“What?” Haryani ternganga luas. Tidak percaya dengan telinganya. Isy, gamaknya ada masalah kut telinganya ketika ini. Kalau tidak, masakan dia mendengar apa yang didengarinya seketika tadi. Tak mungkin. Selamba sahaja dia mengorek-ngorek telinganya dengan jari telunjuk. Tak cukup dengan itu, sempat dia mengatur kaki ke arah meja solek di dalam bilik tidurnya itu lalu mencapai cotton bud. Dengan muka toya dia tonyoh ke dalam telinga. Mana tahu dah tersumbat sangat-sangat sampai tersalah dengar.“Yani! You are too much, okay. Kut iya pun tak percaya dengan telinga sendiri, janganlah sampai macam ni!” Genelia merengus kasar. Menujah pandangan tajam ke muka Haryani yang terkebil seketika menerima renungan mampu membunuhnya itu. Tapi tidak lama, kerana sudahnya Haryani tayang gigi. Tak semena-mena wajah itu berubah serius pula.
Ya Allah, apa kenalah anak dara ni?! Eh, anak daralah pulak. Dah jadi bini orang dah pun. Dah tu isteri Fitri, dia pasti Haryani bukan dalam kategorinya lagi—anak dara.
“Isy, masalah besar ni.” Perlahan-lahan Haryani mendapatkan katil. Turut melabuh punggung di sebelah Genelia yang masih memandangnya, namun bukan dengan pandangan tajam lagi, sebaliknya renungan mahu tahu. Mungkin tidak faham dengan kata-katanya.
“Masalah besar?”
Hmm, tak fahamlah tu. Haryani sempat mengomen sendiri sebelum berkata, “Yup, masalah besar sebab Kak Lia tak pernah terfikirkan hal macam ni. Kak Lia tak pernah sekali pun buat keputusan nak jauh daripada uncle dan aunty, tapi kali ni… tiba-tiba saja!”
Genelia tersenyum kecil, hambar. “What make you thing I’ve never thought about this? Tak pernah terfikir nak jauh daripada mama dan papa Kak Lia?”
“Kak Lia…” Haryani mencapai kedua-dua tangan Genelia. Digenggam erat. “Apa yang telah berlaku? Kenapa keputusan begini yang Kak Lia pilih sedangkan…”
“Sedangkan?” gesa Genelia apabila Haryani diam tanpa menghabiskan bicara. Seolah berfikir sama ada patut dia menyambung kata ataupun tidak. Mungkin Haryani mahu menjaga hatinya. Tidak mahu menuturkan sebarang kata yang mungkin mampu menghiris hatinya tanpa sedar. Tapi dia tidak kisah. Sebetulnya dia sudah tidak kisahkan apa-apa lagi, sebaliknya akan tetap dengan keputusan yang telah dilakukannya. Segalanya sudah dirancang dengan baik dan dia yakin semua itu akan berlaku, dengan teratur. Insya-Allah.
“Kak Lia tak pernah jauh daripada uncle dan aunty, kan? Yani ingat lagi, bila dapat panggilan ke Taiping, Kak Lia sedih sebab perlu berjauhan daripada uncle dan aunty malahan uncle dan aunty pun sama. Lebih sedih. Sanggup mereka pujuk Kak Lia agar tidak ke sana dan nak pula dia orang usahakan agar Kak Lia ditugaskan di mana-mana sekolah di Kuala Kangsar sahaja. Kerana mahu Kak Lia dekat dengan mereka. Malahan kalau boleh nak Kak Lia dapat bertugas di sekolah yang sama dengan salah seorang daripada mereka. Kini…? Apa yang telah berlaku? Kenapa keputusan mengejut begini diambil?”
Haryani bersuara selembut mungkin. Lebih bernada memujuk daripada memaksa. Dia mahu tahu sebab Genelia mengambil keputusan mendadak sebegini. Belakang tangan gadis itu, yang masih erat dalam tangannya diusap lembut.
Perlahan-lahan Genelia melepaskan pautan tangan Haryani. Akhirnya dia bangkit dari katil lalu membawa diri beberapa tapak ke sebelah kanannya. Berhenti betul-betul di hadapan jendela yang terbuka luas. Dihantar pandangan ke segenap halaman luas rumah itu. Rumah milik Mak Lijah, ibu kepada Sirna dan Suria.
Lebih dua bulan yang lalu dia ke sini, selaku tetamu untuk memeriahkan majlis persandingan Suria dan Hafis. Dan tiga hari lepas, sekali lagi dia ke sini, menghadiri majlis pernikahan dan persandingan Sirna dengan Hasif serta Aiza dengan Izam. Bukannya dia tidak pernah datang ke Kampung Dang Setia. Sebaliknya sebelum ini, ketika masih menuntut di USM, dia pernah ke sini bersama Suria dan Haryani. Walau dibantah oleh kedua orang tuanya, yang mahu dia di depan mata mereka sahaja setiap kali cuti semester, dia berjaya juga memujuk papa. Antara papa dengan mama, sememangnya papa lebih mudah dibawa berunding.
Kalau dulu, dia datang untuk menghabiskan masa cutinya namun kini berbeza sama sekali. Dia hadir ke sini untuk memeriahkan pernikahan dan persandingan tiga pasangan. Kesemuanya sudah menemui pasangan masing-masing. Malahan jelas sekali, telah menemui sekeping daripada hati mereka yang hilang selama ini. Sedang dia, masih mencari pada siapakah sekeping hatinya itu dan sekeping daripada hati yang ada padanya pula adalah milik siapa.
Keluhan kecil terhambur tanpa ditahan. Namun sepasang matanya tidak langsung berpaling dari luar jendela. Tiada apa yang menarik di situ, namun matanya seolah tidak mampu berkalih. Melekap sahaja.
“Kerana Kak Lia mahukan peluang. Peluang untuk mencari siapa yang telah miliki sekeping lagi hati Kak Lia dan di sini…” Tangan Genelia kemas di dada. “Sekeping hati yang ada pada Kak Lia ini pula milik siapa?”
Dahi Haryani berkerut. Bahasa apa ni? Kenapa aku tak paham sepatah pun? Takkanlah ‘bahasa angka’ sebab Kak Lia ni kan cikgu Matematik. Dah pandai bahasa tu gamaknya. Haryani menggaru kepala dengan muka blur.
Kebisuan Haryani akhirnya menagih perhatian Genelia, mengalih muka ke arah Haryani. Batang tubuhnya membelakangkan jendela. Berpeluk tubuh dia terus melihat Haryani yang nampak blur. Walau hatinya disapa gelora yang berhempas tanpa henti, namun mimik muka Haryani memancing tawa halusnya. Lucu. “Hah, tak faham?”
Haryani mencemik bibir sambil menggeleng kepala lalu dengan selamba bertanya, “Kak Lia guna ‘bahasa angka’ ke?”
“Bahasa angka? Bahasa apa pulak tu?” Genelia tidak lagi berpeluk tubuh atau berdiri di tempat yang sama. Dia mengorak kaki mendapatkan Haryani. Berdiri di hadapan gadis itu dengan sebelah kening terjongket.
“Abang yang ajar Yani. Masa dia kejar Yani sampai ke rumah Kak Lia dulu, katanya susah sangat dia nak fahamkan Kak Lia. Kes Yani pergi Zoo Taiping itulah! Tu yang dia kata, dalam hatilah waktu tu, kena belajar bahasa angka agaknya untuk fahamkan Kak Lia sebab Kak Lia dah lama sangat ngadap Math. Mana tau dah bijak menguasai ‘bahasa angka’. Yang dia ceritakan… Yani pinjam hari ini.” Haryani tersengih.
“Hisy, Fitri ni! Pandai ajelah dia! Tau tak masa tu, masa kes Yani ke Zoo Taiping dengan Abang Hadi dulu itulah, Kak Lia tak boleh percaya langsung he’s the one. The man you love for ten years malah kerana dia Yani tolak all those guys yang cuba ngurat Yani masa kita sama-sama kat USM. Tak boleh percaya dengan mata kepala sendiri langsung!” Genelia membuka kisah lama.
“Why?”
“Fitri itulah, macam tak faham langsung apa yang Kak Lia cakap. Dah tu, asyik nak Kak Lia ulang jawapan yang dah diberi aje. Naik penat tau menjawab. Kak Lia cuma cakap Yani ke Zoo Taiping dengan Abang Hadi, tapi dia punya gabra macam Zoo Taiping adalah nama lain bagi Golok.” Genelia ketawa perlahan. Malahan Haryani pun sama.
“Actually dia memang sangka Zoo Taiping dah jadi macam Golok. Tu pasal dia macam tu,” ujar Haryani masih di dalam tawa.
“Goodness! Sah masa tu dia dah tak dapat fikir secara normal. Takut hilang Yanilah tu!”
Haryani mengangguk sambil gelak suka. Akhirnya dia menarik nafas dalam, dihembus.
Tangannya melekap kemas di perut ketika dia mengulang aksi itu beberapa kali.
“Okey, dah! Back to the topic we’re discussing just now! Pasal… sekeping-sekeping hati ni. Terangkan,” pinta Haryani lalu membawa topik kepada topik asal. Tidak mahu memanjangkan topik tersasar—perihal Zoo Taiping—mereka tadi.
Bukan mende tu tak penting. Kalau nak dibualkan balik Haryani yakin segalanya bakal mencuit hati. Malahan pelbagai kisah yang dianggap kelakar di mata Genelia, sedang serius untuk suaminya, akan terbongkar. Namun dia tidak mahu terus teruja dengan semua itu sebaliknya mahu kembali pada Genelia. Tumpuan yang sepenuhnya harus diberikan pada gadis itu kerana dia yakin apa yang mahu dilakukan oleh Genelia bersangkut paut dengan sekeping hatinya. Kalau tidak, masakan bercerita tentang sekeping, sekeping hati.
Genelia menarik nafas panjang. Seolah bersedia untuk membuat satu pengakuan maha besar. Dia berdehem perlahan lalu bersuara, “Benda ni, perkara ni… Kak Lia tak pernah bagi tahu sesiapa pun. Kak Lia simpan sendiri sebab Kak Lia tak rasa semua orang berkongsi apa yang Kak Lia rasa. Malahan Kak Lia tak rasa ada yang merasainya. Mungkin ada, tapi… entah. Nak bagi tahu sesiapa pun tak berani sebab bimbang akan ditertawakan.”
Mukadimah Genelia menarik perhatian Haryani. Ditarik perlahan lengan Genelia yang masih berdiri di hadapannya. Mahu gadis itu duduk di sampingnya. Lenguh leherlah pulak duk melangut tengok muka minah ni. Dahlah renjong bukan main! Kang tersalah urat kang, siapa yang susah? Suami kesayangan aku tu jugak!
Genelia hanya mengikut kehendak Haryani, walau tidak disuarakan. Faham dengan kemahuan Haryani. Dia menyelesakan punggung di atas katil. Bilik ini menjadi milik Haryani dan Fitri untuk sementara waktu. Tiga hari lepas, yakni pada 11hb Mac 2005 bersamaan dengan 30 Muharram 1426, dua pasangan telah diijabkabulkan serentak di Masjid Dang Setia. Semenjak itulah jua bilik tidur ini menjadi milik sementara Haryani dan Fitri. Lengannya yang dikuis lembut menyedarkan Genelia. Sedar Haryani tidak mengharapkan dia terus melamun sebaliknya memberikan penjelasan. Sekali lagi dehemannya mengambil tempat sebelum memulakan kata.
“Kak Lia pernah terfikir, kenapa Allah jadikan semua berpasangan. Tubuh kita contohnya. Tuhan beri kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Malahan organ dalaman pun, sepasang peparu, sepasang ginjal. Malahan lelaki dan perempuan pun, cantuman keduanya menjadi sepasang, untuk melahirkan zuriat atas muka bumi ini. Dari situlah I have my own theory. Hati kita… sebenarnya juga sepasang.”
“Hati kita sepasang?” Haryani terpinga.
“Hmm, pandangan Kak Lia begitu. Hati kita sebenarnya sepasang. Allah telah anugerahkan satu hati untuk kita, yang merupakan cantuman daripada dua keping hati yang berbeza. Satu milik kita, satu lagi milik pasangan kita, jodoh kita. Yang perlu dilakukan adalah mencari jodoh itu, kerana dia turut memiliki satu daripada dua keping hati kita. Paham?”
Haryani ternganga sendiri. Dahinya berkerut. “Contohnya?”
“Contohnya…” Genelia nampak asyik memikir. “Hah!” jeritnya tiba-tiba. Hampir terhumban Haryani dari katil dek kerana terkejut. Mujur dia cekap, cepat-cepat menangkap separuh tubuh gadis itu. Dia tayang gigi pada Haryani yang mencerun padanya.
“Hehehe, sorry eik! Okey, contohnya Yani dan Fitri.”
Contoh yang diberikan oleh Genelia menghambat jauh rasa geram Haryani dengan percubaan menghumban dari katil oleh Genelia tadi. Tumpuannya kembali pada gadis itu. Khusyuk. Peh, mujur aku reti ekploitasikan keadaan. Sempat Genelia mengucap syukur dalam hati melihat Haryani yang tidak marah padanya lagi.
“Hmm, Yani dan Fitri. Hati yang ada adalah begini…” ucap Genelia sambil mengepal tangan kanan dan kiri sekali gus lalu dirapatkan sehingga kelihatan bak satu bentuk ‘love’. Lalu dia menyambung kata, “Kita pisahkan keduanya…”
Haryani melongo. Tidak percaya. “Kejamnya Kak Lia! Pisahkan hati tu…”
Genelia mencerun. “Tak habis lagilah!”
Kali ini Haryani tayang sengih. “Oh? Okay, you may continue…”
Sempat Genelia mencebik pada Haryani sebelum kembali berbicara. “Kita pisahkan keduanya kerana satu, Allah beri pada Fitri,”—Genelia sembunyikan tangan kiri ke belakang tubuh—“Tinggal sekeping aje, kan? Tak lengkap! Tapi untuk lengkapkannya Allah telah berikan sekeping lagi hati, jodoh Yani, iaitu Fitri.” Kali ini tangan kiri yang tadinya tersembunyi dibawa ke hadapan semula lalu didakapkan semula. Kembali jadi satu bentuk ‘love’.
“Yang membentuk satu hati ini—sekeping milik Yani dan sekeping lagi milik Fitri. Sekeping, sekeping inilah yang akan wujudkan satu hati yang ada dalam diri Yani. Kalau tak akan pincang, begitu jugaklah untuk Fitri. Hmm, faham?” soal Genelia mengharapkan kepastian bila Haryani masih mengelip-ngelipkan mata mendengar teorinya. Dia harap sangat gadis itu dapat menangkap penjelasannya.
Haryani diam seketika. Akhirnya bersama senyuman yang basah di bibir dia mengangguk laju. “Faham sangat! Malah Yani rasa Yani sukakan teori Kak Lia ni. It is logical and so sweet. Tak sangka… Kak Lia Yani ni dalam diam-diam adalah seorang yang romantik.”
“Setiap orang ada bahagian diri yang romantik. Cuma banyak atau kurang, jelas atau kabur, namun tetap ada.”
Haryani menggoyangkan kepala lagi. Setuju dengan pendapat Genelia. “Jadi, kerana hal sekeping, sekeping hati inilah Kak Lia ambil keputusan sebegini? Begitu? Tapi, kenapa? Tanpa ambil keputusan drastik itu ianya tak akan mampu direalisasikan?”
“Yani tak kenal mama dan papa Kak Lia. You don’t know them.”
“I don’t want to know them, Kak Lia. Tapi Yani nak faham apa yang buat Kak Lia bertindak begini? Untuk apa semua ini? Untuk apa larikan diri?”
“Untuk jauh daripada keinginan kedua orang tua Kak Lia. Demi mencapai kehendak hati Kak Lia.”
“Yani tak faham…” ucap Haryani lembut, menggesa.
“Kak Lia tengok Su dengan Hafis. Kak Lia tengok Yani dengan Fitri. Kak Lia juga tengok Kak Sirna dengan Abang Hasif malah Kak Aiza dengan Abang Izam. Mana mungkin Kak Lia tak harapkan perkara yang sama? Seorang lelaki yang tulus mencintai, seorang jejaka yang kudus mengasihi, seorang teruna yang terus menyayangi… hingga ke akhir hayat? Kak Lia pun inginkannya, mahukannya. Salah ke?”
Haryani menggeleng kecil.
Senyuman tawar menyentuh sepasang bibir Genelia. “Tapi semua itu salah untuk orang tua Kak Lia. Hanya mereka yang tahu siapa yang sesuai untuk Kak Lia, bukan Kak Lia sendiri, bukan juga hati Kak Lia. Kak Lia mahu cari pemilik sekeping daripada hati ini,” ujar Genelia lekapkan tangan kanan ke dada.
“Pemilik sekeping lagi hati yang Kak Lia bawa selama ini dan Kak Lia juga mahu tahu ke mana dia bawa lari sekeping lagi hati Kak Lia. Kak Lia mahu berikan sekeping hatinya pada dia semula, dan tuntut sekeping hati Kak Lia yang ada padanya. Lalu Kak Lia akan hadiahkan sekali gus. Sepenuhnya, totally his. Itu yang Kak Lia harapkan dan ini adalah jalan yang Kak Lia pilih. Biarpun dikata melarikan diri, I don’t care.”
“Kak Lia, I’m so sorry. For not understanding you. Yani tak nampak keinginan yang Kak Lia simpan dalam hati selama ini. Yani tak pernah tahu…” Haryani raih tubuh Genelia. Dipeluk kemas. Walau Genelia tidak mengalirkan air mata, sebak yang menggelupur dalam hati Genelia mampu dikesannya. Kerana saat ini gadis itu sedang menelan liur berkali-kali. Itu tandanya.
“Tak pernah tahu kerana Kak Lia tak pernah beritahu,” ucap Genelia. Suaranya kedengaran sedikit serak dan tersekat-sekat. Tahu dia sudah lemah dengan air mata yang kian menyapa bibir matanya. Menanti waktu untuk jatuh.
“Sekarang Yani dah tahu dan Yani sokong Kak Lia. Sebab Yani faham dengan apa yang Kak Lia harapkan. Sejak sepuluh tahun dulu, inilah perasaan Yani. Jadi Yani mampu fahami kedudukan hati Kak Lia. Yani akan sokong Kak Lia, malah Yani yakin Su, Kak Sirna dan Kak Aiza pun sama.” Haryani membawa tangannya ke atas dan bawah belakang tubuh Genelia.
Air jernih itu sudahnya menyapa pipi. Akhirnya, ada yang faham isi hatinya.
Kuakan pintu yang ternganga tiba-tiba membuatkan Genelia dan Haryani sama-sama menjarakkan pelukan. Menoleh batang leher ke muka pintu. Kelihatan daun pintu terbuka luas. Fitri berdiri di situ dengan sebelah tangan masih kemas pada tombol. Berulang-alik matanya terarah pada Genelia dan Haryani. “Mmm, am I disturbing something?”
“Go away, abang!” Suara Haryani tegas.
“Okay!” Fitri lekas-lekas menutup daun pintu dan derap kaki pemuda itu mengambil tempat, tanda melangkah selaju mungkin jauh dari situ.
Tawa Genelia dan Haryani sama-sama terburai. Kali ini mereka turut berpelukan, bukan kerana kesedihan sebaliknya kerana lucu dengan keadaan Fitri yang nampak kalut tadi. Mungkin tidak mahu terlibat dengan ‘hal wanita’. Maklumlah, nak uruskan hal satu-satunya wanita dalam hidupnya pun dia sudah sehabis penat, inikan pula nak tambah seorang lagi.


0 cakap-cakap:
Catat Ulasan