Jumaat, Ogos 19, 2011

Ingin Hati Melukis Kata | Bab 1

13 Disember 2007
Nuhaa mendekati anak gadisnya yang berusia 16 tahun itu. Sedang membancuh minuman sambil mengelamun sendiri. Matanya jauh ke hadapan, merenung jendela yang terbuka. Bahu anak bongsunya itu ditampar. Mengejutkan si perawan.
“Hisy, umi ni! Buat Adya terkejut aje tau!” Adya mencebik mulut kepada Nuhaa. Uminya itu memang begitu. Pantang lihat dia dalam ‘dunianya’ sendiri. Mulalah nak tepuk tampar bagi kesedaran. Konon! Padahal dia bukannya berada dalam ‘dunia’ yang tidak senonoh—seperti yang dianggap wanita itu, dia yakin. Sebaliknya dia sedang mula mengingati nota-nota pelajarannya. Membuat ulang kaji melalui minda, tanpa menggunakan peta minda.
Macamlah umi akan percaya kepada jawapan itu—kalau umi pernah rasa nak soallah nanti!
“Umi suruh kamu buat air, bukan berangan!” Nuhaa menjegil mata kepada Adya yang masih menjuih bibir.
 “Tengah buatlah ni, umi. Berangan tu selingan. Rancangan TV pun ada selingan iklan tau! Dah nak siap dah airnya. Adya dah letak gula lebih. Takut nanti ada air tambahan, gulanya tak rasa!” Selamba Adya serahkan jag berisi Oren Sunquick itu kepada Nuhaa.
Nuhaa mencapai dengan dahi berkerut. “Air tambahan?”
“Yalah. Kalau dah setiap jam buka mulut, pot-pet, pot-pet tak henti… tak ke ada air tambahan tercampak masuk dalam jag tu?”
“Isy, kamu ni! Mulut macam orang tua!”
“Betullah, umi. Kalau datangnya bawa tangan yang ligat tak apa jugak, ini… mulut aje ligat. Konon datang nak tolong, tapi tolong mengumpat. Tolong tambah dosa umi lagi adalah!” Adya terang-terang sampaikan perasaan kurang senangnya terhadap jiran tetangga mereka yang sedang bertenggek di halaman rumah mereka, sebagaimana dua hari yang lalu.
Diketuai oleh Mak Ngah Qila, jiran rumah sebelah mereka yang mengaku hubungannya dan umi bak adik-beradik. Kerana itulah gelaran mak ngah itu diberi oleh dirinya sendiri dan dia juga mengaku bersaudara dengan umi, bukan setakat jiran. Hanya kerana wanita itu dan umi antara penghuni awal yang mengisi kawasan perumahan itu.
“Kamu ni… mulut siapalah turun kat kamu ni! Tak tahulah umi! Ni, yang kamu duk mengata dia orang tu… tak ke mengumpat, tambah dosa?” Nuhaa tembak Adya, si manis 16 tahun itu dengan ayatnya sendiri. Perangkap terang dan bukan lagi samar.
“Itu hakikat, umi! Dulu, dia orang sibuk sangat dengan hal kakak. Bukan main mengata. Ni… kakak dah nak kahwin pun duk mengata lagi. Depan umi yalah, puji melambung. Belakang umi… heh, malas nak buat siaran ulangan. Buat penat mulut aje. Umi tu mana nak terima! Jiran dan saudara-mara aje betul!”
“Kamu ni dah lama hidup ke cakap macam ni? Umur baru setahun jagung, berfalsafah bagai! Kita ni manusia… perlukan jiran tetangga dan saudara-mara. Hidup bersosial, bermasyarakat. Kamu kecil lagi, mana kamu faham!” tekan Nuhaa sedikit berang.
Mulut lepas Adya memang selalu menyesakkan kepalanya. Suka-suki saja nak cakap apa pun. Tidak seperti anak sulungnya yang lebih banyak diam daripada bercakap. Lebih senang mengikut daripada menjawab. Mujur jugalah Ainsya begitu dan kerana sikap itulah Ainsya hingga sekarang diam menerima kemahuannya.
“Adya mungkin tak faham hidup bersosial atau hidup bermasyarakat, tapi Adya tahu hidup kita tak berpaksikan hidup bersosial atau hidup bermasyarakat, tak berajakan jiran tetangga atau saudara-mara. Dahlah… Baik Adya sambung studi balik. Kaji balik topik sosial dan masyarakat.”
Nuhaa hanya boleh lihat anak gadisnya itu berlalu dari ruang dapur. Dia seolah tersedar akan sesuatu. Adya mungkin baru 16 tahun, bakal mendepani SPM tahun hadapan, namun Adya sudah mempunyai pemikiran yang mengejutkannya. Adya diyakini bakal mewarisi setiap sifat babahnya—tidak menganggap masyarakat penting dalam institusi kekeluargaan.
Ais di dalam jag yang mulai menyejat menyedarkannya semula. Tentu jiran-jirannya sedang menanti. Entah-entah sudah terlalu haus menunggu minuman ganti mereka sesudah jag pertama langsai dikerjakan.
Nuhaa lekas mendapatkan halaman hadapan.
* * *
Belum sempat Adya capai tombol pintu, ianya lebih dulu dibuka dari dalam. Terpisat-pisat meraba mata, Ainsya sedikit kaget apabila terlihat batang tubuh Adya yang lebih tinggi daripadanya di hadapan mata.
“Kakak nak ke mana?” tanya Adya tidak berganjak. Menghalang Ainsya daripada keluar dari bilik yang dikongsi mereka bersama.
“Toilet. Awak nak ikut ke?”
“Oh, okey! Adik ingat kakak nak ke bawah. Untuk keselamatan telinga kakak, jangan ke bawah. Keris-keris yang dah tak sabar nak tikam dua-dua telinga kakak dah sampai. Duk habiskan Sunquick umi.” Adya berlalu sudahnya. Tidak lagi jadi batu penghalang kepada langkah si kakak.
Ainsya menggeleng kecil, sebagai tanda perbuatan adiknya itu adalah tidak betul. Namun tetap tidak boleh halang senyum tipis yang mengambil tempat pada bibirnya. Patah ayat pilihan Adya yang menimbulkannya. Keris? Tetapi sebagai kakak, tanggungjawabnya tetap ada. Perlu dilaksana. Sekalipun kata Adya banyak benar daripada umpatan kosong.
“Tak baik tau cakap macam tu. Mereka tetap lebih tua daripada adik. Tetap perlu dihormati,” nasihat Ainsya.
“Adik hanya hormati orang yang layak. Kelayakan tu tak ada pada umur untuk adik. Dahlah, pergi basuh muka dan gosok gigi. Berbau sampai sini tiap kali kakak buka mulut.” Bermuka serius, Adya membawa tangan ke hadapan wajah. Melambai-lambai muka, tanda tidak tahan dengan ‘haruman’ kakaknya.
Ainsya panjangkan tangan kanan ke mulut, dipekup lalu nafasnya didesah keluar. Tangan kanan dibawa ke hidung. Nak pastikan sendiri kononnya!
Adya tergelak kuat. “Mrs. Bendul betullah kakak ni. Aduhlah… terima bulat-bulat aje kata adik. Macam manalah boleh dapat kakak yang betul bendul macam kakak ni!”
“Itulah… kakak pun pelik sebab awak tu kan bengkang-bengkok. Agaknya siapalah antara kita ni anak angkat!” ucap Ainsya selamba.
Tawa Adya berderai lagi. Dengan sisa tawa yang masih berbaki, dia mendapatkan semula meja studinya lalu melabuh duduk di atas kerusi. Tiga bingkai gambar kecil bersama kakaknya yang menghuni meja studi jadi tenungan.
Ainsya Najma, itulah nama kakak sulungnya, yang juga merupakan satu-satunya kakak yang dia ada. Ramai yang anggap kakaknya seorang yang serius, tidak tahu senyum, hanya pentingkan kerjaya dan berhati keras. Hakikatnya memang ya dari luaran. Namun hakikat yang lebih daripada itu, tidak dari dalam. Hanya dia yang jelas akan hal itu kerana dia sangat mengenali kakak, lebih daripada umi mereka sendiri. Dengan babah, mungkin sama rata.
Kakaknya sudah berusia 29 tahun pada 12 September yang lalu. Dan, pada 29 Disember nanti, dua minggu dari sekarang, kakaknya akan menjadi isteri kepada seorang suami yang bernama Solehandin.
Kakak pernah jatuh cinta dua kali, juga putus cinta dua kali. Kedua-duanya memberi kesan kepada sekeping hati itu sehinggakan kakak tidak pernah ada masa menderma sebahagian daripada hatinya kepada lelaki baru dalam hidupnya. Yang lebih menghairankan, tiada yang pernah mencuba.
Entah apalah masalah lelaki dalam dunia ini!
Kakaknya itu, dia akui tidaklah dalam golongan cantik rupawan. Hanya kerana dia seorang adik, darah daging kakak, dia tak mungkin kata kakak cantik apabila itu bukan hakikatnya. Baiklah, kakak dalam kategori Plain Jane. Just another plain girl. Dan, dia yakin semua itu diwarisi daripada umi.
Kakak kesayangannya itu bukan manusia sempurna. Namun, ketidaksempurnaan itulah yang menyempurnakan Ainsya Najma selaku kakaknya. Dia sangat kasih kepada kakaknya dan hanya mahu lihat kakak bahagia selalu.
Mungkin mereka berdua mempunyai jarak yang jauh dari segi usia. Yalah, kakak sudah 29 tahun sedang dia hanya 16 tahun. Lebih sepuluh tahun beza yang ada antara mereka. Namun bukan pada hubungan mereka. Perbezaan yang kosong.
Ainsya adalah kakak paling baik yang dia ada. Juga kakak yang paling dia sayang. Kerana itulah dia rasakan Solehandin, tunang kakak, atas kehendak, permintaan dan desakan umi, sama sekali tidak layak buat kakak.
Sumpah, dia bukan cemburu! Sedikit pun tiada!
Kalau dengan meninggalkan rumah, menjarakkan hubungan kakak dan adik antara mereka, bergelar isteri kepada seorang lelaki, bahagia bakal mengulit kakak, dia sedikit pun tidak akan kisah. Asal sahaja bahagia yang dicari kakak, sayang yang diharap kakak, menjadi sebahagian daripada kehidupan. Itulah yang dia mahu lihat ada pada kakak.
Namun, entah mengapa, saat Solehandin, jejaka kacak yang dikenali keluarga mereka hampir lima tahun, berada di samping kakak, dia rasakan bahagia mahupun sayang itu agak jauh untuk digapai kakak. Sekalipun Solehandin mengaku sayang separuh mati kepada kakak dan berjanji akan membahagiakan kakak selama hayat mereka.
Entah kenapa, jauh di sudut hati, dia rasakan Solehandin adalah Mr. Wrong untuk kakak. Mr. Right kakak masih di luar sana, menanti pertemuan. Dan kakak tidak berjalan cukup jauh untuk membolehkan pertemuan itu berlaku.
Cemburukah dia kerana kakaknya akan mengahwini seorang pemuda tampan, bertubuh sasa dan berpewatakan menarik? Tidak!
Jadi, mengapa sampai saat ini, selama hampir enam bulan (29 November nanti barulah genap), dia masih rasa Solehandin tidak layak untuk kakak walaupun Solehandin akui bahagia dan sayang bakal melimpahi hidup kakak?
Dan dia memang mahu kedua-dua itu untuk kakak!
“Adik, kenapa ni?”
Soalan daripada Ainsya, yang tanpa Adya sedar sudah pun berdiri berhampiran meja studi sedikit mengejutkan. Lama juga dia bermonolog dengan perasaan dalamannya. Dah tahap konflik dalaman dah ni! Aduh…
“Adya, kenapa?” Ainsya usap penuh kasih rambut Adya. Mengurai di balik tocang kudanya.
Adya Nadine, adik perempuan yang sangat disayangi, ada waktu dirasakan bak anak yang tidak pernah dilahirkan. Bukan kerana umi sering mengabaikan Adya ketika kecil, bukan juga sebab babah sudah lupa tanggungjawab selaku orang tua, sebaliknya kerana Adya membesar di hadapan matanya.
Dia terlalu terlibat dalam kehidupan gadis itu selama Adya membesar.
Dia tidak mahu berbohong. Sayangnya kepada Adya lebih dalam berbanding sayangnya buat dua adiknya yang lain. Sayang kepada Adya takkan serupa dengan sayang buat Nazrin atau Nuhman. Sungguh, dia sayangkan Nazrin dan Nuhman. Adik kandung sendiri, takkanlah tidak. Tapi sungguh juga, sayang buat Adya lebih menggebu, di satu peringkat yang lebih berbanding untuk Nazrin dan Nuhman.
Ramai yang pelik kerana dia boleh akrab dengan Adya berbanding Nazrin atau Nuhman. Jika dibandingkan umur, dia lebih dekat dengan Nazrin serta Nuhman yang sama-sama berusia 25 tahun dan 23 tahun. Namun, entah mengapa hubungannya dengan adik-adik yang lebih dekat usia tidak sedekat itu. Mungkin juga faktor jantina.
“Kakak pasti ke tentang semua ni?”
Gusar dalam soalan Adya mengembalikan Ainsya. Bersama senyuman kecil, dia kembali membelai rambut adiknya yang masih melabuh duduk di atas kerusi. Kepala yang tadinya tunduk dan tunak pada bingkai gambar mereka berdua kini terpanggung, melihatnya.
“Adik, berapa kali nak tanya soalan ni? Macam yang kakak cakap sebelum ni, kakak dah terima Solehan dalam hidup kakak. Solehan akan jadi sebahagian daripada hidup kakak, bakal suami kakak dalam masa dua minggu saja lagi. Kakak dah terima semua tu, adik.”
Ainsya menundukkan sedikit tubuh dan kepala sekali gus bertentangan dengan tatapan mata Adya. Dalam keadaan begitu, dia lebih rasa kerendahannya berbanding Adya yang setinggi lima kaki empat inci.
“Dan, dah sampai masanya untuk adik pun terima. Adik kena berhenti tanya soalan macam ni, berhenti risaukan kakak. It’s time to accept what’s fated for me.”
Adya menggeleng. “Adik tetap rasa Abang Solehan bukan yang terbaik untuk kakak. Kakak ada peluang pilih siapa kakak mahu. Tak perlu turut kata umi. Tak perlu kahwin hanya kerana umi nak tutup mulut jiran tetangga atau masyarakat. This is your life, not hers.”
Ainsya melepas keluhan kecil. “Adik bercakap macam orang yang lebih tua daripada usia. My influence, I bet.”
“Adik dengar luahan hati kakak sejak kecil. Adik tahu apa kakak mahu dan apa kakak tak mahu dalam diri bakal suami kakak. Abang Solehan tak milikinya. He’s not the right one for you.”
“Kita tak akan tahu siapa the right one, adik. Jodoh adalah sesuatu yang ditetapkan Tuhan dan jodoh kakak adalah Solehan.”
“Abang Solehan adalah jodoh yang ditetapkan umi. Kakak terima dia sebab umi, kan?”
“Ya, awalnya sebab umi. Tapi sekarang dia jodoh kakak, bakal suami kakak, bakal abang ipar adik. Teruk sangat ke tu? Adik tak suka sangat ke pada Solehan? Adik selalu puji dia selama ni. He’s tough, good looking, smart and always have a ready smile for anyone. What happened to that?”
“Sebab dia tak sesuai untuk kakak!” tegas Adya.
“Because he’s too good looking for me?” sakat Ainsya. Tiada rasa kecil hati dalam soalannya.
Itulah hakikatnya. Memang itu kenyataannya. Solehandin seorang lelaki yang terlalu sempurna untuknya. Solehandin punya pakej yang terlalu lengkap sebagai seorang lelaki. Dan, dia dianggap sangat bertuah kerana bakal mengahwini pemuda berusia 26 tahun itu.
Dia memperolehi seorang lelaki yang melebihi kelayakannya!
Itu satu lagi hakikat dan kenyataan yang sekian waktu, sejak lebih lima bulan lalu, yang selalu disua umi, jiran tetangga dan sanak saudaranya sampaikan tiada rasa lagi bila ia diulang terus ke pelupuk telinganya.
Kalau mereka mahu sedarkan dirinya, dia memang sudah sedar diri—dia tidak layak buat seorang Solehandin yang terlalu sempurna.
“No! He’s too lacking for you!” Adya menceber bibir.
Dia paling tidak suka dengan sikap kakaknya yang selalu anggap ada kekurangan dalam diri. Sikap itulah yang buat kakaknya mudah dikuasai umi dan senang dimonopoli sanak saudara mereka. Terlalu penurut. Demi menjaga hati kononnya!
Hati orang lain mahu kakaknya jaga, namun tidak pula hati sendiri!
Ah, kakak… sampai bila akan tunduk kepada umi dan sanak saudara yang tidak pernah ada rasa puas? Sikap kakak sama seperti umi! Lebih sibukkan hidup bersosial dan bermasyarakat.
Senyuman Ainsya mengembang. Lucu dengan memek muka Adya. Pandai sahaja gadis cilik itu menyusun patah kata demi menjaga hatinya. Memang begitulah Adya. Sentiasa mencari keburukan dalam diri orang lain demi menunjukkan kebaikannya yang tersembunyi. Kononnya!
“Adik, dengar sini…” Ainsya genggam jemari tangan Adya, erat. Tubuhnya menunduk. Kedua-dua lutut kemas di lantai. Matanya tunak kepada Adya, yang sama sepertinya—mata kecil dengan bulu mata hitam yang pendek namun lebat.
“Tak ada kurangnya kakak, tak ada lebihnya Solehan. Itu yang adik nak kata, kan? Kakak sangat faham. Tak macam awal dulu, sekarang kakak dah boleh terima Solehan dengan hati terbuka. Kakak dah boleh yakinkan diri dialah orangnya untuk kakak, dia jodoh kakak. Kakak terima semuanya dan kakak berazam mahu bahagia bersama dia sebagai suami. Tak boleh ke adik pun harapkannya?” Lembut Ainsya menyoal. Mahu memahamkan Adya yang dia sudah menerima tulisan takdirnya kini. Tiada lagi ragu dalam diri.
“Adik sentiasa doakan kebahagiaan kakak, bersama orang yang kakak cintai. Adik mahu kakak bahagia, mendapat cinta. Sejak dulu, adik tahu itu yang kakak mahu.” Adya mengelus lembut jemari tangan kakaknya.
“Insya-Allah, kakak akan bahagia dan akan dapat cinta bersama Solehan. Kami ada seumur hidup untuk dapatkan kedua-duanya, sayang.” Ainsya picit kuat hidung adiknya yang agak mancung. Menjerit kecil gadis itu.
“Tak ada apa pun yang dapat ubah fikiran kakak?” Adya masih belum puas hati. Sambil menggosok hidungnya, dengan mulut menceber, soalan masih dihantar.
“Dalam masa dua minggu daripada tarikh perkahwinan kakak? Mmm, kecuali Solehan adalah Soleha!” Ainsya mengerdip mata. Nakal.
Buah tawa Adya meletus. Diikuti dengan gelak kecil Ainsya. Lucu membayangkan Solehandin sebenarnya perempuan di balik tubuh tegap dan wajah kacak begitu.
“Tak mungkin!” ucap kedua beradik itu seraya ketawa rancak, dengan kedua-dua kepala saling melekap dan tubuh sama bergoyang, berpelukan.
Adya tahu dia harus juga menerima apa yang sudah kakaknya terima—Solehanlah orangnya buat kakak. Dan, Solehanlah yang boleh membahagiakan dan menyayangi kakak kelak. Tapi… benarkah Solehandin mampu lakukannya seikhlas hati? Dalam tawa yang masih bersisa, soalan itu menjenguk benak Adya.

4 ulasan:

aisy berkata...

huk aloh...nih yg windu kat Raimi Qahir ni ;p lemik tulang lutut i, hahahha!!!

Bikash Nur Idris berkata...

2 Aisy,
Ah... janganlah lembik-lembik. Bahaya!

Diana @ bilakukatacinta berkata...

saya dah ada novel ni...

Bikash Nur Idris berkata...

Diana. Terima kasih dapatkannya. Harap awak enjoy (*^^)