Selasa, September 27, 2011

Cinta Datang Lagi | Prolog

Saudara Fariz Daniel Aziz Ng
Anda dijemput untuk menghadiri pertemuan pelajar-pelajar Tingkatan 6 Sastera 4’ 96.

Tempat:  Dewan SMSB
Tarikh:   30hb Mac 2002
Jam:      8.30 malam
           
Kedatangan anda amatlah diharapkan.

Kad kecil itu, yang menjadi tatapan mata Shereen, Fariz capai apabila dihulurkan gadis manis itu kepadanya. Sudah cukup puas menatap, mungkin. Fariz mengerling sekilas pada kad tersebut sebelum meletaknya ke atas meja kecil yang dimuatkan di ruang tamu rumahnya.

            “So, you’re going?” tanya Shereen, yang duduk di samping jejaka pujaannya.
            “If you’re coming with me…” Fariz tayang senyum. Killer smile.
            “Tentulah I nak. Mmm, ceritalah kat I… tentang SMSB ni. Tentang you di sekolah dulu…” Shereen memaut jemari tangan Fariz lalu manja melentok kepala ke bahu pemuda kesayangannya itu.
            Perkara pertama yang menerjah benaknya adalah raut manis itu. Si manis Ria Qistina, di balik perwatakan tomboinya. Adakah Qistina masih begitu, sesudah sekian lama waktu menginjak? Atau sudah berubahkah gadis itu?
Pengakuan tulusnya, dia mahu mengikuti re-union itu kerana berharap akan ada peluang untuk bertemu muka semula dengan si manis itu. Bukan mahu menjerat cinta yang tidak kesampaian atau menghampar rindu yang ada mukimnya. Sebaliknya, mahu menjemput mata, menyentuh raut yang memegang cinta pertamanya. Mencari peluang untuk menerima maaf dan paling kurang, diberi ruang menjadi teman.
Biarlah walau teman tanpa mesra. Asal saja dia diterima Qistina, sebagai rakan sekolah. Itu sudah mengurangkan pasungan beban pada bahunya.
“Honey… tell me…”
Rengekan manja Shereen serta goncangan lembut pada tubuhnya, membawa Fariz pulang. Tiada lagi tarian wajah Qistina yang berambut pendek. Menerpa raut manis Shereen, gadis yang berjaya mengikat mata dan hatinya selepas Qistina. Ada sesuatu pada Shereen yang mengingatkannya kepada Qistina dan sesuatu itulah yang mendorongnya untuk lebih mengenali Shereen. Sudahnya, hati tergoda, cinta tercuri.
Biarpun Shereen dan dia berlainan bangsa dan agama, hati tidak pernah sedar, sayang tidak pernah tahu. Mereka boleh menerima perbezaan itu, yang menyatukan mereka sebagai satu. Bahkan, bukankah Shereen sendiri sudah lebih daripada sedia mendalami ilmu agama? Dan kini, Shereen berada di rumahnya pun kerana sedang menunggu kedatangan Ustaz Rahman, guru agama Shereen.
“Mmm…” Fariz memulakan kata. “SMSB. Sekolah Menengah Sultan Badlishah. I model… dan I buaya. Satu sekolah kenal I sebagai player dan I tak pernah kisah. Sebab itu memang I.”
“You memang player sampai sekarang… but my player!” Shereen sentuh hujung hidung Fariz dan lelaki itu mengaut jemarinya, berpura mahu menggigit.
Shereen menjerit kecil dan manja, mahu melarikan diri namun langkahnya mati apabila tiba-tiba sahaja mata memasung pintu gelangsar yang terbuka luas di hadapannya. Susuk tubuh seorang lelaki itulah yang mematikan kaki. Asing.
Fariz berdiri di samping Shereen, berkerut dahi. “Ya?”
“Mmm, saya ganti Ustaz Rahman hari ni. Dia tak sihat. Saya anak dia, Ruzairy…” Ruzairy panjangkan tangan ke arah Fariz bersama senyum tipis.
Fariz mencapai huluran itu. Namun kerut halus pada dahi tidak hilang, mata pula tidak lepas menyapa batang tubuh yang sama tinggi dengannya itu. Cuma binaan badan lelaki ini lebih sasa. Bukan itu yang buat dia tayang muka pelik, sebaliknya lelaki di hadapannya ini.
Rambutnya panjang dengan jean lusuh yang sudah ada kesan koyak pada lutut dan bahagian paha. Biar betul anak ustaz!
“Awak siapa?”
Suara yang menegur itu membuatkan Fariz, Ruzairy dan Shereen sama-sama berpaling. Bulat mata melihat Neesa berdiri dengan selamba, menyuap kepingan piza ke mulut sambil mengunyah. Paling terkejut adalah Sheeren, yang langsung tidak perasan bila tubuh itu ada di sebelahnya.
“Tak baik makan sambil berdiri,” kata Ruzairy.
Ah, pemuda ini sedang mencari peluang untuk jadi musuh tradisi Neesa. Dia diam, tidak menegur. Menunggu balasan daripada Neesa.
Neesa buat muka selamba, mendekati para yang memuatkan koleksi pasu mama tidak jauh daripada mereka lalu kembali dengan ‘satu’ gumpalan di tangan. Disua kepada Ruzairy, tanpa rasa hati. Hati kering.
Kehairanan, Ruzairy tetap tadahkan telapak tangan. Jatuh kepingan syiling dan beberapa not kertas ke atasnya.
“Selalu kalau ada orang datang minta derma, mama ambil kat situ. Itu aje yang ada. Kut cukup tampal seluar tu… tampallah. Tutup sikit aurat tu…” Sambil makan piza, Neesa berlalu ke ruang dapur.
Datang tanpa jemputan, pergi tanpa pamitan.
Fariz tayang gigi.
Shereen ketawa kecil.
Ruzairy terbelalak mata.
* * *
Fariz senyum tipis melihat Erwann duduk menopang dagu di meja yang diisi empat batang tubuh kini; dia, Erwann, Azan dan Midi. Midi sejak tadi tayang muka sebek. Namun, yang lebih melucukan adalah raut Erwann. Rupa patah hati sungguh bila ditinggalkan Qistina begitu sahaja.
            Sejujurnya, dia sangat terpanar melihat langkah panjang Qistina ke dalam dewan sekolah itu. Hilang sudah sifat tomboi gadis itu, menyerlah pula bahagian feminin yang selama ini dikuburkan gadis itu. Dan, yang lebih mengejutkan, gadis itu datang bersama seorang lelaki kacak yang hidup-hidup disangkanya lelaki Inggeris. Rupanya Inggeris celup.
            Dia gembira berada di sini, di kalangan teman-teman satu kelas dengannya. Hilang sudah wajah comot atau paras nakal lewat tahun-tahun persekolahan. Bukan sahaja Qistina yang berbeza rupa (tapi dialah yang paling drastik), boleh dikata kesemua mereka sudah punya anjakan. Sofiskated, bergaya, ada karisma. Itulah lontaran yang menerpa matanya.
            Malahan, hubungan yang pernah hambar dan berliku kala masih di sekolah dulu, sudah boleh ditolak ke tepi. Kalau tidak, masakan dia boleh duduk semeja dengan Midi dan Azan begini (Erwann tak termasuk sebab bukan budak SMSB pun, tukang tumpang saja). Kalau Midi, mungkin dia boleh percaya lagi. Kerana tidak pernah ada perang antara mereka.
Tegang uratnya dulu hanyalah bila bersua wajah dengan Azan, pengawal peribadi Qistina, yang kadang dirasakan keterlaluan. Sehingga kini, dia masih diasak soalan; Mungkinkah Azan pernah jatuh sayang ke atas Qistina sesudah sekian lama berkawan?
Memanglah mereka baik berempat—Four Musketeers SMSB, namun Midi dan Anim selalu saja berkepit berdua, meninggalkan ruang untuk Azan dan Qistina bersama. Mungkinkah ruang itu pernah mencuri masuk ke dalam hati Azan, menjemput cinta? Atau paling tidak, sayang yang lebih daripada kawan?
Ah… dia takkan boleh punya jawapan melainkan kalau dia ringankan mulut, menyoal Azan sendiri. Dan, dia lebih rela memberatkannya. Dia tahu dia sudah boleh berbual dan duduk semeja dengan Azan, bermesra dalam erti kata kenalan, namun tidaklah sampai soal hal dalam kain. Dia masih sayang pada wajahnya yang masih menyumbang rezeki buatnya.
Jadi, dia biarkan sahaja hal hati Azan, dalam kain baju lelaki itu.
Lagipun, dia masih terlalu suka untuk tempah maut. Suka kerana Qistina sudi bertegur sapa dengannya. Suka kerana Qistina sanggup tolak tepi hal yang pernah berlaku di antara mereka. Walaupun Qistina tidak mesra, tidak tersengih lebar kepadanya waktu menutur kata itu, namun dia sudah boleh panjat rasa syukur.
Qistina mungkin sudah banyak berubah dari segi penampilan namun tidak personaliti. Masih yang sama, tetap yang serupa. Kedinginan itu masih ada. Kekerasan itu tetap ada. Walau apa pun… dia tetap bersyukur atas penerimaan Qistina, yang mungkin belum menyeluruh. Paling tidak dia sudah boleh rasa lega.
Fariz tunakkan mata ke ruang dewan sekolah yang pernah mereka huni dulu. Sekolah Menangah Sultan Badlishah, tempat mereka menghimpun ilmu serta momen indah. Ilmu yang mereka bawa bersama tangga kerjaya serta momen indah yang mereka ungkaikan semula di dewan ini, pada malam ini.
Momen itu, serta ilmu itu—sama-sama menjadi topik perbualan untuk lebih mengeratkan hubungan yang sudah longgar sesudah sekian lama tidak ketemu.
Matanya membelingas ke seluruh ruang dewan itu. Kalau dilihat, dah nampak macam ruang tari-menari. Bergantungan belon berwarna-warni serta hiasan simple yang cukup menarik. Lampu neon pula menghantar cahaya ke ruang dewan. Meja-meja bulat yang mampu memuatkan lima batang tubuh disusun kemas dengan padanan warna merah putih.
Sungguh mengasyikkan, sebagaimana lagu sentimental yang berkumandang. Tinggal tak ada batang tubuh menari sahaja, kerana kebanyakannya sudah penat menari. Sudah lebih dua jam waktu menghilang, namun masih ada tubuh-tubuh di dalam ruang dewan itu. Masih belum puas bercanda dan berkongsi cerita.
Matanya terus melengas, mencari lampai tubuh si hitam manis. Oh, bukan Qistina. Sebab seketika tadi, secara tiba-tiba sahaja Qistina mengajak Anim pulang (masih kelat wajah Midi) lalu meninggalkan Erwann terkontang-kanting di ruang asing ini (masih wajah pungguk rindukan bulan daripada Erwann). Sebaliknya, matanya cuba menangkap kelampaian letak tubuh Shereen. Namun, belum sempat dia lakukannya, suara Midi mengalih tumpuannya. 
            “Tiba-tiba aku terfikir…” sebut Midi, membetulkan duduk. Tidak memeluk tubuh atau tayang muka kebajikan.
            Erwann, dengan muka masih disokong dagu, membawa wajah ke paras Midi yang sudah mula berkerut. Sebagaimana Fariz, suara itu turut mengumpan tumpuannya.
            Azan hanya tenang melihat Midi, menanti bicara seterusnya yang diyakini bakal menyusul. Ingin tahu juga apa yang mahu dibicarakan si muka sebek itu. Dan, ianya tersusul jua.
            “Bila lagi kita akan jumpa macam ni? Hampir enam tahun tak jumpa, dah macam-macam perubahan antara kita. Agaknya tambah beberapa tahun lagi macam manalah…?” Midi berkerut dahi.
            “Kalau nak tahu, rancanglah perjumpaan lagi sekali,” cadang Azan tak ambil pusing.
            Fariz angguk setuju. “Yeah! Aku setuju.”
            “Let say… 2007. Mac jugak!” sampuk Erwann.
            Tiga pasang mata menyerbu Erwann.
            “Kau bukan rakan satu kelas atau satu sekolah dengan kami pun!” kata Midi pelik.
            “Hmm, kalau 2007 ada perjumpaan, aku tetap datang sini dengan Qistina, sebagai suami dia.” Erwann senyum luas. Penuh yakin. Hilang sudah muka kena tinggal.
            Midi hanya jongket bahu seketika lalu luas saja tayang gigi. “Aku dengan Animlah… mungkin anak dua.”
            “Aku tentu sahaja dengan Shereen!” Lebar sengih Fariz.
            Fariz, Erwann dan Midi sama-sama renung Azan. Menanti ‘dengannya’.
            “Myself and my wife!” Azan mengangkat kening. Okey tak jawapan?
            Midi tayang gigi. “Jawapan paling selamat! Fariz dan Erwann pulak… kita tunggu Mac 2007. Betul ke Qistina dan Shereen…”
            “Of course, yes!” Daripada Erwann. Sangat pasti.
            “Tentulah!” Daripada Fariz. Penuh pasti.

8 ulasan:

syania berkata...

macam menarik jer...hehehehe... sambungan ria qistina eh? syoknya... huhuhuhu...

Subashini VJ berkata...

i really love this novel very2 much... dah baca berkali2....love Fariz character alot! so lovable ;)
Tapi baru perasan bahagian ahkir yg Bikash write... Betul ke Erwann wif Qistina and and also Fariz wif Shereen? hehehe--> the real ending this novel more exciting :)

Bikash Nur Idris berkata...

Syania. Bukan sambungan. Tapi ada kaitan aje. Watak daripada RQ diambil dan dijadikan watak utama dalam CDL.

Bikash Nur Idris berkata...

Suba. Wah, you're back. Ingat you masih merajuk sebab lama tak nampak kat sini. Hehehe. BTW, TQ so much sebab sukakan CDL. Oh, suka Fariz yek? Loveable ke? Bukan jahat ke awal-awal dulu dalam RQ kendian dalam ni, sebab asyik kenakan Raisya ;)
Apa pun, TQ sebab datang balik (#^_^#)

epa berkata...

Assalamualaikum ;)
Sorry, belum dapat baca lagi novel ni, sebab takde duit nak beli. hehehe.
Anyway, kalau akak kata watak2 CDL diambil dari RQ, Kak suba tu kata Qis with Erwann. Bukan dlm RQ, Qis dah kahwin dengan Zarif ke?
Terujanya nak dapatkan novel ni. Entah bila dapatnya.

Subashini VJ berkata...

hahaha Kak Bikash tak tak saya tak merajuk pun...:) mana bole merajuk dgn kak Bikash yg cute ni :) And im still waiting 4 secukup rasa new entry updates :)

Bikash Nur Idris berkata...

Epa. Wslm wbt. Kejadian ni masa re-union dalam RQ. Sebelum tu lagi :)

Bikash Nur Idris berkata...

Suba. Alahai... nasiblah tak merajuk. Hehehe. Akan teruskan SC. Wish me luck & diligence.