namun kekecewaan jadi hadiahnya.
Aku tekad tak mahu damparkan setia
itu lagi, namun apa yang harus dilakukan
bila hati mahu kembali setia kepada
pertemuan pertama sahaja?”
~ SIRNA
Senyuman yang terkuntum kemas pada bibir Suria membuatkan bibir Sirna turut disentuh senyuman. Kegembiraan serta kegirangan yang mewarnai wajah adiknya itu buat hatinya turut dikongsi perasaan yang serupa. Sekali gus menghambat hiba yang selama ini memonopoli hati.
Namun dia tahu, apa yang dirasainya kini hanyalah untuk seketika—selama senyuman serta usikan nakal Suria bersamanya. Semua ini akan berlalu dalam masa dua minggu lagi.
Suria adalah satu-satunya adik yang Sirna ada. Sebelum kelahiran Suria, dia punya seorang adik. Itu dia masih ingat malah saat adik itu, yang dinamakan Salma oleh abah, meninggal dunia akibat demam panas ketika usianya dua bulan pun masih kemas dalam kotak fikirannya.
Dia terlalu sedih dengan pemergiaan Salma, namun abah bijak memujuk dan berjanji akan berikan seorang adik untuknya. Walau perlu menanti agak lama, alhamdulillah, abah tunaikan jua janjinya. Suria lahir ketika usianya lapan tahun dan semenjak itu Suria disayanginya sepenuh hati. Suria segalanya untuk dia.
Mereka terus membesar, hanya dua beradik. Mereka akrab malah boleh dikatakan dua beradik yang popular di Kampung Dang Setia. Mungkin nama mereka dikenali kerana abah seorang imam di situ, namun ada sebab lain yang membuatkan mereka jadi terkenal. Dua sebab yang berbeza sekali.
Suria terkenal di kalangan penduduk Kampung Dang Setia kerana dia seorang gadis yang cantik dan menawan. Menjadi kegilaan ramai pemuda di kampung itu, juga beberapa kampung berdekatan. Suria bukan sahaja cantik di luaran tapi juga dalaman. Hatinya bersih, berbudi pekerti, tak teragak menghulurkan bantuan kepada sesiapa malah ikhlas dengan apa yang dilakukannya.
Pendek kata, Suria mempunyai pakej yang lengkap untuk jadi ‘puteri idaman’ pemuda-pemuda di Kampung Dang Setia. Malahan Suria turut diidamkan ibu bapa yang punya anak-anak bujang sebagai bakal menantu, kerana budi bahasanya serta sikapnya yang ringan tulang. Tentu sahaja juga kerana rupanya yang manis dan menawan.
Itulah kehebatan Suria di Kampung Dang Setia. Sedang dia…
Sirna mengeluh kecil. Harapannya, keluhan yang terhambur dari celah kerongkongnya itu mampu menjawab siapa dia di mata penduduk Kampung Dang Setia.
Sirna, nama yang menjadi buah mulut orang-orang kampung semenjak tiga tahun yang lalu malah hingga kini namanya masih meniti bibir mereka, berserta pandangan yang sarat dengan rasa simpati. Tambahan pula sejak beberapa bulan ini, semakin selalu dilihat.
Entah sampai bila dia perlu berdepan dengan semua ini, tapi dia tahu akan hakikatnya. Dia perlu depaninya, dengan ketabahan hati dan kekuatan minda. Mungkin dia berhajat untuk lupakan kisah silam itu, namun hajatnya itu tak akan tertunai kerana orang kampung mahupun sanak saudaranya sendiri tidak pernah penat mengingatkan dia pada segala kebodohan serta kedunguannya yang terlalu mempercayai seorang lelaki—yang akhirnya menghadiahkan kesakitan sebegini kepadanya.
Mungkin dia tidak secantik Suria, namun tidaklah buruk sangat orangnya. Yalah, kut mana pun dia kena juga puji diri sendiri memandangkan orang lain tak pernah berbuat demikian. Dia boleh berbangga dengan paras mukanya. Sekurang-kurangnya dia pernah menawan pandangan seorang lelaki yang bersumpah setia kepadanya, walau akhirnya dimungkiri.
Ketika berada dalam tingkatan lima, dia ‘dilamar’ oleh seorang jejaka, yang berani meluahkan segala isi hatinya di hadapan beberapa rakan sekolah mereka. Sanggup menahan langkahnya, demi menyatakan apa yang tersembunyi dalam sekeping hati itu padanya. Begitulah dahsyatnya kuasa cinta, yang menjadi buah mulut Sekolah Menengah Dang Setia.
Rizwan juga berada dalam tingkatan lima di kala itu. Ya, Rizwan, itulah nama pemuda yang berani itu. Rizwan meluahkan perasaan yang dipendam kepada dia, Sirna Salleh. Dia bukan gadis yang dikenali di sekolah. Seorang yang pemalu dan pendiam, mana mungkin dia mampu mengikat hati pemuda seperti Rizwan?
Namun, entah bagaimana, yang mana tidak pernah dia tahu hingga kini, dia berjaya mengikat pandangan Rizwan, anak tunggal Ketua Kampung Dang Setia—pembetulan, tunggal lelaki sebetulnya kerana Rizwan punya tiga orang kakak di atasnya.
Mulanya Sirna tidak melayan Rizwan. Kerana tiga sebab.
Satu: Abah tidak suka dia berkawan rapat dengan mana-mana lelaki malah abah amat ambil berat akan hubungan lelaki dan perempuan bukan muhrim. Abah disayangi lebih daripada segalanya, jadi dia tidak mahu hampakan hati abah yang meletak kepercayaan tinggi kepadanya.
Dua: Sebagai seorang kakak dia harus jadi contoh yang baik kepada Suria yang baru berusia sembilan tahun. Dia seharusnya membakar semangat Suria untuk belajar, bukan bercinta.
Tiga: Dia pelik kenapa dia yang jadi pilihan Rizwan, jejaka berwajah tampan, terkenal kerana anak ketua kampung serta pelajar harapan sekolah. Rizwan tak mungkin ‘lihat’ gadis sepertinya. Mungkin Rizwan tersalah ‘pandang’ jadi kerana itulah dia ‘berlari’. Tapi Rizwan tidak bosan mengejar, sedang dia sudah ‘penat’.
Akhirnya Sirna tidak mampu ‘berlari’ lagi, malah ketiga-tiga sebab yang disenaraikan tadi beransur-ansur kabur. Abah yang akhirnya mendengar akan usaha giat Rizwan—terima kasih kepada penduduk Kampung Dang Setia—sudahnya mengizinkan dia berkawan dengan Rizwan asal saja dia penuhi janjinya kepada abah; menjaga batas pergaulan antara mereka.
Selain itu desakan emak sendiri yang mahu dia menerima Rizwan, yang nyata gading bertuah untuknya walau emak pelik bagaimana Rizwan boleh memilihnya. Malah untuk emak, dia tak akan mungkin berjaya menarik perhatian mana-mana pemuda lagi. Mana-mana pemuda langsung sebetulnya.
Sebab utama dia menerima Rizwan, kerana pemuda itu berjaya meragut hatinya sendiri tanpa dia punya kekuatan untuk menghalang setiap godaan Rizwan, yang memang bertujuan untuk mencuri hatinya—sebagaimana dia mencuri hati Rizwan tanpa sedar. Dia bukan sahaja menyerahkan hatinya kepada Rizwan, malah juga kepercayaan dan kesetiaan. Sepenuhnya.
Ya, sepenuhnya. Sehinggakan, kesudahannya dia jadi bahan ketawa seluruh kampung, juga bahan simpati mereka sehingga kini. Walau sebelum ini setianya dipuji mereka. Argh, manusia memang pelik dan dia tak mungkin mampu fahami sikap pelik yang sebati dengan mereka itu.
Sekali lagi terhambur keluhan dari celah kerongkong Sirna, sarat dengan perasaan sebenarnya.
“Kak long?”
Teguran suara lunak itu buat Sirna sedikit tersentak. Namun lekas-lekas dia tayang muka manis apabila sedar akan kehadiran Suria, yang sudah berdiri di hadapannya. Merenung wajahnya dengan muka yang berkerut. Entah bila Suria berada di situ, dia tidak perasan. Terlalu asyik melayan hati yang masih terasa calarnya, sehinggakan tidak sedar.
“Kak long tak apa-apa?” Suria menyoal sudahnya. Setelah agak lama diam merenung kakaknya.
Seketika tadi dia melihat kehibaan mewarnai paras muka Sirna, namun apabila sedar akan dirinya, lantas wajah itu berubah rupa. Senyuman manis menjadi ganti. Deminya.
Ah, kak long... sejak dulu mahu gembirakan hatinya. Langsung tidak pernah mahu dia disapa kerisauan. Mahu dia tersenyum dan gembira sahaja, walau hati kak long galau. Hati Suria mengeluh sendiri.
“Kak long tak apa-apa, Su. Kak long gembira sangat untuk Su kerana akhirnya Su dah bersua dengan pemuda yang Su idamkan, yang Su nantikan selama ini. Hafis benar-benar bahagiakan Su, kak long dapat melihatnya.” Sirna meluaskan senyuman, demi melapangkan dada Suria.
Suria mengambil tempat di sisi Sirna.
“Tentu sahaja Hafis bahagikan Su, kalau tidak dah lama Su larikan diri daripada dia. And you, my big sister, jangan berlakon lagi. Usah berpura-pura demi menjaga hati Su. Su bukan budak kecil lagi tau, untuk kak long terus sembunyikan perasaan sebenar kak long. Peram aje dalam sekeping hati tu. Mungkin dulu Su tak fahaminya, tapi kini Su dah faham. Su mampu selami perasaan kak long.”
Sirna hanya mengangguk kecil.
“Kak long tahu, Su dah besar panjang. Dah jadi seorang isteri, tentu sahaja adik kak long bukan budak kecik lagi.”
“Su dah boleh faham. Tiap kali Su letak diri Su sebagai kak long dan Abang Hafis sebagai dia… Su dah faham.”
“Jangan sekali-kali letakkan diri Su dan Hafis di tempat itu. Kak long tak mahu Su tempuhi kepahitan yang kak long depani. Kak long tak mahu. Mintak dijauhkan…” Sirna menggeleng kepala berkali-kali.
Suasana sunyi mengambil tempat seketika.
“Mak tak patut cakap begitu pada kak long. Kalau orang luar lainlah, tapi bila mak sendiri… sampai hati! Melampau!”
Suria meluahkan rasa tidak puas hati. Tahu mengapa Sirna membawa diri ke ruang tamu, daripada terus berada di dapur bersama emak dan beberapa orang kampung.
Kata-kata emak menghambat kak long, mencari tempat berselindung di sini. Niatnya yang mahu temani kak long terbantut bila dihadang oleh Mak Jenab, yang mengajaknya berbual mengenai alam rumah tangga yang baru ditempuhi untuk masa dua bulan. Pujian melambung Mak Jenab hamparkan untuk Hafis, serta dia, kerana pandai memilih suami.
“Mak dah biasa macam tu, Su.” Hanya itu yang keluar dari seulas bibir Sirna.
Walaupun hatinya terusik dengan bicara emak seketika tadi, namun dia diamkan cuma. Menjeruk perasaan sahaja. Lagipun, apa yang emak katakan itu bukan pembohongan. Seluruh kampung mengatakannya. Emak suarakan satu kebenaran yang harus dihadapinya. Tapi bila mendengar kata itu dari bibir emak… ya Allah, pedihnya hati.
Ya, mak, anak mak ini sudah layak mendapat gelaran anak dara tua. Sirna akuinya, mak. Sudah lama Sirna sedar. Tapi bila mak sendiri yang suarakan, ianya berbeza. Bila mak sendiri yang ungkapkannya… oh, betapa runtunnya hati ini.
Tahukah mak?
“Su dah cakap kat mak, tak payah jemput dia. Tapi mak tetap berdegil, mahu jemput dia sebab dia anak ketua kampung. Mana boleh dibelakangkan, kata mak. Maafkan Su, kak long.” Suria raih jemari tangan Sirna, digenggam kemas.
“Kita sekampung, Su. Selama mana kak long mampu mengelak? Tambahan pula dia sudah kembali ke sini. Kak long perlu depani dia juga. Nak tak nak, kena tengok mukanya jugak. Tak boleh sembunyi, tak boleh lari.
“Dah tiga tahun kak long mengelak, biarlah untuk kali ini kak long belajar mendepaninya. Itu yang terbaik untuk kak long. Tambahan pula itulah yang dinantikan seluruh penduduk kampung. Mahu lihat saat itu.”
“Kak long pasti?”
Sirna mengangguk kepala sebagai jawapan.
“Kalau kak long tak mahu, Su boleh minta bantuan Abang Hafis.”
“Tak perlulah. Sudah sampai masanya…”
Suria senyum nipis. Sulaman tangan mereka dieratkan. Utuh bak satu.
“Su sentiasa bersama kak long. Kak long tak sendirian tau.”
Sirna mengerdip mata. “Itu kak long dah lama tahu…”


6 cakap-cakap:
i think the best part of this story was kisah pasal anak aiza suka beri nama2 dkt binatang... sgt kesian dgn kuing peliharaan die tuh... miahaha...
Adela. Anak Aiza, Nazira. Boleh tak cakap saya pun suka dia! Hehehe.
yg nih, sy mmg suka sgt kisah sirna-hasif, suka sgt dgn nama Sirna, so unik (n sah2 la "tersangkut" dgn hasif gak, heheheh ;p)
Aisyah. Along pun suka gila nama Sirna. Masa ni memang tengah ada penyakit gila nama tu. Sebab macam suka dengar...
Sangkut Hasif eh? Padanlah. Sah suka nama Hasif lagi banding Sirna. Ya ke? ( ^^)
eh x la...sangkut2 kat hasif pon tak leh lawan level sangkut kat akif n raimi, muehehe =)(nih kak bikash punya pasal la, asik create hero yg alwiz mencuit hati, sah2 la sy tersangkut, huahuahua)
Aisyah. Oh... ada sangkut sekejap ngan sangkup lelama eh? Okeylah tu. Tak curang pun sebab hero tak real. Kalau real barulah jadi curangnya. Tak sangka pula hero saya mencuit hati. Auch (*^0^*)
Catat Ulasan