Cuma, kenapa Zunah tak pernah tahu?
Hakikat, Amar ada anak. Kenyataan, selama ini dia tak pernah tahu!
Bagaimana itu boleh berlaku? Itulah yang buat Zunah tenung saja bagasi kosong di atas katil dengan dia duduk di atas lantai, kaki kanan dan kiri terkeluar. Sebagaimana dia selesa duduk di atas lantai selalunya. Sampaikan Firdaus selalu sakat dia duduk macam itik. Tapi… nak buat macam mana, dah memang dia selesa begitu kalau duduk di atas lantai.
Zunah memanglah hendak buat-buat lupa siapa Amar dalam hidupnya semenjak hal lepas. Kalau boleh memang nak lupa Amar. Tapi… ingatan dan memori, manalah mampu dibuang dan diagih begitu saja. Dia manusia. Kalaupun akal menidakkan fikiran daripada cuba-cuba ingat, tapi hati… ah, di situ ada kesan yang terlalu. Hati itu akan selalu mengajar minda untuk mengingat, memikir siapa Amar dalam hidupnya. Pernah dalam hidupnya.
Atas alasan hati, Zunah simpan keratan akhbar, kepingan majalah yang mempunyai kaitan dengan Amar. Tak banyak mana pun, asal dia terlihat atau terbaca, dia akan simpan. Buku latihan Sains yang awalnya nipis makin lama menebal dengan tampalan-tampalannya. Daripada sebuah buku, mula masuk kedua lalu ketiga.
Dan, pada buku latihan Sains ketiga itulah, ia terjadi. Ibu menemuinya. Ibu tak cakap apa. Hanya baca setiap buku-buku latihan Sains itu. Setiap cerita, setiap khabar. Dengan komen. Ibu pun nak cuba-cuba jadi juri. Tapi, komen ibu semuanya bagus-bagus dan baik-baik untuk telinga Zunah. Zunah saja yang cebik-cebik sakan, konon tak ikut sokong.
Ibu tak pernah tanya Zunah siapa Syed Amar itu atau apa hubungan Zunah dengan Syed Amar. Namun Zunah pasti, wanita itu tahu antara Zunah dengan Syed Amar itu ada sesuatu. Ada hubungan, ada kaitan. Kata ibu hanya satu. Kalau Zunah bersedia untuk bersuara, ibu akan dengar. Kalau Zunah terasa hendak kongsi cerita, ibu ada sedia. Sayangnya, ibu tak pernah dengar kerana ibu telah tiada. Tiba-tiba saja.
Lalu, buku latihan Sains itu hanya sampai nombor tiga. Kerana dia berhenti daripada kerja-kerjanya menyimpan kenangan. Dia berhenti daripada ambil tahu hal Syed Amar kerana ketika itu, adik-adik perlukan perhatian dia sepenuhnya. Terutama sekali si kecil Firhal. Si kecil Firhal yang baru sahaja lahir. Hilang ibu, dialah ibu kepada Firhal semenjak itu.
Mungkinkah selepas itu barulah ada kisah-kisah Syed Aminin di dalam akhbar atau majalah? Kerana itukah dia terlepas hal ini, hal bahawa adanya kewujudan Syed Aminin Syed Amar?
“Sweetheart, what are you doing?”
Terkejut Zunah dengar suara seorang lelaki, di dalam bilik tidurnya. Terjerit kecil dia sambil mengalih muka ke arah pintu bilik yang ternganga. Amar berdiri di muka pintu, bersandar santai dengan kedua-dua tangan memeluk tubuh sendiri. Amar senyum manis, mengerdip mata.
“Hai, sayang. Abang berdiri kat sini dah tiga minit. Dan, tiga minit jugak abang tengok Zunah nganga tengok bagasi kosong tu bagai nak tembus. Tapi, baju kat kiri kanan atas katil tu tak masuk-masuk dalam bagasi tu. Zunah buat apa, hah…?” Lembut saja Amar menyoal sambil senyum terus. Terus juga bersandar pada pintu.
“Dah pukul 5.00 ke?” Zunah lekas pandang jam di pergelangan tangan. “Oh…” Zunah cepat-cepat pandang Amar yang tak berganjak juga. “Sekejap. Saya dah siap kemas baju adik. Baju saya ni nak masukkan aje.”
Zunah lekas-lekas namun cermat-cermat juga masukkan pakaian-pakaiannya ke dalam bagasi yang menganga saja sejak awal tadi. Pakaian-pakaian dan bukan baju-baju yang Ashiqah selalu sediakan untuknya. Baju-baju itu dia tinggal saja dulu. Ashiqah pulang nanti dia akan bincang dengan Ashiqah. Walaupun Ashiqah memang sediakan baju-baju itu untuknya, namun Zunah rasa dia tak patut ambil begitu saja. Nantilah…
Sambil kemas pakaian, Zunah kerling Amar yang masih berdiri di muka pintu dengan gaya santai, melihat setiap pergerakan tangannya. Jadi pelik pula dia lihat Amar begitu.
“Kenapa awak tak masuk?” soal Zunah hairan. “Awak, yang selalu rempuh masuk sesuka hati, termasuk bilik tukar baju kat Ashiq’s tu, diam berdiri macam tu? Unbelievable…”
Amar ketawa singkat. “Abang tak pernah bilik tidur perempuan, selain yang ada hubungan halal dengan abang. Abang akan masuk bilik tidur kita nanti… Dan masa tu, abang takkan berdiri macam ni aje…” Kerdip mata dia apabila muka Zunah memerah macam boleh tangkap makna makan dalam dia.
Amar tengok saja Zunah alih muka lalu memberi tumpuan pada pakaian-pakaiannya. Dan peluang itu Amar guna untuk lihat apa dia nak lihat dan suka nak lihat terus. Zunah Alisia. Zunah Alisia yang bukan lagi lapan tahun. Zunah Alisia yang sudah pun lebih 20 tahun. Tapi tak nampak macam itu pun. Zunah nampak macam budak lepasan SPM. Yang tengah tunggu keputusan SPMnya.
Semuanya sebab tubuh Zunah yang terlalu genit. Sebagaimana Zunah lapan tahun dahulu. Kalau beratur tempatnya di barisan kedua di hadapan. Agaknya kalau umur 17 tahun dan dalam tingkatan lima, di situ jugalah Zunah. Di barisan depan. Tapi, beratur lagi ke budak-budak tingkatan lima hendak masuk ke kelas?
Amar tengok lagi Zunah. Zunah yang bertubuh kecil dan kurus lagi rendah. Ketinggian yang mungkin saja paras dadanya. Zunah berbeza daripada perempuan-perempuan dia pernah kenal. Perempuan yang dia kenal rapat, Widelia, orangnya sangat lampai. Perempuan yang dia kenal baik, arwah Maiya, orangnya juga lampai. Malahan satu-satunya wanita paling dia hormat adalah wanita yang juga tinggi lampai. Sesudah mereka ini, wanita-wanita yang cuba mendekatinya dengan godaan dan bahasa tubuh menggiurkan, sebagaimana tubuh mereka, adalah wanita-wanita yang tingginya lebih 160 sentimeter.
Cuma yang ini… yang bakal menjadi isterinya ini, orangnya sangat genit dengan ketinggian tak lebih 160 sentimeter. Ngam-ngam untuk dia peluk dan kelek. Sukanya dia. Hehehe.
Amar senyum, terus pandang Zunah yang sudah tutup bagasi dan turunkan ke lantai lalu menarik roda bagasi itu, terus bergerak ke arah dia. Bukan Zunah nak sangat dekat dengan dia pun. Tapi, kalau hendak keluar dari bilik itu, memanglah Zunah perlu menghampiri dia. Amar tak bergerak langsung. Dia berdiri saja di tempatnya, berpeluk tubuh, menunduk muka, senyum.
“Tepilah. Kata nak cepatlah, apalah. Kan awak kena out-station? Nanti terlepas pulak flight awak.”
“Abang ada penerbangan sendiri. Abang boleh mintak Hadi atur jadual abang. Tak ada masalah.” Amar bersandar saja pada palang pintu, menyengetkan sedikit tubuh. Membuatkan dia lebih rendah daripada ketinggian asal, lalu lebih mudah nak tenung-tenung bakal isterinya yang sudah cemberut muka.
“Tepilah, awak… Firhal cari saya nanti, susah mama awak tau. Adik kalau mula menangis…” Zunah besarkan mata. Gaya tak tak tahanlah mama awak tu nanti.
“Adik tak akan nangis. Ada banyak mainan untuk teman dia. Adik pun dah dapat abang kan. Aminin kan ada…” Gatal-gatal nak menyentuh, Amar panjangkan tangan lalu sentuh rambut lurus Zunah dan dikepil ke belakang telinga. Bukannya ia ganggu pandangan Amar atau Zunah pun, tapi dia saja-saja nak buat begitu.
Zunah terkejut dengan aksi panjang tangan tiba-tiba itu. Tapi, tak sempat dia nak komen atau tegur, Amar peluk tubuh sendiri semula. Menyilang tangan dengan badan menyenget, haling dia daripada hendak keluar. Namun, nama Aminin yang meniti bibir Amar buat dia rasa tak perlu lanjutkan hal panjang tangan itu. Dia mahu tahu pasal Aminin dengan lebih-lebih lagi.
“Kenapa saya tak tau apa-apa pasal Aminin? Awak tak cakap langsung kat saya yang saya bakal dapat anak tiri sekali gus bila kita kahwin. Kenapa?”
“Sebab abang ingat Zunah tau… Abang duda anak satu. Rasanya, semua perempuan yang cuba-cuba nak kahwin dengan abang tau…” Amar tenang saja.
Walaupun sebetulnya tak semua tahu. Malah, ramai yang tahu pun tak menyangka dia ada seorang anak lelaki. Kerana dia tak pernah perkenal Aminin pada dunia luar. Seboleh mungkin Aminin disembunyikan dari dunia itu. Dunia yang dia tak suka hendak duduk itu namun perlu juga demi keperluan sendiri, keluarga dan merek-mereka yang bergantung rezeki dengannya. Namun, sebaik mungkin dia tak benarkan Aminin dalam dunia itu lagi. Aminin masih terlalu kecil untuk dunia itu. Jadi, memanglah tak ramai yang tak rapat dengannya tak tahu.
Zunah tak tahu pun sebab itu. Tak rapat. Dah rapat ni… kenalah tahu kan…
“Saya tak tau. Dan, sepatutnya awak kena kahwin dengan perempuan yang cuba-cuba nak kahwin dengan awak tu.” Zunah ketatkan muka. Selamba dia tolak Amar sampaikan kepala Amar hampir hentak palang pintu. Penuh keganasan dia hendak keluar dari bilik itu.
Hangat hati betullah! Orang cakap pasal Aminin, dia nak cakap pasal perempuan yang cuba-cuba nak kahwin dengan dia pulak. Ada aku kisah! Ada aku tanya! Hentak-hentak kaki Zunah melangkah ke ruang tamu sambil tarik bagasi yang disengetkan. Tapi, tiba saja ke ruang tamu, kaki Zunah mati terus. Nganga sekejap dia lihat perempuan yang duduk di sofa di ruang tamu itu.
Zunah pandang terus perempuan yang sarat mengandung itu. Perempuan itu bersandar pada sofa dan duduk seselesa yang boleh. Dengan perut sebesar itu, memanglah berkali-kali dia perlu membetulkan kedudukan demi mendapatkan keselesaan yang dikehendaki. Dan, ketika cuba-cuba hendak selesa itulah bakal ibu itu ternampak Zunah yang terkebil-kebil memandang.
“Ah… Zunah…”
Zunah berkerut dahi, pandang wanita yang cuba hendak bangun itu. Namun melihat payahnya wanita itu, terus Zunah tinggal bagasi dan menghampiri.
“Hah, bagus Zunah datang sini. Tak payahlah akak bangun. Dah duduk ni… rasa malas pulak nak bangun…” Mesra dia senyum kepada Zunah yang sudah berdiri dekat dengannya, masih terkebil-kebil.
“Akak ni siapa?” Zunah masih kerut dahi. Dia rasa dia tahu. Rasa juga nama dia mula huruf W. Tapi… Mengetap bibir, Zunah lihat perut jauh ke depan itu. Zunah kemam-kemam bibir.
“Tak ingat ke?” Masih senyum ceria.
“Kak Widelia?”
Widelia sengih lebar lagi. “Ya. Lama kita tak jumpa, kan?” Widelia pandang ke arah Amar baru menghampiri ruang itu. Widelia senyum manis, manja.
Amar balas senyum Widelia. Sama manis, sama manja.
Zunah lihat. Tengok Amar. Pandang Widelia. Kening Zunah hampir bercantum dalam hendak mencerna. Akhirnya, Zunah menganga tak percaya dan mula ketap bibir tahan geram. “Jangan cakap kat saya ni satu lagi benda yang perempuan yang cuba-cuba nak kahwin dengan awak tau!”
Amar dan Widelia saling berpandangan sekejap kemudian sama-sama pandang Zunah yang sudah merah muka dengan nafas turun naik. Tiba-tiba, mata yang nampaknya merah macam tengah radang berkelip lalu jatuh air jernih ke pipi. Tapi Zunah cepat-cepat lap.
Amar sentak. Apa dah jadi? Apa yang baru berlaku? Cepat-cepat Amar hendak hampiri Zunah, tapi tak perlu pun. Zunah bergerak ke arahnya. Bukan hendak cakap atau kata apa kepadanya, sebaliknya sebab hendak capai bagasinya yang tak jauh daripada Amar. Zunah capai bagasi, hendak berlalu. Namun Amar yang lebih panjang langkah cepat saja berdiri di depan Zunah. Zunah pandang Amar macam nak telan, dengan mata merah saga.
“Kenapa ni, hmm…?” tanya Amar lembut, cuba hendak paut bahu Zunah.
Zunah lekas-lekas ke belakang, hendak jauhkan diri daripada Amar cepat-cepat. Sampaikan langsung tak sedar akan bagasi yang dia seret ada di belakangnya. Hampir saja Zunah terkebelakang. Kalau tak kerana kedua-dua tangan Amar cepat-cepat tangkap kiri dan kanan lengan Zunah, memang sembah kepala ke lantailah Zunah.
“Zunah, apa yang jadi? Cakap kat abang, Zunah.” Amar cuba bertegas, tak lepas lengan Zunah walaupun gadis genit itu meronta hendak lepaskan diri.
“Saya tak nak kahwin dengan awak!” jerit Zunah geram. Kemudia cuba tolak-tolak dada Amar supaya dia dilepaskan. “Saya tak nak! Saya sanggup kahwin dengan pak cik tua Datuk-Datuk tu daripada awak. Tak nak!”
“No!” bentak Amar mula hilang sabar dengar ayat Zunah. Hilang sabar itu juga buat Amar menggoncang tubuh Zunah di luar kawal. Sakit hati sangat.
“You are mine! Faham?” tekan Amar sambil tunduk muka, tajam pandang Zunah. Yang tentunya ikut tajam pandang dia.
“Awak dah ada dia, buat apa nak saya pulak!” terjah Zunah masih tolak-tolak badan Amar yang tak hendak lepas dia malah pandai-pandai dengan senang hati tarik dia rapat ke tubuh lampai itu.
“What?” Amar pelik. Kemudian dia pandang Widelia, yang sudah dapat kedudukan selesa di sofa, melambai nakal kepadanya. Akhirnya, Amar dapat. Faham makna yang Zunah hendak sampai. Salah faham yang Zunah rasa. Ting-tong betullah bakal isterinya ini. Ada ke pulak dia dengan Wid…
Amar pindahkan tangan kanan ke pinggang kecil Zunah, menarik Zunah dekat padanya. Walaupun Zunah cuba meronta, hendak lari ke arah bertentangan, tak adanya dia bagi peluang. Harap maaf, permintaan anda tidak dapat kami tunaikan!
Sebaik rapat padanya, tangan kiri Amar ikut pindah ke pinggang Zunah. Dia kunci pinggang Zunah begitu, tak beri ruang Zunah cuba-cuba hendak lari. Amar tunduk ke telinga Zunah, yang sengaja menunduk muka. Masih geram dan marah kepadanya. “Widelia bukan isteri abang…”
Zunah angkat muka, terkejut banyak. Terkelip-kelip mata merahnya pandang Amar.
“Widelia isteri Hadi. Bukan abanglah!” tekan Amar cuit hujung hidung Zunah yang sudah nampak memerah.
“Oh, saya ingat…” Zunah kemam bibir. “Sebab dulu awak dengan dia… Dulu kan…” Dia pandang Amar. “Rapat, baik, tak pernah jauh…” Bibirnya terjebik-jebik dan air mata mula mengerumuni sepasang mata. Terus telapak tangannya, kiri kanan, sapu mata kiri kanan.
Amar pandang lama gelagat Zunah itu. Gelagat yang mengingatkan dia kepada Zunah lapan tahun. Zunah lapan tahun yang buat-buat tertumpahkan sup panas ke atasnya. Kemudian, pernah pula kunci dia di dalam bilik semata-mata tak hendak dia balik ke U bersama Widelia yang datang menjemput di rumah mak su. Akhirnya, Amar senyum.
“Zunah dengan Zunah punya salah faham. Dulu, sampai hari ni. Abang tak pernah ada apa-apalah dengan dia. Kawan baik aje. Dulu, sampai hari ni. Okey?” Amar belai-belai ubun kepala Zunah yang mendongak melihatnya. Kemudian rambut depan Zunah diselak dan spontan dia kucup dahi Zunah. Sebagaimana Zunah kecil-kecil dulu.
Dan, sebagaimana Zunah kecil-kecil dulu, terus Zunah peluk Amar dan mula menangis. Amar kembali memeluk, seperti tak sanggup lepas Zunah untuk kedua kali lagi.
“Zunah!”
Pekikan itu buat Zunah dan Amar sama-sama terkejut. Spontan sama-sama terloncat ke arah bertentangan. Macamnya baru buat salah dan takut kena tangkap. Kemudian terus Amar dan Zunah pandang ke pintu utama yang sudah menganga, berdiri tubuh Ashiqah di situ.
Amar terkejut melihat. Tak menyangka Ashiqah akan ada di sini. Larikan dirikah isteri Xavier ini? Jawapannya dia dapat apabila nampak Xavier berdiri di belakang Ashiqah. Tak. Ashiqah dan Xavier sama-sama larikan diri. Amar jongket sebelah kening kepada Xavier yang menyerbu pandangan terus kepadanya. Xavier angkat kedua-dua bahu. Kemudian mereka sama-sama pandang Zunah yang berlari ke arah Ashiqah.
Zunah berdiri di depan Ashiqah. Tak ada banyak perubahan. Kecuali sepasang mata Ashiqah sembap. Nampaknya macam banyak menangis. Kemudian Zunah tilik atas bawah tubuh lampai Ashiqah, lalu berhenti pada perut Ashiqah. Senget-senget kepala dia ‘bedah siasat’.
“Chika, you’re pregnant already?” jerit Zunah tak percaya. Tapi sekejap saja dia boleh tayang muka begitu. Seterusnya muka kerut sakit sebab Ashiqah baru selamba saja jentik dahinya.
“Kepala otak! Kau ingat aku keturunan Species ke!” marah Ashiqah geram dengan bengap naif teman baiknya itu.
Sekejap saja Ashiqah boleh begitu. Kemudiannya, hilang cair marah geram Ashiqah itu. Terus dia peluk erat Zunah yang masih pegang dahi, gosok-gosok sambil tahan sakit. “Aku rindu kau, Zunah…”
Amar sekali lagi pandang Xavier. Sekali lagi juga Xavier jongket bahu. Lalu, mereka berdua terus pandang adegan syahdu-syahdan dua teman baik yang baru tak sampai satu minggu tak jumpa. Tapi gayanya, macam bertahun lebih. Dramatik sungguhlah gadis berdua ini.
Tapi, adegan drama queen satu isteri orang dan satu bakal isteri orang itu tidak lama apabila adegan keruh-keruh satu bakal ibu memecahkan suasana. Hilang terus adegan sarat feeling Zunah dan Ashiqah yang masih berpelukan. Mereka saling berpandangan sekejap, kemudian ketawa perlahan melihat Widelia yang selesa tidur berdengkur di atas sofa. Amar dan Xavier tumpang sama. Cuma bukan suami satu bakal ibu itu.
“Ya Allah, Amar, kau biar bini aku tidur kat sini…” Hadi yang baru masuk ke ruang apartmen itu terjerit perlahan.
Ketawa-ketawa mula kedengaran. Hadi yang mulanya hendak serius, ikut ketawa. Hadi menghampiri sofa, duduk dekat dengan Widelia lalu kucup lembut pipi Widelia yang terus berdengkur.
Amar pandang Zunah ketika itu juga. Begitu juga Zunah. Amar jongket kening, arahkan muka kepada Hadi dan Widelia. Kan dah cakap, bukan isteri dia. Zunah jelir lidah, manja. Ya, dah faham. Lalu, mereka saling berbalas senyum. Buat pertama kalinya, senyum ikhlas berbalas senyum ikhlas.




8 cakap-cakap:
bestnye kak bikash.. smbung2.. x sbr betul! bila la dorang ni nk kawen??? o.0
apa jadi dengan ashiqah? saya suka cerita dia dgn xavier.. please.. cepat post entry secukup rasa 20 ye.. please..
benci-benci sebencinya... tak suka amar!!! benci amar!!! lepas laku lelaki macam tu!!! cinta tak menghalalkan cara okay!!! benci dengan novel begini!!! dua-dua gatal!!!! gatal!!!! sob..sob..sob... tak suka hero dah ada anak!! tak suka!!!!
buat Tanpa Nama...
klu tak suka, takpe, tak perlu baca...tiada siapa yg paksa anda utk membacanya...ada cara yg lebih baik dan sopan jika anda ingin menegur ape yg salah k, tak perlu menjerit2 sambil tanda seru banyak2..jadilah da'ie yg berhemah =)
Qalisya. TQ. Insya-Allah, akan sambung :)
Tunggu yek...
Tanpa Nama. Cerita Xavier dengan Ashiqah yek? Nanti akan ada entri dia orang, insya-Allah.
Tanpa Nama II. Tak apalah tak suka. Jangan teruskan baca ya. Apa pun, TQ yek.
Aisyah. TQ yek. Tak apalah dia tak suka. Terpulang pada dialah...
Suka baca, tak suka tak perlu. Tak ada paksaan :)
Catat Ulasan