Ahad, Oktober 09, 2011

Ingin Hati Melukis Kata | Bab 3

14 Disember 2007
Beg disangkut pada bahu kiri manakala tangan kanan memegang kuat sebuah beg tote kecil yang diisi barang-barang penting. Berlari perlahan, dia mendapatkan anak-anak tangga, turun mengisi ruang tamu. Matanya menentang mata umi. Sepantas itu juga mata umi meninggalkannya bersama jelingan.
Masam muka umi memberitahu, umi marahkannya. Umi geram dengan sikapnya itu. Namun dia tidak peduli. Untuk kali ini biarlah dia jadi anak yang tidak tahu peduli perasaan uminya sendiri. Untuk kali ini biarlah dia jadi anak derhaka di mata umi. Biar dan dia tak peduli!
Mengemaskan beg di bahu, dia mencapai tangan babah lalu mengucup jari kasar lelaki itu. Seperti selalu, babah akan membelai ubun kepalanya. Sudah begitu cara babah dengannya dan Adya.
            “Jaga diri, hati-hati bawa kereta. Tumpukan perhatian pada jalan, bukan lain daripada jalan,” nasihat Awwal lembut. Hanya telinga anak gadisnya yang sulung itu sahaja menangkapnya.
            Ainsya bukan gadis cengeng. Dia juga tidak mudah menangis. Namun, entah mengapa, nasihat daripada babah itu menjemput air hangat, menggenangi kedua-dua matanya. Dia bukan sahaja membaca nasihat yang tersurat itu, tapi juga nasihat yang tersirat di baliknya. Babah tahu ada gundah di hatinya, ada gelodak dalam jiwanya. Dia tidak perlu buka mulut menutur. Babah sudah boleh menangkap.
            Keputusan mendadak daripadanya, keputusan yang diambil dalam gesa, memberitahu babah. Dan babah, terlalu mengenalinya. Kerana itulah tindakan dia membelakangkan umi, sedang dia sudah sekian waktu angguk setuju, menyatakan betapa dalamnya pagutan resah di hati.
            Ah, babah memang terlalu kenal anak gadisnya ini…
            Babah menahan air jernih yang bergenang itu daripada jatuh menyentuh pipinya. Babah memang tidak pernah senang melihat dia atau Adya menangis.
            Semenjak kecil, kalau ada silap mereka lakukan, babah memang akan menegur. Ada masa rajuk mereka terbawa dek tangisan, sehingga tertidur. Peliknya, babah bukan mengherdik atau tinggikan suara, hanya teguran lembut penuh ketegasan. Namun kesannya selalu sampai ke jiwa. Dan, tangisan tercetus kerana kesal dengan kesalahan sendiri.
            Selalunya, satu jam selepas mereka duduk merajuk di dalam bilik, sampai tertidur, babah akan mendatangi mereka, duduk di samping mereka di atas katil, membelai ubun kepala mereka penuh kasih sayang lalu menghadiahkan kucupan lembut ke dahi mereka. Dan sudahnya, babah akan berlalu. Meninggalkan dia atau Adya, yang disangka babah sedang diulit lena. Hakikatnya, sejak babah buka pintu lagi mereka sudah tersedar.
            Menelan liur pahit, sekali gus perasaan yang bergelodak, Ainsya membuka mulut. “Maaf, babah.”
            “Tak ada silap atau salah daripada Ainsya. Jadi, tak ada maaf yang perlu. Balik dengan hati yang tenang. Itu sahaja harap babah. Dah, pergi. Dah sudah asar ni, nanti lambat pulak sampai ke KL. Dah sampai, telefon babah. Jaga diri, sayang.” Awwal mengucup dahi Ainsya seketika seraya mencapai lengan anak gadis itu. Sama-sama bangun.
            Mengangguk faham, Ainsya mendekati umi. Menghulur tangan, mahu bersalam. Namun wanita itu menyembunyikan kedua-dua tangan di balik tubuh. Bahkan turut memaling muka. Seolah terlalu tinggi silapnya. Sedang dia baru belajar tegar menggeleng sesudah sekian lama mengangguk.
            Hati Ainsya jadi sebak. Kalau ini adalah satu dosa di mata umi, pada tahap manakah ia buat umi?
            “Adya, hantar kakak sampai kereta.” Awwal mengarah. Apabila Ainsya melintasi bersama Adya, dia menepuk perlahan belakang tubuh genit itu.
            Kembali duduk, Awwal menajamkan mata ke raut isterinya. Masih mencuka di atas keputusan anak gadis mereka. Memang benar Ainsya tidak menepati kata. Memang betul Ainsya tidak memegang janji. Namun silap itu tidaklah sebesar mana sampai perlu berdingin mesra.
“Awak tak patut biar dia pergi!”
Hmm, dingin kepada Ainsya sudah dianjak kepadanya pula. Kalau sudah panggilan awak menyusul bibir itu, maknanya Nuhaa mahu dia bertanggungjawab atas kedegilan Ainsya yang tetap mahu ikuti Annual Dinner EANI malam esok walaupun berbulan dahulu Ainsya setuju sahaja untuk tidak menghadirinya.
Kerana itu yang Nuhaa mahu. Atas alasan tarikh 15 Disember terlalu hampir dengan 29 Disember 2007, hari perkahwinan Ainsya dengan Solehandin.
“Tak ada salahnya pun kalau Ainsya pergi. Bukan esok majlis kahwin tu, tapi ada dua minggu lagi. Banyak lagi masa yang ada. Biarlah Ainsya rasa hidup sebagai anak perempuan sepuasnya, sebelum digelar isteri.” Selamba sahaja tutur Awwal. Tahu bicaranya bakal menyakitkan perasaan seorang isteri. Biar. Memang itu mahunya.
Anak gadisnya bukan tidak berbapa untuk diamuk tanpa belas. Selagi belum jadi isteri seseorang, Ainsya masih anak gadisnya. Kalau sang ibu tak reti menangkan, dia tahu beloknya. Lagipun, Ainsya kan anak bapa. Gelaran isterinya sendiri. Jadi dia akan pegang utuh gelaran itu.
Bapa akan jagakan anak bapa!
“29 tahun hidup sebagai anak perempuan, ditatang awak tanpa peduli salah silapnya, masih tak cukup untuk awak?” Mencerlang mata Nuhaa. “Sampai umur berapa baru awak nak lepas dia, jadikan dia isteri seseorang? Tak cukup lagi dengan gelaran anak dara tua daripada jiran-jiran kita?”
“Awak tu yang terlalu kisahkan gelaran orang luar. Hati orang luar bukan main awak nak jaga, tapi hati anak sendiri, ada awak soal? Perasaan Ainsya ada awak ambil kira?” tanya Awwal sengit.
“Lepas Ainsya angguk kepala barulah saya terima lamaran Solehan. Jangan nak tuduh saya buat keputusan sendiri!” Sengit juga jawapan Nuhaa.
Awwal senyum sinis. “Kalau 24 jam kena tadah telinga dengar bebel awak, keluh-kesah awak serta ugutan awak, jangankan Ainsya tahu kata setuju, kucing di laman pun boleh kata ya.”
Nuhaa mendengus. Marah. “Awak memang saja nak kata saya, kan? Kalau libatkan anak kesayangan awak tu, mana pernah awak nak menangkan saya. Asyik Ainsya aje!”
“Sebab Ainsya tak pernah perlu saya menangkan dia selalu dan sebab awak tak pernah tahu menangkan dia.”
Sekali lagi dengusan menghuni ruang tamu.
Adya yang menghantar pemergian kakaknya tadi sudah lama memanjat anak tangga, kembali ke bilik. Malas mahu menempah masalah dengan mendengar rungutan tidak puas hati umi. Tahu, salah kakak saja yang akan dilihat umi. Daripada hatinya menggelegak menampung telinga, baik dia langsung tidak rosakkan telinga. Demi keselamatan telinganya juga!
“Esok apa saya nak jawab pada yang datang? Malu saya nanti. Orang datang rumah, yang dirai pulak tak ada!”
Awwal menggeleng dengan sikap isterinya. Gelisahkan orang luar, bukan anak sendiri! Bukan hendak ditanya sebab sebenar Ainsya buat keputusan untuk ke KL, hadiri majlis makan malam syarikatnya itu apabila awal lagi Ainsya sudah menolak untuk pergi. Sebaliknya menelan bulat-bulat alasan Ainsya yang kehadirannya diperlukan di majlis itu.
Awwal bangun daripada duduknya. Berdiri seketika menentang raut Nuhaa yang duduk di kerusi tunggal, tidak jauh daripadanya.
“Kalau satu hari nanti awak bakal hilang Ainsya, itu bukan sebab jiran tetangga yang awak terlalu agungkan. Bukan jugak sebab saudara-mara yang awak terlalu kisahkan, sebaliknya sebab diri awak sendiri!”
“Awak mengarut apa ni? Saya tengah risau macam mana nak berdepan dengan jiran-jiran dan saudara-mara kita esok, awak pulak mengarut yang bukan-bukan!” lenting Nuhaa geram.
“Nuhaa... Nuhaa…” Menggeleng kepala, Awwal terus berlalu. Tak kuasa melayan gelisah isterinya memikirkan hari esok.
Untuk Awwal, jiran dan saudara-mara memang penting. Namun tiada yang lebih penting daripada anak sendiri. Dia mengatur langkah mengikut dasar kekeluargaan sedang isterinya, di bawah telunjuk masyarakat.

Tiada ulasan: