30 Januari, 2012

.: secukup rasa [20] :.

jari tembam Bikash Nur Idris pada 6:00:00 AM
FIRDAUS menolak pintu utama kedai buku dengan tanda ‘Buka’ itu. Pintu diluaskan lalu dibiar Faryal masuk dulu. Faryal yang rendah saja untuk budak lelaki 13 tahun terus masuk ke dalam kedai buku tersebut. Lalu Firdaus menurut dan menutup rapat pintu ke tempatnya. Masuk-masuk saja terus Firdaus nampak Nurhana di kaunter di hadapan, sebelah dengan sebuah rak meletak beg bagi pembeli-pembeli yang masuk. Rak dengan kotak-kotak kecil muat satu beg.
Nurhana yang nampak Firdaus dan Faryal terus tersenyum sakan. Cepat pula keluar dari ruang tinggi paras pinggangnya, terus menghampiri dua anak muda itu. Yang mana memang sekarang pun sudah nampak akan membesar jadi remaja yang kacak lagi tampan. Saling tidak tumpah seperti kakak mereka yang membesar jadi gadis yang cantik, cuma tak cukup tinggi.
“Eh… Ayal dengan Daus datang jenguk Kak Ana ya…” Nurhana hampiri Faryal lalu memeluk tubuh Faryal yang kecil dan kurus. Faryal menegak saja apabila dia memeluk begitu. Tak beri respons. Kecil dulu, sakan Faryal balas pelukannya. Manja. Dah masuk sekolah menengah ni, Faryal dah tak macam itu. Tak nak dianggap budak kecil yang manja lagi.
Sebaik Nurhana lepaskan pelukan, Faryal capai tangan kanan Nurhana lalu mengucupnya penuh hormat. Nurhana jadi terkesan sangat dengan aksi begitu. Walaupun itulah aksi biasa. Yang selalu Faryal lakukan setiap kali menemuinya, semenjak dia mula jadi pembantu kedai buku ini, milik orang tua Faryal. Namun hari ini, entah mengapa ada semacam sedih pula hatinya apabila Faryal buat begini. Kasihan anak ini. Nurhana belai rambut Faryal yang pendek saja.
“Sihat?” tanya Nurhana tahan sebak. Masih belai-belai rambut halus Faryal yang hitam.
Faryal angguk kemudian terus bergerak ke kaunter. Meletak begnya di situ lalu duduk di salah sebuah kerusi tinggi di kaunter.
Nurhana kerling saja kemudian pandang Firdaus yang sudah pun berdiri di depannya. Direnung paras dengan mata bening itu. Mata bening yang buat siapa saja sejuk melihat. Mata bening yang saling seperti arwah ibunya, Fahimah. Antara tiga anak lelaki Fahimah, anak inilah yang mempunyai hampir 90 peratus rupa Fahimah. Takkan ada yang dapat cakap Firdaus bukan anak Fahimah.
Nurhana pandang Firdaus yang senyum tipis kepadanya. “Daus sihat?”
Firdaus angguk kemudian capai jemari tangan Nurhana dan mengucupnya. Sudah biasa begitu semenjak mula kenal Nurhana. “Kak Ana macam mana? Kedai macam mana?”
“Setakat ni okey. Kak Ana boleh uruskan lagi, insya-Allah. Hari ni outing ya?” tanya Nurhana.
Firdaus mengangguk. “Pipa mana? Dia tak datang dengan Kak Ana?” tanyanya melihat sekitar kedai buku itu.
Ada rak-rak tersusun pada kiri, kanan. Melekap ke dinding dan tersusun buku-buku ulang kaji serta pelbagai buku latih tubi untuk pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah. Di sebelah belakang ruang luas itu pula ada satu lagi rak melekap pada dinding dengan pelbagai stationery. Di tengah-tengah pula ada rak kabinet tinggi sedikit daripada kakak Firdaus, Zunah. Saling terlekap antara satu sama lain, mengisi tiga tempat. Di situ ada sudut buku untuk pra-sekolah, kamus pelbagai, komik serta beberapa buah novel Melayu.
“Pipa kat bilik belakang ke?” Firdaus menyoal lagi, mula senyum. Sebab selalunya si kecil Pipa yang sudah berusia sepuluh tahun itu akan habiskan masa di sebuah bilik kecil di sudut belakang sekali. Bilik yang memang disediakan khas untuk berehat. Malah, siap ada katil bujang.
Nurhana senyum, angguk. “Tengah buat kerja sekolah tadi. Dengan…”
Belum sempat Nurhana habiskan cakap, pintu belakang terbuka lalu melangkah keluar Pipa sambil menggosok-gosok matanya. Nampak seperti anak kecil itu baru bangun tidur. Amboi, anak dara dia itu. Sudahkan kerja rumah atau sudahkan benih kilang tahi mata!
Separuh jalan, huyung-hayang, Pipa tiba-tiba besarkan mata dan menjerit kuat, “Abang Daus!”
Nurhana senyum sakan tengok anak daranya melayang macam layang-layang putus tali ke arah Firdaus, yang tersenyum mesra kepada Pipa. Firdaus memang sangat memanjakan dan menyayangi Pipa semenjak anaknya itu kecil. Kata Firdaus, sebab dia tak pernah ada adik perempuan. Dengan adanya Pipa, merasa jugalah dia ada adik perempuan. Padahal, anak perempuan Nurhana itu bukannya anggap Firdaus laksana abang. Sungguh-sungguh tak nak berabangkan Firdaus. Menangis hingus sekali gus tak sudi.
Firdaus ketawa perlahan tepuk-tepuk perlahan belakang tubuh Pipa atau Hafifah yang sedang memeluk erat pinggangnya. Pipa yang dia kenal semenjak kecil, kini sudah meninggi. Kepala Pipa sudah capai perutnya. Malah dia rasakan, pasti sangat, Pipa akan meninggi lagi, lebih tinggi daripada Zunah. Pasti Pipa akan meloncat suka kalau itu berlaku sebab Pipa memang gemar berlawan siapa lebih hebat dengan Zunah. Zunah pula, ada masa melayan juga. Boleh lawan gaduh dengan budak sekecil itu. Selalunya bila libatkan hal ketinggian. Isu sensitive kakaknya itu.
“Rindu Abang Daus tak?” tanya Firdaus apabila Pipa angkat muka dari perutnya dan menyengih tunjuk sebatang gigi yang tak ada. Ligat si kecil itu angguk kepala.
“Ni apa ni…? Mana gigi? Tikus curi ya?” soal Firdaus menyakat sambil longgarkan pelukan Pipa pada pinggangnya kemudian membawa Pipa ke samping, memeluk bahu kecil itu.
Nurhana dan Firdaus sama-sama gelak apabila Pipa tumbuk perut Firdaus geram. Tak suka bercerita pasal giginya yang hilang. Kemudian Pipa hentak-hentak kaki tak suka, terus bergerak ke arah Nurhana, kemam mulut tak nak nampak gigi sambil tarik muka tunjuk rajuk kepada Firdaus.
“Alah… merajuk pulak. Abang Daus baliklah macam ni!”
Pipa terus merengek dan terkam perut Firdaus sekali lagi. Sakan memeluk takut Firdaus kotakan cakapnya. “Tak nak, tak nak!”
Firdaus gelak lagi. “Tak, tak… Abang Daus acah aje.” Firdaus eratkan pelukan sekejap, kemudian lepaskan Pipa. Si kecil itu tak bergerak jauh sebaliknya berdiri di sebelahnya, genggam erat jemari tangan kanannya seperti takut dia akan tinggalkan Pipa sebagaimana dikata tadi.
“Amboi, manja sangat dengan Abang Daus dia…” usik Nurhana cubit pipi Pipa.
“Isy, mama ni! Apa cubit-cubit ni. Nanti hilanglah blusher Pipa. Hisy!” sakan Pipa menjegil mata.
“Blusher?” Firdaus terkejut kemudian pandang muka yang Pipa dongak, melihatnya. Baru dia perasan pemerah pipi yang ada pada muka Pipa, walaupun sudah kurang. Mungkin bahana tangan Pipa sendiri yang tak reti duduk diam. Malahan, kelopak mata Pipa juga ada pembayang mata yang sudah sememeh bahana tangan sendiri menggosok mata.
“Cantik tak, Abang Daus? Pipa nampak besar tak mekap macam ni?” Pipa sebelah tangan ke bawah dagu, sengetkan muka sedikit, kemudian kelip-kelipkan mata. Manja penuh mengada.
Firdaus tahan senyum sambil pandang Nurhana. Hendak tahu kenapalah budak yang belum genap sepuluh tahun ini dibenarkan menconteng muka dengan barang mekap bagai.
“Tanyalah sendiri,” bilang Nurhana kulum senyum. Saja suruh Firdaus tanya sebab nak tengok reaksi Firdaus dengar jawapan anak perempuannya itu.
Firdaus lihat antara Nurhana dan Pipa sekejap. Kemudian dia tunduk pandang Pipa yang dah tak buat aksi manja penuh mengada lagi. Namun Pipa sedang senyum sakan kepadanya, tanpa nampak gigi. “Kenapa Pipa mekap macam ni…?”
“Sebab Pipa nak cepat besar. Kalau cepat besar, boleh Pipa kahwin dengan Abang Daus. Cita-cita Pipa kan nak jadi isteri Abang Daus…”
Firdaus nganga sekejap. Tak tahu nak beri reaksi bagaimana. Walhal bukan kali pertama Pipa cakap begini. Dah macam siaran ulangan dah angan Pipa itu. Nak jadi isteri dia apabila dewasa. Sudahnya Firdaus tengok Nurhana yang sudah mengekek sakan.
“Anak dara Kak Ana ni, pergi sekolah pun bawak mekap tau. Sampai kena tahan dengan cikgu disiplin, sampai Kak Ana kena jumpa guru besar. Tak cukup dengan tu, bila cikgu kelas tanya cita-cita bila besar… dia jawab bila besar nanti dia nak jadi isteri Abang Daus. Lepas tu, guru kaunseling sekolah jumpa Kak Ana. Takut si Pipa ni ada masalah jiwa kecik-kecik.” Penerangan Nurhana tak serius langsung. Ada gelak selingan. Walhal dah sampai ke tahap cikgu kaunseling cadangkan jumpa pakar psikiatri.
Terkeli-kelip mata Firdaus. Nak senyum ada, nak takut pun ada. Yalah, Pipa baru sepuluh tahun. Tapi cita-cita… pergh!
“Pipa tak boleh kahwin dengan Abang Dauslah. Abang Daus dah tua…” cakap Firdaus menggeleng-geleng. “Pipa cari boyfriend kat sekolah ya. Yang lebih kurang umur Pipa…”
“Tak naklah!” Cepat Pipa balas.
“Tanya kenapa,” gesa Nurhana dan Firdaus mengikut.
“Kenapa tak nak?”
“Hingusanlah!” jawab Pipa dengan badan gedik kiri kanan.
Firdaus tak tahan. Gelak di situ juga. Mana taknya, kalau hidung Pipa sendiri masih berhingus, dikatanya orang lain. “Abang Daus kahwin dengan Kakak Zunahlah.”
“Tak boleh!” bantah Pipa menjerit, menggamatkan kedai buku itu.
“Kenapa pulak tak? Abang Daus nak kahwin Kakak Zunah, bukan Pipa…”
“Mana boleh. Kakak Zunah kakak Abang Daus. Mana boleh adik kahwin kakak!” Menjegil mata Pipa. Tak suka, tak suka, tak suka!
“Habis, Pipa bukan adik Abang Daus ke?” Sengaja Firdaus soal begitu.
“Tak!” Menjerit sakan Pipa menafikan. Protes sangat sambil hentak-hentak kaki dan terus menjerit.
Firdaus mula gelabah. Pipa punya protes, memang dia tak pernah menang tangan. Selalunya kalau Pipa sudah begini, hanya arwah ibu yang dapat pujuk—dengan menjanjikan anak lelaki sulungnya sebagai suami Pipa dan Pipa sebagai menantu.
Dari arah bilik belakang, keluar seorang lelaki awal 40-an. Kalut-kalut dan kerisauan dia ke ruang hadapan. Mata Nurhana yang nampak, terus terarah ke lain, tarik muka apabila lelaki itu membalas pandangannya. Tak kisah langsung gusar pada raut itu mahupun keprihatinan lelaki itu. Marak hati dia lebih dia pentingkan.
“Pipa… kenapa menjerit ni?” Lelaki it uterus menghampiri.
Pipa yang masih dengan protes terus pandang lelaki itu dan berlari ke arah lelaki itu. Sempat jerit, “Pipa benci Abang Daus!” penuh dramatik sebelum memeluk pinggang lelaki yang terus mendukungnya.
Lelaki itu terus kepelikan, lihat Nurhana yang masih tak nak tengok dia, Firdaus yang sakan tengok dia dan Faryal yang duduk di kaunter dengan mata terpejam kepala bersandar pada dinding, sudah lelap. Akhirnya dia tengok Firdaus semula. “Kenapa?”
Firdaus tahu lelaki itu soal dia, tapi Firdaus terlalu hairan lihat lelaki itu untuk menjawab. Lelaki itu datang dari bilik belakang. Sedang bilik itu dikhaskan untuk keluarganya serta Kak Ana dan Pipa saja. Jadi, mengapa lelaki itu dari sana? Dan siapa pula lelaki itu? Suami Kak Anakah?
“Abang Daus tak nak kahwin Pipa, uncle…” Pipa berkata dan mula sebek muka pandang lelaki yang sedang mendukungnya.
Lelaki itu buat muka serius, angguk-angguk faham. Walaupun hendak senyum dengan cakap-cakap Pipa itu, dia tak tunjuk. Tak hendak Pipa merajuk dengannya pula. Nanti dia tak ada teman bercakap di bilik belakang itu. Walaupun Pipa yang banyak bercakap dan dia banyak mendengar. Topik utama Pipa, Abang Dausnya, yang bakal dia kahwini apabila dewasa. Topik kedua utama, mamanya yang sudah menjanda lebih lapan tahun sambil-sambil Pipa promosi mamanya itu kepada dia. Elok buat bini kata Pipa memandangkan dia pun sudah menduda.
“Tak apa. Kalau Abang Daus tak nak kahwin, dia yang rugi. Pipa cantik, Pipa comel… rugi dia. Pipa besar nanti mesti cantik macam penyanyi Nobody yang Pipa suka tu kan…” pujuknya menampar lembut belakang Pipa.
Pipa pandang lelaki yang mendukungnya itu. “Pipa memanglah nanti cantik macam penyanyi Nobody tu. Sekarang pun dah…” Kemudian dia pandang Firdaus. “Tak nak kahwin, sudah! Pipa tak suka Abang Daus lagi! Pipa tak suka!”
Lelaki itu sengih kemudian turunkan Pipa dari dukungan lalu belai rambut si kecil Pipa yang sangat manja dengannya semenjak setengah hari pertama dia berada di sini. Masuk hari ini, sudah tiga hari setengah. Pipa sangat manja tapi mamanya sangat garang. Dari hari pertama sampai ke hari ini. Sama saja. Cuma hari pertama garang dalam bersuara, hari selepas itu sampai hari ini, garang dalam tunjuk muka.
Apabila Pipa berlalu sambil sedut hingus sendiri, ke tandas, dia biarkan saja. Kemudian, dia kerling Nurhana, janda anak satu yang berusia 29 tahun itu. Masih bermuka garang kepadanya. Kemudian dia pandang pula anak muda 16 tahun bernama Muhammad Firdaus Fahimin, anak tuan punya kedai buku ini. Anak muda yang hanya 16 tahun itu tingginya sudah hampir seperti dia yang 170 sentimeter. Lampai benar. Dan waktu ini, Firdaus sedang memandangnya seperti hendak tahu sangat siapa dia. Mana tak hairan kalau dia akrab sangat dengan bakal isterinya. Hampir hendak senyum dia, namun ditahan dulu.
Akhirnya, dia hulur tangan. “Nama uncle Zamani. Uncle pengurus baru kedai buku ni…”
Firdaus sambut huluran tangan Zamani. “Pengurus baru?” Terkejut dia. “Apa semua ni, Kak Ana? Sejak bila kita mampu ada pengurus?”
Nurhana angkat kedua-dua bahu kemudian pandang Zamani dan sengaja paling muka ke arah lain. Masam kalah cuka. Protes.
Zamani senyum dengan gelagat Nurhana yang masih tak suka dia. Kemudian dia lihat kembali Firdaus yang masih menunggu penjelasan daripadanya. “Uncle daripada Setia Pertiwi.”
“Setia Pertiwi?” Dahi yang sudah berkerut, berkerut lagi. Apakah!
“Ya. Syarikat Setia Pertiwi, milik Syed Amar.”
“Syed Amar?” Berkerut lagi dan lagi dahi itu. Siapakah!
Zamani menarik nafas. Rupanya, tak adalah popular dan ternama sangat Setia Pertiwi atau Syed Amar, walaupun sesudah digabungkan bersama begitu. “Uncle ni staf di Setia Pertiwi, bawah Syed Amar, bakal abang ipar Firdaus.”
“Abang ipar?” Firdaus menganga tidak percaya. Mengapakah dan bagaimanakah!

6 cakap-cakap:

Tanpa Nama berkata...

cite ni entry dia smpi hbs ke kat blog?

Bikash Nur Idris berkata...

Tak...

::misz maney:: berkata...

kak cepat sambung..hihi..tak sabarnye..mesti firdaus ade hati dgn zunah kn..

kalau da publish buku ni kan best..tak sabar nak tunggu...

Bikash Nur Idris berkata...

Misz Maney. Alahai. Nanti akan usahakan untuk sambung yek. Publish tu memang kena sabar nunggu. Apa pun, TQ baca. Harap tak serik.

Tanpa Nama berkata...

suka2...nak lagi2..

Bikash Nur Idris berkata...

Terima kasih. Akan ada nanti, insya-Allah :)