Khamis, Mac 15, 2012

Primadona Orang Muda | Prolog

Julai 2009, Ulu Yam
Aku betul-betul tak mahu ikut minggu orientasi ini. Tapi, apa alasan yang aku ada? Takkan nak cakap, “Boleh tak kalau saya dikecualikan?” Apa hal? Aku siapa nak dapat hak istimewa yang begitu?
Tambahan pula minggu orientasi ini bukan saja wajib untuk aku hadiri selaku pelajar Akademi Kreatif, sebaliknya ia jadi tanggungjawab yang harus aku penuhi sebagai pelajar akademi ini. Tanggungjawab pertama yang menunjukkan aku betul-betul mahu menjadi keluarga akademi ini. Bukan masuk kerana tidak dapat ke IPTA!
Lagi pula, ini pilihan aku. Sanggup tolak tawaran IPTA yang aku terima kerana Akademi Kreatif, kerana mahu teruskan minat aku dalam bidang penulisan. Tak peduli pada mahu mama yang harap aku terima saja tawaran ke UiTM Seri Iskandar memandangkan ia lebih dekat dengan rumah. Saja keraskan kepala sampai ke KL hanya kerana mahu dapatkan apa yang aku mahu.
Ya, ini yang aku mahu! Jadi, aku kena juga ikut minggu orientasi ini!
Dan, kerana ikuti minggu orientasi ini, sebagaimana diwajibkan ke atas setiap pelajarlah pertemuan pertama ini terjadi. Rasanya, kalau bukan kerana selepas pendaftaran petang tadi, kami terus dibawa bersama empat buah bas ke sini—Ulu Yam—pastinya pertemuan pertama ini tidak berlaku. Dan, mungkin juga takkan berlaku kalau bukan kerana aku ditempatkan dalam kumpulan yang sama dengan pemuda itu.
Mike He aku. Aku gelar begitu kerana senyuman lelaki itu selalu sinis, seperti Mike He dalam Devil Beside You. Tak pernah lebih daripada itu, apatah lagi dekat dengan perkataan manis!
Kerana itulah aku terus rakamkan nama Mike He kepadanya dalam minda aku. Lebih mudah memandangkan sampai sekarang aku tak tahu namanya. Mana taknya, sepuluh kali aku cuba menghendap tag namanya, sepuluh kali juga aku gagal. Kerana seketika menjeling, mata aku terus tertunduk. Tak daya memandang. Bimbang aksi curi hendap itu ditangkap mata coklat cair itu.
Jadi, sampailah masa sesi perkenalan antara ahli kumpulan—setiap kumpulan sepuluh orang, cuma kumpulan aku saja sembilan orang—aku tak tahu namanya. Hanya ketika dia memperkenalkan diri sahaja aku tahu siapa dia dan aku sedar, bukan aku sahaja mula tertarik kepadanya. Sebaliknya, lima budak perempuan kumpulan aku juga turut meminatinya.
Waktu itu, aku jadi sedar diri. Aku harus alihkan minat aku, patut jauhkan diri daripada perasaan tak betul aku. Niat asal aku ke Akademi Kreatif haruslah aku betulkan! Tambah pula, dia takkan mungkin sedar akan kewujudan aku, sebagaimana yang berlaku setiap kali aku berdepan dengan siapa sahaja.
Namun, sukarnya menghalang rasa, apabila yang mengikat pandangan aku dan hati aku bukanlah sahaja ketampanannya, sebaliknya juga karisma yang ada padanya.
Selaku ketua kumpulan kami, sampai ke hari akhir dia memegang tanggungjawabnya dengan baik, memastikan bendera putih yang diberikan kakak fasi kepada kami putih sebagaimana asal di hari ketujuh. Bukan seperti kumpulan lain yang sudah ada banyak contengan dan lukisan kerana mengabaikan tanggungjawab menjaga bendera tersebut, yang menunjukkan refleksi entengnya kerjasama antara kumpulan.
Tapi, nak salahkan ahli kumpulan saja, tak adil juga. Sebab abang-abang senior yang menjadi fasi kami adalah pencuri yang berjaya. Pantang ralit, hilanglah bendera tersebut. Namun Mike He aku (cewah!), nyata tak pernah ralit kerana bendera itu tidak pernah lepas daripada pegangannya. Kejap. Karisma pemimpin dalam dirinya aku lihat dari situ. Dan selebihnya, cita-citanya itu. Untuk apa dia masuk ke Akademi Kreatif, ia menggam mata kasar aku serta mata hati aku, terus kepadanya.
“Kerana saya mahu hasilkan kisah yang padat dengan kasih sayang. Sayang sebuah keluarga, kasih ayah ibu. Saya mahu tampilkan sebuah keluarga bahagia di atas skrin…”
Dan entah mengapa, waktu itu hati aku berdebar hebat. Aku jatuh terus ke lantai waktu itu juga dan bangun dengan bantuan Asnidar. Aku juga sedar, itulah waktunya aku betul-betul jatuh suka kepada Mike He!

10 ulasan:

naqiah berkata...

suka suka suka

Bikash Nur Idris berkata...

2 Naqiah. Terima kasih. Harap akan terus suka ^.^

eina berkata...

Can't wait...

Bikash Nur Idris berkata...

2 Eina. Wait la... :D
TQ sudi baca

thE^DuCheSs berkata...

akak, orang rasa orang da jatuh cinta.. bukan kat falah.. tapi kat Sanaa... ahahhahhahahhaah

Bikash Nur Idris berkata...

2 Duchess. Ahaha. Macam mana boleh jadi gitu. Takkanlah... tak mungkin!

thE^DuCheSs berkata...

ahahhahha.. dia comel sangat la kak.. saya rasa saya nak kawan macam dia.. ada adik macam dia pun takpe.. LoL..da kemaruk sangat ni.. LoL

Bikash Nur Idris berkata...

2 Duchess. Ni statement ni... nak komen cenggane ni? Hehehe. Kalau ada real, nanti akan dikenalkan kepada awak. Kalau ada... :P

Liza berkata...

best! dah lama jd koleksi..

Bikash Nur Idris berkata...

Terima kasih, dearest Liza :D