Ahad, Ogos 28, 2011

Ingin Hati Melukis Kata | Bab 2

14 Disember 2007 
Ainsya hanya boleh kekal tersenyum apabila terus-terusan menerima patah ayat yang sama daripada setiap jiran tetangga yang berkunjung.
“Bertuahnya kamu dapat si Solehan tu!”
Itulah ayat ulangan yang menyesakkannya. Namun bunga bibirnya sentiasa mengukir senyum. Tanda dia amat menghargai siaran ulangan tanpa henti itu. Sedang hakikatnya tidak.
Kenapa tiada seorang pun daripada jiran tetangga ini yang mendekatinya lalu menyatakan betapa bertuahnya Solehandin kerana memilikinya? Tidakkah dia membawa tuah kepada hidup lelaki itu?
Kalau seluruh isi tetangga kawasan perumahan itu menyatakan tuahnya mengahwini Solehandin, dia tak akan ambil peduli. Namun, mereka mengatakan dia bertuah mengahwini Solehandin kerana Solehandin kacak, persis bidadara turun dari kayangan. Sedang dia hanya si gadis biasa dari bumi tanpa rupa. Tiada yang menarik dipandang mata. Dia rendah, dia gemuk, dia tidak pandai berhias dan kulitnya kusam kelangsatan.
Dia bertuah kerana dia yang buruk akan mengahwini Solehandin si tampan. Handsome and the beast! Dan, dia bertuah kerana Solehandin bukan sahaja kacak, malah lebih muda berbanding dia. Hanya muda tiga tahun. Namun, desas-desus yang kedengaran macamlah dia tua 30 tahun daripada Solehandin. Kononnya dia bertuah kerana dapat betik muda!
Itulah yang menyakitkan hatinya. Dia bukan bertuah kerana dapat mengahwini Solehandin di atas kebaikan atau budi pekerti lelaki itu. Sebaliknya kerana dua perkara bodoh di atas—kekacakan dan kemudaan Solehandin!
Pemikiran orang tak matang sungguh!
“Bertuahnya kamu dapat si Solehan tu…”
Ungkapan yang sama daripada Mak Ngah Qila, jiran sebelah rumah mereka, membuatkan Ainsya hanya boleh sakit dalam hati dengan menghantar senyum plastik pada bibir. Sebaik sahaja Mak Ngah Qila berlalu dengan senyum misterinya, Ainsya berlalu dari kedudukannya. Menjauh dari ruang tamu yang sudah dipenuhi batang-batang tubuh saudara-maranya, dekat dan jauh. Juga jiran tetangga.
Bersandar pada dinding, jauh dari ruang tamu, Ainsya melepas keluh, sekali gus mengatur nafas. Perasaan yang berolang-aling cuba diatur. Sabar yang memang tidak pernah utuh dalam diri cuba dibentuk. Dia tidak boleh hilang sabar. Tambah pula jiran-jiran serta saudara-saudaranya itu tidak berbohong; memang dia tidak layak buat Solehandin, lelaki hampir sempurna itu.
Apabila bersama Solehandin, dia seolah hilang diri. Tiada lagi Ainsya Najma, hanya tunang kepada Solehandin, bayang-bayang Solehandin.
Semenjak pertunangan ini bermula, semenjak itulah dia hilang identiti sebagai seorang gadis, perempuan mahupun wanita. Dia seolah cagaran untuk lengkapkan kesempurnaan Solehandin—dicagarkan umi sendiri. Dan Solehandin diangkat semua kerana memilihnya sebagai isteri apabila Solehandin lebih daripada mampu dapat yang lebih baik daripadanya!
Siapa bilang dia tak mahu kahwin? Siapa kata dia tak mahu jadi isteri? Tentulah dia hendakkan kedua-dua itu. Tentu sahaja dia mahu. Malah dia lebih mahu jadi seorang ibu. Namun jodohnya dengan lelaki tidak pernah ada.
Hmm, tak adalah sampai tak ada rasanya. Kalau tak, masakan dia pernah ada teman lelaki. Dua kali pula tu—dalam masa yang berbeza ya! Namun kedua-duanya tidak lama.
Hubungan pertama ketika dia masih di awal kolej. Hubungan yang bermula pada semester pertama dan berakhir pada semester itu juga. Alasan teman lelakinya waktu itu, dia terlalu sibuk dengan pelajaran sehinggakan lelaki itu rasa diabaikan dan ketika itulah gadis lain mengisinya.
Hubungan kedua pula bermula ketika dia mula menjejak kaki di alam pekerjaan. Hubungan yang pada awalnya lancar, malah boleh dikatakan sempurna, bertemu dengan jalan buntu. Jalinan lebih satu tahun terputus di tengah jalan hanya kerana kekasihnya itu tidak mampu menerima hakikat bahawa pangkat yang diidamnya adalah milik teman wanitanya sendiri.
Teman wanita menang, naik pangkat, menjadi superior, jadi teman lelaki rasa maruahnya jatuh, cintanya tercalar—hanya kerana pangkat itu dimahunya untuk diri sendiri, bukan teman wanita.
Begitulah kisah cintanya berakhir. Kerana sebab-sebab yang bila dia fikir semula kala ini, sungguh mengarut dan ada waktunya mengusik hati.
Semenjak itulah dia sudah malas mahu fikir hal hati atau perasaan. Tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya sahaja. Sudahnya, kini dia menjadi Pengurus Besar EANI Travels cawangan Perak yang berada di bawah EANI Holdings.
Dia pengurus wanita pertama di situ dan lebih separuh daripada pekerja-pekerjanya adalah lelaki. Lelaki-lelaki yang membencinya kerana dia seorang perempuan, tidak layak mengemudi EANI Travels cawangan Perak. Kononnya hanya orang lelaki boleh jadi nakhoda, bukan perempuan.
Oleh yang demikian, sampai saat ini dia tetap dibenci segelintir daripada mereka, yang sudah dapat gelaran khas—Puak Pembangkang, yang terdiri daripada Zahir, Deva dan Rizal. Bukan dia yang berikan gelaran tersebut, tetapi setiausahanya, Ramya.
Namun dia tidak pernah ambil peduli akan hal-hal sebegitu. Tak ambil kesan pada hati mahupun diri. Kerana dia tahu, takkan ada bezanya pun dia peduli ataupun tidak, kerana Puak Pembangkang akan terus tidak menerimanya. Tak akan mengundinya. Untuk itu, dia selalu berdepan dengan mereka sebagai pengurus, bukan perempuan.
Dan hal ini, membuatkan benci mereka meruah kerana mereka sebagai sub-ordinat tidak boleh membantah superior sepertinya.
“Bertuah kan Kak Ainsya dapat abang tu? Handsome sangat!”
Ainsya tersedar. Di mana dia berada dan kenapa dia berada di situ. Yang kenapa itulah yang lebih menyedarkannya. Dia berpaling ke arah suara remaja itu. Dua gadis belasan tahun, yang dia yakini teman sekolah Adya, duduk berdua dan berbisik-bisik mengenai Solehandin, kekacakannya serta tuah Kak Ainsya mendapat pemuda itu.
Mereka berbisik, tetapi masih boleh sampai ke telinganya? Hmm, mungkin kerana Solehandin isu sensitif telinganya. Jadi, cepat sahaja tertangkap.
Menggeleng kecil, terus bersama gelengan, dia mengatur langkah. Meninggalkan ruang bersembunyi dan berkhayal. Dia perlu lebih menjarakkan diri daripada bisikan itu!
Sebaik kaki menjejak ruang dapur, dia memperlahankan langkah. Ada suara boleh didengar dan dia tidak mahu menyua telinga untuk diparahkan jika melangkah ke situ. Bunuh diri apa! Tak pasal telinga berdarah sampai mati!
Ainsya mengamati suara itu. Ah, Solehandin rupanya!
Kalau setakat tunangnya itu, tiada masalah. Solehandin cukup baik dengannya. Melayan dia selayaknya. Malah terlalu baik kepadanya. Baru sahaja dia mahu melangkah, ada satu lagi suara menindan suara Solehandin. Manja, penuh rajuk.
Hati Ainsya terpagut. Ingin tahu sangat-sangat. Mungkinkah ada gadis lain cuba menggoda tunangnya? Dan, mungkinkah tunangnya tergoda?
Ainsya menjenguk kepala lebih dulu. Tubuh tersembunyi di balik dinding. Matanya terbuntang. Apa yang dilihat terlalu mengejutkan, terlampau memeranjatkan. Mendadak dia membawa kaki ke ruang dapur. Menjadikan dia batang tubuh ketiga di situ.
“Ya Allah!” Ainsya tersandar pada dinding, tangan kanan pada mulut yang ternganga dan matanya mula bergenang. Tuhan, ujian jenis manakah ini?
Kedua batang tubuh itu, yang saling berpelukan, turut terkasima. Kedua-dua lelaki itu sama-sama terlongo luas memandangnya!

8 ulasan:

MiZaH 131 berkata...

confirm tak jadi kahwin hehehe

Bikash Nur Idris berkata...

Mizah,

Hehehe. Mustilah... ;)

miss qs gonna be! berkata...

dah kata dah...hero dia mesti orng lain..ade dia memang ade six sense la..hahaha..chaiyok2 kak bikash...

Bikash Nur Idris berkata...

Miss QS. Memang ada sixth sense kut... Hehehe. Yup, orang lain ;)

nas chuare @ miss qs berkata...

eee..best!!!tak sabarnyer..

Bikash Nur Idris berkata...

Miss QS. Novel ni pun dah selamat terbit...

nas chuare @ miss qs berkata...

ok...nak belilah...

Bikash Nur Idris berkata...

Miss Qs. Ok ;)