Apa ingat dia makan saman ke? Dia makan nasilah. Sikit pun tak gerun! Ketawa sakan lagi Ashiqah, selamba letak separuh tubuh ke atas meja kaca di dalam bilik pejabatnya. Sebab tahu meja kaca itu bersih daripada habuk dan macam-macam hamalah dia berani letak muka sekali gus, bertongkat sebelah pipi supaya senang hendak dia tengok reaksi kawan baiknya itu. Yang waktu ini sedang duduk di sebelahnya selepas Zunah tarik salah sebuah daripada dua kerusi bertentangannya supaya mereka boleh berkisah bagai dengan mudah. Niat Zunah nak kongsi perasaan supaya Ashiqah faham hanyalah satu kehampehan!
“Chika!” marah Zunah pakai suara pula. Tapi bahasa tubuh tak relaks pula. Masih tegang dengan kedua-dua tangan saling bersilang peluk tubuh sendiri. Sebab, kalau dia tak buat begitu, hendaknya kedua-dua tangan saling bersilang ke tubuh Ashiqah. Hentak punya hentak.
Ashiqah ketawa puas-puas dulu. Kemudian dia tarik nafas satu kali dan atur nafas sendiri. Bagi maintain supaya dia nampak serius dalam membincangkan hal Zunah ini. Sebab dia tahu itu yang Zunah hendak daripada dia. Zunah memang sahlah dah tak boleh fikir guna akal waktu ini. Malah sejak diajak buat urus niaga oleh Amar waktu itu lagi. Zunah sudah fikir, fikir dan fikir—semuanya guna hati dan perasaan yang tertekan dan kemarahan. Sebab itulah Zunah hendak pandangan Ashiqah. Ashiqah tak terlibat dari segi perasaan. Makanya, Ashiqah pastilah boleh berfikir guna akal yang waras. Tapi masalahnya, akal waras Ashiqah ajak dia gelak dulu. Sebab dia rasakan ia cukup kelakar. Sangat kelakar.
Nasiblah Zunah dapat kawan bengong macam dia. Bengongnya yang jadi bertambah-tambah semenjak gangguan yang bermula dengan huruf X hilang seketika daripada hidupnya. Kalau tidak… A sampai W serta Y dan Z, tak pernah dia hendak ingat. Asyik X memanjang! Sekarang, dah jadi macam soalan Matematik X di mana pula!
“Okay, fine…” cakap Ashiqah lepas pernafasannya sempurna lagak orang dan bukan orang-orang. “Apa masalahnya? Kau tak nak kahwin dengan dia?”
Beria sakan Zunah mengangguk.
“Okey, sejak kau kat sini… berapa orang dah ajak kau kahwin?” Ashiqah sedang cuba buat kajian dengan cara paling rasional. Kan Zunah nak akal waras dia, bukan otak gila-gila dia yang gembira sangat sebab X sudah pergi jauh. Tapi kan… kenapa yek dia tetap ingat X walaupun X sudah jadi soalan Matematik X di mana!
Ashiqah paksa hati tak ingat Matematik X di mana. Chika, tumpu kat Zunah. She needs you right now, very much! Jadi, Ashiqah tenung Zunah yang berkerut muka macam hendak fikir, apa jawapannya. Tahu sangat sebab apa sakan Zunah paksa otak berfungsi. Sebab…
“Biar aku tolong kau eh, ingatkan.” Ashiqah angkat jari telunjuk tangan kiri. “Satu, datuk empat cucu. Bukan Datuk berpangkat, tapi datuk bercucu. Datuk yang dah kematian dua isteri. Dalam keadaan yang dicurigai. Satu tu aje!” tekan Ashiqah buat muka.
“Hei, kau cakap macam aku ni tak laku aje!” Sengit Zunah balas. Sebab dia memang laku. Boleh kata hangat dalam pasaran jugalah. Cuma bukan pasaran dia hendak. Pasaran gelap banyaklah!
“Kau laku sangat! Tapi sebagai apa… Kau nak aku sebut!” Menjegil mata Ashiqah.
Zunah cebik bibir bawah sambil menggeleng kecil. “Mana aku tau benda gitu biasa dalam kalangan orang-orang yang somebody tu…”
“Dah tahu kan sekarang… Jadi, apa hal pulak hangin macam nak terbalik semua? Orang tu ajak kau kahwin. Bukan macam manusia somebody tu yang nak jadikan kau perempuan simpanan, mistress. Kau patut syukur tau. Syed Amar, CEO Setia Pertiwi is a well known somebody. An eligible bachelor. Harta, taktha ada. Wanita… hah, kau! Bujang, tampan. Kau nak buat tidur pun ada selera tau!” Serius Ashiqah bagi nasihat tulus ikhlas.
Apabila lihat mata Zunah bulat sakan dengar ayat akhirnya, Ashiqah gelak suka lagi. Tambah apabila perasan Zunah menjerit kecil dengan muka mula memerah.
“Eii… tak malulah Chika ni! Eii…” Zunah menjerit-jerit kecil, mula bangun sambil buat pusingan kecil sekitar situ, menepuk-nepuk pipi sendiri. Macamlah perasaan malunya boleh hilang dengan begitu.
Ashiqah gelak lagi. Hisy, sukalah bila dapat gelakkan Zunah tanpa perlu nak fikir pasal X. Alamak! Huruf itu juga! Spontan Ashiqah terdiam. Dah tak lalu hendak ketawa. Ashiqah sudahnya bangun, berdiri di depan Zunah supaya bulatan kecil Zunah itu tidak jadi lebih besar.
Apabila Zunah berhenti dengan kedua-dua tangan pada kedua-dua pipi, sama terhenti seperti kakinya, Ashiqah sentuh bahu temannya. Kiri kanan sekali gus. “Listen. He’s the best candidate so far. And he’s quite right.”
Zunah angkat kepala, tunak pandang Ashiqah. Hendak lebih difahamkan makna yang akhir itu. Bahagian best candidate, apabila difikir-fikir dan apabila Zunah lihat semula kertas putih yang sudah sakan Zunah conteng baik dan buruk jadi isteri lelaki itu, memanglah jelas sangat betulnya cakap Ashiqah. Walaupun ruang baik lebih kurang banding ruang buruk.
Ruang baik semuanya berkaitan dengan keuntungan urus niaga yang bakal dia terima. Tak banyak, betul. Tapi… menguntungkan. Bukan sahaja kedai buku itu dia boleh selamatkan, malahan adik-adiknya juga. Adik-adiknya tak akan perlu susah lagi. Adik-adiknya akan senang tanpa perlu fikir hal yuran sekolah, yuran asrama atau kos itu ini. Sebenarnya tak ada pun dia minta Firdaus dan Faryal fikir itu semua. Namun adik-adiknya itu lakukan ia juga, kerana mengharapkan kalau-kalau susah yang dia rasa akan sedikit kurang begitu. Sedang dia tak rasa begitu. Hatinya jadi lebih susah dan terhimpit apabila memikir adik-adik sekecil itu, yang sepatutnya menikmati usia muda mereka perlu memikirkan hal sebesar itu. Dan hal sebegitu buat dia rasa lebih terbeban. Sepertinya dia tidak layak menjadi seorang kakak. Seolah-olahnya dia kakak yang gagal!
Lalu dia tilik ruang buruk pula. Ruang buruk yang sangat banyak senarainya. Ruang buruk yang hampir penuh dia tulis itu ini. Tapi, satu saja kesimpulan yang boleh dia buat. Semua yang dia tulis pada ruang buruk itu adalah apa yang dia rasa. Apa yang Zunah Alisia rasa! Bukan apa yang Zunah Alisia, kakak kepada Firdaus, Faryal dan Firhal perlu rasa!
Perlukah dia menangkan perasaannya, sakit hati dan jiwanya, lebih daripada perasaan adik-adik, hati adik-adik? Perasaan songsangnya itu hanya merugikan adik-adiknya, tidak memberi untung!
Zunah rasa hendak ketawa. Kalau boleh hendak gelak lebih gah banding gelak nakal lagi jahat Ashiqah tadi. Sebab Zunah tahu, sebab Zunah reti. Zunah tahu dan reti hendak putuskan yang bagaimana! Sebab marak hati sekalipun, sakit jiwa sekalipun dengan urus niaga yang Amar panjangkan… di situ banyak untung untuk dia dan adik-adik. Banyak…”
Ashiqah senyum lembut lihat perubahan roman Zunah. Daripada wajah yang mengharap pemahaman, ia jadi paras tahu hendak faham. Zunah faham sudah apa yang dia maksudkan.
“Kau dah faham, kan? Kau dah tau, kan?” tanya Ashiqah lembut.
Zunah mengangguk. Sudah terlalu degil dalam menidakkan, tapi yang kali ini dia tidak boleh sebegitu lagi. Kerana mata yang sengaja dia hendak cuba tutup daripada melihat kebenaran, sudah Ashiqah bukakan. Ashiqah siap pasung mancis antara kelopak supaya tak tertutup lagi!
“Jadi, Zunah… apa masalah kau dengan Amar? Apa sejarah kau dengan Amar? Lebih tepat, siapa Amar untuk kau?” soal Ashiqah terus terang sudahnya, menjauhkan tangan dari bahu kiri kanan Zunah. Berpeluk tubuh dia rendahkan wajah pandang Zunah.
Wajah Zunah berubah. Sangat-sangat.
Ashiqah diam saja. Ashiqah tengok saja. Akhirnya Ashiqah tarik nafas dan lepas. “I won’t insist.”
Ashiqah kembali ke kerusinya semula, letak punggung di situ.
Zunah jadi tidak senang pula lihat Ashiqah yang begitu. Zunah seperti diserang rasa berdosa yang sangat pula tengok Ashiqah yang begitu.
“Chika…” ujar Zunah lembut. Dia hantar seluruh rasa pada ayat yang satu itu. Hendak difahami, jangan tanya lagi, sayang Ashiqah lagi-lagi.
Bukan Zunah tak hendak cerita. Bukan Zunah tak hendak cakap. Tapi bagaimana hendak dia kongsi cerita lama yang terlalu memberi kesan, yang menjadikan dia Zunah yang hari ini? Satu-satunya orang yang tahu adalah arwah ibu. Arwah ibu yang mendengar setiap patah ayat, yang menyapu air matanya, memujuk dia agar jangan bersedih lagi dan wanita itulah yang menjadikan dia Zunah yang hari ini.
Cumanya… wanita itu tidak pernah mengajar dia mendendami, membenci. Itu Zunah lalu yang masih ada dalam paksi Zunah hari ini. Zunah lalu yang masih simpan sakit hati dan luka diri.
Ashiqah pandang sebek muka Zunah. Muka budak hendak menangis macam Farhal pula dia tengok. Lalu dia senyum tipis, memanjangkan tangan, menyua jemari tangan. Kepada Zunah.
Dan apabila Zunah mencapai jari-jari runcingnya yang lebih panjang, digenggam jari runcing itu yang comel sahaja, Ashiqah berkata lembut, “Chika akan sayang Zunah walau apa pun, siapa pun Zunah. Sebab Zunah Alisia adalah anak arwah ibu… kakak kepada Firdaus, Faryal dan Firhal…”
Zunah bawa sebelah lagi tangan menutup bibir yang mula bergetar. Kemudian dia mengangguk-angguk.
“Apa yang Amar cakap tu kau kena timbangkan. Pasal adik-adik. Jangan sampai adik-adik kau hilang sebabkan hal perasaan. Sejak awal kau cadang rancangan ni lagi kau dah tau, perasaan tak boleh dicampur aduk. Ini urus niaga. Dan, daripada berurus niaga dengan pak cik-pak cik tak sedar diri yang lain tu atau datuk-datuk berderet cucu tu, baik ambik hot bachelor ni. Boleh buat tidur!” sakat Ashiqah tayang gigi sambil cuit hujung hidung Zunah.
“Aaa…! Chika tak malu!” jerit Zunah geram dibaur segan lalu mula mengejar Ashiqah yang ketawa senang dan mula berlari anak hendak mendapatkan pintu bilik itu.
Namun, belum sempat Ashiqah pegang tombol pintu bilik sendiri, ada pula orang tolong pegang, pulas dan bukakan pintu dari luar sana. Sakan Ashiqah brek kecemasan. Tapi, disebabkan hal itu terlalu mengejutkan, brek Ashiqah jadi tak makan pula. Kacak saja Ashiqah terdorong ke hadapan sampai terhantuk hidung ke dagu makhluk yang tolong pegang, pulas tombol dan bukakan pintu itu. Spontan, untuk imbangkan diri, Ashiqah sentuh dada itu dan sebelah tangan makhluk itu paut pinggang Ashiqah.
Ashiqah dongak sikit, tengok siapa, kemudian spontan Ashiqah guna gear R. Reverse! Sakan Ashiqah terlompat-lompat kecil ke belakang dengan kedua-dua tangan dilurukan di depannya. Takut sangat kena peluk dan kena kutil pinggang lagi.
Zunah yang sempat brek kecemasan tepat pada waktu, berdiri saja beberapa langkah di belakang, lihat aksi spontan kalah badut oleh Ashiqah itu. Terletus gelak kecil dari bunga bibir apabila melihat Ashiqah yang begitu. Kawannya itu memang lawa dan lawak, tapi selalunya bahagian lawak itu dia saja boleh tengok. Orang lain nampak lawa saja. Tapi dengan Xavier, makhluk yang jadi mangsa langgar lari Ashiqah, Ashiqah tak segan-segan tunjuk bahagian lawak sama. Tapi mungkin juga tanpa sengaja. Sebabnya Xavier memang selalu berjaya sentuh suis Ashiqah banding suis Ashiq.
Zunah pandang pula Xavier yang sudah melepasi muka pintu bilik itu, membawa tubuh lebih hampir dengan Ashiqah dan Ashiqah terus lompat-lompat kecil guna gear R. Xavier ketawa suka saja tengok gelagat Ashiqah yang begitu. Zunah gelak sentut-sentut lagi lihat raut Xavier itu. Sampailah Zunah nampak satu lagi tubuh masuk ke dalam bilik itu. Gelak jadi mati, senyum tiada lagi. Zunah mengeras tengok…
Syed Amar Syed Afkhar, CEO Setia Pertiwi!




12 cakap-cakap:
haha..best la part ni...
hehehe like this part... ade pertembungan antara zunah-amar and chika - mr X after this?? i cant wait 2 read that part :)
Nas. TQ. Harap enjoy ( ^^)
Suba. Thanks for liking it ;)
Pertembungan seterusnya...? Hurm...? :D
hohoho..what else i can say? bersimpul urat esofagus gelak bab ni..alahai kak bikash, sape nk betulkan balik urat esofagus saye ni???
p/s- lambat respond sbb baru jengah blog ni, da seminggu demam x elok2, huhu..demam windu kat amar, hahaha ;p
BNI plzz cpt sambung..hikhik..^.^
Aisyah. Hohoho. Macam nak Krismas pulak dia. Hehehe. Janganlah simpula terus. Akan ok tu nanti pas baca entri along yang baru. Hahaha! BTW, dah sihat?
Ntahsapeni. Insya-Allah. Bubar sekejap :P
alaaa...2minggu tu..hukhuk..:(
Ntahsapeni. Pejam celik aje... Kunun... :)
tak sabar nak baca kisah seterusnya... bestttt sgt..
Insya-Allah, akan disambung. TQ :)
Catat Ulasan