Ahad, Mac 13, 2011

Suha Kuasa Tiga | Bab 1

Waktu itu aku tak tahu apa yang jadi. Yang pasti, malam itu, seperti biasa aku tidur awal. Esok sekolah kan. Memang itu yang ibu nak. Dan aku pun sudah biasa masuk tidur seawal 10.00 malam. Sejak darjah satu lagi. Di hari sekolahlah. Dan malam itu, macam biasa aku masuk tidur waktu yang sama. Cuma aku tak bangun pukul 6.00 pagi macam selalu. Aku bangun lebih awal.
Pembetulan, aku dikejutkan lebih awal.
Aku tak akan lupa. Sebab muka ibu resah. Jarum jam mendeting. Masih terakam kemas dalam kotak ingatan. Memori itu bersama aku sampai bila pun!
Muka ibu resah dan bimbang. Ibu kejut aku daripada tidur seawal pukul 3.00 pagi. Tepat. Waktu itu mata ibu basah. Jadi aku tahu ibu baru lepas menangis. Babah pula kalut mengambil baju-baju aku di dalam almari pakaian. Tak peduli apa dia capai. Jelas kalut.
Aku waktu itu, mamai dan keliru. Tapi yang memonopoli mestilah mamai. Yalah, dikejut awal begitu. Kemudian aku dibawa turun dari katil dan terus saja aku dalam dukungan ibu. Terolang-aling sekejap jadinya.
Untuk budak berusia sepuluh tahun, tubuh aku masih kecil dan kurus, jadi tak jadi hallah untuk ibu dukung aku. Dan aku terus ‘padam’ di bahu ibu semula. Sambung tidur!
Tapi aku tak lama ‘padam’ sebab lebih satu jam kemudiannya, aku dikejutkan semula oleh babah. Babah dukung aku keluar dari kereta. Walaupun aku rasa lotek dan tak senang sebab dah dua kali tidur aku diganggu, rasa nak marah sebab kata babah dan ibu aku memang kurang sabar semenjak kecil sampaikan setiap sepupu perempuan terima benjol di kepala setiap kali cuba ajak aku main masak-masak manakala sepupu lelaki terima lebam setiap kali berjaya ajak aku main gusti. Aku tahankan saja perasaan itu. Sebab aku baru sedar di mana aku.
Aku berada di halaman rumah pak ngah!
Dan halaman rumah pak ngah penuh dengan orang!
Ramai!
Aku rasa tarikan itulah yang mengoja aku agar tak rasa nak marah bila dikejutkan sebelum pukul 6.00 pagi.
Kemudian aku rasa hairan. Nak tahu sangat kenapalah kami sekeluarga ada di rumah pak ngah yang terang-benderang. Dan, mengapa terlalu ramai orang di halaman rumah, beranda rumah serta di dalam rumah pak ngah. Lebih ramai daripada orang yang ada di hari raya kedua waktu babah dan ibu bawa aku ke sini.
Aku tak membantah apabila babah turunkan aku dan bersalaman dengan beberapa orang lelaki berbaju Melayu dan kain pelekat serta kupiah. Aku hanya tilik sekejap mereka-mereka yang aku rasakan menggalah daripada aku. Kemudian aku berlari lekas ke rumah pak ngah. Memanjat anak tangga rumah papan yang tinggi, aku sampai ke beranda.
Sekali lagi aku lalu dekat dengan pak cik-pak cik geng baju Melayu dan kain pelekat. Kali ini mereka tak menggalah. Sebaliknya lebih kurang tinggi aku saja. Sebab mereka semua tengah duduk. Tapi ada satu kelainan aku perasan. Mulut mereka terkumat-kamit. Sesekali mata lihat sebuah buku kecil di tangan.
Aku tak tahu buku apa yang pak cik-pak cik geng baju Melayu itu baca. Tapi aku yakin bukan buku Matematik yang selalu buat aku tarik rambut. Sebab ada alunan yang mendayu aku dengar. Lunak bunyinya. Bacaan itu aku cam. Surah Yasin!
Hari ini bukan malam Jumaat pun untuk mereka baca Yasin. Macam yang babah dan ibu buat setiap kali selepas solat jemaah kami malam tersebut. Tapi aku ingat kata ibu. Yasin bukan amalan malam Jumaat sahaja. Bila-bila pun boleh.
Hmm, mungkin sebab bila-bila…
Itulah yang aku agak waktu itu. Sampailah aku terus berlari perlahan, masuk ke dalam rumah. Meloyong mencari ibu yang awal-awal lagi sudah meluru masuk ke dalam rumah sewaktu babah dukung aku keluar dari kereta tadi.
Aku tergamam. Aku berdiri di satu tempat apabila terpandangkan ibu sedang memeluk mak su. Mereka berdua sama-sama menangis. Di sekitar mereka ada muka-muka yang aku kenal dan tak kenal. Semuanya perempuan dan mereka berbaju kurung dan tudung.
Aku berdiri di satu tempat kerana terlihat ibu dan mak su yang menangis. Tapi aku lebih terkejut bila tertengok dua batang tubuh yang dibalut kain pelekat di hadapan ibu dan mak su. Kedua-dua tubuh itu diletak sebelah-menyebelah. Aku nampak jelas dua wajah manai yang sangat aku kenal.
Pak ngah dan mak ngah!
Malam itu, barulah aku tahu surah Yasin juga dibaca untuk mereka yang pergi meninggalkan dunia. Kembali kepada Pencipta.
Pak ngah dan mak ngah sudah meninggal dunia! Dah tak ada! Mati!
Terkejut. Itulah perasaan aku. Lebih daripada itu, aku mula rasa macam-macam, yang aku sendiri tak dapat gambarkan dalam usia begitu. Yang aku tahu, aku menjerit kuat di situ juga. Bukan panggil pak ngah. Tak juga sebut mak ngah. Aku hanya jeritkan satu nama!
“Suhaid!”
Itulah nama yang aku jeritkan di pagi hari Jumaat itu. Kuat. Berulang-ulang sampaikan isi rumah menghentikan bacaan Yasin. Juga tangisan mereka. Mata geng pak cik baju Melayu dan geng mak cik baju kurung semua ke arah aku yang menjerit lantang. Aku mula menangis sakan.
Aku tak tahu kenapa aku jeritkan nama Suhaid. Adakah kerana aku sangka Suhaid juga sudah meninggal? Atau adakah aku hendak tahu sama ada Suhaid belum meninggal? Aku tak tahu, sampai hari ini.
Tapi aku tahu, aku lega sangat apabila melihat Suhaid berlari laju. Dia berhenti di hadapan aku. Walaupun mata aku basah sebab menangis, ganggu pandangan, namun aku nampak Suhaid. Jelas berdiri di depan aku.
Muka Suhaid comot. Penuh kesan air mata. Bila lihat aku menangis, Suhaid menangis lagi. Meraung kuat. Teresak sakan. Kami langsung tak peduli kepada seorang perempuan yang cuba peluk Suhaid. Mungkin nak tenangkan Suhaid.
Suhaid, anak pak ngah dan mak ngah, menangis atas pemergian bapa dan emaknya. Suhaid, anak pak dan mak ngah, kini jadi sebatang kara. Suhaid sudah jadi anak yatim piatu.
“Kakak…” Masih menangis, Suhaid yang juga sepuluh tahun cuba bersuara. Air mata laju penuhi pipi Suhaid yang gebu. “Suhaid dah tak ada mak, tak ada ayah. Suhaid dah tak ada siapa…”
Menangis, menangis dan terus menangis. Itulah yang Suhaid buat.
Aku pula tengok saja. Air mata sudah kering. Tapi perasaan aku sedih. Basah. Kerana aku faham maksud Suhaid. Spontan aku raih tubuh Suhaid yang hanya sedikit tinggi daripada aku. Aku peluk. Aku tepuk belakangnya.
“Jangan nangis,” kata aku terus menepuk lembut belakang badan Suhaid. “Kakak ada dengan Suhaid. Suhaid ada kakak. Kakak tak akan tinggal Suhaid.”
Waktu itu, aku tak pernah anggap ia satu sumpah. Waktu itu, aku tak pernah tahu pun apa makna janji. Tapi, aku luahkan apa yang aku rasa. Apa yang aku mahu. Aku nak Suhaid tahu dia tak sendirian. Pemergian pak ngah dan mak ngah tak buat dia sendirian. Sebab aku masih ada.
Aku tolak badan Suhaid dan aku capai pergelangan tangannya. Kemudian aku tarik dia, sama-sama melangkah. Dekati dua tubuh yang kaku. Tumpuan aku bukan kepada dua tubuh itu, sebaliknya terus kepada ibu yang masih menangis sambil lihat aku dan Suhaid.
Tangan kanan aku kemas paut tangan kiri Suhaid. Jemari kurus aku genggam kuat jemari montok Suhaid. Mata aku ke mata ibu.
“Suhaid ada kakak. Suhaid akan tinggal dengan kakak!” Aku tak minta, Aku tak harap. Aku nyatakan terus apa yang aku hendak. “Suhaid tak akan pisah daripada kakak. Kakak tak akan pisah daripada Suhaid. Suhaid ada kakak! Kami saudara sampai bila-bila!”
Ibu menangis. Tapi ibu senyum. Luas, bangga. Kemudian ibu angguk kepala. Mengiakan bahawa aku dan Suhaid saudara sampai bila-bila!
Dan malam itu, aku tak lepas langsung tangan kiri Suhaid daripada genggaman tangan kanan aku. Kerana aku dan Suhaid, kami saudara sampai bila-bila!

6 ulasan:

yna fazlyna berkata...

sedih... yna sungguh2 baca. tak sabar nak tunggu sambungannya..

http://ceritaidupsaye.blogspot.com/

Bikash Nur Idris berkata...

yna,
Sebenarnya Suha Kuasa Tiga ni dah terbit dan ada di pasaran. Saja nak promo. Nanti akan masukkan bab dua pulak :)

Mazliza berkata...

best.. nanti aku nak pi cari la.. :)

Bikash Nur Idris berkata...

Mazliza,
Cari... cari... Hehehe.

Wani Muchyz yg cinta 21's berkata...

dalam pasaran? best ah kak bikash :)

Bikash Nur Idris berkata...

Wani,
Dah dalam pasaran. Boleh aje dapatkannya kalau nak :)