Rabu, Mac 21, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 1

Februari 2011
Dia mula gabra. Kalut usah dicerita. Rasanya, kalau boleh merempit kalahkan si mat rempit, sudah lama takhta minah rempit teratas disandangnya. Tapi itulah… tiap kali memegang stereng kereta, walau sekalut mana pun dia masuk dan duduk di dalamnya untuk ke kolej, tetap juga dia berpegang pada peraturan jalan raya. Mungkin sebab semenjak kecil menerima asuhan Hati-Hati di Jalan Raya daripada ayah, guru memandu Sekolah Memandu Muhibah di Kampung Muhibah.
Dan sekarang, dia sedang memecut, mengikut had laju yang dibolehkan. Beberapa kereta sudah lama memotong, melepasi. Dia sudah pecut bagai nak rak, tapi tetap jadi minah lembap di jalan raya. Bukan dia sengaja nak lembap, tapi kelembapan ini berlaku atas didikan orang tua yang mahu dia sentiasa tak lebihi had laju. Punah!
Sebenarnya, untuk ke kelas Produksi Bangsawan (Pro-Ba) bukan jadi satu kemestian untuk datang tepat pada masanya. Kalau boleh, dia memang sentiasa mahu jadi makhluk terlewat masuk (tepat waktu mula kelas) dan terawal keluar (saat tamat kelas pada waktunya). Itulah yang direalisasikannya sepanjang semester lepas, ketika mengambil Teori & Praktikal Bangsawan (Teo-Ba), subjek wajib yang perlu dia lulus sebagai pelajar tahun dua, sebelum mengambil Pro-Ba pada semester ini.
Tapi sekarang, semester ini, dia ambil Pro-Ba. Dan, dia mahu cepat sampai kerana hendak pastikan namanya tersenarai di bawah pelajar-pelajar kostum untuk Pro-Ba semester ini. Dia tidak mahu namanya tercicir dari situ atau menggelongsor ke senarai lain. Apatah pula senarai pelakon. Walaupun dia sedar diri, dia amat tidak layak dalam senarai itu, malah kemungkinan kegelongsorannya adalah sifar.
Dia, Sanaa Abdul Rahim, hanya pandai berladen, bukan berlakon!
Dan, Abang Kama dan Rose, belum buta untuk lihat bakat tiang letriknya!
Balik kepala ligat memikir dan kaki menginjak pedal minyak (mengikut had laju tentunya), sudahnya Sanaa membelok masuk juga ke kolejnya. Akademi Kreatif atau lebih dikenali sebagai AKAK dalam kalangan pelajar-pelajarnya serta institusi pendidikan yang lain.
Tercangak, kepala bak anak burung kasawari, Sanaa mencari petak parkir yang kosong. Mata menangkap, stereng membelok.
Masih kalut, Sanaa keluar dari perut kereta Kenarinya sambil mencapai beg tote di kerusi sebelah. Terus menutup pintu lalu menyangkut beg pada bahu. Namun silapnya juga, selalu tidak bijak mengagak, beg tote itu jatuh. Tak letak pada bahu, terletak di atas jalan tar kawasan parkir pelajar itu. Fail melepak cantik manakala isi lain bertabur ikut suka hati pihak itu. Dan, sebuah bekas bulat sebesar penumbuknya, dengan isi yang amat penting buatnya, bergolek menjauh. Mencuri peluang masuk ke petak parkir di sebelah, yang kosong.
Dia, yang sudah menunduk, mula letak kedua-dua lutut ke atas jalan tar dan jalan menggunakan kedua-dua lutut serta telapak tangan di tengah-tengah ruang memarkir akademi, di bawah terik matahari pagi. Yang Sanaa tahu, dia perlu dapatkan bekas bulat itu sebelum isinya terjelir keluar. Penuh konsentrasi Sanaa lakukannya, tanpa sedar ada sebuah kereta mahu mengisi ruang kotak parkir itu, tanpa sedar dia sudah lebih dulu ‘parkir’ di situ.
Tayar mendecit. Tanda pemandunya sedar Sanaa di situ.
Tayar mendecit. Tanda Sanaa sedar dia hampir jadi mangsa langgar tanpa sempat lari.
Terlalu terperanjat, Sanaa terus tundukkan tubuh. Cantik sahaja baring Superman—kata minah rempit! Mujur bibir tidak cium tar dan mujur juga dia berbaju lengan panjang dengan jean. Maknanya, setiap kulit pada tubuhnya tertutup elok, tanpa sebarang pendedahan. Menghalangnya daripada mendapat cedera. Mujur yang sangat mujur!
Sanaa mula angkat muka, memaksa kedua-dua tapak tangan yang tergam pada jalan terangkat, lalu menaikkan tubuh sedikit. Namun lagak itu terhenti. Hanya kerana sepasang kasut di hadapan muka. Tidak perlu lihat lebih daripada itu, dia sudah tahu siapakah pemiliknya. Dan dalam diri Sanaa, hanya ada satu nawaitu—pengsan sekarang juga!
Ya Allah…malunya! Dalam banyak-banyak budak AKAK, kenapa dia? Dalam banyak-banyak staf, pensyarah dan pekerja kafe kat sini, kenapa dia juga?!
Sanaa tak jadi angkat muka mahupun tubuh. Perlahan-lahan dia tunduk semula. Tidak mahu mengangkat muka dan menentang wajah dengan senyum Mike He itu. Malu tahap donkey Malaya punya pasal!
“Awak nak saya kuburkan awak kat sini terus ke?”
Soalan Mike He kedengaran. Namun, Sanaa sengaja buat tak dengar. Sempat pula suka-suka letak pipi di atas jalan tar yang panas hanya kerana mahu pura-pura tak sedar diri. Demi tidak bertentang muka dengan Mike He. Lelaki itu tidak pernah sedar akan kewujudannya di dalam kolej itu. Dan dia mahu keadaan terus begitu. Sampai semester akhir begitu.
Kerana dia terlebih sedar akan adanya lelaki ini di AKAK!
Keluhan Mike He kedengaran.
Rasa Sanaa, jejaka itu memang sengaja melebih-lebihkan bunyinya. Nak beritahu Sanaa yang gelagatnya itu sudah sengal tahap dewi sengal. Tapi dia terpaksa terus berlakon tak sedar diri. Jadi, Sanaa hanya boleh berdiam diri. Mata berkedip-kedip, antara mahu tutup dan mahu mencuri tengok apa yang dilakukan pemuda tersebut. Pemuda yang sedang mengambil kos Filem di AKAK, selepas selesai mengambil double diploma, di luar negara. Itu semua orang di AKAK tahu, sebagaimana semua tahu lelaki itu sudah ada pekerjaan tetap lepas graduasi nanti. Di syarikat pemuda itu sendiri.
“Apa yang ada dalam bekas ni sampai awak berani mati…”
Sanaa tahu Mike He sedang tunduk. Dia yakin Mike He mahu capai bekas bulatnya. Lalu dia hilang pertimbangan. Dia hilang makna tak sedar diri yang cuba diciptanya. Dia hilang sedar bahawa dia perlu tak sedar diri. Berdesup saja dia meluru, bak harimau kumbang menerkam, mendapatkan kotak bulatnya lebih dahulu. Sebelum tangan itu mencapai ia. Dalam usaha tersebut, kerana terlalu tidak mahu Mike He melihat isi kotak bulat itu, dia salah mengagak.
Kan dia memang ada masalah mengagak! Macam tak faham!
Kotak bulat di dalam genggaman, dia di atas badan Mike He! Gulp!
Sanaa meluru terlalu kuat, merempuh tubuh lampai itu, yang mencangkung untuk capai kotak bulat rahsianya. Dan kini, dia berada di atas tubuh lampai kekar itu. Lelaki itu pula jadi Superman terbalik di atas petak parkir. Sama terkaku. Saling terkedu.
Sanaa buat pusingan kepala 45 darjah dan mata mereka bertentangan. Hari ini dalam sejarah. Untuk kali pertama, Sanaa menentang mata coklat jernih itu, yang hanya boleh dilihat dari jauh atau poster-poster yang selalunya dipampang di bilik tidurnya (sesudah dia culik dari papan kenyataan). Mata itu nyata lebih menarik apabila dilihat secara langsung begini. Lebih cair coklatnya, sampaikan dia jadi lebih tertarik. Goda godeklah sudah hati…
“Awak memang tak berat, tapi tak jugak ringan…”
Sanaa kejut. Mendadak pula kedua-dua tangannya menekan dada itu. Membuatkan pemuda itu lebih terhentak ke jalan dan kotak bulatnya mencucuk bahagian dada itu. Pemuda tersebut mengaduh dalam erangan.
Sanaa berdiri tegak. Rasa macam baru bunuh orang sahaja. Sedang lelaki ini hanya mengaduh sakit. Sanaa mahu bantu, namun macamnya tak berdaya. Apabila berdepan dengan jejaka ini, dia akan jadi bertambah tidak bijak mengagak. Blur tahap dewi sengal!
Dan, ketika Sanaa berkira-kira mahu menyahkan setiap virus sengal daripada tubuhnya, suara itu terdengar. Penuh prihatin, penuh kalut, penuh manja. Dia rasa rencah dan rempahnya memanglah sangat kena selaku manusia yang terkejut dan prihatin dengan tahap kesihatan Mike He yang masih terlantar di atas tar ruang parkir.
Menjeritkan nama lelaki itu, Emie berlari anak mendapatkan Mike He.
Sanaa hanya boleh berdiri di tempat yang sama, melihat Emie, Rohati, Arham dan Munir mula mengerumuni Mike He. Dia perasan Emie cuba menyentuh Mike Henya—cis, Mike Henya tu! Hendak membantu, membangunkan lelaki itu. Namun lekas ditolak Mike He. Tidak sudi mungkin. Atau tak apa, aku boleh bangun sendiri.
Sanaa tahu Emie lebih daripada sudi menolong. Satu AKAK tahu Emie ada simpan rasa kepada pemuda ini. Malah satu AKAK juga tahu setiap pelajar perempuan tak pernah tidak menyimpan hati kepada lelaki ini. Sama ada terus sukakan lelaki dingin ini atau berhenti sekerat jalan sebab lelaki ini tidak pernah melayan siapa pun antara mereka. Emie adalah salah seorang peminat tegar yang memulakan sebuah kelab peminat khas untuk lelaki ini.
Jadi… dia tak boleh nak salahkan Emie, kan? Sebab itu umpama salahkan dirinya sendiri! Sebab dia juga peminat tegar. Tapi, dalam diamlah…tak adanya uar-uar.
Mike He sudah berdiri tegak. Menampilkan lampai tubuhnya. Mengikut profil kelab peminat lelaki itu, 180 sentimeter.
Sanaa tahu dia perlu mengangkat muka untuk lihat Mike He. Tapi Sanaa tidak sempat lakukannya kerana Emie menagih perhatian Sanaa dengan suara sarat dramatik.
“Hei, kau ni nak bunuh orang ke? Kalau kau yang nak terbunuh… suka hati kaulah! Yang kau nak heret dia sama, apa hal?!” Emie bercekak pinggang sesudah puas jari telunjuk tergawang-gawang ke muka Sanaa berulang-ulang.
Sanaa hanya diam. Sebab memang salah dia pun. Tapi, jangan haraplah matanya sama diam. Galak menurut arah telunjuk Emie. Takut kena korek biji mata punya pasal.
“Emie, tak payah besarkan hal kecik,” kata Munir menegur.
Rasa Sanaa, teguran itu timbul apabila Munir perasan pada ketidaksenangan yang mengukir muka Mike He. Kerlingan lelaki itu seolah-olahnya arahan agar Munir cuba tutup tempayan yang cuba menganga itu—mulut Emie. Dan Emie pula, hanya boleh mendengus keras.
Sanaa yakin Emie mahu menyambung cakap. Masih hendak lepaskan perasaan marah dan dalam masa yang sama masih hendak tunjuk prihatin. Tetapi, senggolan siku Rohati di sebelah buat Emie tidak jadi lanjutkannya. Bibir Emie memanjang, tanda protes.
“Jomlah, kita pun ada kelas.” Arham menepuk bahu teman di samping, yang masih diam.
Mendengar perkataan kelas, Sanaa mula sedar diri. Kalutnya kembali. Gabranya berhai-hai. Tak peduli terus Sanaa pada lima pasang mata yang sesekali diketahui terarah kepadanya. Mungkin kerana pelik dengan lakonan patung batu konkrit daripadanya tadi. Sanaa terus tunduk mengutip isi perut beg totenya yang masih di atas jalan. Elok sahaja kutip dan campak masuk ke dalam beg tote yang didaratkan semula pada bahu, dengan agakan yang tepat. Dia pusing ke kanan. Mahu berlalu.
Tapi, dia jadi lupa pada tiga tiang bendera yang menghias ruang hadapan kotak parkir yang diisi Kenarinya itu. Kepalanya, tanpa salam, mencium tiang bendera.
Sanaa mula nampak bintang. Kemudian dia mula rasa panas. Sebab ada tangan yang lekas sambut Sanaa yang terkejut dengan hantukan itu, sampai mahu jatuh ke belakang. Dan Sanaa tahu itu tangan siapa. Mike Henya atau Muhammad Falah, menyambut tubuhnya. Dan sebelum Sanaa betul-betul tidak sedar diri, Sanaa sempat dengar ketawa terkejut daripada Falah dengan ayat ringkas, “Gila!”


[ POM bentuk cetak ]
Untuk pesan: bikashnuridris@hotmail.com

14 ulasan:

naqiah berkata...

nak lagi..

thE^DuCheSs berkata...

akakkkkkkkkkkkkkkkk~ saya nak kenal the real sanaa!!!! Please!! Jaebal.. aahahhahahahhaha.. i think i fell in LOve.. LoL

Bikash Nur Idris berkata...

2 Naqiah. Akan ada... :)

Bikash Nur Idris berkata...

2 Duchess. Wah, bahaya budak ni. Jangan3x... Apa hal suka Sanaa pulak ni?

thE^DuCheSs berkata...

ekekkekke.. akak la ni.. Sanaa macam cute + naive + innocent + clumsy sangat!!!! i Loike!!! sungguh2 ni.... aaaaa..saya gile..saya gile... #pengsan

gosh!! really Thank God for giving u such OHSEM heroin imagination character....

ok ape saya cakap ni.. saya da compiuh... ahahhahah

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Hah, tau pun dia confuse. Orang sini pun sama. Ahahaha. Apa pun, TQ sebab jatuh cinta kat Sanaa. Kembang hati ni...

thE^DuCheSs berkata...

ahahhaha.. da dulu gile kat Ria Qistina.. ni Sanaa plak.. abih la saya.. kena g check ni, normal ke tak.. LoL..

#nauzubillah.. LoL

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Uiks. Janganlah hendaknya. Eloklah semuanya. Tapi memang pun boleh jatuh cinta gitu... macam saya jatuh cinta kat Kajol :D
Mana kaitnya entah...

thE^DuCheSs berkata...

ahahhaha.. kan? mengom je rasa...

weh, akak suka kajol jugak ke? dia saya punya la.. ahahhahhahha...

kaitan tadek takpe.. kita kira kaitan kita ni yang sehati sejiwa jap.. ahahhahah

Bikash Nur Idris berkata...

Duchess. Yup. Suka sangat Kajol & lakonannya yang bersahaja. Especially gelak dia & nangis dia yang macam gelak. Hehehe.

Kaitan sehati sejiwa gitu kan...

Mummy Hanan berkata...

assalam, komen akak : hehehehe lucunya Sanaa.... siap ngan selalu gabra lagi bila berdepan ngan lelaki tuh....

Bikash Nur Idris berkata...

Mummy Hanan. Hehehe. Sanaa memang gitu, Kak D. Orang tu depan, dia takut. Orang tu belakang, siap ngendap dia... berani bukan main. Thanks sudi baca :D

arabellabianca berkata...

adeh ... penat saya gelak sorang2.. tak menahan sungguh.. dahla kat bustop. org keliling pandang pun saya tak heran.kelakar sungguh laa sanaa ni, btw, suka nama falah..mcm suwitt gitu

arabellabianca berkata...

adeh ... penat saya gelak sorang2.. tak menahan sungguh.. dahla kat bustop. org keliling pandang pun saya tak heran.kelakar sungguh laa sanaa ni, btw, suka nama falah..mcm suwitt gitu