Sabtu, Mac 19, 2011

Suha Kuasa Tiga | Bab 2

Dan sampai hari ini, selepas enam tahun, aku tak lepas pun tangan Suhaid. Tangan kiri Suhaid masih genggam tangan kanan aku. Kerana aku dan Suhaid, kami saudara sampai bila-bila!
Aku, Nasuha binti Nuhman, akan pegang janji itu. Umpama satu sumpah yang aku sudah mula faham maknanya. Yalah, dulu aku ketot lagi (bukan ketinggian saja, paras pemikiran pun sama). Jadi aku taklah faham sangat. Tapi sekarang aku dah tahu yang aku betul-betul maksudkan apa yang aku cakap enam tahun dulu.
Aku eratkan genggaman tangan Suhaid. Suhaid alih muka, melihat aku. Aku senyum.
“Jangan risaulah, Suhaid. Kakak kan ada…” Aku kenyit mata. Untuk tenangkan Suhaid. Aku tahu dia gemuruh.
Sejak tahu kami akan masuk sekolah ini lagi dia dah serba tak kena. Resah dua macam. Sampaikan masak lauk bila tolong ibu semalam pun tak elok rasa. Ya, Suhaid yang tolong ibu masak. Bukan aku. Dapur bukan bidang aku, terima kasih!
Aku tengok semula ke depan. Sebaik babah hantar kami berdua, terus kami turun dari kereta dan halau babah (ya, aku betul siuh-siuh babah tapi Suhaid saja yang sopan-sopan baik minta babah lekas ke pejabat sebelum terlambat). Bangunan Sekolah Menengah Kampung Dang Setia megah berdiri di depan.
Sekolah Menengah Kampung Dang Setia yang sebelum ini adalah khas untuk pelajar lelaki, dibuka untuk pelajar perempuan sama mulai tahun ini. Atas sebab itulah aku dan Suhaid sama berdiri di sini. Suhaid tu lelaki ya, aku ni perempuan ya. Jangan salah faham.
Selama ini, semenjak kami sama-sama dalam tingkatan satu, aku dan Suhaid bersekolah di pekan. Agak jauh dari Taman Desa, kawasan perumahan yang kami duduki. Semuanya sebab Sekolah Desa (singkatan untuk sekolah depan aku ni, oleh aku sendiri, sebab panjang sangat nak tulis atau sebut nama penuhnya), dikhaskan untuk pelajar lelaki.
Aku tak sanggup lain sekolah dengan Suhaid dan Suhaid pula tak nak berpisah dengan aku kalau dia ke Sekolah Desa. Memandangkan jantina aku tak mungkin boleh diubah walaupun aku adalah budak tomboi. Ada juga Suhaid cadangkan aku menyamar jadi lelaki, supaya kami sama-sama ke Sekolah Desa. Tapi, lepas Suhaid layan drama Jepun Hana Kimi, dia sendiri bantah cadangannya sendiri. Aku dahlah macam jantan. Jadi, dia tak nak aku jadi jantan pula.
Suhaid juga tak nak aku dibuang sekolah kalau-kalau penyamaran aku terbongkar. Jadi Suhaid ikut aku mendaftar di Sekolah Pekan (sekali lagi, ini singkatan aku untuk sekolah lama aku). Walaupun jarak Sekolah Desa lebih dekat dan afdal untuk jantina Suhaid.
Dan sekarang, apabila Sekolah Desa dibuka kepada pelajar perempuan, Suhaidlah yang paling gembira. Juga gemuruh. Berbanding aku yang perempuan, yang tahun ini baru diterima masuk ke Sekolah Desa.
Aku alih muka kepada Suhaid semula. Bulat saja matanya tengok bangunan sekolah di depan kami. Seperti awal tadi, kami masih berdiri di satu sudut pekarangan sekolah supaya tak ganggu jalan pelajar-pelajar lain masuk sekolah. Yang pintu pagar utamanya sudah dibuka luas.
Di dalam kawasan sekolah, tak jauh dari pagar utama, ada pondok pengawal. Aku perasan ada seorang pak jaga terjenguk-jenguk tengok aku dan Suhaid. Mungkin sebab sejak tadi kami tegak di tempat yang sama. Gajak kami mencurigakan. Atau mungkin pak jaga tu takut kami mahu ambil alih tugasnya. Tak ada masa! getus hati aku.
Aku goncang tangan Suhaid. Tak nak Suhaid berangan lagi sebab semua angan-angan dia adalah negatif. Jadi, sebelum Suhaid mula menggeletar fikir angan-angan negatif dia, baik aku sedarkannya.
Aku berjaya! Suhaid tengok aku, aku tengok Suhaid.
“Kakak ada… Kakak ada sampai bila-bila pun dengan Suhaid!” Aku tekan kata-kata itu. Aku nak Suhaid tahu, aku pegang kata-kata itu seumur hidup aku. Sampai bila pun. Sekolah baru ini bukan halangan untuk aku kotakannya!
“Shh…” Tangan Suhaid terlepas daripada genggaman. Terus naik jari telunjuknya ke mulut sendiri. ‘Shh’ dia panjang satu macam. Agak tertekan.
Aku tahu kenapa. Dan aku hanya boleh sengih sebab aku yang lupa. Lupa pada janji yang aku kata dengan dua jari diangkat tinggi. Tak akan bahasakan diri kakak dengan Suhaid di sekolah baru ini.
Sebab Suhaid nak jaga maco dan kacak. Tak nak lagi dapat gelaran Abang Jambu macam di Sekolah Pekan dulu. Sampaikan dia dalam senarai teratas bila masuk bab kakak angkat dan adik angkat. Walhal dia tak pernah angkat seorang pun daripada mereka. Kakak dan adik itu yang iktiraf diri mereka begitu.
Suhaid tak nak terima pengiktirafan itu lagi di sekolah baru. Dia hendak digelar Abang Maskulin, bukan Abang Jambu. Walaupun Suhaid gila makan jambu batu!
“Dah biasalah…” Aku memuncungkan mulut. Sekali gus beritahu Suhaid aku tak selesa dan tak suka.
Takkanlah tiba-tiba nak ubah panggilan dia? Padahal sejak lahir lagi aku dah bahasakan diri kakak dengan Suhaid. Dia pun panggil aku kakak. Sebab sejak kecil lagi memang akulah pelindung Suhaid. Dalam apa situasi pun. Sampailah hari ini. Aku pengawal peribadi rasmi Suhaid. Tak payah orang lain nak iktiraf. Aku dah iktiraf lebih awal!
Suhaid memang lelaki. Tapi dia lelaki paling lembut aku pernah jumpa. Suhaid tak lembut macam perempuan. Ayat BI dia, soft-spoken. Macam itulah Suhaid. Hati dia sangat lemah lembut. Kalau bercakap, sangat santun. Memang kena dengan budi bahasa budaya kita. Aku yang perempuan pun tak pernah macam itu. Sebab aku kan tomboi sejak lahir.
“Suhaid tahu. Tapi cubalah. Mulai hari ni, di sekolah ni… Nasuha adalah Suha. Bukan kakak. Okey?” Suhaid senyum tipis untuk aku.
Aku tahu dia nak buang muncung aku. Senyum dia tu… jangankan muncung itik aku, muncung platipus aku pun boleh hilang. Betapa hebatnya. Jadi, tak hairanlah kalau beratur adik dan kakak nak diangkat, kan? Aku yakin di sekolah baru ini pun sama. Berani kerat semua jarilah!     
Senyum Suhaid luas. Tangan kanannya panjang saja ke pipi aku, ditepuk lembut. “Sayang dia…”
Aku senyum. Aku yakin, kalau ada orang lalu di sebelah dan lihat kelakuan Suhaid serta dengar kata dia, akan sangka aku teman wanita atau kekasih Suhaid. Namun, aku tak kisah. Aku dan Suhaid lebih tahu hubungan kami. Saudara yang lahir daripada dua keluarga berbeza. Saudara sampai bila-bila!
“Sayang dia juga…” Senyum aku pun lebar macam Suhaid. Tapi sekejap saja.
“Saya pun akan sayang dia dan dia juga kalau kau orang berdua sama-sama ke tepi. Saya nak lalu!”
Suara itulah yang buat aku dan Suhaid tak senyum. Muka kami sama-sama ke mukanya. Muka saya nak lalu!
“Ini sekolah, tempat tambah ilmu. Bukan kurangkan,” kata budak lelaki itu, sinis.
Dia berbaju sekolah. Tangan kanan pegang pemegang beg sekolah empat segi, diangkat tinggi ke paras bahu. Sampaikan siku kanan terjengul keluar. Di mulut, dia gumam daun hijau. Aku yakin daun lalang. Manakala telinga kiri sendal pensel kayu yang pendek. Rambutnya hampir botak. Macam pelakon utama siri Prison Break tu (rambut saja tau!).
Dia jalan terus. Menolak aku dan Suhaid, berjalan antara kami. Sebabkan salah parkir atau sengaja (aku undi sengaja), siku kanan dia cantik saja kena pipi aku. Perit! Mujur geraham aku utuh!
“Kurang ajar!” Aku tak tunggu lama. Terus nak menyerbu lelaki kurang diajar itu. Tapi tak berjaya sebab Suhaid cepat-cepat tangkap beg sekolah aku yang tergantung pada kedua-dua bahu. Dia heret aku. Sampaikan aku bergerak ke belakang. Aku cuba masukkan gear satu, tapi asyik ke gear undur.
“Lepas, Suhaid. Kena ajar orang macam tu!” marah aku mula melenting. Tangan tergawang di depan. Macam orang tengah beria cuba hendak berenang pula.
“Tak boleh!” Suhaid terus tarik aku. Rapat dengannya. Dipegang aku kuat. “Bukan saja nak buang panggilan kakak, gelaran Aseng yang Suha bawa tu pun kena buang. Tak boleh samseng lagi!”
Aku tahu Suhaid bersungguh. Aku yakin Suhaid nak aku tak terus sandang gelaran Sekolah Pekan di Sekolah Desa. Tapi… aku peduli apa kalau libat lelaki kurang diajar itu. Tengoklah kau, budak saya nak lalu, aku isytiharkan perang dengan langkah pertama ke dalam sekolah baru ini.
Sekolah baru, musuh pun baru!

Tiada ulasan: