Ahad, Oktober 23, 2011

Bukan Pilihan Hati | Bab 1

Mata Raniaa buntang. Tidak disangka jawapan itu yang akan diterima. Kejutan yang terlalu mengejutkan. Belum hilang terkejut digesa panggil pulang ke rumah sesegara mungkin, ditambah pula dengan kejutan baru. Mujur juga dia tak ada sebarang sakit berkaitan jantung—mahupun hati.
Jantungnya elok berfungsi dan hatinya masih miliknya.
“Amma Raniaa dah setuju!” ungkap Ilyasa’ tayang gigi. Seronok lihat Raniaa jadi patung hidup.
Kali ini hilang definisi patung hidup atau tiang elektrik. Raniaa kembali menjadi manusia yang berperasaan semula!
“Amma!!!” jeritnya penuh perasaan. Siap buat aksi lembik tulang di atas meja makan. Mukanya tersorok, melekap kemas ke meja makan.
“Amma yakin Raniaa belum ada pilihan hati. Amma terus setuju. Betul ke, Raniaa?”
Masih meletak dagu di atas meja makan, kepala sedikit terangkat untuk melihat muka baba bersama renungan geram lagi sakit jiwa, Raniaa menyoal, “Apa betulnya?”
“Raniaa belum ada pilihan hati?” soal Ilyasa’ mengerling ke arah Rumeena yang duduk di sebelahnya. Wajah isterinya cukup riak. Siap berpeluk tubuh bangga lagi. Tak boleh jadi!
“Sebab Nia tak ada pilihan hati ke keputusan ni dibuat? Kalau macam tu, sekarang jugak Nia pergi cari satu dan pilih!” Raniaa duduk tegak. Bersemangat.
Tak kisahlah kes tangkap muat ke apa! Asal saja dia akan ada pilihan hati untuk tidak memberi peluang Amma merealisasikan impiannya untuk memiliki menantu terbaru sesudah adik iparnya diiktiraf menantu basi dek amma. Sedangkan untuk dia lelaki itu masih menantu segar. Fresh!
“Raniaa kena sampuk dengan Raahah ke? Hanya otak Raahah sesingkat tu!” ujar Rumeena menjuih mulut.
“Tak jugak! Sebab dia tak perlu pun hadapi situasi macam ni. Kena kahwin paksa dalam millennium dan tahun macam ni. Dan, baba bukan orang besar pun nak adakan perkahwinan politik ke apa! Takkanlah hanya sebab Nia belum ada pilihan hati…” Raniaa membungkus kata apabila tiba-tiba sahaja Rumeena melonjak bangun daripada duduk manakala Ilyasa’ mengeluh panjang. Hampa tahap hampa gas!
Rumeena kembali duduk, dengan muka girang dan dua kali ganda riak lagi bangga. Tangan dihulur ke arah suaminya. Bermuka tegang kerana menjadi makhluk yang kalah, Ilyasa’ turut panjangkan tangan. Meletak not RM50 di atas telapak tangan isterinya.
Mata Raniaa bulat. “You bet?”
Rumeena menjongket bahu. “Sejak kamu semua tak ada, bosan pulak asyik tengok muka baba aje. Jadi… inilah hobi masa lapang kami sekarang. Setakat ni duit tabung amma dah lebih lima ratus.”
“Dan, duit tabung baba dah kurang lima ratus. Lepas ni akan lebih-lebih kurang. Bayar Raisya dengan Raahah!” Ilyasa’ memuncungkan mulut. Tidak puas hati.
“Padan muka baba! Siapa suruh tak selamatkan Nia? Nia yakin, lepas tanya Nialah kakak dan Aha berani bertaruh dengan baba. Dan, amma… bersekongkol dengan dia orang untuk susutkan duit baba. Padan muka!” Raniaa tarik muka.
Ilyasa’ terperanjat. “Itu bohong namanya!”
Dia mencerun kepada Rumeena yang tersenyum ceria. Siap main layang-layang guna not RM50 di tangan lagi.
“Baba, Nia akan tambah semula duit tabung baba kalau baba tolong Nia, selamatkan Nia! Nia belum sedia nak isi hati dengan pilihan amma dan baba. Please…” pohon Raniaa mengharap.
Baba lelaki, lebih mudah dipujuk. Kalau susah sikit, tahulah dia nak mulakan adegan air mata duyung. Dia sudah belajar dengan yang expert—amma!
“Baba tak boleh… sebab amma Raniaa dah terima dan cincin risik dah kami dah letak di bilik Raniaa. Cincin tunang Raniaa akan dapat esok, sebab esok pihak lelaki akan datang untuk langsungkan pertunangan Raniaa dengan dia. Sebab itulah amma sibuk-sibuk suruh Nia balik jugak-jugak.”
“Apa?!” Raniaa menjerit gamat.
Rumeena menutup kedua-dua telinga (not RM50 tampung telinga kanan). “Dia lelaki yang baik, Raniaa. Takkanlah amma dan baba nak pilih yang salah atau silap untuk Raniaa…”
“Tapi, amma, Nia belum nak kahwin. Nia kan belajar lagi…”
“Dia tak kisah. Dia sanggup…”
“Sanggup tunggu Raniaa habis belajar?” potong Raniaa, mula merangka.
Kalau sanggup tunggu dia tamat belajar, memanglah dia ada masa untuk cari lubang keluar daripada masalah ini. Dua tahun, masih masa yang panjang untuk merangka. Dia akan minta bantuan kakak dan Aha kerana dia yakin, kalau dia bertegas tidak mahu, mereka akan menolong sedaya upaya.
Itulah kekuatan hubungan adik-beradik mereka. Buat jahat bersama, buat baik bertiga! Motto semenjak lahir. Hehehe.
“Raniaa dah habis belajar. Sekarang Raniaa sambung belajar. Dia sanggup terima isteri yang masih belajar, itu yang amma nak kata!” ucap Rumeena selamba.
“Apa?!” Jeritan gamat lagi tragis.
“Mmm, majlis Raniaa dan dia akan dirancang esok, secepat mungkin, sebagaimana pihak lelaki nak. Lagipun, nak tunggu apa kalau Raniaa memang tak ada pilihan hati? Aha yang baba ingat akan lebih lama temankan baba dan amma pun dah selamat jadi isteri orang.” Ilyasa’ menampar lembut tangan Raniaa, memujuk dengan cara itu.
“Nia baru 22 tahun, baba. Bukan 32 tahun! Tak habis-habis dengan pilihan hati. Nia cari satu sekarang jugak kang!” tempelak Raniaa tambah geram.
“Dah ada pun… yang nak pinang Raniaa esoklah orangnya…” Ilyasa’ tersenyum luas.
“Baba, itu pilihan hati baba dan amma. Bukan Nia!”
“Nanti jadilah…” Ilyasa’ mengerdip mata, mengusik. Masih diiring senyum.
Raniaa mencerun. Menyatakan terang-terang, Nia tak kongsi perasaan baba itu!
“Cuma satu amma betul-betul tak faham…” Dahi Rumeena berkerut. Not RM50 dipegang kuat.
Gaya macam takut baba kaut aje amma ni! Mak ayah aku… punah…
Raniaa dan Ilyasa’ membuang pandang ke muka itu. Menanti ketidakfahaman wanita tersebut.
“Kenapa tak seorang pun daripada anak amma kahwin dengan lelaki yang ada darah India bila kita sendiri berdarah India?”
Penting sangatlah nak faham itu! marah hati Raniaa. Dia tengah fikir macam mana nak larikan diri daripada perkahwinan paksa ini, amma nak sua masalah lain pula ke kepalanya yang dah serabut macam bilik Raahah (sebelum kahwin). Tapi… sempat juga benak dihenyak soalan, yang akhirnya diluncurkan dua ulas bibir.
“Dia darah apa?”
“Hmm, bukan pilihan hati… tapi nak tahu jugak!” sakat Ilyasa’ ketawa kuat. Gegar habis tubuh badannya.
Raniaa menjeling. Tahap peluru berpandu. Babanya hanya pekup mulut, tapi badan masih bergegar macam nak berubah jadi The Hulk. Aku jadi Bionic Woman kang baru tau, gumamnya mengetap gigi.
“Dah darah Cina, dah darah Mat Salleh… Raniaa pula dapat darah Melayu. Pure! Tak ada campur aduk langsung.” Rumeena menjawab penuh dramatik.
Masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa tak seorang pun daripada anak gadisnya, Raisya, Raniaa atau Raahah, berkahwin dengan lelaki berdarah India, sebagaimana mereka. Dia berdarah India, suaminya berdarah India dan anak-anaknya juga begitu.
Keluarga mereka adalah keluarga India yang menganut Islam sudahnya, atas pilihan hati dan hidayah daripada-Nya. Syukur.
Sangka Rumeena, ada kemungkinan besar ketiga-tiga anaknya akan mengahwini lelaki berdarah India. Mulanya dia sangka Raisya, namun ianya tidak berlaku. Raisya mengahwini lelaki berdarah Cina. Kejutan untuknya, namun kegembiraan buat Raisya. Kerana lelaki itu dicintai separuh nyawa.
Sudahnya dia jangka Raniaa, namun takdir Tuhan, siapa boleh bantah. Raahah lebih dulu ambil giliran. Dalam usia 20 tahun (belum masuk 20 pun), anak bongsunya itu menjadi isteri kepada lelaki yang punya keturunan Inggeris. Sekali lagi mengejutkan, namun membahagiakan Raahah. Kerana lelaki itulah cinta pertama dan terakhirnya.
Yang tinggal hanyalah Raniaa, bukan kakak mahupun adik. Anak tengah daripada tiga beradik. Dia sudah bercadang mahu mencari lelaki pilihan buat Raniaa, namun, baru dia mula pasang niat, petang itu juga rombongan merisik itu diterima. Lelaki daripada keturunan Melayu. Dan, lagi sekali mengejutkan.
Namun buatnya, keturunan atau darah apa yang mengalir adalah tidak penting. Yang lebih penting adalah bahagia anak-anaknya. Dan, ada sesuatu pada lelaki itu, pemuda yang mahukan Raniaa sebagai isteri, memberi jaminan bahawa bahagia itu akan menjadi milik anak tengahnya itu. Atas dasar yakin seorang ibulah dia menerima tanpa menyoal Raniaa (sesudah tanya Raisya dan Raahah adakah Raniaa mereka ada pilihan hati).
Rengusan Raniaa kembalikan Rumeena pada ruang dapur itu. Tidak lagi pada menantu-menantu awalnya mahupun bakal menantu. Dia tayang gigi lihat Raniaa yang mencebik mulut, menyatakan rasa di hati. Dia faham, namun memilih untuk tidak faham.
Raniaa terus menjuih mulut. Dia tak peduli darah apa pun yang mengalir pada tubuh makhluk yang mahu menjadikan dia isteri itu. Yang dia tengah fikir, macam mana nak hentikan perkahwinan ini tanpa ada pertumpahan darah!

9 ulasan:

Subashini VJ berkata...

i have this mini novel!! love the story very2 much...Rania and her husband(i 4got his name) superb couple...;)

Bikash Nur Idris berkata...

Suba. Fathi nama suami dia. I was so in love with the name because of a cute steward. Hahaha! Hope you did enjoy BPH ( ^^)

nas chuare @ miss qs berkata...

giler kentang!sweet citer ni..ahahaha.well done akak!

Bikash Nur Idris berkata...

Miss QS. TQ sangat ;)

fahamilaku... berkata...

baru stat baca ni..ada jual ka kat luar?

Bikash Nur Idris berkata...

Fahamilaku. Terima kasih sudi baca. Ya, dah lama di pasaran. Kalau tak jumpa boleh pesan online: bni262@hotmail.com

iszabella berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Miss FF berkata...

Wah..bestnya.. tkenang cter cinta datang lagi... nessa yg dramatik, raisya yg sweet, raahah yg lawak..

Nurul Shahiera Shafie berkata...

Sy nk beli nvel ni..tpi x pernah jumpa..kak Bikash..mmg x de print lg dah ek buku ni??