Rabu, Oktober 26, 2011

Bukan Pilihan Hati | Bab 2

Berbaju serba putih (baju kebaya pula tu!), dengan tudung serta net yang merimaskan, Raniaa merangkak ke arah pintu. Perlahan-lahan daun pintu dibuka dan dia menjenguk. Hidung saja yang terjulur keluar, lain masih tersembunyi.
Mujur juga biliknya sedikit ke belakang dan agak tersorok dari ruang tamu. Tapi tidaklah sampai dia tak boleh hendak lihat apa yang jadi di luar sana. Dia boleh lihat batang tubuh-tubuh yang mengisi ruang tamu rumah itu.
Berapa lori punya geng yang turun? Macam penuh aje! bisik hati Raniaa.
Tapi dia peduli apa! Dia sudah pun berfikir panjang semalaman, sampaikan tak tidur. Sebab itulah sepanjang disolekkan oleh kakak dan Aha tadi dia hanya mendiamkan diri. Pasrah terima nasib. Malah, sewaktu kakak dan Aha membantu dia memakai baju kebaya ini pun dia hanya merelakan. Reda terima takdir.
Lakonannya itu lebih berjaya sebab dia betul mengantuk dan letih. Lagipun dia malas mahu berbalah sebab nak kumpul tenaga. Daripada buang sisa yang ada, baik dia himpun. Upgrade!
Apabila yakin tiada pihak ruang tamu yang perasan akan hidung mancungnya yang tersua, dia keluarkan kepala. Batang leher dialih ke bahagian dapur pula. Telinga dipaksa mendengar. Tiada sebarang bunyi mahupun pergerakan malah tiada juga sesiapa boleh dipandang mata di situ.
Dia rasa mahu buat tarian lega. Namun dia paksa diri, tahan perasaan itu. Dia tak akan boleh melepas lega atau lakukan tarian lega selagi dia belum berjaya keluar dari rumah ini.
Pintu ditolak perlahan-lahan dan dia sama bangun. Berhati-hati, dia menginjak kaki pada rumah papan itu. Tidak mahu ada bunyi terhantar kepada pihak ruang tamu yang masih seronok berbicara dan gamat ketawa. Macam ada pelawak tengah buat aksi sarkas pula.
Lantaklah! Dia hanya mahu larikan diri. Dan, bila tiba di bahagian dapur, sebaik keluar dari pintu belakang, menyarung selipar baba yang besar, dia mula lari. Mendesup ke bahagian belakang rumah. Ke arah dusun buah mereka di mana dia tahu ada satu tempat persembunyian yang baik punya.
Tempat Raahah selalu berehat-rehat kini jadi tempat dia selamatkan diri.
Kain baju kebaya yang menghadang langkah diangkat tinggi dengan tangan kanan manakala tangan kiri pada kepala, menghalang net serta tiara kecil di situ daripada tersungkur. Dia tidak boleh tinggalkan sebarang kesan atau jejak.
Namun dia lupa pada saksi!
Lelaki itu melihatnya, bersama tawa besar—dan dia sedikit pun tidak sedar!
* * *
Sekali lagi lengannya ditampar.
“Huh! Nyamuk pun tahu bezakan aku dengan Aha. Kalau ada Aha, tak pulak dia nak kacau. Bila aku tumpang menyorok kat sini, buat parti pulak!” Raniaa mengeluh dan sesekali merengus. Tangan masih buat tari tampar lengan.
“Sebab nyamuk tu tahu darah Aha tak semanis darah awak, bakal pengantin.”
Suara itu mengejutkan Raniaa. Spontan dia membawa kepala, ke setiap arah, mencari empunya suara. “Siapa tu?!”
“Bakal suami awak, Nia.”
Dengar sahaja ayat itu, Raniaa tak tunggu lama. Bingkas dia bangun dan cuba memanjat sebuah pokok tua besar yang menjadi tempat dia bersandar semenjak tadi. Kalau Raahah boleh memanjat dan berehat di atasnya, takkanlah dia tak boleh mencari perlindungan di situ?
Mencampak kasut besar baba dari kaki, dia mencari tapak untuk membawa tubuhnya lebih atas—sama dengan lebih jauh daripada lelaki yang mengaku bakal suaminya.
“Kalau awak panjat, saya akan nampak semuanya dari bawah. Nak macam tu?”
Belakang tubuh Raniaa hangat. Desis nafas serta desah kata itu menampar telinganya. Sekalipun sudah tersembunyi melalui tudung serta net pada kepala. Dia juga perasan pada dua lengan kekar di kiri dan kanan tubuhnya, melekap kemas pada batang pokok yang lebih besar daripada pemeluk.
Raniaa cuba mencari ruang untuk melepaskan diri daripada tahanan lelaki di belakangnya, yang terlalu hampir pada tubuhnya. Namun, bergerak ke kanan, akan kena tangan kanan itu. Ke kiri, tangan kiri itu menanti. Ke belakang…
Muka Raniaa panas.
Pilihannya hanya ke hadapan. Namun di hadapannya adalah sebatang pokok, bukan ruang kosong. Kalau ke atas, memang boleh. Walaupun berkebaya bagai, dia tetap yakin dia boleh memanjat naik. Raahah dah cukup turunkan ilmu untuk itu. Cumanya… bagai dikata, lelaki itu akan boleh lihat semuanya dari bawah.
Hilang akal nak bagi tayangan percuma macam tu?!
Tapi, apa lagi yang aku boleh buat…? Raniaa menggigit bibir. Hmm, larikan diri tak berjaya. Apa kata kalau aku serah diri, kemudian cari ruang untuk larikan diri?
“Saya tahu awak tak mahu bertunang dengan saya. Tak cakap pun saya dah boleh agak bila tengok bakal isteri saya, berlari macam pelari pecut negara, dengan sebelah tangan pegang kain dan sebelah lagi pegang kepala ke dalam sini. Tapi… awak dah tak boleh lari lagi, Nia…”
Suara itu mendesah lagi. Membuatkan Raniaa spontan rapatkan diri pada batang pokok. Nak elakkan diri daripada jatuh pengsan ke dalam pelukan lelaki itu. Gila maut suara dia ni! Keturunan penggoda ke apa?!
“Mmm…” Berkali-kali telan liur, bagi pelincir pada mulut yang sudah kering dan kesat, barulah dia boleh panjangkan bicara. Tak panjang mana pun seperti dia mahu. Hanya, “Saya bukan bakal isteri awak!”
“Hmm, hanya harapan kosong awak.”
Tiba-tiba tubuh itu menjauh daripadanya. Tiada tangan kekar lagi mengunci ruangnya. Dia sudah bebas. Baru sahaja hendak mulakan adegan selamatkan diri, tiba-tiba bunyi bising suara-suara orang, lelaki semuanya, menampan telinga. Bunyi tapak kaki menggamit kuping.
Raniaa terkaku melihat arah kanannya, pada gerombolan tubuh manusia. Dan, dia hanya boleh melihat apabila salah seorang daripada lelaki yang ada bersama baba itu menghampar tikar di atas tanah di ruang dusun itu. Tubuh itu mengisinya dan tubuh-tubuh lain menurut. Baba juga ikut serta.
“Kalau dah ini tempat awak pilih, di sini sajalah kita bertunang. Ya, sayang?”
Suara itu beriring tawa dan usikan. Namun buat Raniaa, dia rasa tersindir. Dia gagal, itulah makna sebenar suara itu. Dia tidak boleh lari lagi, itulah kata betul suara itu.
Raniaa berpaling. Untuk kali pertama bertemu muka dengan lelaki berketurunan penggoda yang menjadi pilihan hati baba dan mama untuknya. Dia terkaku.
“Dr. Fathi?!
“Ya, Raniaa Mohd Ilyasa’. Saya Fathi Fahim Mohd Fahmi, atau… Dr. Fathi untuk awak.” Fathi mengenyit mata. Nakal.
Menjerit nyaring, kuat dan lantang, Raniaa berlari ke arah bertentangan daripada Fathi. Ke arah rumahnya. Tidak dia peduli pada keluhan panjang lelaki itu atau lelaki-lelaki yang sudah siaga di atas tikar untuk urusan pertunangannya. Yang dia tahu, dia kena cari tempat perlindungan yang baru.
“Nampaknya, dia nak bertunang dalam rumah pulak,” ucap Ilyasa’ berdiri di samping Fathi yang kacak berbaju Melayu putih. Tiada samping atau songkok. Rambutnya yang menghampiri bawah telinga serta kaca mata, membuatkan Fathi satu enigma, sukar dimengerti.
Fathi tertawa kecil. Kaki diatur ke hadapan bersama bakal bapa mertuanya. Kalau sudah rumah itu pula pilihan bakal isterinya kali ini, dia akan mengikut sahaja.

6 ulasan:

aisyah berkata...

hahaha, cute sungguh raniaa dgn fathi ni..confirm balik karang nak carik balik buku ni kat rak dan khatam semula (^_^)

Bikash Nur Idris berkata...

Aisyah. Wah, suka-suka! Baca-baca! Harapnya akan gelak-gelak ( ^^)

nas chuare berkata...

best!!!!nak beli la buku ni akak..dah ade ek kat pasaran?

Bikash Nur Idris berkata...

Nas. Yup. Sudah. Boleh pesan online terus daripada saya kalau nak. E-mel bni262@hotmail.com

nas chuare @ miss qs berkata...

ye ker akak?online boleh??nak bagi maklumat ape??

Bikash Nur Idris berkata...

Miss QS. Ya, e-mel aje ke alamat tu & nyatakan buku apa awak nk pesan.
http://novel-bni.blogspot.com/ Boleh jenguk sini kalau sudi.