnya yang sudah sama-sama pasang niat nak jaga kostum untuk kelas Pro-Ba) dan ada pula yang melihat tanpa riak.
Salah seorang daripadanya, Muhammad Falah. Pemuda itu berdiri paling jauh, bersandar pada dinding dengan sebelah kaki melekat ke dinding, sambil menyeluk poket seluar khakis dipakainya, melihat ke arah Sanaa. Namun tiada apa yang Sanaa boleh kesan pada wajah itu. Kosong. Seketika mata mereka menyapa dan Sanaa memaksa diri, sepenuh daya untuk alihkannya.
Usaha si mata empat membantunya untuk berjaya!
Si mata empat atau Asnidar Asman, kawan baiknya semenjak dia mula menjejak kaki ke AKAK, memegang kedua-dua pipinya, kiri dan kanan, dengan kedua-dua tangan lalu menolak wajahnya supaya mereka bertentangan. Kau pandang aku, aku pandang kau punya adegan.
            “Kau macam mana? Risau aku tau…” Asnidar meluahkan perasaan.
            Sanaa rasa berdosa. Dia tahu risau Asnidar. Sepanjang tiga semester di sini, Asnidarlah yang kuat risau perihal sikap kalutnya yang kadang boleh membahayakan diri. Dan, risau Asnidar adalah lebih apabila memikirkan perangai aci redahnya. Dia dan selamat, tidak pernah berjodoh. Walaupun rakan sekelas mereka, Selamat, mengharapkan ia!
            Baginya, Asnidar menjaganya seperti kakak menjaga seorang adik dan ada waktu seperti ibu. Mungkin kerana usia yang berbeza, Asnidar jadi jauh lebih matang. Bukan pula bermakna dia tak matang. Untuk usianya, selepas ditolak sikap gelabah tak tentu pasalnya, dia cukup matang. Namun, Asnidar mungkin berganda melebihinya. Tapi wajah babyface itu tidak pula menunjuk ia.
            Sanaa mahu buka mulut, menjawab soalan Asnidar untuk jauhkan risau Asnidar, namun soalan daripada seseorang yang dia kenal selama satu semester selaku tenaga pengajar di AKAK menerpa kuping. Menggam bibir. Sanaa menoleh ke kiri.
            “Awak tak apa-apa ke?”
            Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Abang Kama, salah seorang daripada guru Pro-Ba, menunduk lalu duduk di samping Sanaa. Tangan itu panjang saja menyentuh dahi Sanaa, yang Sanaa yakini sudah lebam dek hentakan kuat pada tiang bendera. Tiang dengan kepalanya, sah-sah dah boleh agak pihak mana akan menang. Kan tiang tu masih tegak dan dia terlantar!
            “Mmm, tak apa. Saya okey, Abang Kama.” Sanaa jawab sambil kepala tergerak ke belakang apabila menerima sentuhan Kamaruzaman. Dia bukan nak tunjuk kurang ajar, tapi dia betul-betul kurang senang.
            Pelajar-pelajar di sini memang mempunyai sikap terbuka. Mungkin kerana kos-kos yang mereka ambil memerlukan mereka bertemu lebih banyak orang dan lebih bijak bergaul. Sedang dia, hanyalah pelajar Penulisan dan dia lebih gemar untuk tidak bertemu atau bergaul. Dia lebih suka buat hal sendiri di depan kertas putih atau komputer ribanya.
            Kamaruzaman yang perasan akan aksi Sanaa hanya senyum dan mengetuk-ngetuk lembut ubun kepala Sanaa dengan telapak tangan. Lagak abang dengan adik. Manja dan mesra.
Sanaa hanya mengukir senyum untuk lelaki itu, yang mungkin hanya beberapa tahun tua daripadanya. Setahunya, lelaki itu adalah bekas pelajar AKAK. Batch ke berapa dia tidak pasti. Di matanya, paling-paling pun usia Abang Kama mungkinlah lebih lima, enam tahun bandingnya. Tapi…macam tak mungkin pula. Mungkin saja lebih daripada itu kerana Abang Kama kini guru kedua utama dalam Pro-Ba, atas pemantauan Pak Rahman B, salah seorang daripada penggiat bangsawan yang berjaya semenjak zaman mudanya. Malahan beliau juga diangkat sebagai Seniman Negara.
Lamunan Sanaa rencat apabila sedar ada jari telunjuk menyentuh bawah dagunya, mendongakkan wajahnya. Mata Sanaa terus ke mata Kamaruzaman. Halai-balai Sanaa jadinya. Hanya kerana mata itu lembut menyentuh matanya, juga penuh keprihatinan. Jemari tangan itu pula beralih ke dahinya, menyebak rambut hadapannya yang menutup dahi, melihat benjolan kecil di situ. Sanaa pula terlalu sentak untuk menjauh.
Dehaman keras yang kedengaran buat Sanaa terperanjat, sekali gus sedar. Terus dibawa kepala ke belakang lalu dialihkan kepala dan leher, menangkap tubuh lampai Falah yang berdiri beberapa tapak dari tempatnya. Pemuda itu berpeluk tubuh memandang Kamaruzaman. Berkerut dahi Sanaa dengan gelagat pemuda itu.
Falah memang dikenali pelajar AKAK sebagai seorang yang tidak mesra alam, sukar tayang parasaan ramah dan biasanya hanya tahu bersikap dingin sampaikan selalu dicop beraga. Cumanya…taklah sampai tahap sekarang ini.
“Mmm, semua dah ada. Boleh kita mula kelas?” Falah masih berpeluk tubuh memandang Kamaruzaman yang sudah perlahan-lahan bangun.
Sanaa lihat Kamaruzaman senyum tipis seraya mengangguk. Seketika memandang Falah, kepala Kamaruzaman terarah kepada Sanaa semula.
“Kalau belum okey betul, rehat dulu.”
Dengan kata itu, Kamaruzaman berlalu sambil mengarahkan pelajar-pelajar di dalam dewan yang boleh memuatkan tidak lebih 150 orang itu untuk berkumpul bagi memulakan kelas.
Namun perhatian Sanaa mahupun Asnidar tidak pada arahan Kamaruzaman, atau Kamaruzaman. Sebaliknya tubuh yang masih tegak, tidak jauh dari tempat mereka meletak punggung. Asnidar duduk bersila manakala Sanaa duduk melunjur kaki. Kehairanan, terus tunak mata mereka, merenung Falah.
Falah tidak berkata apa. Menegur pun tidak. Terus sahaja berdiri, berpeluk tubuh bagai awal tadi, memandang Kamaruzaman yang sudah pun berdiri di hadapan himpunan pelajar-pelajar pelbagai jabatan yang duduk di atas lantai kayu dewan tersebut. Dewan C yang tadinya abuh, jadi senyap.
Masih kehairanan, Asnidar mencuit paha Sanaa, mahu tahu. Temannya itu menggeleng galak. Kemudian Sanaa mendekatkan bibir ke telinga Asnidar, berbisik.
“Macam mana aku boleh ada kat sini?”
“Ada orang bawak,” jawab Asnidar, berbisik sama.
Berkerut dahi Sanaa cuba faham. “Bawak?”
“Hmm, dukung… cempung.” Masih dengan bisikan, tapi disertai aksi. Kedua-dua tangan terangkat, seolah-olah sedang mencempung seseorang.
Mata Sanaa jadi besar daripada biasa. “Siapa?”
Asnidar sengih luas sambil meluruskan jari telunjuk, tegak ke tempat Falah berdiri.
Sanaa sedar dua perkara kemudiannya. Sentuhan hangat pada bahunya, erat, menampung tubuhnya yang terkebelakang di luar kawal, diiring soalan, “Kenapa?” lalu disertai pula jawapan Asnidar yang menggegarkan bahunya. Tanda orang yang sedang memaut bahunya sekali gus memangku tubuhnya, sedang ketawa.
Setelah itu, Sanaa hilang sedar, untuk kali kedua!

[ POM bentuk cetak ]
Untuk pesan: bikashnuridris@hotmail.com

8 ulasan:

thE^DuCheSs berkata...

oh man!!!! this is cOoL!!!!

Mabeles, Ohsem, Gorjes!!! LoL

akak,cite ni kira tadek skrip yang da siap ke? saya nak g beli ari ni jugak bila kedai da bukak ni.. da lama sangat tunggu kat Layan Santai... taleh nak santai2 da ni.. tak menahan da ni ... ahahhahahha

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Dah siap dan akan terbit April nanti. Insya-Allah. Bolehlah lepaskan penantian. Hehehe. Thanks yek sebab sudi baca & jatuh centa (cewah!) kat Sanaa. Macam tak caya aje...

thE^DuCheSs berkata...

siyes? omaigod!!! akak da kuar kat book store gitau eyh? eyh?.. org nak lari laju2 g beli.. ahahhahaha..

Thanks for release my stress gelak2 baca sanaa punya character.. indeed i do fell in love with her.. seksok ade anak nak suh dia jadik camni la.. ahahhahahhah #gile LoL

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Boleh ke suh anak jadi gini? Karakter ni datang sendiri. Ajar anak baca buku ni dari awal. Hohoho. Entah papelah kita ni... Hehehe.

Insya-Allah, akan maklum. Yang confirmnya masa pesta buku nanti memang akan ada.

Widelia berkata...

Pesta buku cepatlah dtg... Org nk tambah & lengkapkan koleksi karya Alg nie haaa.... Tp kalau lg cepatkan bagus... lambat sgtlah nk tunggu pesta buku tue nanti....

Bikash Nur Idris berkata...

Widelia. Hehehe. Insya-Allah sempat sebelum BF hendaknya. Baru cepat awak dapat yang ikhlas daripada BNI :P

thE^DuCheSs berkata...

kan? ahhahahha.. cam mengom je.. berangan nak ajar anak.. kawen pun blom.. ahhahahha.. anak tekak, anak rambut, anak mata ade la.. LoL.. poyo je..

owh.. noted then... pesta buku bila ntah?

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Hehehe. Tau takpe...

Pesta buku mula 27 April kalau tak silap.